Kemenangan BN dan UMNO Melalui SPR
(Helping BN and UMNO win elections the EC way) Oleh MGG Pillai - 13.09.2003



Memang tidak payah disangsikan lagi betapa SPR memang berat sebelah. Caranya sama dengan sikap berat sebelah Amerika Syarikat ketika menjanjikan pengadilan yang sempurna kepada Osama bin Laden ataupun Saddam Hussein, seandainya mereka tertangkap. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan hanya berurusan dengan UMNO, bukannya dengan BN, apatah lagi dengan parti bukan-BN. Parti Pembangkang hanya wujud untuk mengabui pemikiran dunia bahawa Malaysia mengamalkan dasar demokrasi dan secara tidak langsung memberikan peluang persaraan hebat kepada Pesuruhjaya Pilihan Raya. Secara amali, apa sahaja boleh dibuat kira. Tetapi Pengerusinya yang ini Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memang amat jelas dengan peranannya. Sedangkan Perlembagaan menyatakan bahawa dia mahupun SPR tidak boleh berat sebelah menjalankan tugas. Dia telah dilantik memenuhi jawatan itu bukannya oleh kerajaan yang memerintah. Tetapi oleh Yang DiPertuan Agong. Secara langsung dia mempunyai kekebalan daripada sebarang pengaruh para pemimpin politik dan sepatutnya dapat menjalankan tugas dengan tegas untuk menentukan wujudnya sistem pilihan raya yang boleh dibanggakan. Dia tidak boleh dipecat daripada jawatannya kecuali dengan tindakan yang cukup rapi. Semua itu untuk membolehkan beliau menjalankan tugas dengan adil. Malangnya si malaun ini tidak percaya akan segala kemudahan itu. Dia telah mencemar peraturan Perlembagaan dengan menghambakan diri kepada UMNO. Apabila dia memainkan peranan begini, bererti dia mendedahkan kehaprakan jawatannya menjadikan diri dan Suruhanjaya yang dipimpin itu sasaran utama pihak pembangkang. Itulah kesannya masa kini.

 

Apa juga rungutan dan pertanyaan telah diketepikan begitu sahaja. SPR telah membina satu tembok besi untuk memagari serbuan  pembangkang, sehinggakan tidak ada seorang pengundi yang dapat mengacaunya. Kalau dia cuba juga, memang mudah diusir keluar. SPR mampu berlagak begitu kerana beranggapan segala salah lakunya tidak akan diketahui orang. Tetapi itu kisah dulu, yang tidak akan berulang lagi. MP PAS, Mahfuz Omar, telah mendedahkan beberapa dokumen di Parlimen di mana SPR memberi arahan kepada cawangannya di negeri-negeri, kecuali Sabah dan Sarawak akan setiap cawangan itu mengambil anggota keahlian Puteri UMNO, sebagai Pembantu Tadbir sambilan dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum. SPR telah menafikan perkara ini, menyebabkan perkara itu tidak boleh dibentangkan dalam sesi Parlimen bulan Jun yang lalu. Tetapi, kali ini Mahfuz telah mengeluarkan salinan surat yang ditandatangani oleh ketua Puteri UMNO di mana ada catatan tulisan tangan Tan Sri Abdul Rashid dan Setiausaha SPR. Arahan dibuat agar pegawai di Semenanjung mempercepat arahan itu. Dia telah mendedahkan surat itu kepada media. Jelas, ketua puteri telah menyenaraikan nama-nama anggotanya yang menganggur dan perlu dipertimbang oleh SPR.

 

Apabila Ketua Puteri UMNO, Azalina ditanya akan perkara itu, beliau menjawab bahawa dia meminta agar SPR memberikan pekerjaan kepada anggotanya yang menganggur. Sebagai seorang peguam, dia terlupa ataupun sengaja tidak peduli ataupun sengaja memperlekehkan aturan Perlembagaan dalam permintaannya itu. Begitu juga dengan SPR, yang menganggap permintaan itu sebagai satu perkara yang tidak boleh diketepikan. Tan Sri Abdul Rashid berkata bahawa dia telah memberi arahan agar perkara itu dihentikan, dan tidak ada seorang pun anggota Puteri UMNO yang telah diambil untuk bertugas. Tetapi dia masih belum menarik balik surat yang dihantarnya kepada pejabat SPR di merata negara. Apa gunanya menafikan sesuatu sedangkan surat mengenainya belum ditarik balik. Ini menimbulkan kemungkinan bahawa anggota Puteri UMNO akan diambil juga sebaik sahaja keadaan sudah mula reda.

 

Kenapakah SPR tidak mengirim surat semacam itu ke Sarawak dan Sabah? Apakah kerana sudah wujud tidak-keyakinan terhadap pejabat tempatan di Kota Kinabalu yang dikira tidak menyokong UMNO dan BN? Apakah satu jenis keangkuhan bahawa anggota Puteri UMNO yang menganggur di Sabah harus hidup meminta-minta sedangkan yang di semenanjung tidak boleh dibiarkan begitu dan mesti terus dibantu? Apakah ini satu peranan yang disengajakan oleh SPR untuk menyukarkan peluang pembangkang? Oleh kerana Puteri UMNO memang bersikap buas dalam mendapatkan undi untuk calon UMNO dan BN sudah tentu mereka akan menyulitkan serta mencetuskan banyak bencana daripada dalam. Kenapa surat semacam itu tidak dikirim ke Sarawak? Apakah kerana Puteri UMNO belum wujud di Sarawak? Bagaimana gamaknya perkara ini dengan ugutan Tan Sri Rashid yang mahukan perpaduan nasional melalui pilihan raya dengan segala dayanya?

Kerajaan memang merasa aib di luar dugaannya. Kerana itu ia tutup mulut dan membisu sehingga isu itu beredar lalu. Tetapi tidak semudah itu. Lebih-lebih lagi selepas Abdul Rashid mengeluarkan pendapatnya dalam satu wawancara dengan akhbar Internet, Malaysiakini (www.Malaysiakini.com). Dengan angkuh beliau menceritakan bagaimana pembangkang berusaha bertahun-tahun mencari kesilapan SPR tanpa bukti. Buktinya ialah mengenai apa yang disebut oleh Perdana Menteri bahawa terdapat satu pertiga pengundi yang berdaftar, yakni 2.8 juta orang merupakan pengundi hantu. Bagaimana mungkin begitu banyak pengundi hantu kalau SPR menjalankan tugasnya dengan betul? Tan Sri Rashid kata Perdana Menteri mendapat maklumat salah. Hanya ada antara 20,000 hingga 30,000 pengundi hantu sahaja, katanya. Tetapi dia tidak pula membetulkan Perdana Menteri waktu itu, cuma mendedahkan angka yang dikatakannya betul itu bila diwawancara. Kenapa? Bukankah perkara ini begitu penting membuatkan Perdana Menteri merujuk dulu kepada SPR? Adakah Rashid memberi andaian bahawa Perdana Menteri sudah naik mual dengan SPR sehingga beliau bertanya pada sumber lain?

 

Beliau ada menyebut kisah 20,000 hingga 30,000 pengundi Siam yang menetap di Selatan Thailand. Mereka telah diberikan Kad Pengenalan Malaysia untuk layak membuang undi.. Semua itu adalah Kad Pengenalan tulen seperti yang diberikan kepada 2.8 juta pengundi Sarawak, Sabah dan Semenanjung. Tentu lebih baik kalau kita percaya angka Perdana Menteri daripada mempercayai Tan Sri Rashid. Seperti biasa beberapa soalan perlu dijawab. Macam mana orang Siam itu memperoleh semua itu? Bagaimana pula SPR mengetahuinya? Kenapa SPR tidak bertindak terhadap mereka? Bagaimana pula SPR mengetepikan pengundi yang memiliki Kad Pengenalan asli? Soalnya sekarang dia mahu menjalankan tugasnya: “Kami akan singkir nama mereka..... Mereka menetap di Thailand.. mereka tidak ada hubungan dengan negara ini, cuma datang pada hari mengundi.” Kalau betul dia tahu semua maklumat itu kenapa tunggu sehingga empat tahun dan sudah di ambang pilihan raya umum untuk menyingkir mereka semua? Begitu juga halnya dengan pengundi hantu di Sarawak dan Sabah yang masih belum dihumbannya. Mereka semua memiliki Kad Pengenalan tulen yang diedarkan oleh kerajaan Malaysia. Memang tidak perlu disyaki akan kebenaran itu.

 

Tan Sri Rashid sudah gelabah dengan keadaan sekarang. Dia terlalu taksub kepada Perdana Menteri yang memberi ihsan untuk meneruskan Sekolah Agama Rakyat di Langkawi sedangkan yang lain sudah pun diarahkan tutup. Dia sedar siapa yang tentukan periuk nasinya. Kerana itu dia tidak teragak-agak menunjukkan kesetiaan membuta-tuli itu. Tetapi dia sudah terjebak kerana sebab yang tidak dimengertinya. Dia terlupa betapa wujudnya pecah-belah yang amat berbahaya dalam masyarakat Melayu. Dia sudah tidak boleh mempercayai pegawai tadbir Melayu dan kerani dalam Suruhanjaya sendiri. Seperti mana Perdana Menteri tidak boleh mempercayai orang Melayu di jabatannya sendiri. Sepatutnya dia sedar akan perpecahan yang memastikan perkara ini. Sebaliknya dia berlagak seperti biasa dan kini tersangkut juga akhirnya. Tidak ada pilihan lain selepas kemelut ini, kecuali meletak jawatan. Beranikah dia? Tentu tidak. Takkan dia membiarkan Perdana Menteri dan UMNO terkonteng-konteng waktu mereka memerlukan khidmatnya. Namun, gelagatnya waktu ini akan lebih banyak bencana kepada UMNO dan BN dan tidak berapa ketara terhadap Pembangkang. Adalah lebih baik kalau dia teruskan khidmatnya. Setidak-tidaknya akan wujud satu suasana di mana pertandingan akan berada di atas tanah yang rata, semacam satu keadaan yang akan memberi peluang yang sama rata kepada semua pihak. Memang tidak menghairankan kalau pemimpin UMNO akan kecut perut ketakutan setiap kali Rashid muncul untuk membantu mereka.

- MGG Pillai
Terjemahan oleh MT-SPAR (suntingan M@RHAEN) - 13.09.2003