Respons Terhadap Tulisan Marhaintua:
Tidak Akan Wujud Rampasan Kuasa


Assamu'alaikum wm.wbt

 

Saudara-saudara pembaca budiman.

Saya amat tertarik dengan tulisan saudara Marhaintua yang berjudul 'Rombakan Kabinet Paklah Untuk Siapa?' yang disiarkan dalam Laman ini pada 9.1.2004.

 

Ulasan yang dibuat oleh saudara Marhaintua berhubung pelantikan Najib Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri ke-9 amat menarik. Apa yang menjadi persoalan ialah kenyataan yang dinyatakan oleh beliau bahawa Negara ini akan mengalami satu rampasan kuasa jika sekiranya saudara Anwar Ibrahim meninggal atau apa-apa yang berlaku ke atas beliau seperti mana yang berlaku di Filipina dan Liberia. Saya petik balik tulisan beliau yang berbunyi seperti berikut:

 

Saya pernah menyebut bahawa keadaan Anwar Ibrahim di dalam penjara adalah satu bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah yang Maha Berkuasa. Tetapi kalau Anwar mati dalam keadaan kesihatannya sekarang, sudah pasti negara ini akan bergelora dan kemungkinan ada rampasan kuasa yang dilakukan oleh rakyat marhaen bersama-sama anggota tentera.

 

Pada pandangan saya realiti rampasan kuasa tidak akan berlaku di Negara ini. Ini berdasarkan dua faktor, pertama sosio-budaya orang-orang Melayu yang tidak ada prinsip dalam perjuangan atau pegangan dalam hidup, mengikut arus, mudah lupa, bertolak ansur, pemaaf, sikap hangat-hangat tahi ayam, malas, suka dibodek dan dipuja dan suka kepada ciri-ciri hiburan yang melekakan. Tidak berpandangan jauh untuk memperbaiki diri sendiri, keluarga, bangsa dan agama dari keadaan yang buruk kepada keadaan yang lebih baik. Selesa dengan keadaan yang sedia ada.

 

Tidak seperti kaum-kaum lain, terutama bangsa Cina. Mereka mempunyai perancangan masa depan yang tersusun rapi. Mereka ada parti dalam kerajaan yang diwakili oleh MCA dan Gerakan dan di luar kerajaan mereka ada DAP. Semua parti ini memperjuangkan kepentingan kaum Cina seperti pendidikan, perniagaan dan sebagainya. Mereka mempunyai sikap rajin berusaha dan mempunyai daya tahan yang mantap.

 

Kalau semua orang Melayu ini mempunyai prinsip pegangan yang kental dan memperjuangkan keadilan dan kebenaran seperti mana yang diajarkan oleh Nabi Mohammad SAW, sudah lama pemimpin dan UMNO dapat ditumbangkan. Berapa kerat orang Melayu yang sedar tentang kebobrokan UMNO dan pemimpinnya yang telah melakukan pelbagai penyelewengan dan menyalahgunaan kuasa?

 

Kalaulah orang Melayu ini sedar, ketika Anwar mengalami pelbagai masalah yang beliau dizalimi dan tidak mudah ditipu oleh media dan pemimpin-pemimpin yang korup, sudah tentu pada tahun 1998, rampasan kuasa ini telah berlaku. Saya amat pasti seandainya Anwar meninggalkan kita semua pada hari ini [bukan saya memohon untuk Anwar meninggal dunia, hanya andaian], keadaan dan suasana politik di Negara ini akan berterusan tidak akan apa-apa perubahan. Tentera mana yang hendak memberontak? Sepanjang kes Anwar berlaku tidak ada riak langsung daripada pihak tentera memberi komen tentang ketidak-adilan yang telah dilakukan terhadap Anwar.

 

Dalam pada itu, keadaan ekonomi kita yang baik, tidak seperti yang berlaku di Indonesia dan Filipina menambahkan lagi keseronokan menjalani kehidupan harian. Di Indonesia dan di Filipina berlaku ketempangan dalam pembahagian kekayaan yang sangat ketara. Kaya-miskin mempunyai jurang yang sangat besar. Ada rakyat yang hidup melarat, merempat, tidur di kaki-kaki lima [kita di Malaysia hanya orang gila sahaja yang merempat] dan senantiasa berkeadaan kelaparan. Suasana ini yang menimbulkan ketidak-puasan hati rakyat dan bangun menggulingkan kerajaan yang ada.

 

Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia. Rakyat senantiasa dalam kekenyangan. Mulut rakyat senantiasa disumbat dengan pelbagai makanan dan juadah terutama hampir dengan pilihan raya. Kadar pengangguran masih lagi rendah, walaupun beribu-ribu pelajar lepasan sekolah menengah dan universiti tidak ada kerja. Keadaan aman dan selamat. Berdasarkan faktor ini, rampasan kuasa tidak mungkin berlaku, apa lagi untuk mengharapkan kaum tani bangun memberontak.

 

Saya pernah menulis dalam Laman ini yang disiarkan pada 26.11.2003 yang berjudul: 'Dua Wajah Demokrasi Di Malaysia' di mana saya ada menyebut di Negara ini ada dua kumpulan, pertama yang tahu apa erti demokrasi yang sebenar. Mereka ini boleh mengkritik dan menukar kerajaan, sekiranya mereka berpendapat kerajaan yang dipilih oleh rakyat ini tidak menunaikan tanggungjawab seperti yang diamanahkan. Kumpulan ini sangat kecil tidak sampai 10%. 90% lagi ialah kumpulan kedua, yang boleh dibeli dengan wang ringgit, yang tidak faham atau buat-buat tidak faham kerana ada kepentingan duniawi di situ. Proses pilihan raya pada fikiran mereka adalah memberi mandat kembali kepada pemimpin yang terang-terang melakukan penyelewengan kuasa yang diberikan itu.

 

Faktor kedua yang tidak memungkinkan rampasan kuasa berlaku ialah pelaksanaan pembentukan model terhadap masyarakat [manusia] khususnya orang Melayu oleh UMNO. Oleh sebab manusia mempunyai pelbagai sikap dan kelakuan, maka analogi model boleh diambil daripada spesis ayam kerana pengaruh oleh persekitaran persis manusia juga. Kita ada ayam daging, kita ada ayam kampong dan kita ada ayam hutan.

 

UMNO melaksanakan model ayam daging dalam pembentukan masyarakat. Antara ciri-ciri ayam daging ialah bertubuh besar, pasif, dagingnya kenyal dan lembut, bersifat hamba, diurus rapi dan perjalanan hidupnya berjadual. Masa makan, tempoh matang dan keperluan biologi boleh dijadualkan. Sepanjang hidupnya adalah dalam reban yang direka khas dengan dilengkapi segala-segalanya seperti lampu, makanan dan minuman serta bantuan perubatan jika kelihatan monyok.

 

Begitulah manusia yang dihasilkan melalui model ini. Membentuk manusia seperti yang kita kehendaki. Mana ada ketahanan diri untuk memperjuangan keadilan ada kebenaran yang memerlukan pengorbanan harta dan nyawa.

Saya harap saudara Marhaintua dapat memahami situasi ini dan maafkan saya sekiranya saya menyinggung perasaan saudara.

 

Sekian, terima kasih. InsyaAllah kita bertemu lagi. Wassalam.

- Meli - 12.01.2004


Respons daripada Nuri Selasih:


Kenyataan Sdr Meli sangat bernas dan jitu menggambarkan golongan terbanyak m'kat Melayu. MAGERAN contohnya telah beberapa kali di utarakan namun keadaan tetap aman dan mungkin faktor inilah yang membuat Sdr Meli menyanggah jangkaan Sdr MT.
 
Bukan bermakna telahan Sdr MT lemah atau salah tetapi ianya telah menjangkau jauh dari kemampuan minda golongan Melayu biasa dan sebenarnya golongan seperti MT inilah yang hanya sekelompok kecil mampu meniup semangat juang kepada orang Melayu lain.
 
Wassalam "PERJUANGAN KITA SETAKAT YANG ADA DAN SELAGI TERDAYA"

 

[Disiarkan di Laman saya pada 19.1.2004]