Dua Wajah Demokrasi Di Malaysia 


Assamu'alaikum wm.wbt

Saudara-saudara pembaca budiman.

Sepanjang 46 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan, kita tidak pernah menyaksikan berlakunya sebarang pertukaran kerajaan, walaupun dalam tempoh tersebut banyak isu yang berbentuk “mega“ berlaku dalam negara kita dari masa ke semasa, tetapi rakyat Malaysia terlalu baik hati.

 

Beberapa contoh akan disebut di sini sebagai imbas kembali skandal terbesar yang berlaku di tanah air kita tetapi rakyat Malaysia tidak pernah ambil pusing, asalkan perut kenyang. Tanpa memikirkan masa depan negara, negara yang akan diwarisi kepada generasi akan datang yang sudah kekeringan sumber untuk diterokai lagi.

Isu BMF yang menggemparkan negara sedikit masa dulu tidak pernah menyentuh perasaan rakyat Malaysia yang mana ia melibatkan kewangan negara yang mengalami kerugian lebih RM2 bilion. Seorang pegawai dari Bank Negara yang menyiasat kes ini dibunuh dengan kejam di Hong Kong sehingga kini kes ini tergantung tidak tahu siapa yang membunuh Allahyarham Abdul Jalil dari Melaka itu.

 

Kerugian yang terbesar itu menyebabkan kerajaan terpaksa “bail out“ Bank Bumiputra Malaysia Berhad sebanyak dua kali, iaitu pada tahun 1984 sebanyak RM2.3 bilion dan tahun 1989 sebanyak RM982 juta [hampir satu billion lagi] dan pada 1998 ketika krisis kewangan berlaku BBMB terus mengalami kerugian akibat memberi hutang yang terlalu besar kepada kroni-kroni tanpa mengikut prosedur biasa yang diamalkan oleh bank. Kali ketiga ini kerajaan tiada berwang lagi untuk membantu BBMB dan memaksa BBMB bergabung dengan Bank Of Commerce dan hilang hak orang Melayu ke atas bank ini. BBMB dihasilkan dari cita-cita orang-orang Melayu dalam kongres bumiputra pada tahun 1963. Sekarang bank ini dikenali sebagai Bank Bumiputra Commerce Berhad.

 

Pada tahun 1994, sekali lagi Malaysia mengalami kerugian kewangan sejumlah RM30,000 juta akibat Bank Negara berspekulasi dengan urusniaga pasaran hadapan mata wang asing [semacam permainan Soros]. Bayangkan ketika itu rakyat Malaysia berjumlah 19 juta, maka sebanyak 1.2 juta rumah murah berharga RM25,000.00 sebuah dapat dibina untuk rakyat marhaen yang tidak berumah. Jumlah wang sebanyak itu juga dapat membina 45 buah universiti untuk memberi pendidikan percuma kepada rakyat. 5 projek lebuhraya seperti Lebuhraya Utara-Selatan dapat dibina dan 4 buah lapangan terbang dapat dibina setaraf dengan yang ada di KLIA sekarang.

 

Kewangan Petronas dibelanjakan secara boros dan tidak berhemat. Pada tahun 1999, misalnya pendapatan Petronas melalui cukai pendapatan, royalti, duti eksport, duti import, duti eksais dan dividen berjumlah RM11.6 bilion iaitu 20% dari KDNK [tahun 2000 sehingga bulan Jun pendapatan RM 4.3 bilion iaitu 15.4 % dari KDNK]. Satu sen pun tidak pernah dikeluarkan zakat untuk membantu orang-orang miskin semenjak Petronas ditubuhkan, tetapi wang Petronas habis dibelanjakan untuk Mirzan anak lelaki Mahathir sebanyak RM1.3 bilion belian balik MISC, untuk formula 1 RM286 juta, untuk HICOM RM999 juta, Perwaja Steel RM3.6 bilion, RM22 bilion untuk Putrajaya dan MSC, MAS RM668.8 juta, RM1.8 bilion untuk KLCC dan RM3.8 bilion pembelian bon.

 

Demi kelangsungan UMNO di bumi Malaysia ini, kredilibiti Jabatan Peguam Negara, Pasukan Polis dan Mahkamah dipergunakan secukup-cukupnya. Maruah ketiga-tiga institusi ini jatuh menjunam di kalangan masyarakat tempatan dan luar negara. Pelbagai penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO/BN tidak didakwa dan dikenakan hukuman setimbal dengan kesalahan yang mereka lakukan.

 

Umpamanya segala penyelewengan, menyalahgunakan kuasa, rasuah dan skandal seks Abdul Rahim Tamby Chik dengan Norhayati Md Yusuf tidak diambil tindakan, malah budak ini ditangkap dan dihantar ke pusat pemulihan. Pada tahun 1985, seorang wanita Serani yang bekerja sebagai pelayan bernama Josephine Nunis menyaman beliau kerana mungkir janji untuk berkahwin dengannya. Kes ini diselesaikan di luar mahkamah dengan Rahim membayar ganti rugi berjuta ringgit.

 

Dalam buku Ahmad Lutfi Othman yang bertajuk: “Siapa Dalang-Cerita Di Sebalik Tabir” m.s.150 hingga 114 menceritakan secara detail berkenaan salahlaku dan amalan rasuah yang dilakukan oleh Rahim. Lim Guan Eng ketika itu sebagai MP Kota Melaka merangkap Ketua Pemuda DAP membuat 10 laporan polis dan kepada BPR [sekadar menyebut beberapa siri tarikh Lim membuat laporan iaitu pada 21.4.1993, 23.7.1993, 14.8.1993, 21.8.1993, 24.8.1993, dan 1.11.1993] untuk menyiasat kes ini. Sebanyak 29 kes dakwaan salahlaku Rahim dilaporkan, hanya 3 kes di bawa ke mahkamah dan pada tahun 1996 melalui Peguam Negara kes ini ditarik balik tanpa memberitahu alasan yang munasabah.

 

Undang-undang Malaysia mempunyai dua kategori. Pertama, untuk pemimpin UMNO/BN seperti kes salahlaku yang dilaporkan pembahagian saham oleh Pengerusi Saham Bumiputra di MITI Rafidah Aziz, laporan polis oleh Fauzi Abdul Rahman ADUN Beserah terhadap kes pembalakan di Pahang terhadap Menteri Penerangan Khalil Yaakob, laporan Ahmad Lutfi Othman sebanyak dua kali membuat laporan BPR di Putrajaya dan di Shah Alam perbuatan rasuah yang dilakukan oleh Dr.Khir Toyo, pecah amanah duit orang miskin melalui PPRT di selewengkan dan menteri sendiri membuat laporan polis hanya ditangkap kereta mercedes Annuar Musa bebas, Mohamad Mohd.Taib boleh melarikan Ku Yah anak Sultan Selangor berkahwin di Selatan Thailand dan melarikan RM2.4.juta cash ke Australia, laporan salahlaku bekas presiden MCA Dr.Ling Liong Sik yang dibuat oleh Lim Kiat Siang pada 13.6.1997 yang melibatkan anak dan isterinya dalam urusan perniagaan seperti mana yang diceritakan oleh Soh Chee Wen dan S.Samy Vellu dengan isu Maika Holdingnya. Semua laporan dibakul-sampahkan dan ada menteri bercakap bahawa laporan-laporan yang dibuat ini hanya membuang masa sahaja.

 

Kedua, undang-undang untuk musuh-musuh politik pemimpin UMNO/BN, sila rujuk kes-kes yang melibatkan Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Ezam Mohd. Noor. Pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat marhaen. Mereka ini sahaja akan didakwa dan kenakan hukuman yang berat dan tidak setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan [rujuk kes hukuman terhadap Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng] berbanding hukuman yang dikenakan ke atas Abdul Rahim Noor bekas Ketua Polis Negara dan Waad Saad bekas Exco Negeri Sembilan.

 

Saya telah bercakap mengenai kredilibiti Jabatan Peguam Negara dan Pasukan Polis jatuh menjunam akibat tindakan tanduk institusi berkenaan. Saya ambil contoh kes Rahim TC, pada tahun 1994, Rahim dituduh mempunyai hubungan seks dengan Norhayati Md Yusuf dan untuk menyelamatkan Rahim pihak Peguam Negara dan polis telah mendakwa dan menghukum 14 lelaki yang mendakwa mempunyai hubungan dengan Norhayati.

 

Norhayati melalui akuan bersumpahnya di Mahkamah Tinggi Melaka di depan Hakim Dato’ Mohamad Noor pada 27.2.1997 sebagai saksi Lim Guan Eng, Norhayati sekali lagi mengakui bahawa beliau mempunyai hubungan seks dengan Rahim. Pada 27.1.1999, di Hotel Federal, KL, Lim Guan Eng membawa dua pucuk surat yang mengandungi akuan sumpah Norhayati sebagai sokongan untuk memperolehi pengampunan dari Yang DiPertuan Agong dan Yang DiPertua Dewan Rakyat, tetapi pada 2.11.1999, Norhayati membuat kejutan dengan membuat akuan bersumpah mengaku yang beliau tidak mempunyai hubungan seks dengan Rahim. Akuan bersumpah itu bertarikh 2.9.1998 ketika Anwar Ibrahim dipecat. Norhayati mendakwa dia dipaksa berbohong kepada PM, ditahan 50 hari di Bukit Aman, di turning over yang akhirnya dia membuat pengakuan yang beliau mempunyai hubungan seks dengan Rahim. Akuan sumpah Norhayati diguna-pakai. Berbeza dengan kes Anwar Ibrahim, semua akuan bersumpah yang dibuat oleh Dr. Munawar Ahmad Anees, Sukma, Meor Razak dan Nalla Kurapan ditolak oleh mahkamah.

 

Satu lagi yang menghilangkan kredilibiti Jabatan Peguam Negara dan Pasukan Polis ialah kes misteri Nallakaruppan a/l Solaimalai yang ditahan di bawah ISA kerana didakwa memiliki senjata api berbahaya. Jika bersabit dengan kesalahan tersebut, beliau akan dikenakan hukuman mati. Dalam perbicaraan kes rasuah Anwar Ibrahim, peguambela, Anwar Zainor Zakaria mendedahkan surat peguambela Nalla kepada Peguam Negara ketika itu Mokhtar Abdullah bahawa ada pakatan di antara Ghani Patail dan Azhar Mohamad [sudah tentu dalam pengetahun Mokhtar Abdullah] dengan peguambela Nalla Manjet Singh Dhillon untuk meringankan hukuman Nalla dengan syarat Nalla bersetuju menjadi saksi pendakwa memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau adalah pembekal wanita-wanita cantik kepada Anwar, tawaran ini tidak dipersetujui oleh Nalla dan akhirnya beberapa perundingan dijalankan, pendakwaraya meminda tuduhan di bawah Akta Senjata Api 1960 yang membawa hukuman penjara 6 bulan dan denda RM2,000.00. Manakala Zainor dihukum 3 bulan penjara kerana menghina mahkamah oleh Hakim cokelat Hack, Mahkamah Rayuan mengekalkannya dan Mahkamah Persekutuan membebaskannya dengan alasan penghakiman yang membusukkan sistem kehakiman di Malaysia.

 

Walaupun dengan pelbagai isu yang berbentuk “mega“ di samping harta negara difaraidkan di kalangan mereka yang berkuasa dan rakyat marhaen terus miskin, yang kaya terus kaya kerana mereka diberi peluang dan anugerah untuk menjadi jutawan mee segera, namun setiap kali pilihan raya diadakan empat atau lima tahun sekali pembangkang tidak pernah menguasai jumlah kerusi yang besar sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan pusat. Hanya tahun 1999 pada pilihan raya ke 10, parti pembangkang khususnya PAS mencapai kemenangan besar dan undi popular UMNO merosot teruk di semua negeri di semenanjung sehinggakan UMNO menjadi tidak siuman meminda pelbagai undang-undang pilihan raya, persempadanan semula kawasan pilihan raya, mempergunakan SPR, mempergunakan jentera-jentera kerajaan tanpa segan silu, mempergunakan pasukan polis bagi menghalang ceramah pembangkang sehingga telah berani menceroboh ke dalam dewan persidangan bagi menjaga survival UMNO.

 

Banyak sebab mengapa pembangkang sering mengalami masalah yang saya sebutkan itu, di antaranya ialah proses perjalanan pilihan raya yang berat sebelah memihak kepada UMNO/BN, penyalah-gunaan jentera-jentera, institusi-institusi dan pasukan penguatkuasaan kerajaan serta pengunaan media yang berbentuk nazi di zaman Hitler dan kelemahan pembangkang sendiri turut membantu UMNO/BN mengekalkan kuasa berkekalan sehingga sekarang.

Dalam tulisan ini saya akan menganalisis tentang kefahaman masyarakat kita sendiri yang kurang faham mengenai konsep demokrasi itu sendiri. Kefahaman masyarakat kita mengenai demokrasi boleh dibahagikan kepada dua iaitu pertama, kumpulan masyarakat yang memahami demokrasi dalam rangka kerajaan moden dan kedua, kumpulan yang memahami demokrasi dalam pengertian yang dianjurkan oleh pemerintah.

 

Kumpulan pertama menganggap demokrasi sebagai satu bentuk kerajaan yang memperolehi sumber kekuasaan daripada rakyat menerusi proses pilihan raya, satu bentuk kerajaan yang mementingkan pengagihan kuasa, mengiktiraf kewujudan pembangkang dan kumpulan seminat [kesatuan sekerja,persatuan pelajar, NGO], membenarkan kebebasan media dan kegiatan bertukar pendapat [tanpa sekatan] dan hal-hal bersangkutan.

 

Kumpulan ini mendefinisikan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh kerajaan. Mengkritik kerajaan, kepada golongan ini bukan satu kesalahan kerana sumber kekuasaan datang dari rakyat dan bukan dari langit. Kalau dari sumber kekuasaan itu datang dari rakyat, maka mereka juga boleh menarik sokongan jika kerajaan melakukan kesilapan atau penyalah-gunaan kuasa.

 

Parti pembangkang, kumpulan seminat dan media tidak harus disekat kerana juga ingin membuat bakti kepada masyarakat. Kerajaan boleh datang dan pergi, tetapi masyarakat dan negara tetap tidak berubah. Konsep nasionalisme [berbeza dengan perjuangan PAS yang berasaskan Islam mengutamakan Islam memerintah bukan Islam diperintah] kumpulan ini ialah mengutamakan masyarakat dan bukannya kerajaan yang ada. Kerajaan yang takut membenarkan semua unsur tersebut kepada kumpulan ini ialah kerajaan yang takut kepada rakyat dan tidak berhasrat menjaga kepentingan rakyat.

 

Kumpulan ini bagaimanapun tidaklah besar, mereka terdiri daripada golongan professional, berpendidikan dan golongan menengah yang kebanyakannya tinggal dalam bandar dan segelintir masyarakat luar bandar yang senantiasa mengikuti perkembangan politik semasa.

 

Kumpulan kedua ialah masyarakat yang menganggap demokrasi sebagai “pesta“ yang dianjurkan 4 atau 5 tahun sekali. Melalui pesta tersebut, mereka mendapat wang, hadiah dan kenduri. Pilihan raya pada mereka bukan proses memilih pemimpin atau kerajaan, tetapi memberi mandat kembali kepada pemimpin dan kerajaan yang sedia ada sebagai tanda “syukur“ dan berterima kasih atas segala “sumbangan“ dan “jasa“ pemimpin tersebut selama ini.

Pemimpin yang baik bagi kumpulan ini ialah pemimpin yang boleh membina jalan raya, jambatan, balai raya, menyediakan jersi bola, suka memberikan hadiah, mencari peluang pekerjaan untuk anak-anak mereka dan menghulurkan bantuan.

 

Bagi kumpulan ini, kerajaan tidak boleh dikritik apatah lagi ditentang kerana itu “menderhaka“ dan “tidak bersyukur“ namanya. Kerajaan yang ada itu tidak pernah salah dan tidak mungkin melakukan “kesalahan“. Kerajaan yang ada itu diangkat oleh Tuhan, suci dan kata-kata pemimpin wajib ditaati sebagai wahyu turun dari langit.

 

Kumpulan pembangkang, kumpulan seminat dan NGO-NGO serta media yang menentang kerajaan dan rakyat tidak perlu ditunjukkan belas kasihan sekiranya tindakan diambil oleh kerajaan. Kumpulan ini hanya dikenali sebagai kumpulan “penyebar fitnah“, “menjadi agen negara asing“, dan “agen yang memecahbelahkan masyarakat“. Kumpulan kedua ini lebih besar daripada kumpulan pertama, mereka biasanya terdiri daripada kumpulan yang tidak mendedahkan diri mereka dengan maklumat sebenar [maklumat sebenar diputarbelitkan untuk mengelirukan mereka sepanjang masa oleh media-media nazi di Malaysia].

 

Sumber maklumat politik mereka diperolehi daripada bacaan akhbar harian dan tv yang dikawal 100% oleh kerajaan. Terdapat juga mereka yang berpendidikan tinggi tetapi tidak suka mendedahkan diri dengan persoalan politik. Politik kepada mereka ini adalah sesuatu yang kotor dan patut dijauhi. Memang kita telah merdeka, merdeka dari membebaskan diri dari belenggu kezaliman bangsa asing, sekarang kita menuntut kemerdekaan kedua dari belenggu dan kezaliman yang dilakukan oleh bangsa sendiri ke atas bangsanya sendiri.

 

Itulah apa yang saya maksudkan dua wajah demokrasi di Malaysia yang memerlukan banyak kesungguhan, tenaga, wang ringgit, masa, keringat, pakar-pakar strategis merangka pelan bertindak, berdakwah, pemimpin-pemimpin yang bertakwa dan berdoa kepada Allah SWT supaya memberi hidayah dan petunjuk bagaimana untuk memecahkan tembok kumpulan kedua yang terbesar ini.

 

Sekian, terima kasih InsyaAllah kita akan bertemu lagi di lain kesempatan. Wassalam.

- Meli - 26.11.2003 (suntingan M@RHAEN)