Perang rasuah: Sasarannya jangan tersasar

PERKEMBANGAN terakhir memperlihatkan gerakan memerangi rasuah mulai tersasar sasarannya. Ia nampak macam perang terbuka antara menteri dengan BPR. Diharapkan tidak jadi seperti “membuka pekung di dada” dan “beramai-ramai mencuci kain penuh najis di tengah laman”.

Penubuhan macam-macam agensi dan institusi diharapkan tidak membawa pertindihan tugas dan peranan yang mengacaukan. Dan tidak menjadikan para pegawai sibuk menghadiri mesyuarat demi mesyuarat. Macam yang selalu terjadi!

Menurut “Reports Filed and Action Taken by ACA (1998 - Mei 2003) “ terdapat 49,016 kes rasuah. Sebanyak 1,758 tangkapan dilakukan dan 863 dibawa ke mahkamah. Tidak dinyatakan berapa jumlah yang dihukum. Yang kita tahu banyak jugalah kes yang dilaporkan dalam akhbar senyap tiada khabar berita.

Sekarang pun, dari semasa ke semasa BPR mengumumkan “sedang disiasat” atau “akan disiasat”. Pengumuman seperti ini bagus - melegakan. Tetapi masyarakat mahu tahu, hasil siasatan dan hukumannya. Statistik di atas menunjukkan tidak sampai dua peratus yang dibawa ke mahkamah. Mengapa begitu sedikit sekali?



When fighting against corruption, you are actually fighting against entrenched vested interests. You have to extreemly careful how you do it. The pros and cons of your actions must beweighed, so that it won’t cause national turmoil.



Tunku Aziz Ibrahim

Rencana Sarban Singh dan Roziana Hamsawi, “The many faces of corruption” (NST, 24 Ogos 2003) patut sangat diperhatikan oleh semua pihak.

Rencana itu dimulakan dengan pernyataan dan pertanyaan: “Next to prostitution, corruption seems to be the most difficult to eradicate. Is it the enforcement or is it the whole system that is fault here?”

Mereka bukanlah tokoh terkenal, tetapi usaha mereka mengumpul pendapat dan fakta-fakta yang benar dan nyata, bagi menjawab pertanyaan di atas, amatlah berharga untuk dikaji dan diambil tindakan. Jika kita benar-benar serius hendak membasmi rasuah yang berleluasa sekarang ini.



Kerajaan perlu merongkah seluruh sistem pentadbiran

Di samping rencana itu, Tunku Aziz Ibrahim, Presiden Kuala Lumpur Society for Transparency and Integrity, dalam kisahnya “Crusader against corruption” yang ditulis oleh Idros Ismail (NST, 30 November 2003) juga mendedahkan banyak fakta dan saranan amat berharga.

Tunku Aziz membuat kesimpulan: “People know that the PM, given his religious credentials, detests corruption. Whether he gets the necessary support to push through this extreemly unpopular programme remains to be seen. The rakyat is observing. The foreign embassies are watching.”

Pada pandangan Tunku Aziz, kerajaan mestilah bersedia untuk merongkah (overhaul) seluruh sistem pentadbiran, untuk memastikan supaya mana-mana yang lemah jadi kuat dan yang tidak relevan dihapuskan. Masalah yang akan dihadapi ialah, manusia tidak suka mengubah kebiasaan yang sudah selesa baginya. Sistem yang sudah mantap bertahun-tahun sudah kejap, kaku dan berkarat. jadi akan ada yang menentang.

Bagaimanapun, sudah nyata, dalam sistem sekarang memang terjadi penyelewengan dalam pembuatan keputusan dan penguatkuasaan. Jika hal ini, yang sudah jadi pengetahuan umum, tidak diperbaiki, sukarlah untuk mendapat sokongan yang ikhlas dan jitu daripada rakyat.

Tunku Aziz bertanya, “How far is the Goverment prepared to combat corruption? has it got the political will?

Jadi, kunci kemenangan perang amat rumit dan sensitif ini, adalah keberanian politik dan kemampuan kerja berpasukan, untuk meneruskan tindakan yang telah dimulakan oleh Pak Lah sebaik saja beliau menjabat Perdana Menteri.

Marilah kita bersama Pak Lah memerangi rasuah tanpa memilih bulu. tanpa sokongan penuh kita, rasuah akan terus memamah jiwa dan tubuh bangsa kita. Ia akan jadi seperti HIV/Aids, yang dianggap oleh Kofi Annan: “A weapon of mass destruction.” [NOOR AZAM BM]

(No 86, Jalan SS22/32 Damansara Jaya, Selangor – 18 Disember 03).