Ulama palsu, ulama patung

 

Surat terbuka kepada rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Terangganu

 

Surat terbuka untuk orang UMNO yang benar-benar tidak faham dan sengaja tidak faham akan ‘kata-kata kesat’ yang terpaksa diluahkan oleh pemimpin PAS.

 

Assalamualaikum saudara-saudara orang UMNO sekalian,

 

Mursyidul Am PAS, juga Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selalu sangat dikecam dengan hebatnya oleh pemimpin-pemimpin UMNO, terutama bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana beberapa kata-kata kesat yang terpaksa dibuatnya. Tidak kurang juga getirnya kecaman dan tohmahan yang dilemparkan kepada Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kerana hal yang sama.

 

Oleh sebab ikhlas dan tingginya keyakinan saya bahawa ‘kata-kata kesat’ yang berkenaan itu benar, maka saya beramanah untuk melahirkan pemahaman saya berkenaan ‘kata-kata kesat’ itu melalui tulisan ini. Lebih-lebih lagi, saya berasa bertanggungjawab membela kebenaran.

 

Saya berpegang pada prinsip prasangka baik, keikhlasan, kejujuran dan keihsanan untuk menilai seseorang. Saya berkeyakinan penuh bahawa Nik Abdul Aziz seorang insan yang baik, ikhlas, jujur dan penuh dengan sifat-sifat keihsanan yang tinggi. Demikian jugalah Abdul Hadi. Oleh sebab itu, kita kenalah ikhlas dalam menilai mereka.

 

Kita juga harus sedar senario politik negara kita, bagaimana dan mengapa ‘kata-kata kesat’ itu boleh tercetus dari mulut mereka. Sebenarnya mereka banyak ikhtiar dan sabar setelah diperlakukan pelbagai kezaliman dan penindasan ke atas mereka dan PAS sejak sekian lama. Saya faham, tindakan para pemimpin PAS itu hanyalah sebagai reaksi sahaja, mereka bukanlah yang memulakan tindakan. Saya cukup yakin, kalaulah PAS dilayan dengan SATU kebaikan, pemimpin PAS akan membalasnya dengan sepuluh kebaikan. Dan sudah tentu, ‘kata-kata kesat’ itu tidak terhambur keluar.

 

Banyak ulamak Umno yang mengutuk para pemimpin PAS melalui tulisan atau ucapan mereka melalui arus perdana negara yang dikuasai oleh ulamak Umno yang tersasar jauh daripada kebenaran dan keadilan. Antara mereka ialah Nakhaie Ahmad, Dusuki Ahmad, Ismail Ibrahim. Astora Jabat, Abdul Hamid Othman, Abdul Hamid Zainal Abidin, Zainal Abidin Sakom, Yusuf Hussain, Syed Akbar Ali, Saodah Abdul Rahman, Munir Yaacob, Farish Noor, Ambak Ismail, Ghazali Ahmad, Ibrahim Azmi, Ismail Ali dan Shafie Daud.

 

Merekalah yang sebenarnya menjadi benteng penghalang bagi penyatuan umat Islam di negara kita, mereka ulamak jahat yang lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Merekalah golongan fanatik yang memuja pemimpin besar mereka, semacam unsur ‘leader - worship’ berlaku dalam golongan mereka. Kalau pemimpin besar mereka menghina Allah sekalipun, mereka sekadar menjadi syaitan bisu. Tidak berlaku penyakit fanatisme melampau dalam PAS sebagaimana dakwaan, tuduhan dan tohmahan Nakhaie Ahmad (Lihat Berita Harian, Khamis, 25 September 2003,): tetapi sebaliknya dakwaan itu terkena batang hidung Umno sendiri.

 

Setelah kita meneliti latar belakang dan faktor-faktor yang menyebabkan terciptanya ‘kata-kata kesat’itu, saya perturunkan di bawah ini apa yang saya faham berkenaannya berdasarkan keyakinan saya bahawa kedua-kedua pemimpin PAS itu ialah ulamak yang benar dan ikhlas.

 

Ulamak terompah kayu: Memang tepat gelaran ini diberikan kepada mereka yang perasan bahawa mereka itu ulamak yang hebat, tetapi tidak sedar diri dan tidak insaf bahawa mereka itu ulamak murahan yang tidak memainkan peranan yang sewajarnya. Ulamak terompah kayu tidak berwibawa langsung, sekadar dipergunakan dan diperkuda oleh orang lain sehingga sanggup mengotorkan diri sendiri demi keselamatan dan faedah orang lain. Terompah kayu digunakan oleh pemakainya untuk memijak sampah dan apa sahaja kotoran untuk keselamatan pemakainya. Terompah kayu yang dipakai di atas jalan yang keras akan menghasilkan bunyi yang kuat, ibarat tong kosong yang melaung bahawa dirinya tidak berisi.

 

Takdirnya Nabi Muhamad saw masih hidup, baginda akan melawat ke Negeri Kelantan: Kenyataan ini menggambarkan kejituan dan kekuatan hasrat Nik Abdul Aziz dan cita-cita beliau bahawa Negeri Kelantan Darul Naim itu benar-benar Serambi Mekah. Terlalu payah untuk beliau menghuraikan keikhlasan hatinya bahawa beliau terlalu mencintai Islam, maka diungkapnya sedemikian untuk menzahirkan keyakinannya bahawa Negeri Kelantan dan (Terengganu juga) sebenarnya merupakan negeri dalam Malaysia yang berusaha habis-habisan untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya.

 

Melaksanakan syariat Islam sepenuhnya bermakna mentaati Allah dan mentaati Rasul-Nya. Oleh sebab itu pada pendapat saya, tiada salahnya Nik Abdul Aziz berandaian sedemikian. Pada fikiran saya, kalaulah Nabi Muhamad masih hidup, baginda tidak akan melawati negeri-negeri yang menentang baginda.

 

Tuhan mencarut: Mencarut? Apa makna mencarut? Kalau kita ikhlas, kita tidak tergamak pun mempertikaikan kenyataan Nik Aziz bahawa tuhan mencarut. Pada pendapat saya, mencarut bagi kebanyakan orang Melayu Kelantan (sebagai contoh), sekadar menyebut nama alat sulit lelaki atau perempuan dalam bahasa Melayu. Kalau saya menyebut nama alat sulit lelaki ........ atau alat sulit perempuan.....maka mencarutlah saya. Sedangkan Allah dalam al-Quran menyebut kalimat ‘zakar’ bagi alat sulit lelaki dan ‘faraj’ bagi alat sulit wanita. Saya fikir, itulah apa yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz bahawa tuhan mencarut.

 

Namun, apalah sangat mencarut itu? Tuhan bahkan lebih daripada mencarut. Apabila Allah berkata ‘laknat’ ke atas kamu misalnya maka ‘kamu’ yang dilaknati Allah itu pasti akan ditempatkan di dalam neraka Jahanam. Demikian juga apabila Allah memurkai ‘kamu’ dengan sumpah ‘celaka’ maka neraka ‘Wail’ lah balasan bagi ‘kamu’ yang kena carut atau sumpah itu.

 

Tuhan samseng: Analogi ‘samseng’ dalam konteks ini terlalu mudah. Analogi saya begini sahaja. Saya seorang ayah yang baik. Saya ada anak lelaki. Saya mahu anak lelaki saya menjadi baik seperti saya. Pada satu hari, saya mendapat tahu anak saya itu telah bertindak ganas bagaikan samseng. Saya pun memanggil anak saya untuk memberi nasihat. Saya akhiri sesi kaunseling itu dengan satu penegasan yang berhikmah: "Anakku, janganlah berlagak samseng lagi, kalau anakku nak tahu, ayahmu ini lebih samseng. (Padahal saya sebenarnya bukanlah seorang samseng, saya seorang ayah yang baik. Pengakuan samseng itu sekadar mengingatkan anak saya bahawa saya pasti menghukumnya apabila dia menjadi samseng lagi. Demikian jugalah maksud yang tersirat daripada ungkapan Tuhan samseng oleh Nik Abdul Aziz bahawa Allah al-Muntaqim itu pasti akan menyeksa balas di akhirat kelak sesiapa sahaja yang samseng di dunia ini. Nik Abdul Aziz dengan sifatnya sebagai seorang pemimpin yang mengasihi para pengikutnya membuat qias atau analogi sedemikian dengan niat suci murni agar para pengikutnya menjadi insan yang soleh. (Allah al-Muntaqim bermaksud Allah Yang Maha Pengancam atau Allah yang Maha Penyeksa).

 

Bersedia menerima pertolongan syaitan: Pada satu ketika beberapa tahun lepas, pernah Nik Abdul Aziz membuat kejutan bahawa beliau sudi menerima pertolongan daripada syaitan, jika syaitan sudi menolong. Maka hebohlah orang memperkatakan keanehan pegangan Nik Abdul Aziz sehingga ada yang memfitnah beliau sebagai sahabat syaitan.

 

Walaubagaimanapun, isu syaitan itu tidaklah berpanjangan kerana akhirnya kebanyakan orang faham bahawa syaitan yang dimaksudkan oleh Nik Abdul Aziz itu sebenarnya ialah manusia yang jahat macam syaitan. Allah Taala sendiripun menggelarkan manusia yang jahat sebagai syaitan. (Sila rujuk: Al-Baqarah:14) Dan kita juga tahu pertolongan siapa yang sudi diterima oleh Nik Abdul Aziz itu.

 

Barua : Saya dapati negara kita ini terdapat segolongan orang elit yang terdiri daripada para ilmuan, cendekiawan, konglomerat dan ulamak yang tidak memiliki maruah yang tinggi sejajar dengan status quo mereka. Mereka sebenarnya orang murahan amat.

 

Kenyataan saya ini bukanlah tuduhan melulu. Senang sangat untuk kita mengenali siapa mereka. Mereka ialah orang-orang yang lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Mereka ialah orang-orang yang lebih malu kepada manusia daripada Allah Taala. Mereka bersifat amat materialistik. Dalam organisasi yang mereka ceburi, mereka berorientasikan kepentingan diri sendiri.

 

Menyanjung dan memuja ketua besar menjadi amalan wajib, walaupun mereka sedar ketua besar mereka sengaja melakukan kemungkaran. Membodek satu kemestian. Mereka sanggup diperkotak-katik dan diperkuda demi upah yang kecil sahaja. Merekalah tentera syaitan yang sentiasa memerangi para pemimpin PAS, walaupun mereka sedar PAS benar. Maka saya berpendapat, tiada salah bagi Nik Abdul Aziz mengingatkan kita bahawa orang yang berfi’il demikian itu sebenarnya barua.

 

Syaitan bisu: Saya amat bersetuju dengan pengumuman bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa di negara kita terdapat segolongan ulamak yang beliau istilahkan sebagai ulamak palsu. Ulamak palsu bolehlah kita samakan dengan ulamak patung. Memang benar, apa-apa patung pun palsu sifatnya. Patung tidak bernyawa, tidak ada roh. Patung hanya patuh dan akur pada kemahuan budak yang bermain dengannya.

 

Satu daripada ciri sifat ulamak palsu ialah ‘membisu’. Ulamak yang membisu terhadap isu-isu besar dan penting yang wajib disuarakan kerana takut kedudukan mereka terjejas, tetapi sebaliknya membising terhadap isu-isu yang boleh meneguhkan darjat dan status quo mereka, maka persislah mereka itu menjadi syaitan bisu.

 

Ahmad dan Al-Hakim meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, "Jika kulihat umatku gentar berkata kepada orang zalim, ‘Hai orang zalim’ mereka tidak layak lagi untuk hidup."

 

"Pangkah PAS masuk syurga". Saya tidak pasti siapa sebenarnya yang mengeluarkan ‘fatwa’ ini. Namun begitu, jika benarlah ada di antara pemimpin PAS yang berpendapat demikian, maka saya tidak nampak sesiapa pun orang yang benar dan ikhlas berupaya menafikannya.

 

Tidak syak lagi, kenyataan ini benar. Seorang pengundi muslim yang memilih atau mengundi seorang calon PAS (yang sudah tentu muslim), akan masuk ke syurga, tetapi saya bimbang seorang pengundi muslim yang memangkah atau mengundi calon kafir akan termasuk ke dalam golongan penentang Allah Subhanahu Wataala. Sebagaimana Allah sendiri melarang orang mukmin memilih orang kafir untuk menjadi pemimpin mereka sebagaimana perintahNya dalam (satu daripada beberapa) firmanNya dalam al-Quranul Karim yang bermaksud:

 

"Hai orang yang beriman, janganlah kalian mengambil orang-orang kafir menjadi penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. Inginkah kalian mengadakan alasan yang nyata bagi Allah (untuk menyeksa kalian)? (An-Nisa:144).

 

Oleh yang demikian, sangat tepatlah kenyataan bahawa sesiapa yang tidak mengundi PAS selepasa pewartaan dan pelaksanaan Hudud dan Qisas dianggap penjenayah yang takut menerima hukuman. Lagipun, nampak sangat mereka tidak bersedia menerima serta akur akan perintah Allah.

 

Kritikan Nik Aziz terhadap lulusan universiti kita sebenarnya ditujukan kepada segelintir graduan yang sememangnya tidak bermoral. Bukan semua graduan institusi pengajian tinggi (IPT) kita tidak bermoral. Kalau kita ikhlas menerima teguran Nik Abdul Aziz itu, kita dapat nampak bukanlah graduan itu sendiri yang dituding jari oleh Nik Abdul Aziz, tetapi sebenarnya, saya yakin Nik Abdul Aziz menyalahkan sistem hala tuju negara yang kurang menekankan aspek nilai moral yang tinggi.

 

Maka memang amat benarlah sistem hala tuju negara Malaysia kita ini yang termasuk dalamnya dasar pendidikan kebangsaan dan sistem persekolahan dan pengajian dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat IPT lebih memberi penekanan pada nilai-nilai kebendaan dan keduniaan. Oleh sebab itu, terabailah nilai-nilai kerohanian yang tinggi.

 

Oleh yang demikian, kejayaan sistem hala tuju negara telah melahirkan manusia yang bersifat materialis. Maka tidak hairanlah, graduan lulusan agama termasuk ulamak tergamak melakukan pelbagai jenayah. Kesimpulannya saya berpendapat, tidaklah Nik Abdul Aziz mengkritik graduan per se.

Yakinlah bahawa Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang merupakan insan yang amat tinggi sifat takwa mereka kepada Allah SWT. Kita harus ‘baca’ mereka secara jujur dan ikhlas, janganlah sekali-kali kita prasangka terhadap mereka.

 

Daripada: Mohd Taib A.Rahman
Kuala Terengganu

___________________________
Terbitan : 26 Januari 2004

 

[ Disiarkan dalam Laman Tranungkite.net dan disiarkan sebagai rujukan dalam Laman saya pada 27.1.2004, 8.51pm]