Mengapa Perlu Mengundi PAS?


Assamu'alaikum wm.wbt

Saudara-saudara pembaca budiman.

Menjelang Pilihan Raya Umum ke-11 bila-bila masa sahaja daripada sekarang, nampaknya UMNO semakin resah dengan kekuatan parti pembangkang terutama PAS yang bekerjasama dengan parti Keadilan yang telah bergabung dengan PRM menjadi Parti Keadilan Rakyat Malaysia [atau Keadilan], yang mana gabungan ini tidak diluluskan oleh Pejabat Pendaftaran Pertubuhan adalah lambang ketakutan UMNO  menghadapi pilihan raya itu.

 

Sebagaimana biasa, UMNO akan menggunakan sepenuhnya media massa baik akhbar cetak dan elektronik untuk melancarkan perang propaganda dan memburukkan reputasi parti pembangkang terutamanya PAS. Akan muncul nanti pelbagai taktik digunakan untuk mencapai matlamat tersebut sehingga media-media ini membelakangkan kebenaran dan memutar-belitkan fakta. Media-media ini juga akan memperbesar-besarkan isu kecil, memberat-beratkan isu ringan dan memperlekehkan perjuangan PAS dan Keadilan.

 

Tujuan utama UMNO ialah pertama untuk memusnahkan pakatan di antara PAS dan Keadilan dan keduanya mahu mengikis kepercayaan rakyat terhadap peranan kedua-dua parti ini supaya pada pilihan raya itu, rakyat menolak PAS dan Keadilan dan menerima UMNO untuk mengekalkan kuasanya memerintah Malaysia.

 

Oleh itu, sebelum dan semasa kempen pilihan raya ke 11, kedua-dua parti ini mesti bijak merencana dengan pantas, cekap dan berkesan dalam menangani setiap propaganda dan momokan politik UMNO. Pemimpin kedua-dua parti ini perlu sedar bahawa semua saluran untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat telah ditutup awal-awal lagi dan mereka harus bijak mencari peluang menyampaikan maklumat ini kepada rakyat.

 

Dalam konteks ini, PAS merupakan parti yang menjadi tunjang kepada pakatan di antara Keadilan, di samping PAS mempunyai pengaruh yang luas di akar umbi di seluruh ceruk kampong dan desa di Negara ini dan berkuasa memerintah dua buah negeri, Kelantan dan Terengganu, maka dalam tulisan ini saya mengajak rakyat memilih PAS [bersama dengan Keadilan] dan menolak UMNO kerana beberapa factor yang akan dibincangkan di bawah.

 

PENUBUHAN DAN DASAR

 

UMNO ditubuhkan pada tahun 1946 untuk menjaga kepentingan Melayu di Tanah Melayu serta menuntut Kemerdekaan daripada British secara lembut dan bertolak ansur bersama-sama kaum-kaum lain [Cina dan India] yang mendiami di sini. PAS pula ditubuhkan pada tahun 1951 untuk mendaulatkan ISLAM setelah UMNO enggan menjadikan ISLAM sebagai dasar perjuangan.

 

Kelahiran PAS tidak disenangi oleh penjajah British kerana perjuangan PAS adalah untuk menubuhkan sebuah Negara Islam di Tanah Melayu. Hal ini sangat bertentangan dengan kehendak British yang mahu mengekalkan Tanah Melayu sebagai Negara secular seperti British. Oleh itu, British melambat-lambatkan proses pendaftaran parti ini sehinggalah ia diluluskan pada tahun 1955, iaitu ketika beberapa bulan lagi pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan 1955 akan diadakan. Tujuan British melambat-lambatkan pengesahan pendaftaran PAS ini adalah kerana pertama, British mahu menyekat pergerakan PAS, kedua, British mahu mengekang pengaruh PAS dan ketiga, British tidak mahu PAS menjadi pesaing kuat terhadap UMNO dalam pilihan raya 1955. Sikap ini menjadi lebih nyata apabila Pesuruhjaya Tinggi British, Edward Gent menegaskan bahawa British tidak akan memberi Kemerdekaan kepada Tanah Melayu, sekiranya golongan ISLAM [PAS] memenangi pilihan raya tahun 1955 itu. Parti induk PAS, Hizbul Muslimin diharamkan dan beberapa pemimpin utamanya ditangkap dan dipenjarakan oleh British. British menganggap pemimpin PAS sama bahayanya dengan komunis. Taktik ini juga digunapakai oleh UMNO kini, di mana ramai pemimpin, ahli dan penyokong PAS dan Keadilan disumbat dalam penjara dan ditahan di bawah ISA.

 

Sebaliknya penubuhan UMNO mendapat restu daripada penjajah British. Pemimpin UMNO mendapat belaian mesra dan mendapat tempat yang baik di sisi British seperti Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra dan Dato’ Abdul Razak Hussein, malah mereka diberi jawatan kerajaan sebelum Merdeka lagi. British merestui UMNO dan rakan-rakannya [MCA dan MIC] kerana mereka bukan parti agama. Apabila British berundur, pemerintahan Tanah Melayu diserahkan kepada UMNO dan rakan-rakannya untuk meneruskan dasar sekularnya.

 

Sebenarnya, kita hanya Merdeka daripada segi fizikal sahaja, bertukar kulit, warga sendiri yang memerintah menggantikan penjajah British. Kita sebenarnya masih dijajah oleh UMNO melalui pelbagai akta dan Undang-undang yang diwujudkan oleh British dahulu masih digunapakai sehingga sekarang untuk menyekat kebebasan rakyat seperti mana yang pernah dilaksanakan oleh British bagi menghalang rakyat menuntut Kemerdekaan. Oleh itu sekiranya kita mahu Kemerdekaan kedua, yang bebas daripada belenggu UMNO daripada segi fizikal dan mental, maka kita hendaklah mengundi PAS dalam pilihan raya ke 11 nanti.

 

DASAR PERJUANGAN

 

UMNO memperjuangan semangat Kebangsaan yang sempit untuk menjaga kepentingan Melayu atau Bumiputra. UMNO menjadikan Islam diperintah bukan Islam yang memerintah. Islam mesti tunduk dengan kehendak dasar Kebangsaan yang dilaksanakan oleh UMNO. Mana-mana hukum yang bertentangan dengan kehendak UMNO atau yang tidak mendatangkan keuntungan kepada UMNO akan ditolak. UMNO akan menerima perkara agama sekiranya ia membawa keuntungan kepadanya seperti pungutan zakat, bank Islam, Tabung Haji, Universiti Islam dan sebagainya. Politik dan agama tidak boleh disatukan menjadi pegangan UMNO. Politik lain, agama lain. UMNO boleh menghalalkan dan mengeluarkan lesen-lesen perjudian, arak, kelab malam kerana kegiatan itu ada nilai ekonomi dan politik bagi UMNO.

 

PAS ditubuhkan dengan semangat keIslaman. PAS menggunakan politik untuk agama [tidak seperti UMNO mengunakan agama untuk kepentingan politik] sebagaimana kehendak ALLAH SWT menjadikan manusia yang hidup di muka bumi ini mesti menurut kaedah yang ditetapkanNya. PAS mencuba dan berusaha untuk melaksanakan ISLAM sebagai dasar pemerintahan di Negara ini di semua aspek kehidupan seperti dalam ekonomi, social, politik , pendidikan, pembangunan, Undang-undang dan sebagainya, tetapi dihalang oleh UMNO dengan pelbagai cara dan ugutan. Terbaru Zaid Ibrahim, Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan menggunakan mahkamah untuk menghalang pelaksanaan Undang-undang Islam untuk orang Islam [kononnya ini adalah Undang-undang PAS, mana Undang-undang HUDUD UMNO yang telah memerintah lebih 46 tahun]. Amat malang, orang Islam yang mengaku ia seorang Islam tergamak menghalang orang Islam yang lain yang hendak melaksanakan ajaran Islam yang sebenar.

Islam tidak akan dijadikan asas pemerintahan Negara sekiranya UMNO masih berkuasa. Islam hanya untuk ritual semata-mata. Oleh itu, sekiranya kita hendakkan Islam dimartabatkan di muka bumi Malaysia ini, Islam memerintah bukan Islam diperintah, maka kita hendaklah memilih PAS dalam pilihan raya nanti.

 

RUJUKAN TERTINGGI

 

UMNO meletakkan “Keluhuran dan Kedaulatan Undang-undang“ kepada Perlembagaan Negara  Malaysia yang dihasilkan oleh Lord Reid dengan kerjasama penjajah British. Perlembagaan Negara memberi peruntukan yang tertinggi kepada Undang-undang di Negara ini seperti yang diperuntukkan di perkara 4 (1), yang mana sebarang Undang-undang digubal, pindaan, enakmen, akta yang bercanggah dengannya akan terbatal setakat mana ianya bertentangan. Ini bermakna Undang-undang Syariah yang dipetik daripada Al-Quran akan terbatal dengan sendirinya kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Negara. Ini bermaksud Al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam menjadi lebih rendah taraf kedudukannya daripada Undang-undang Negara. UMNO terus mengekalkan Undang-undang ini setelah 46 tahun Merdeka.

 

PAS pula meletakkan Al-Quran sebagai Undang-undang dan rujukan tertinggi. Sebarang Undang-undang yang digubal dan dipinda yang bercanggah dengan Al-Quran dengan tersendirinya akan terbatal. Inilah dasar pemerintahan Islam. Hukum hudud dipetik daripada Al-Quran. Dalam amalan demokrasi, Parlimen menggubal akta yang bertaraf Undang-undang, tetapi dalam Islam pemimpin tidak boleh menggubal Undang-undang yang bertentangan dengan Al-Quran. Pemimpin dibenarkan menggubal Undang-undang yang belum termaktub dalam Al-Quran dan pemimpin juga dibenarkan membincangkan bagaimana Undang-undang Al-Quran itu hendak dilaksanakan.

 

Bagi menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman dalam menjalani kehidupan harian supaya kita semua diberkati oleh ALLAH SWT, maka kita hendaklah memilih PAS sebagai wadahnya bukan UMNO. UMNO hanya untuk dunia sahaja.

 

PELAKSANAAN ISLAM SECARA MENYELURUH

 

UMNO hanya melaksanakan “Penerapan Nilai Islam“ dalam kehidupan masyarakat dengan menubuhkan bank, universiti, mempertingkatkan syiar bukan syariat dan badan-badan lain yang berbau Islam. Perkara-perkara seumpama ini ada di Negara-negara bukan Islam seperti di Thailand, Britain, Amerika malah di Switzerland terdapat sebuah bank Islam terbesar lagi canggih berbanding Malaysia. UMNO menghalang pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan Muslim dengan memberi pelbagai alasan seperti masyarakat majmuk, masyarakat Islam masih lagi ketinggalan dalam semua bidang, sekatan melalui Undang-undang dan sebagainya. Hanya dibenarkan melaksanakan Rukun Islam sahaja.

 

PAS mahukan pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan masyarakat kerana bagi PAS Negara Islam ialah melaksanakan Islam secara keseluruhan dan pemimpinnya melakukannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Beriman dengan Al-Quran. Firman Allah bermaksud: “Barang siapa yang tidak menghukum dengan hukuman yang Allah SWT turunkan, mereka itu adalah orang-orang kafir “- Al-Maidah, 5:44 …..Zalim, Al-Maidah, 5:45.

 

Sekiranya kita hendak melihat Islam dapat berfungsi dengan sebenarnya dalam semua aspek kehiduapan kita, maka kita tidak boleh lari daripada memilih PAS yang menjadikan ISLAM sebagai perjuangannya semenjak ia ditubuhkan sehingga ke hari ini. Masih lagi konsistan, tidak seperti UMNO yang mengamalkan prinsip pragmatic dalam pemerintahan Negara.

 

SYARAT KEPIMPINAN

 

Dalam UMNO, pemimpin dipilih berdasarkan ketokohan seseorang dalam masyarakat. Pemimpinnya sering terdiri daripada mereka yang paling berpengaruh dalam masyarakat dan berkemampuan daripada segi kewangan. Nilai-nilai akhlak dan ketakwaan tidak menjadi prasyarat untuk menjadi pemimpin UMNO. Di kalangan mereka, fenomena rasuah, menyalahgunaan kuasa, pecah amanah, arak, perempuan dan mencari kedudukan dan kekayaan tanpa menghiraukan haram dan halal menjadi perkara biasa. UMNO menganggap ketakwaan dan kemuliaan akhlak bersifat personal. Dalam Perhimpunan Agung mereka tidak menitik-beratkan soal sembahyang dan ini boleh disaksikan secara langsung melalui TV yang mereka boleh bersorak ketika Presiden sedang menggulung perbahasan sehingga melepasi waktu Maghrib, malah membentangan budget 2004 soal sembahyang yang menjadi tiang agama tidak dipedulikan.

 

PAS meletakkan syarat ketakwaan sebagai syarat utama menjadi pemimpin. Mereka yang melanggar etika Islam dengan sendirinya terlucut keahlian PAS dan mereka yang melakukan rasuah, pecah amanah dan sebagainya hilang kelayakan sebagai pemimpin jemaah. Dalam Muktakmar, sembahyang fardhu harian dijadikan agenda rasmi. Dalam PAS, kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab, tidak dalam UMNO, kepimpinan mencari kedudukan dan kekayaan.

 

Memilih pemimpin yang beriman dan bertakwa, apabila mendapat kuasa ia merasa takut untuk melakukan sebarang penyelewengan dan menyalahgunaan kuasa apalagi untuk melakukan pecah amanah. Kuasa yang diberikan itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT kelak apa yang ia lakukan dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

 

Berbeza dengan UMNO, mereka terlalu sangat hendakkan kuasa kerana dengan kuasa mereka boleh melakukan apa sahaja yang dikehendaki hati dan nafsu serakah yang tidak puas-puas merompak harta rakyat yang diamanahkan dan diberi tanggungjawab untuk menguruskan harta-harta tersebut untuk kemaslahan rakyat keseluruhannya.

Kalau hendakkan rasuah tidak wujud, tidak berlakunya pembolotan kekayaan Negara untuk memperkayakan diri dan keluarga, tidak menyalahgunaan kuasa untuk mencari kedudukan, kuasa dan kekayaan dan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama, perbezaan fahaman politik dan sebagainya, kita tidak boleh lagi mengharapkan kepada UMNO. Cuba kita beralih dengan memilih PAS sebagai alternatifnya.

 

KEPIMPINAN

 

Model kepimpinan UMNO ialah “Kepimpinan Melalui teladan “. Model ini sangat longgar kerana tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang boleh dibuat teladan oleh rakyat. Dari mantan PM ke 4, PM sekarang, TPM, Menteri-menteri, MB-MB dan Ketua Menteri yang mana satu boleh dijadikan teladan. Tidak ada dalam sejarah Malaysia, seorang PM yang bersara dibenci oleh rakyat dan dibuat laporan polis mengenai salahlaku dalam masa 22 tahun memerintah. Media sering melaporkan pemimpin UMNO dituduh dengan pelbagai tuduhan rasuah, pecah amanah, pilih kasih dan gejala maksiat.

 

Model kepimpinan PAS ialah “Kepimpinan Ulamak“ adalah penerus kepimpinan para anbia sebab ulamak ialah pewaris anbiya. Kepimpinan ulamak adalah sinonim dengan kepimpinan Rasullullah SAW dan Khulafa Ar-Rasyidin. Para ulamak mempunyai sifat takwa yang boleh mengelakkan melakukan perkara-perkara maksiat yang boleh menjadi contoh teladan yang baik untuk diikuti oleh rakyat. Jadi, pada pilihan raya ke 11 nanti, cuba tinggalkan UMNO dan memilih PAS pula.

 

WAWASAAN

 

UMNO mencipta “Wawasan 2020“ sebagai matlamat pada tahun 2020 nanti Negara ini akan maju dengan pembangunan industri. UMNO menekankan pembangunan berbentuk fizikal, tetapi pembangunan jiwa rakyat yang akan menikmati pembangunan fizikal itu tidak diutamakan. Muda-mudi berhibur secara melampau dalam menyambut tahun baru, industri hiburan dikembang-biakkan, pusat-pusat hiburan dan tempat perjudian diberi lesen dan banyak berlakunya penyakit social.

 

PAS membawa “ Wawasan Dunia dan Wawasan Akhirat “ kerana selepas hidup di dunia, kita akan dihidupkan pula di akhirat. Di sana nanti akan dihitung dosa pahala yang kita lakukan di dunia ini. Pembangunan dalam Islam ialah pembangunan Negara yang tidak mengorbankan akhlak. Pembangunan fizikal dan rohani yang dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat.

 

PARTI ALTERNATIF UTAMA ORANG MELAYU

 

PAS merupakan parti politik dominant Melayu kedua terbesar selepas UMNO. Ia merupakan parti Alternatif bagi orang Melayu untuk bernaung di bawahnya. Banyak parti-parti dominan Melayu tidak bertahan lama seperti PAS, kebanyakan parti-parti tersebut seperti Parti Negara pimpinan Dato’ Onn Jaafar, Parti Rakyat Malaya pimpinan Ahmad Boestamam, Parti Nasma pimpinan Raja Nong Chik dan Parti SM46 terkubur satu demi satu tanpa batu nisan, tetapi PAS tetap unggul di sepanjang sejarah perkembangan politik Negara.

 

Ada lima sebab mengapa PAS boleh menjadi parti alternative kepada orang Melayu. Pertama, kebanyakan ahli-ahlinya terdiri daripada orang-orang Melayu beragama Islam, yang mudah menarik sokongan, simpati dan kepercayaan daripada orang Melayu Islam, tidak seperti UMNO yang mana ahli-ahlinya ada orang Melayu dan bumiputra bukan beragama Islam. Kedua, perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS mendapat sokongan padu daripada orang-orang Melayu beragama Islam yang mempunyai cita-cita dan harapan yang sama dengan PAS. Ketiga, kelantangan PAS membela hak, nasib dan kepentingan orang Melayu menaikkan imej PAS sebagai kubu terakhir pertahanan orang Melayu. Keempat, kewibawaan akhlak pemimpin PAS menjadikan PAS sebagai parti yang dihormati dan dikagumi oleh segenap lapisan masyarakat, tidak seperti UMNO yang mana pemimpinnya yang banyak tidak berakhlak dan terlibat dengan pelbagai skandal yang mengaibkan. Kelima, keupayaan PAS mentadbir Terengganu dan Kelantan walaupun ditekan dan ditindas oleh kerajaan Persekutuan boleh terus mentadbir dengan jayanya berdasarkan kemampuan yang ada.

 

Dalam pada itu, PAS juga tidak lagi bergantung kepada sokongan golongan agama sahaja dan orang kampong semata-mata, malah kini banyak golongan professional dan orang Bandar menganggotai PAS. Ini merupakan satu perubahan yang nyata dalam sejarah PAS sejak penubuhannya tahun 1951.

 

PENUTUP

 

Pada pilihan raya akan datang, pasti kita akan menyaksikan satu pertempuran yang hebat akan berlaku di antara kedua parti yang berpengaruh ini untuk mendekati dan mempengaruhi pemikiran orang Melayu supaya memberi undi kepada parti masing-masing. Dalam sistem yang kita amalkan, walaupun satu undi lebih daripada pihak lawan, dikira parti itu menang.

 

UMNO seperti biasalah akan memperkudakan segala jenis jentera, media massa dan berjenis-jenis manusia akan digunakan untuk berkempen, berhujah, berdrama dan sebagainya bagi membentuk propaganda perang saraf memikat hati pengundi untuk mengundi UMNO sekali lagi.

 

Dalam pada itu, para strategis PAS dan Keadilan perlu merangka pelan tindakan bagi menghadapi perang saraf UMNO ini mulai daripada sekarang. Perkara-perkara yang boleh dilakukan sebagai persediaan adalah seperti berikut:

 

i.                     Pada kebiasaannya, pilihan raya yang diadakan itu berat sebelah. Semua agensi yang terlibat dalam pilihan raya memihak kepada UMNO sebagai parti pemerintah. Pada pilihan raya pada tahun 1999 telah ditubuhkan sebuah badan pemantau yang diberi nama BUDI yang membuat pemantauan pengurusan pilihan raya pada tahun itu. Pada tahun ini dicadang ditubuhkan satu pasukan pemantauan pilihan raya yang ahli-ahlinya terdiri daripada kalangan professional tempatan yang berkecuali dan amat perlu daripada pertubuhan antarabangsa membuat pemantauan bersama. Di akhir pilihan raya mesti dikeluarkan laporan dan dibincangkan di forum atau persidangan di peringkat antarabangsa.

 

ii.                   Pada masa kempen, masa membuang undi dan masa pengiraan undi, semua petugas perlu membawa bersama kamera atau kamera video untuk merakam peristiwa-peristiwa yang tidak diingini akan berlaku. Gambar-gambar ini akan dijadikan bahan bukti sebagai persediaan untuk perkembangan selanjutnya.

 

iii.                 Mulai sekarang, perlu dicetak bahan-bahan untuk penjelasan kepada rakyat mengenai salahlaku, rasuah, penyelewengan, menyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan sebagainya yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan kerajaan pimpinan UMNO untuk disebarkan kepada rakyat sebagai tindak balas perang saraf UMNO.

 

iv.                  Mulai sekarang kita mesti melatih petugas parti yang cekap mengesan tipu muslihat UMNO kerana kita tidak ada agensi yang boleh membantu termasuk SPR, maka kita sendirilah perlu bertindak dengan pantas, cepat dan berkesan.

 

Akhir kata, marilah bersama-sama kita memberi undi kepada PAS supaya keadilan dalam Negara kita yang tercinta ini dapat ditegakkan semula. Keadilan hakiki dapat diwujudkan dengan hanya pelaksanaan Islam secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan manusia di muka bumi ini seperti yang ditentukan oleh ALLAH SWT, selain daripada ISLAM semuanya akan musnah bila sampai masanya.

 

Sekian, pada pertemuan kali ini. InsyaAllah kita akan bertemu lagi di lain masa dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Selamat Menyambut Aidil Adha – maaf zahir bathin”. Wassalam.

 

- Meli - 25.01.2004 [ Laman Marhaen ] dan Laman Tranungkite.net pada 26.1.2004

Disiarkan semula Laman saya sendiri pada 27.1.2004, 8.38pm.