SEJARAH DAN MASA DEPAN PERJUANGAN POLITIK ISLAM DI MALAYSIA


Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari

Untuk dibentangkan dalam Kursus Pimpinan Pelajar YIK Zon 3
pada : 24 Mei 2001
bertempat : SMU (A) Amir Indera Petra, Bachok Kelantan..


"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang
menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia
sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya
aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada
Allah)!" [1]



Muqaddimah

Adalah menjadi satu pekara yang tidak mungkin dapat disangkal akan
kewajipan setiap muslim untuk menafkahkan dirinya dalam perjuangan
Islam. Setiap yang ingin dirinya digelar sebagai pejuang sewajarnya
menyoal dirinya sendiri setiap saat dan waktu "Apakah yang telah aku
lakukan untuk Islam?". Lalu adalah menjadi satu keperluan kepada
setiap individu muslim terutama sekali pelajar-pelajar agama yang
merupakan generasi tunas dalam gerakan Islam membuka minda dan
meluangkan masa untuk sama-sama berfikir bagaimana untuk menjadikan
agenda perjuangan Islam sebagai satu realiti.

Dari konteks Malaysia, untuk meihat masa depan perjuangan Islam maka
sudah tentulah tidak dapat tidak harus disorot dari segi sejarah. Ini
kerana sejarah sudah tentu menjadi cermin kepada masa yang akan
mendatang. Dalam memperkatakan mengenai sejarah perjuangan Islam di
Malaysia, saya akan lebih menumpukan perbincangan kepada perjuangan
Islam melalui politik khususnya PAS. Bukan saya bermaksud untuk
menafikan harakah atau jemaah Islam yang tidak melibatkan diri dengan
politik, namun kaitan politik secara tidak langsung dengan aktiviti
gerakan Islam khususnya di Malaysia sama sekali tidak boleh
dinafikan. Tambahan pula, poltik adalah tumpuan utama setiap rakyat
terbanyak pada masa lalu, kini dan akan datang. Bagi memudahkan
perbahasan, saya membahagikan kronologi perjuangan politik Islam di
Malaysia kepada 4 peringkat :

1. Sebelum 1955

2. 1955 1983

3. 1983 1997

4. 1998 hari ini



Perjuangan Islam di Tanah Melayu Sebelum 1955

Fakta : Perjuangan Islam di Tanah Melayu bermula semenjak kedatangan
Islam di Tanah Melayu yang masih merupakan polemik di kalangan ahli-
ahli sejarah. Namun seara khususnya kebangkitan para ulama' di
beberapa buah negeri di Tanah Melayu untuk menentang penjajah adalah
merupakan titik tolak kepada kemaraan golongan agama dalam arena
politik. Dari sudut yang lain, kebangkitan perjuangan Islam adalah
selari kalaupun tidak lebih awal dari kebangkitan nasionalisme.
Sebelum gerakan kemerdekaan berlaku secara menyeluruh, Tanah Melayu
sudah digegarkan dengan kebangkitan Abdul Rahman Limbong di
Terengganu, Tok Janggut di Kelantan dan beberapa lagi penentangan
yang dipelopori oleh golongan ulama'. Walaupun kebangkitan ini
berlaku di merata-rata tempat, namun kesedaran menyeluruh untuk
membebaskan diri dari penjajah masih belum berlaku.

Namun, penjajahan Jepun merubah senario ini. Pada tahun 1945, Dr.
Burhanuddin Helmi memperkenalkan pemikiran politik Islam melalui
penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Seterusnya ekoran
dari gagasan Malayan Union pada tahun 1946, orang-orang Melayu mula
bersatu melalui seruan "Hidup Melayu" di bawah kepimpinan seorang
tokoh nasionalisme, Dato' Onn bin Jaafar. Pada awalnya, tokoh-tokoh
ulama berada di bawah payung UMNO bersama dengan Dato' Onn untuk
memperjuangkan kemerdekaan lebih-lebih lagi apabila Hizbul Muslimin
diharamkan oleh British pada tahun 1948. Penyertaan golonagn ulama
pada masa itu bukanlah menunjukkan persetujuan mereka dengan dasar
nasionalis tetapi kerana mereka melihat adalah lebih penting untuk
mewujudkan penyatuan terlebih dahulu.[2] Namun, akibat beberapa
pertembungan pendapat dengan pimpinan UMNO yang secara rasminya
beraliran nasionalis sekular, tokoh-tokoh ulama beramai-ramai keluar
dari UMNO untuk menubuhkan Persatuan Ulama yang terpisah dari UMNO
pada tahun 1951. Beberapa bulan kemudian, ia bertukar nama menjadi
Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS) di mana Tuan Haji Ahmad Fuad
menjadi Yang diPertuanya yang pertama. PAS seterusnya menyertai
pilihanraya pada tahun 1955 namun gagal untuk membentuk kerajaan
persekutuan.

Ulasan : Perjuangan Islam pada masa Tanah Melayu masih bergegar
dengan tuntutan kemerdekaan tidak dapat meyakinkan rakyat bahawa
perjuangan mereka adalah yang terbaik. Tambahan pula pada masa
tersebut, rakyat masih dihantui dengan kekejaman Bintang Tiga dan
masih terngiang-ngiang dengan penindasan oleh tentera Jepun. Oleh
yang demikian, mereka memilih untuk mengambil jalan selamat iaitu
dengan mengundi pihak yang boleh memerikan kemerdekaan kepada Tanah
Melayu. Pihak terdekat yang dimaksudkan ialah UMNO. Ini sama sekali
tepat dengan kehendak penjajah British yang seboleh-bolehnya mahukan
pihak yang akan memerintah bekas tanah jajahan mereka akan terus
menjalankan dasar-dasar pro-penjajah. Kerana itulah, Hizbul-Muslimin
telah diharamkan oleh pihak penjajah pada tahun 1948. Namun, dalam
masa yang sama kegagalan pihak ulama' untuk merebut peluang tampil ke
hadapan juga merupakan satu faktor perjuangan Islam ditolak oleh
kebanyakan rakyat pada masa itu. Tambahan pula, perjuangan yang
dipelopori oelh golongan ini masih bercampur-gaul dengan ideologi
kebangsaan. Seandainya pihak ulama' mampu membentuk satu barisan
alternatif bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain,
besar kemungkinan perjalanan sejarah politik di Malaysia akan berubah.



1955 - 1983

Fakta : Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957,
Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin tertinggi UMNO yang kedua secara
automatik memimpin kerajaan Perikatan bersama dengan barisan
kepimpinan bangsa-bangsa yang lain. Selaku kerajaan yang baru sahaja
dibentuk, maka sudah tentulah mereka menghadapi pelbagai masalah yang
menggugat kerajaan mereka. Pelbagai pihak di dalam negara masih sukar
untuk dikongkong agar menjadi penyokong kerajaan. Akhbar-akhbar masih
berperanan dengan bebas mengkritik pelbagai dasar yang berakhir
dengan proses `penelanjangan' kebebasan akhbar pada tahun 1962.[3]
Pada peringkat ini jugalah berlakunya proses peralihan perjuangan PAS
sebagai sebuah parti politik nasionalis yang mempunyai nilai Islam
kepada sebuah parti politik yang mempunyai konsep jemaah dan benar-
benar menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Ini berlaku
seriingan dengan pelbagai peristiwa-peristiwa yang berlaku di
Malaysia. Kronologinya secara umum bolehlah dirumuskan seperti
berikut :

1963 : Pembentukan Malaysia menyatukan Singapura, Sabah dan
Sarawak. PAS yang masih merupakan parti politik nasionalis bercorak
Islam mengambil sikap menentang yang sederhana.

1963 : Ideologi perjuangan Ikhwanul Muslimin mula meresap masuk
ke dalam PAS. Di bawah pimpinan Prof Zulkifli Muhammad, PAS
menghantar Haji Yusuf Rawa, AJK PAS Pusat ke Timur Tengah untuk
memperkenalkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Dialog demi dialog
diadakan khususnya dengan pimpinan Ikhwan.

1964 : PAS di bawah Prof Zulkifli menghantar sepuluh orang
pelajar-pelajar Malaysia yang pertama untuk melanjutkan pelajaran ke
Iraq. Secara sulitnya, ia adalah persediaan awal untuk melahirkan
satu generasi perjuangan yang berlainan dengan generasi yang sedia
ada.

1964 : Prof Zulkifli Muhammad meninggal dunia dalam satu
kemalangan. Tidak lama selepas itu, PAS kehilangan pula Dr.
Burhanuddin. Seterusnya, PAS dipimpin oleh Dato' Asri. Kepimpinan
beliau dikatakan semakin mengukuhkan lagi semangat ideologi
kebangsaan Melayu dari dasar rasmi PAS iaitu Islam. Oleh yang
demikian, PAS seterusnya benar-benar tidak dikenali sebagai gerakan
Islam.

1968 : Al-Arqam ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad. Dalam satu
jangka masa yang panjang, ia mewujudkan satu senario yang benar-benar
tidak disangka. Walau bagaimanapun, saya merasakan perbahasan
mengenai Al-Arqam tidak wajar disentuh di peringkat ini.[4]


1969 : Perlantikan beberapa orang ustaz-ustaz muda ke jawatan
penting khususnya Ustaz Hassan Shukri yang baru saja pulang dari
Iraq. Beiau terus dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat. Beliau dan
rakan-rakannya mula memerkenalkan konsep tarbiyyah ala Ikhwan. Pada
masa tersebut, bermulalah secara rasmi apa yang
dinamakan `pertembungan dalaman' antara pimpinan yang sedia ada
dengan ahli peringkat bawahan yang mehukan pembaharuan dalam halatuju
perjuangan PAS.

1969 : Rusuhan kaum di Kuala Lumpur ekoran rasa tidak puas hati
akibat jurang perbezaan ekonomi antara kaum. PAS khususnya tidak
melihat ini sebagai peluang untuk menyerang habis-habisan pihak
kerajaan ekoran kegagalan mereka membina perpaduan kaum. Adalah tidak
dinafikan, pergolakan dalaman PAS merupakan penyebab kepada kegagalan
mereka untuk berfungsi dengan sebaik mungkin.

1971 : Penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Ia
sebenarnya ialah alternatif kepada golongan muda yang benar-benar
mahu merealisasikan tuntutan perjuangan Islam ala Ikhwan. Pemikiran
Sayyid Qiutb yang sebelum ini berkisar di kalangan ahli-ahli PAS mula
diambil alih oleh ABIM. Penubuhan ABIM sebenarnya banyak dipelopori
oleh bekas tokoh-tokoh pelajar yang radikal seperti Anwar Ibrahim,
Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi, Sidiq Fadhil dan lain-lain. Ia
juga turut menarik golongan `ustaz muda' seperti Haji Abdul Hadi,
Abdul Ghani Shamsuddin dan Fadhil Nor. Secara tidak langsung, ABIM
sebenarnya dilihat sebagai wadah terbaik bagai meneruskan
kesinambungan perjuangan Islam di Malaysia pada masa itu. Ini
disebabkan oleh imej UMNO sebagai ultra-sekular dan imej PAS yang
masih dilihat sebagai nasionalis sukar untuk diterima oleh golongan
muda.

1973 : Penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional ekoran pelawaan
yang dibuat oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun Abdul Razak di atas
nama perpaduan Melayu. Polemik yang dicetuskan oleh `langkah
merbahaya' PAS ini telah memperhebatkan lagi pergolakan dalaman yang
telah sedia wujud sebelum ini. Walaupun PAS masih mengekalkan dasar
rasminya iaitu Islam, namun ia tidak lebih sebagai retorik ekoran
pengiktirafan PAS terhadap pendekatan UMNO/BN pada masa itu.
Penyertaan PAS ke dalam BN juga secara tidak langsung juga
menyebabkan ramai tenaga muda menjadikan ABIM sebagai pilihan utama.

1974 : Anwar Ibrahim memimpin demonstrasi besar-besaran pelajar
di Baling bagi memperjuangkan isu kemiskinan. Beliau seterusnya mula
muncul di persada politik Malaysia dengan imej Islamik dan radikal
[5].

1977 : Majlis Syura Tertinggi ABIM memutuskan penyertaan tiga
orang ahli mereka ke dalam PAS khusus bagi satu `misi khas' iaitu
memulakan kembali usaha-usaha tarbiyyah atau dalam erti kata
lain `menyelamatkan' PAS dari terus hanyut dalam lautan perjuangan
kebangsaan. Tiga orang ahli tersebut ialah Haji Fadhil Noor selaku
Timbalan Presiden Abim, Haji Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed
Abdul Rahman yang kedua-duanya merupakan Exco ABIM Pusat.

1978 : Berlaku krisis dalaman yang hebat di dalam PAS antara
Dato' Asri selaku YDP PAS dengan Mohamad Nasir selaku MB Kelantan.
PAS Kelantan khususnya benar-benar berpecah. Akibat kekacauan yang
timbul, darurat akhirnya distiharkan di Kelantan dan PAS ditendang
keluar dari BN. Dengan `tangan yang terikat', PAS dipaksa untuk
bertarung dalam pilihanraya di Kelantan yang akhirnya menyaksikan
Kelantan jatuh ke tangan BN untuk kali pertama selepas kemerdekaan.
Krisis dalaman PAS ini juga membawa kepada terbentuknya parti Berjasa
sebagai parti serpihan PAS.

1979: Revolusi Syiah di Iran[6] berjaya meruntuhkan diktator
Shah melalui kuasa rakyat. Ia mencetuskan kembali kebangkitan gerakan
Islam di seluruh dunia. Dalam hal ini, Malaysia tidak terkecuali.
Walaupun sebenarnya, pembaharuan di dalam PAS bermula lama sebelum
itu, namun Revolusi di Iran mempercepatkan lagi langkah ke arah
pembersihan PAS dari sebarang ideologi yang bercanggah dengan
kehendak perjuangan Islam.

1981 : Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia yang
keempat. Hubungan peribadi yang rapat antara bekas Presiden Abim,
Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir sebelum ini secara tidak langsung
menjadikan ABIM bersikap lebih lembut terhadap kerajaan yang sebelum
ini telah dicop dengan pelbagai tuduhan.

1982 : Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO
dengan misi untuk merubah UMNO daripada dalam. Secara rasminya, ABIM
yang sebelum ini dianggap sebagai anti-kerajaan bertukar kepada
pertubuhan Islam yang pro-kerajaan. Ini ditambah lagi dengan kerajaan
Malaysia di bawah pimpinan baru Dr. Mahathir yang dianggap ultra-
nasionalis sebelum ini menjalankan dasar Islamisasi di dalam
kerajaan.

1983 : Ekoran desakan yang begitu kuat dari ahli-ahli PAS
khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat yang benar-benar mahu mengalihkan
hala tujua perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam, Dato' Asri
akhirnya melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS untuk
memberikan laluan kepada kepimpinan ulama'. Bermula dari situlah, PAS
akhirnya didominasi oleh kepimpinan ulama' sehinggalah hari ini.

Ulasan : Walaupun sebelum ini, PAS sebenarnya sudah meletakkan Islam
sebagai dasar perjuangan, namun sebenarnya PAS sebagai sebuah gerakan
Islam hanya benar-benar lahir pada tahun 1983 iaitu selepas ideologi
pemikiran Sayyid Qutb benar-benar mendasari perjuangan PAS. Sebelum
daripada itu di bawah kepimpinan non-ulama', PAS tidak lebih dari
sebuah parti politik yang hanya mempunyai nama Islam tetapi tidak
berbeza dengan UMNO dari segi pembawaan dan pelaksanaan dasar. Dan
sejarah menyaksikan, proses pembersihan itu mengambil masa yang
begitu panjang.

Pada peringkat inilah juga, lahirnya ABIM selaku penyebar pemikiran
hakimiyyah ala-ikhwan. Peranannya dalam membantu kelahiran semula PAS
sama sekali tidak boleh diperkecilkan. Namun, `ijtihad' bekas
pemimpinnya untuk menyertai UMNO telah merubah segala-galanya. Perlu
disebut bahawa tidak seikit yang menitiskan air mata akibat tindakan
Anwar Ibrahim[7]. Ekoran daripada itu, selepas tahun 1983, ABIM yang
sebelum ini menjadi pendokong kuat pemikiran Sayyid Qutb mula
bersikap lembut dengan kerajaan manakala PAS yang sebelum ini
merupakan parti politik nasionalis Islamik berubah wajah menjadi
gerakan Islam yang mendokong kuat cita-cita untuk menegakkan sebuah
negara Islam yang sebenarnya. Saya mengira, di sinilah bermulanya
pertarungan sebenar antara PAS sebagai sebuah gerakan atau jemaah
Islam dengan pihak pemerintah.

Laluan PAS seterusnya di Malaysia pada masa ini sememangnya terlalu
sukar ekoran kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Akibatnya,
masyarakat menerima proses Islamisasi sederhana dan beransur-ansur
yang dibawa bersama penyertaannya ke dalam kerajaan. Kerana itulah,
PAS sebenarnya menghadapi laluan yang benar-benar getir dan mencabar.









1983- 1997

PAS pasca kepimpinan ulama' lebih banyak berusaha untuk memantapkan
kepimpinan ulama seterusnya memperkenalkannnya kepada masyarakat
umum. Usaha-usaha PAS lebih kepada untuk menyaingi proses Islamisasi
yang dibawa oleh Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Ternyata, dalam banyak
perkara, PAS lebih banyak ketinggalan. Faktor UMNO sebagai sebuah
kerajaan yang mempunyai segala-gala kemudahan adalah merupakan faktor
yang terbesar. Oleh yang demikian, PAS khususnya hanya terpaksa
menanti dan mengharap agar UMNO menghadapi krisis dalaman untuk
diambil kesempatan daripada berusaha memberikan penerangan kepada
rakyat tentang perjuangan PAS. Dan pembangkang khususnya PAS
selalunya bernasib baik dalam penantian ini. Secara umumnya
kronologi di peringkat ini adalah seperti berikut :

1985 : Peristiwa berdarah Memali di Kedah yang mengorbankan
sejumlah penyokong PAS dan seorang anggota polis. PAS seterunya
dilabel sebagai parti yang mahu menggulingkan kerajaan dengan
kekerasan. Bagi saya, peristiwa Memali hanyalah sebagai satu langkah
awal untuk melihat setakat manakah PAS boleh ditangani melalui
kekerasan. Ia adalah cubaan yang benar-benar menguji tahap kematangan
pimpinan PAS pada masa itu.

1986 : Pilihanraya Umum menyaksikan PAS kalah teruk dengan hanya
memenangi satu kerusi parlimen. Namun, pada pilihanraya ini buat
pertama kali gagasan pakatan antara pembangkang dilaksanakan walaupun
ternyata ia maish lagi kabur dan tidak mempunyai kesepaduan yang
jelas.

1987 : Ekoran pertandingan jawatan tertinggi di dalam UMNO,
mereka berpecah kepada dua pasukan (team A dan team B). Tengku
Razaleigh yang hanya kalah sebanyak 43 undi kepada Dr. Mahathir untuk
jawatan Presiden UMNO membawa pengkutnya yang tidak sedikit keluar
daripada UMNO dan memberntuk Semangat 46. Krisis ini berakhir dengan
pengharaman UMNO dan kelahiran semula UMNO Baru di bawah pimpinan
Dr. Mahathir. Manakala Semangat 46 pula muncul sebagai pembangkang
yang hebat dan mampu menggugat kerajaan Dr. Mahathir pada masa itu.

1989 : PAS sebagai sebuah gerakan Islam membentuk kerjasama
politik dengan Semangat 46 untuk menghadapi UMNO/BN di dalam
pilihanraya. Kerjasama yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah ini
adalah merupakan gagasan pakatan pembangkang yang terbesar di dalam
sejarah pilihanraya tanahair. Namun, kerjasama yang dibentuk oleh PAS
ini ditentang oleh sebahagian ahli peringkat bawahan. Ini membawa
peristiwa keluarnya sebahagian daripada ahli-ahli PAS membentuk parti
Islah.

1990 : Pilihanraya Umum diadakan. UMNO/BN masih berjaya
menubuhkan kerajaan persekutuan. Pakatan APU pula berjaya menawan
Kelantan dengan tidak memberikan sebarang kerusi kepada UMNO/BN.
Ekoran daripada kejayaan inilah, Kelantan kembali dikuasai oleh
pembangkang dengan PAS sebagai peneraju utamanya. Kejayaan menawan
Kelantan juga adalah merupakan kejayaan pertama PAS di bawah
kepimpinan ulama'. Seterusnya, PAS dilihat berjaya membina dan
mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan ulama'.

1993 : Di dalam UMNO, Anwar Ibrahim dikatakan mencapai kemuncak
kejayaannya apabila memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam
pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Seterusnya Anwar Ibrahim dilantik
menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Hampir keseluruhan ramalan
politik pada masa itu mengatakan Anwar Ibrahim adalah bakal Perdana
Menteri Malaysia yang kelima.

1994 : Al-Arqam diharamkan oleh kerajaan. Para pemimpinnya
dikenakan tahana ISA. Segala kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam
yang bergiat cergas sebelum ini dipantau dan ditamatkan dengan
pukulan `maut' oleh kerajaan yang diketuai oleh Pusat Islam. Dalam
hal ini, PAS lebih kepada bersikap tunggu dan lihat. Manakala
tuduhan sesat yang dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh
pimpinan PAS.


1995 : Pilihanraya Umum sekali lagi menyaksikan UMNO/BN
mengekalkan majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan. Manakala pakatan
pembangkang pula tidak menunjukkan sebarang kemajuan selain daripada
mengekalkan penguasaan di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Masa
depan pakatan pembangkang dan kemampuannya pada masa itu mula
dicurigai oleh para pemerhati politik.

1996 : Tengku Razaleigh Hamzah akhirnya mengambil keputusan untuk
membubarkan Semangat 46 dan membawa ahli-ahlinya kembali semula
kepada UMNO. Sekali lagi PAS dilihat sebagai tergugat. Ini kerana
dengan kemasukan Adun-adun dari Semangat 6 ke dalam UMNO, maka PAS
gagal untuk membetuk majoriti 2/3 di dalam Dewan Undangan Negeri
Kelantan. Walaupun demikian, kemenangan tipis PAS dalam pilihanraya
kecil di Pulai Chondong sejurus selepas pembubaran Semangat 46
memberikan sedikit bukti bahawa rakyat Kelantan tetap bersama dengan
kepimpinan ulama'.

Ulasan : Sebelum daripada kemenangan PAS di Kelantan, PAS dilihat
gagal untuk meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan ulama' adalah yang
terbaik untuk mereka. Malah untuk meyakinkan ahli-ahlinya sendiri
juga merupakan satu cabaran yang besar bagi PAS. PAS juga dilihat
masih tercari-cari arah yang sesuai untuk berhadapan dengan UMNO yang
memperhebatkan proses Islamisasi. Selain daripada seruan Islam, maka
tidak ada isu yang boleh digunakan untuk menyerang kekuatan UMNO/BN.
Saya lebih suka untuk mengatakan, seandainya UMNO/BN tidak dilanda
dengan perpecahan, maka adalah sukar sama sekali bagi PAS untuk
meraih undi rakyat.

Namun, selepas percakaran sesama pemimpin UMNO, mereka dilanda
perpecahan yang begitu hebat. Dalam peringkat ini, PAS sekali lagi
bertindak bijak untuk mengambil kesempatan daripada keadaaan dengan
menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46. Walaupun berlaku
kekeliruan di kalangan ahli-ahli PAS, namun ia tidak lebih dari
kocakan air di kolam yang tenang. Sejarah seterusnya membuktikan
bahawa langkah PAS adalah tepat. Faktor Semangat 46 dan Istana
Kelantan adalah merupakan faktor penting yang membantu kemenangan PAS
di Kelantan. Manakala di Pantai Barat, Gagasan Rakyat iaitu pakatan
Semangat 46-DAP gagal untuk meraih kejayaan. Seandainya Gagasan
Rakyat juga berjaya di Pantai Barat, maka sudah tentulah perjalanan
politik tanahair akan berubah sama sekali. Dengan andaian bahawa
dengan kemenangan Gagasan Rakyat, kerajaan UMNO/BN akan mengalami
kejatuhan, Tengku Razaleigh Hamzah pasti akan dilantik mengetuai
kerajaan baru. Dalam masa yang sama, PAS masih belum berjaya
menyebarkan fikrahnya secara menyeluruh. Dalam masa itulah, pasti
berlakunya pertembungan ideologi antara PAS dan DAP dalam kerajaan.
Kedua-duanya terlalu kuat berpegang dengan ideologi masing-masing.
Umpama minyak dan air, adalah menjadi kemustahilan untuk kedua-duanya
melakukan kompromi. Adalah menjadi satu kemungkinan yang hampir pasti
bahawa perpecahan akan berlaku seandainya barisan pembangkang berjaya
membentuk kerajaan persekutuan pada tahun 1990. Namun, ketentuan
Allah adalah sebaik-baik ketentuan. Allah hanya menghadiahkan
Kelantan kepada PAS sebagai satu persediaan untuk satu kemenangan
yang pasti akan diberikan satu hari nanti, Insya-Allah.

Walapun perkahwinan politik antara PAS dan Semangat 46 tidak dapat
bertahan lama, namun sekurang-kurangnya pakatan itu memberikan hadiah
berupa negeri Kelantan kepada PAS. Hadiah itulah yang menjadi
pengkalan kepada PAS untuk melebarkan pengaruhnya ke seluruh
tanahair. Walaupun demikian, kerajaan PAS dilihat masih gagal menjadi
contoh kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalannya untuk meningkatkan
prestasi dalam pilihanraya 1995. Kerana itulah, sebenarnya PAS hanya
menunggu agar UMNO dilanda krisis dalaman untuk meraih kemenangan.
Tanpa krisis dalaman UMNO, sukar sekali untuk PAS memperolehi
kejayaan. Antara faktor yang menyumbang ke arah berlakunya senario
sebegini ialah kegagalan PAS untuk menyebarkanluaskan fikrah dan
ideologinya kepada masyarakat umum. PAS masih disaluti imej kolot,
kekampungan dan fanatik.



1997 sekarang

Sebagaimana yang sudah dijelaskan, perkembangan dan perjuangan PAS
dalam arena politk tanah air bersifat statik dan stereotaip semata-
mata. Namun, untuk melihat perpecahan berlaku di dalam PAS khususnya
dalam masa kepimpinan ulama' ini adalah amat sukar tidak sebagaiman
UMNO yang sering bergolak dengan politik terajangnya.

Kedudukan UMNO selepas kemasukan kembali Tengku Razaleigh bolehlah
dikategorikan sebagai agak mantap. Malah tidak keterlaluan untuk
menyatakan, kerajaan PAS di Kelantan mempunyai kemungkinan untuk
dijatuhkan seandainya senario selepas kemasukan Tengku Razaleigh ke
dalam UMNO berterusan sehingga pilihanraya yang berikutnya. Namun,
tiada siapa dapat menghalang ketentuan dari Allah SWT. Kronologi
seterusnya terus meletakkan PAS sebagai pihak yang sentiasa bernasib
baik.

1997: Pada bulan Julai, Malaysia dan negara-negara sekitar
mengalami kejatuhan nilai mata wang yang teruk. Pada masa itulah,
timbulnya desas-desus akan mengenai percakaran yang berlaku di dalam
UMNO khususnya antara Anwar Ibrahim (Timbalan Presiden) dengan Dr.
Mahathir Mohamad (Presiden).

1998 : Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan Kerajaan di atas
beberapa tuduhan yang sama sekali tidak dapat dibuktikan dengan
jelas. Sekali lagi senario politik di Malaysia menjadi panas.
Demonstrasi jalanan menjadi popular dengan tiba-tiba. UMNO berada
pada tahap yang paling teruk selepas kemerdekaan. Pemecatan Anwar
bertepatan dengan era teknologi maklumat menjadikan UMNO tidak
sempat untuk menangkis pelbagai tuduhan yang dilemparkan dari
pelbagai sudut.

Ekoran dari pemecatan Anwar, secara imej Islamik yang
selama ini membayangi UMNO walaupun tidak banyak hilang secara tiba-
tiba. Ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh masyarakat yang selama ini
merupaka penyokong UMNO keluar beramai-ramai ke barisan pembangkang.
UMNO kembali kepada imej ultra sekular nasionalisnya seperti era 70-
an.

Hasil daripada pemecatan Anwar, PAS tidak gagal untuk
memanipulasi keadaan sebaik mungkin. Dengan diketuai oleh PAS,
barisan pembangkang digabungkan sebaik mungkin untuk menjatuhkan
UMNO/BN dalam pilihanraya. Apa yang menarik, kali pertama dalam
sejarah politik tanah air, PAS berjaya menjalinkan kerjasama rasmi
dengan DAP di samping penyokong-penyokong Anwar berada di dalam parti
Keadilan Nasional. Kerana itulah, gabungan pembangkang kali ini boleh
disifatkan sebagai yang terbaik di dalam sejarah politik tanahahir.
Namun tidak dapat dinafikan bahawa ia masih mempunyai banyak
kelemahan. Halatuju yang ingin dibawa masih kabur dan tidak jelas.

1999 : PAS berjaya menawan Terengganu dalam pilihanraya umum.
Manakala sokongan orang-orang Melayu kepada UMNO/BN merosot dengan
begitu teruk. Di beberapa buah negeri, majoriti kekalahan PAS
hanyalah tipis. Para pemerhati politik ramai yang berpendapat bahawa
seandainya hak lebih 600,000 orang pengundi baru tidak dinafikan dalm
pilihanraya kali ini, maka sudah pasti kerajaan UMNO/BN sudah
ditalkinkan. Namun, perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan.

2000 : Pilihanraya kecil di Lunas pada akhir tahun 2000
menyaksikan kemenangan calon Keadilan, Saifuddin Nasution dengam
majoriti yang agak selesa. Oleh kerana pengundi Lunas kebanyakannya
bukan terdiri dari orang Melayu, maka senario ini harus dilihat
sebagai sokongan orang bukan Melayu kepada pembangkang. Oleh yang
demikian, seharusnya PAS melihat ini sebagai peluang terbaik untuk
menjatuhkan kerajaan UMNO/BN pada pilihanraya yang akan datang.

Ulasan :Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa pemecatan Anwar
Ibrahim adalah merupakan pencetus kepada kebangkitan rakyat di
Malaysia. Walapun pemecatan itu bukanlah satu-satunya faktor, tetapi
ia tetap merupakan faktor utama. Rakyat kembali memperkatakan soal
keadilan, ketelusan dan kejujuran pemimpin. Isu rasuah, kronisme dan
lain-lain diperkatakan dengan hebatnya oleh pembangkang termasuklah
PAS.

Melihat dari konteks PAS, jika sebelum ini, isu yang diutarakan ialah
soal perjuangan dan negara Islam, maka pada hari ini, PAS lebih
banyak memperkatakan isu-isu nasional dan cuba untuk tidak
memperlihatkan perbezaan ideologi dengan rakan-rakan pembangkang yang
lain. Ini tidak sukar bagi PAS kerana sedikit demi sedikit PAS sudah
mula dikenali sebagai parti intelektual ekoran penyertaan beramai-
ramai ahli akademik ke dalam PAS. Imej kampung, kolot dan konservatif
sebelum ini boleh dikatakan telah tiada dalam PAS.

Namun, adakah dalam masa yang sama, PAS sudah mula melupakan aliran
pemikiran Sayyid Qutb yang dijunjungnya dengan begitu kuat sebelum
ini? Tentu sekali tidak Melihat kepada corak kepimpinan dan
organisasi PAS, maka sama sekali tidak boleh dikatakan bahawa PAS
sudah mula meninggalkan ideologinya sebagai sebuah jemaah Islam.
Namun, usia setengah abad telah mematangkan PAS agar sentiasa berhati-
hati.

Sesungguhnya hari ini, PAS berada dalam kedudukannya yang paling
selesa untuk membentuk kerajaan selepas ini. Namun, satu persoalan
yag harus dijawab. Adakah sokongan rakyat kepada pembangkang
khususnya PAS ialah kerana rakyat menerima konsep perjuangan Islam
atau hanya sekadar sebagai satu alternatif kepada UMNO/BN? Bagi saya,
PAS sebenarnya masih gagal untuk menyajikan ideologi perjuangan
Islamnya dengan baik. Oleh yang demikian, sokongan rakyat yang
meningkat pada hari ini bukanlah satu bukti bahawa ideologi PAS mula
diterima. Ia sebenarnya tidak lebih dari manifestasi kebencian rakyat
kepada UMNO/BN. Kebencian rakyat ini diterjemahkan dalam bentuk
sokongan kepada pembangkang khususnya PAS. Dalam erti kata lain, jika
hanya kerana ideologi Islam yang ada pada PAS, sebenarnya PAS masih
tidak berjaya sekalipun tidak gagal seratus peratus.

Ya, kedudukan UMNO/BN sudah tidak selamat, namun adakah itu secara
automatik merupakan janji selesa kepada perjuangan Islam? Bersediakah
sebenarnya PAS khususnya menangani kemenangan dengan sebaik mungkin?





Peranan seterusnya generasi tunas bagi memastikan kemenangan sebenar
Islam
Sesungguhnya perjuangan Islam pasti akan memperolehi kemenangan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

Hari Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah para muslimin memerangi
orang Yahudi. Para muslimin memerangi mereka menyebabkan orang Yahudi
bersembunyi di belakang batu dan pokok. Maka batu atau pokok berkata:
Wahai para muslimin! Wahai hamba Allah! Ada Yahudi di belakangku.
Datanglah ke sini dan bunuhlah dia melainkan pokok yang berduri,
kerana pokok itu adalah di atara pokok kaum Yahudi . (Hadis riwayat
Bukhari, Muslim & Ahmad)



Namun, adakah kemenangan Islam itu akan diberikan seperti mana
turunnya hujan? Adakah Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada
perjuangan Islam secara percuma? Tentu sekali tidak.[8] Allah SWT
berfirman yang bermaksud :

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum
lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang
berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi)
nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam
perjuangan)?[9]



Dalam konteks Malaysia, generasi tunas khususnya mereka yang
mempunyai kesedaran agama yang tinggi seharusnya memainkan peranan
yang penting bagi memastikan kemenangan kepada Islam bukan sahaja di
Malaysia malah di seluruh dunia. Ini kerana seandainya kita menerima
tanggapan bahawa kemenangan Islam sudah semakin hampir di Malaysia,
maka tidak dapat tidak yang akan menangani dan mengisi kemenangan
tersebut ialah generasi muda yang ada pada hari ini. Adalah menjadi
satu kepincangan yang maha hebat seandainya kemenangan yang
dianugerahkan oleh Allah hanya menyebabkan pejuang-pejuang Islam
lalai untuk terus berjuang. Sesungguhnya kita tidak mahu saat-saat
kemenangan yang paling berharga dicemari dengan `tragedi Uhud yang
kedua'. Akhirnya, kemenangan yang diberikan tidak lebih hanyalah
merupakan penghinaan daripada Allah SWT.

Hari ini, generasi pemuda harus bersedia dengan seribu kemungkinan.
Cabaran di hadapan terlalu hebat untuk dihadapi. Dunia tanpa
pesempadanan menguji sejauh mana kekentalan semangat generasi tunas
megharungi dugaan hidup untuk muncul sebagai tentera Allah. Generasi
tunas hari ini seharusnya :

? Mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam
pelbagai bidang[10].

? Mengasuh dan mendidik jiwa agar boleh beristiqomah dengan
perjuangan Islam. Sesungguhnya sudah ramai bersemangat untuk berjuang
sebelum ini akhirnya gagal di tengah jalan apabila bertemu dengan
dugaan dan cabaran yang berupa penderitaan. Seandainya generasi
tunas hanya mampu bersemangat untuk waktu yang sementara dan layu di
tengah jalan, maka kita akan melihat perjuangan Islam akan terus
berada dalam perjalanan yang sukar. Memetik kata Said Zahari (tahanan
poltik tanpa bicara selama 17 tahun) dalam bukunya, Meniti Lautan
Gelora : "Saya tidak pernah menangis dan tidak akan menangis hanya
kerana saya ditahan".[11]

? Mempelajari teknik-teknik dakwah yang terbaik. Segala macam
bentuk dakwah Islam perlu didalami sebaik mungkin. Konsep tarhib wa
targhib dan dakwah bilhikmah perlulah sentiasa dijadikan panduan
kepada para pejuang khususnya generasi tunas. Ini penting bagi
memastikan masyarakat memahami konsep penjuangan Islam yang sebenar.
Seterusnya, masyarakat akan memilih Islam kerana merasakan bahawa
Islam adalah merupakan plihan yang terbaik bukan didorong oleh
kebencian terhadap sistem yang ada paad hari ini.

? Generasi tunas haruslah sentiasa menyedari bahawa hidup dan
mati mereka hanyalah untuk Islam. Setiap langkah yang dibuat haruslah
disertakan bersama keikhlasan kepada Allah. Ini kerana merupakan aib
yang terlalu besar seandainya mereka yang mengaku sebagai pejuang
Islam namun perjuangan yang didokong masih terpalit dengan niat
duniawi.



Penutup
Sesungguhnya perjuangan Islam di Malaysia khususnya melalui politik
telah melalui ranjau-ranjaunya yang tidak sedikit. Walaupun sering
mengalami kekalahan, namun kekentalan para pendokong menjadikan PAS
semakin matang menghadapi pelbagai cabaran. Oleh kerana kita melihat
bahawa tahun-tahun kebelakangan ini, sokongan rakyat begitu mendadak
meningkat, maka seharusnya langkah-langkah bagaimana untuk menangani
kemenangan dibincangkan sejak daripada awal lagi. Perlu diingatkan,
kemenangan kadang kala merupakan satu anugerah namun kebanyakannya
lebih kepada ujian.

Manakala generasi tunas pua harus sentiasa bersiap sedia untuk tampil
ke hadapan mendepani cabaran-cabaran yang akan mendatang. Islam pasti
akan bangkit semula sebelum berlakunya kiamat dan sudah pasti
generasi tunas pada hari ini perlu bersiap sedia ke arah itu.

Semoga Allah memberkati setiap usaha kita dalam memperjuangkan
kalimahNya di muka bumi ini. Amin Ya rabbal `alamin.

AHMAD FADHLI SHAARI adalah siswa tahun 1, Jabatan Dakwah Wal Qiadah,
KIAS.



ADAPTION BY:
MELI, 29.1.2004, KHAMIS, 8.59PM