DEMOKRASI DI MALAYSIA
OLEH :

MELI


DEMOKRASI TERPIMPIN
 

 

Saya mengambil kesempatan ini untuk menulis dan mengajak semua pembaca sama-sama  berfikir bagaimana cara  mewujudkan satu sistem amalan demokrasi yang terbaik bagi negara kita yang tercinta ini, di asmaping kita dapat mengekalkan keamanan dan kesejahteraan yang kita semua nikmati sekarang ini. Sekarang ini, kita semua di bawah sistem demokrasi terpimpin yang dilaksanakan oleh UMNO. Semua kita terpaksa menurut apa saja yang ditetapkan oleh UMNO tanpa memperlihatkan tolerensi berpolitik. Demokrasi UMNO banyak mengcengkam kebebasan Hak Asasi Manusia untuk mengeluarkan pendapat, berhimpun secara aman dan bertukar-tukar pendapat, walaupun pendapat yang datang itu tidak sesuai atau tidak gemar kita untuk mendengarnya.
 
Dalam penulisan saya  ini, pertama saya mengajak saudara-saudara berfikir dan merujuk kepada kenyataan-kenyataan yang pernah sedikit masa dulu dikeluarkan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Pengerusi SPR yang disiarkan oleh media massa arus perdana, baik media cetak maupun media elektronik khususnya temubual yang disiarkan oleh Malaysiakini.com.
 
Kedua, saya mengajak juga saudara-saudara pembaca budiman supaya berfikir dasar yang dilaksanakan oleh UMNO dalam usaha menyekat kemaraan pembangkang khususnya parti PAS dan parti Keadilan Rakyat [ Keadilan ]. Dasar yang saya maksudkan ialah dasar "keliru dan kawal"  sepertimana yang diucapkan oleh Presiden PAS YAB Dato' Seri Tuan Guru Tuan Haji Abdul Hadi Awang yang juga merupakan MB Terangganu dalam ucapan dasar beliau di Muktamar PAS Ke 49 yang telah diadakan pada 11 hingga 14 September 2003 yang lalu.
 
Pertama, kenyataan Rashid mengenai SPR akan memperkenalkan Kod Etika Pilihan Raya dan telah dibentangkan dan diluluskan oleh Parlimen pada Oktober yang lalu dan beliau telah pun memberitahu bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan parti-parti pembangkang untuk mendapat input bagi menambah-baik kod etika yang diluluskan itu.
 
Antara yang diluluskan itu ialah; media massa terutama milik kerajaan tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya oleh kerajaan sementara menghentam parti-parti pembangkang siang malam 24 jam seperti yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum 1999 yang lalu. Pada pilihan raya itu, RTM khususnya telah digunakan secukup-cukupnya oleh UMNO/BN. Buka saja tv kita telah dihidangkan dengan iklan-iklan yang semuanya menyokong UMNO/BN dan memburuk-burukkan pembangkang parti-parti PAS, Keadilan, DAP dan PRM dalam gabungan yang dinamakan Barisan Alternatif [BA], tanpa memberi peluang langsung kepada pakatan pembangkang untuk menjawab tomahan-tomahan yang dilemparkan kepada mereka.
 
Satu iklan yang masih saya ingati dan mungkin ramai dari pembaca mengingatnya ialah satu iklan menunjukkan Malaysia bersatu padu dan maju dengan berlatar-belakangkan Frank Sinatra mendendangkan lagu "My Way" dan program-program dokumentari yang menagung-agungkan kejayaan UMNO/BN. Stesen-stesen radio pula dengan pesanan "Undilah BN" setiap kali siaran-siaran radio ini menemui pendengar. Tidak ketinggalan juga akhbar-akhbar turut memainkan peranan membantu UMNO/BN dengan mempaparkan iklan-iklan menyokong UMNO/BN secara penuh muka. Iklan-iklan ini juga memuatkan dengan jelas gambar-gambar demontrasi pro-Anwar dengan tajuk-tajuk seperti "jangan biarkan keganasan berkuasa". Mesejnya adalah jelas untuk mewujudkan "budaya panik" untuk menakutkan rakyat supaya terus memberi undi kepada UMNO/BN.
 

 

Semua komentar, analisis, berita, drama dan pelbagai cara lagi digunakan menjurus berkempen untuk UMNO/BN sehingga kadang-kadang iklan yang disiarkan itu melanggar kod etika kewartawanan dan menyerang peribadi tokoh-tokoh tertentu bukan terbatas soal perbezaan kefahaman politik. Contohnya, satu iklan yang disiarkan di tv berulang-kali yang menggambarkan pertentangan pendapat di antara Dato' Mohd. Fadzil Noor (Allahyarham) dengan Lim Kit Siang berhubung dengan penubuhan Negara Islam yang merupakan matlamat perjuangan PAS sehingga menyebabkan Anwar Ibrahim [tidak mengambil bahagian pun dalam pilihan raya itu dan duduk dalam penjara Sungai Buluh] pening kepala. Iklan ini pada orang-orang Melayu Islam yang beriman kepada Allah benar-benar menghina kesucian Islam itu sendiri kerena memperlecehkan undang-undang yang ada yang terkandung dalam Al-Quran mengenai penubuhan sebuah Negara Islam.
 
Malah UMNO/BN sanggup memutar-belitkan dialog wawancara Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dengan CNN, disunting begitu rupa sehingga mimik muka dan mimik bibir Wan Azizah bersuara berbeza. Mahathir marah Wan Azizah berkempen mengunakan anak-anaknya minta simpati rakyat, tetapi Siti Hasmah Mohd.Ali berkempen di tv dalam tempoh 24 jam sebelum mengundi, 3 kali diulang-tayang.
 
Selain daripada kawalan terhadap media massa, SPR akan juga mencadangkan dalam kod etika itu ialah penubuhan satu Pasukan Pemantauan yang tugasnya membuat pemantauan supaya pilihan raya yang dilaksanakan itu mengikut undang-undang dan yang lebih penting daripada itu ialah mengikut lunas-lunas demokrasi yang diterima oleh masyarakat antarabangsa, di samping itu pasukan ini juga akan menerima bantahan atau keterangan yang dilaporkan oleh mana-mana parti politik yang bertanding yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu. Cadangan lain, tidak boleh berkempen mengunakan jentera kerajaan, kawalan penggunaan kewangan berlebihan, peraturan media, membenarkan parti-parti politik mengadakan rapat umum dan lain-lain cadangan yang sangat elok kalau kedua-dua belah pihak, parti pemerintah dan pembangkang mematuhi kod etika ini untuk kebaikan negara dan rakyat keseluruhannya.
 
Soalnya sekarang ialah, adakah UMNO/BN akan mematuhi kod etika yang sangat baik ini? Cadangan untuk membenarkan parti-parti politik mengadakan rapat umum setelah mendapat kebenaran pihak polis telah pun mendapat sergahan dari Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sekembali beliau dari Cina dan matan PM ke 4 ketika itu, inikan pula cadangan-cadangan yang boleh merugikan UMNO/BN yang telah menjadi amalan dan sebati dengan jiwa raganya sejak dari turun-menurun lagi. Ini letak masalah utamanya. Bagaimana kita hendak merungkai ikatan ini yang sudah menjadi " ikatan mati ".
 
UMNO sebuah parti politik yang tidak mahu kalah dalam sebarang pertandingan yang berlaku yang dia masuk bertanding. Saya dan mungkin pembaca-pembaca yang lain juga turut merasa hairan bagaimana apabila kita turun ke tengah padang untuk satu pertandingan bola sepak contohnya, kita tidak mahu kalah. Kita hendak menang saja. Adat permainan ada kalah-menangnya. Hari ini kita kalah, esok kita menang. Ini adalah telah ditetapkan oleh Allah. Telah menjadi sunnahtullah. Hidup-mati, semuanya berpasang-pasangan. UMNO tidak selamanya akan berkuasa. Motonya yang diciptanya tidak betul, dulu, kini dan selama-lamanya. Ingatlah semua kuasa yang memerintah dunia hari ini satu demi satu hancur dan berkecai ditelan masa dan Allah mengambil orang lain untuk memerintah. Begitu juga dengan UMNO sampai masanya, dia akan kembali juga, orang lain pula sebagai ganti. Zaman Suharto sudah hilang ditelan zaman, begitu juga dengan zaman Marcos, Shah Iran dan sejarah-sejarah lama yang tercatat dalam Al-Quran.
 
Inilah masalah yang diluahkan oleh Rashid dalam temubual dengan Malaysiakini.com yang beliau menyebut bahawa beliau bertugas tidak bebas tangannya terikat dan tolerensi SPR bergantung kepada tolerensi kerajaan yang memerintah. Kita fahami perasaan Rashid. Rashid orang yang paling berpengalaman dalam SPR dan dalam hal ehwal pilihan raya di Malaysia. Begitu juga kita memahami peranan pasukan polis yang menjalankan tugas penuh tanggungjawab dan amanah dan begitu juga dengan badan kehakiman bertugas secara adil dan saksama, tetapi apabila bertembung dengan kepentingan politik UMNO ia mula menjadi tempang.
 
DASAR  KELIRU

 

Perkara kedua yang saya akan sentuh merujuk kepada ucapan dasar yang telah disampaikan Haji Hadi di Muktamar yang lalu di Taman Melewar. 
Saya tertarik dengan ucapan beliau terhadap usaha-usaha UMNO untuk terus mengekalkan kuasa memerintah Malaysia ini dengan melaksanakan dasar ”keliru dan kawal”. Istilah ini baru diketengahkan oleh beliau kepada rakyat Malaysia untuk memikirkannya. Istilah yang popular yang dengar ialah “divide and rule” atau dalam Bahasa Melayunya disebut sebagai ”pecah dan perintah”.
 
Dasar pecah dan perintah ini sangat popular dilaksanakan ketika kita dijajah oleh Inggeris. Inggeris mengasingkan kaum-kaum yang terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India mengikut kawasan dan pekerjaan. Kaum Melayu di luar-luar bandar menjalankan kegiatan pertanian dan nelayan, kaum India di estet-estet bekerja sebagai penoreh getah dan kaum Cina di bandar-bandar menjalankan kegiatan perniagaan di samping ada sesetengahnya tinggal di lombong-lombong bekerja sebagai pelombong bijih timah yang terdapat ketika itu di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
 
Inggeris melaksanakan dasar pengasingan ini bertujuan untuk membolehkannya menguasai pemikiran dan tindak-tanduk kaum-kaum ini supaya mereka tidak dapat bertemu dan bergaul mesra yang boleh membentuk satu kesepakatan menentang kehadiran Inggeris di sini. Ini merupakan satu ancaman kepada Inggeris. Oleh itu dasar ini menjadi satu senjata yang ampuh untuk menumpulkan penentangan kaum-kaum ini demi kepentingan politik dan ekonomi Inggeris di sini ketika itu.
 
Apabila Inggeris telah kembali ke tanah air mereka dan Malaysia telah diberi kemerdekaan, maka dasar pecah dan perintah ini terus dilaksanakan oleh UMNO untuk terus menguasai pemikiran dan tindak-tanduk rakyat supaya rakyat terus dikongkong dan dibelenggu pemikiran rakyat supaya rakyat  terus menerus menyokong UMNO bagi mengekalkan kuasa memerintah seperti mana yang dilaksanakan oleh Inggeris dahulu.
 
Sebab itu UMNO mahu sedaya yang boleh rakyat terus berada dalam kegelapan [maksudnya menerima pakai saja maklumat yang disalurkan dan disumbatkan setiap hari dan detik dalam kehidupan harian rakyat, tidak boleh sama sekali ada maklumat lain selain daripada UMNO, atau kita sebut sekarang pandangan kedua. Pantang datuk nenek bagi UMNO] dan rakyat khususnya orang Melayu senantiasa berada dalam kemiskinan. Dengan kemiskinan ini senanglah bagi UMNO untuk memperalatkan mereka ini terutama ketika pilihan raya memberi undi kepada UMNO, kalau tidak dengan ugutan bantuan atau kemudahan yang diterima akan ditarik balik.
 
Di zaman UMNO memerintah ini terutama ketika Mahathir memerintah selama 22 tahun ditambah lagi satu dasar seperti mana yang disebut oleh Haji Hadi iaitu dasar ”keliru dan kawal”. Dasar ini nampaknya terus mencengkam kebebasan kehidupan rakyat dalam konteks kebebasan Hak Asasi Manusia yang digarapkan dalam Islam dan juga PBB juga turut prihatin dalam isu ini sehingga memaksa Malaysia menubuhkan SUHAKAM bagi memenuhi piagam PBB yang dipersetujui oleh semua negara di dunia ini.
 
Kita bersetuju dengan sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa kebebasan yang terlalu luas akan merosakkan negara kita yang sedang membangun ini, tetapi kebebasan macam mana yang kita harapkan? Kebebasan bersuara, kebebasan memberi pendapat, kebebasan mendapat maklumat daripada kedua-dua belah pihak dan kebebasan mengadakan perhimpunan secara aman dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh undang-undang dan Perlembagaan supaya sama-sama kita menjaga keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati. Semua kita tidak mahu negara ini jadi kacau-bilau yang merugikan semua pihak.
 
Dalam Islam sendiri pun ada batas dan sempadan yang mana boleh dan yang tidak boleh seperti mana yang terkandung dalam Al-Quran dan hadis. Kita tidak tuntut kebebasan seperti yang diamalkan di barat yang tidak mempedulikan agama dan moral.
 
Dalam penulisan ini saya akan cuba memberi beberapa contoh penting, bagaimana dasar ini dilaksanakan di Malaysia yang dianggap sebuah negara demokrasi contoh bagi negara-negara dunia ketiga mengikutinya. Harapan saya ialah semua pembaca dapat memahami dan mencari jalan bagaimana dasar ini dapat diperbetulkan.
 
Pertama dasar ”keliru”. Peranan ini dimainkan oleh media massa, baik media cetak mahupun media elektronik. Kedua-dua media ini dikawal ketat oleh UMNO. Semua media-media ini dimiliki oleh parti-parti politik yang bergabung dalam BN yang memerintah negara ini. Manakala eksekutif dan wartawan kanan merupakan orang suruhan ahli-ahli politik, umpamanya sewaktu perhimpunan agung parti atau pilihan raya umum, sifat dan etika kewartawanan diketepikan dengan sewenang-wenangnya seperti yang saya sebut dalam Bahagian 1 yang lepas. Pada waktu itu, para wartawan dan staf akan ditugaskan menulis rencana-rencana yang menyokong UMNO/BN dan memburuk-burukkan pihak pembangkang. Slantnya terlebih dahulu ditentukan oleh pihak berwibawa di media tersebut. Sifat semula jadi media-media ini secara terancang memutar-belitkan fakta dan isu menganalisis dan mempersembahkan berita berbau konspirasi dan propaganda untuk kepentingan UMNO. Ini yang disebut oleh Haji Hadi sebagai ”keliru”.
 
Misalnya di awal Reformasi tercetus gara-gara Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatannya pada 2 September 1998, satu laporan dari Utusan Malaysia pada 20 Oktober 1998 menyiarkan laporan yang menghina, memfitnah, mengaib dan menjatuhkan maruah wanita-wanita yang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan pintu besar Istana Negara memohon campur tangan Yang DiPertuan Agong mengatasi krisis yang berlaku itu, yang pada penglihatan wanita-wanita ini tindakan yang diambil oleh UMNO ke atas Anwar dilihat secara tidak adil dan zalim dan mereka memprotesnya. Utusan melaporkan bahawa mereka ini adalah pelacur-pelacur yang di bawa khas dari Ipoh, Pulau Pinang, Seremban dan Melaka oleh NGO-NGO dan mereka diupah antara RM50.00-60.00 setiap seorang, suruh berpakaian sopan pada hari itu untuk menyokong Anwar. Berita ini dinafikan oleh Dato' Kamarudin Ali yang ketika sebagai Ketua Polis KL yang menyatakan tidak ada bukti wanita-wanita itu adalah pelacur [UM, 21.10.1998]. Salah seorang peserta tunjuk perasaan itu ialah Puan Ainon Mohamad isteri kepada Prof. Abdullah Hassan seorang pensyarah di UM dan Ainon itu pula seorang konsultan dalam bidang kreatif dan pemikiran lateral. Apa motif UM menyiarkan laporan seperti itu, pembaca-pembaca tentu mempunyai jawapan tersendiri.
 
Begitu juga apabila YAB Dato' Nik Aziz Nik Mat, MB Kelantan untuk menguji kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah dari UUM sama ada suai atau tidak untuk melaksanakan jadual waktu kerja anjal terutama shif malam bagi wanita-wanita bagi membolehkan mereka menumpukan banyak waktu untuk keluarga di rumah, tetapi UM dan Berita Harian memutar-belitkan fakta dengan menemu ramah orang ramai daripada pelbagai golongan masyarakat mengatakan Nik Aziz menentang wanita Islam bekerja dan sewajarnya mereka duduk di rumah menjaga anak dan suami. Rakyat bertambah keliru lagi apabila Mahathir bercakap secara langsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada 23 April 1999 menyindir dan memperlecehkan Nik Aziz atas kenyataannya itu. Media-media ini terlupa apabila Mahathir sendiri pada tahun 1981 dalam satu majlis sambutan Hari Wanita menyatakan untuk menyeimbangkan peranan wanita dalam pembangunan negara di antara tugas dan tanggungjawab wanita ialah keluarga selaras dengan Konsep Keluarga Penyayang.
 
Contoh lain, UM pada 23 hingga 26 Julai 1999 telah membuat tafsiran yang mengelirukan berhubung dengan doa Nik Aziz di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV pada 1 Mei 1999 yang memohon pertolongan Allah membutakan mata pengundi-pengundi supaya mereka tidak nampak lain selain bulan cerah sahaja. Mereka mentafsir perkataan buta itu sebagai buta penglihatan, tetapi tafsiran sebenarnya ialah memohon kepada Allah supaya tutup mata hati pengundi daripada mengundi parti lain selain dari parti PAS. Nik Aziz mengambil teladan dari doa nabi ketika hendak keluar berhijrah ke Madinah dari kepungan orang-orang kafir Mekah. Doa Nabi memohon bukan membutakan orang-orang kafir itu, tetapi maksudnya ialah Baginda memohon kepada Allah supaya dipermudahkan urusannya dan ditutup mata hati orang kafir dari terus mengganggu perjalanannya. Kalau buta sungguh seperti yang difahami oleh media ini, lambang bulan pun mereka tidak nampak macam mana hendak memangkah PAS.
 
Begitu juga yang terjadi kepada Haji Hadi, isu syaitan bisu telah disalah-tafsirkan. Media tafsir kata Haji Hadi tuju kepada pasukan polis yang menjadi syaitan bisu. Sebenarnya Haji Hadi tujukan kepada ulama-ulama UMNO yang diam membisu apabila Nabi dan sunnah dihina dan Islam diperlekehkan. Temu ramah semua orang tanpa mengira itu sesuai atau tidak bercakap mengenai agama. Sebab itu orang di kaki lima pun disuruh bercakap di hadapan kamera TV. Isu liwat suami ke atas isteri juga turut dijadikan isu untuk mengelirukan orang ramai sehinggakan Mahathir sanggup memasukkan ke dalam teks ucapan hari kemerdekaan untuk menghentam hudud kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan luluskan.
 
Banyak lagi contoh yang kita boleh ambil daripada media-media ini yang peranan untuk mengelirukan pemikiran rakyat supaya rakyat takut dan membenci PAS dan seterus PAS akan kehilangan penyokong. Misalnya isu klip video Memali yang disiarkan di TV1 dari awal Mac 2002 hingga 2 April 2002 [hampir 2 bulan], isu Amanat Haji Hadi mulai 1 April 2001 hingga 1 Mei 2001 [1 bulan] dan RTM 1 dan 2 pada 21 Disember 2001 telah menyiarkan sebuah rencana 90 minit menggambarkan PAS/BA sebagai Taliban Malaysia ketika waktu itu di ambang pilihan raya kecil Indera Kayangan, di Perlis.
 

DASAR  KAWAL

 

Dasar “ kawal “ yang dilaksanakan oleh UMNO,  saya akan memberi kupasan dan bentuk contoh-contoh mengambarkan bagaimana UMNO melaksanakan pula dasar ”kawal” bagi tujuan melemahkan parti-parti pembangkang terutamanya PAS dan Keadilan yang menjadi saingan sengit dan musuh ketatnya.

Dasar ”kawal” ini dilaksanakan oleh UMNO ini melalui dua cara. Pertama, pasukan polis telah digunakan dan gerakkan sepenuhnya bagi menghalang aktiviti-aktiviti pembangkang iaitu PAS.  Pas mempunyai pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli yang ramai yang komited dan konsisten dengan matlamat perjuangan PAS, disamping itu PAS juga mempunyai jaringan [networking] dan markas-markasnya yang tersusun terletak di seluruh pelosok negara di tanah-tanah persendirian yang diwakafkan dan ada yang dibeli sendiri oleh PAS. Tanah-tanah tersebut didirikan bangunan-bangunan yang panggil markas untuk menjalankan aktiviti-akitiviti parti. UMNO kalah dalam hal-hal pengurusan seperti ini. UMNO mengharapkan harta kerajaan semata-mata seperti balai-balai raya, bangunan-bangunan dan sekolah-sekolah untuknya bergerak, tanpa ini semua, UMNO akan mati.

Pasukan Polis yang sepatutnya menjaga keamanan telah bertukar wajah menjadi penjaga survival UMNO. Pasukan polis kita tergolong pasukan yang cekap dalam menjalankan tugas di kalangan pasukan-pasukan polis di dunia, tetapi sayangnya ia telah dicemari oleh UMNO. Suailah dalam satu kartun Zunar menggambarkan seorang perogol dan perompak memberitahu mangsanya pasukan polis sekarang tiada kerana sedang berkawal menjaga ceramah Mat Sabu. Sinisnya kartun ini ialah pasukan polis sekarang bukan lagi bertugas menjaga keamanan, tetapi sebaliknya bertugas dan mengawal ceramah PAS.

 

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa PAS dan parti-parti pembangkang yang lain tidak ada media lain selain mengadakan ceramah-ceramah di seluruh negara untuk menerangkan kepada rakyat matlamat perjuangan parti masing-masing dan mendedahkan keburukan, kepincangan, penyelewengan dan menyalahguna kuasa oleh parti pemerintah. Ini bukan merupakan tindakan yang salah dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi selagi ianya mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Amalan ini biasanya dilakukan oleh semua negara demokrasi di dunia, kecuali negara-negara yang perintah oleh rejim diktator dan komunis. Menceritakan keburukan kerajaan kepada rakyat menjadi tanggungjawab pembangkang. Itu tugas asas pembangkang mencari kelemahan kerajaan dan kerajaan yang sedar tentang kelemahannya wajib memperbaikinya. Bagi rakyat pula akan berfikir secara matang tanpa ugutan dan ancaman serta merasa takut parti mana yang mereka hendak dipilih menjadi kerajaan menggantikan parti yang tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkannya. Baru ada ”check and balance” dalam sistem demokrasi yang wajib diamalkan.

 

UMNO tidak menjadikannya sebagai amalan kerana takut segala penyalahgunaan kuasa dan pelbagai penyelewengan yang dilakukannya diketahui oleh rakyat dan rakyat yang sedar tentang perkara ini akan bangun menentangnya dan UMNO akan kehilangan kuasa. Sifirnya mudah. Oleh itu, pasukan polis digunakan sebagai perisai untuk menahan kemaraan PAS dan BA.

 

PAS dan Keadilan bekerjasama rapat telah mengadakan road show  di seluruh negara mendedahkan kepincangan-kepincangan yang telah dilakukan oleh UMNO. Sambutan rakyat amat menggalakkan, kadang-kadang menjangkau puluhan ribu dan malahan pernah mencapai angka ratusan ribu seperti yang berlaku pada 5 November 2000 di majlis anjuran parti Keadilan di Kebun Bunga, Kelang. Pasukan polis bertindak menghalang perhimpunan ini secara kekerasan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang berkilo meter di Lebuh Raya Kesas. Semua pemimpin tertinggi BA ketika itu hadir untuk jamuan hari raya anjuran Keadilan itu. Tindakan ganas polis ini telah mendapat teguran dari pihak SUHAKAM dan pihak kerajaan yang UMNO sebagai tunjangnya membisu seribu bahasa.

 

Begitu juga pasukan polis mengambil tindakan kekerasan ketika menyuraikan ceramah PAS di Kampung Malau, Jitra, Kedah pada 14 Februari 2001, ceramah Haji Hadi dan Mat Sabu di Sabak Bernam, Selangor pada 17 Februari 2001. Pada 11 April 2002, pasukan polis menghalang ceramah PAS di markas Kubang Rotan, Kedah.

 

Ada satu peristiwa yang menjadi kontroversi di peringkat negara sehingga kini tidak terjawab. Peristiwa pasukan FRU, PGA, SB dan polis trafik mengepung kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit di sekeliling kawasan ceramah menggempur kawasan itu dengan melepaskan gas pemedih mata, mengejar, menangkap dan malah ada yang kena pukul bertempiaran lari, kanak-kanak menangis terkena gas pemedih mata dan Nik Aziz MB Kelantan dibawa lari dengan motosikal dari kepungan polis meredah sungai dan belukar di tengah malam buta dalam kesejukan dini hari.

 

Bayangkan betapa hapraknya UMNO, seorang MB diperlakukan sebegitu rupa, hendak berucap saja dan hendak bertemu mata dengan rakyat, bukan menghasut rakyat berarak menentang UMNO secara kekerasan. Dalam peristiwa itu sebuah trak polis buruk terbakar dan seorang pegawai polis bernama Supt. Hassan Ismail, OCPD Baling mendakwa beliau dilontar plastik berisi cuka getah menyebabkan badannya terasa gatal-gatal. Allahyarham Dato' Mohd. Fadzil Noor dengan beberapa pemimpin PAS kedah telah membuat laporan polis dan sehingga kini tidak ketahui kedudukan perkara sebenar.

 

Kalau hendak disenaraikan di sini satu persatu peristiwa pasukan polis bertindak menghalang PAS mengadakan ceramah walaupun diadakan di premisnya sendiri [mengikut undang-undang tidak perlu kepada permit] rasanya tidak cukup waktu, memadai saya mencatatkan di sini mengikut rekod mulai 1 Julai 2001 tarikh ceramah diharamkan sehingga 25 Ogos 2001 di Johor sahaja [tidak termasuk di Melaka yang mana Ketua Menterinya amat membenci PAS, NS dan Selangor, Kedah, Perlis dan Pahang] di negeri yang UMNO paling kuat, seramai 147 orang ditangkap dan didakwa di mahkamah.

 

Di Terengganu dan di Kelantan, negeri yang diperintah oleh PAS pun pasukan polis turut menghalangnya. Satu peristiwa yang menggelikan hati, apabila pihak menganjur ceramah di Terengganu menukarkan tempat ceramah sehingga mengelirukan pihak polis mengawal di padang yang tidak ada ceramah. Begitu sekali sikap pasukan polis terhadap ceramah-ceramah PAS.

 

Apa yang mendukacitakan saya dan ramai pembaca lagi ialah kes yang agak terbaru di mana Haji Hadi, Nik Aziz dan lain-lain pemimpin kanan PAS dibuat macam anjing kurap dihalau tidak dibenarkan berucap oleh pasukan polis dalam Majlis Makan Malam Sempena Gagasan Selatan yang diadakan di Lot 1476 Kampung Ismail Ampangan, Negeri Sembilan pada malam 31 Ogos 2003 sempena hari Kemerdekaan ke-46.

 

Satu lagi peristiwa yang juga turut menimpa Haji Hadi ialah yang berlaku pada 7 September 2003 di markas PAS Kampung Chempaka Lancang, Temerloh, Pahang. Pasukan polis telah mengepung kawasan itu dengan mengadakan sekatan jalan raya dari semua arah yang menuju ke kawasan tersebut. Ini adalah majlis taklimat dalaman parti dan majlis perasmian yang dilakukan oleh pemimpin tertinggi PAS yang juga seorang MB yang sah yang memerintah sebuah negeri yang berdaulat, seperti juga dengan MB-MB yang lain. Sama taraf dan sama kedudukan. Haji Hadi dibenarkan berucap 30 minit.

 

Hati saya sedih mengenangkan peristiwa-peristiwa ini kerana ini  adalah program politik yang dianjurkan oleh PAS sebuah parti yang berdaftar secara sah dan mempunyai ahli berdaftar lebih dari 1 juta orang sekarang ini. Segenap kampung dan lorong ada cawangan PAS dan PAS berjalan di atas landasan undang-undang dan Perlembagaan. Bukan pertubuhan haram.

 

Pada masa yang sama pihak pasukan polis boleh membenarkan UMNO mengadakan pelbagai aktiviti seperti yang dilakukan oleh Pemudanya yang menganjurkan menunggang motosikal menjelajah seluruh negara untuk kempen menambah ahli. Masuk dan mencampuri urusan ITPA-IPTA. Mengadakan program politik di Masjid Ar-Ridhuan, Batu 7 1/2 Jalan Hulu Kelang pada 26 Ogos 2003. Mananya pengertian sebenar demokrasi seperti yang dilaung-laungkan itu. Ini yang dimaksudkan oleh Haji Hadi makna ”kawal”. Kawal daripada menyampaikan pandangan kedua dan bertemu dengan rakyat untuk menyampaikan mesej.

 

Cara kedua dalam dasar ”kawal” ini juga ialah tindakan melalui undang-undang. Kita semua tahu di negara kita mempunyai pelbagai undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat. Di antaranya ialah ISA yang diperkenalkan oleh Inggeris ketika darurat berlaku pad tahun-tahun 60an dulu, kini ia terus digunakan dan beberapa kali diubahsuai dan dipinda untuk lebih berbisa. Atas alasan yang paling rapuh,  pihak polis boleh menahan sesiapa sahaja tanpa memerlukan bukti cukup dengan hanya memberi alasan ”mengancam keselamatan negara”. Ancaman ini sebenarnya kepada UMNO dan bukan kepada negara yang telah pun dibuktikan oleh keputusan penghakiman oleh Mahkamah Persekutuan pada 6 September 2002 yang mana 6 Reformist [Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Dr. Badrolamin Baharom, Hishamudin Rais, Lokman Adam dan Shaari Sungib] sebulat suara bersetuju penahanan mereka ini dalam tempoh 60 hari tidak mengikut undang-undang dan pihak polis dipersalahkan. Tujuan penahanan mereka adalah untuk melemahkan dan mematikan perjuangan parti Keadilan.

 

Kita juga ada Akta Polis 1967 [Akta 344], kita juga ada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang mengawal semua penerbitan bercetak. Sebarang penerbitan dikehendaki mendapatkan permit dari KDN dan terpaksa diperbaharui setiap tahun. Tujuan akta ini digubal adalah untuk mengawal penerbitan yang tidak menyokong UMNO. Banyak majalah dan surat khabar dibatalkan permit atau dikurangkan penerbitannya seperti yang berlaku kepada Harakah dari 2 kali seminggu kepada 2 kali sebulan. Majalah Detik dan Wasilah serta Eksekutif diharamkan terus kerana majalah dan akhbar ini tertalu kritis terhadap UMNO.

 

Kita juga ada Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88] [OSA], Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda Keadilan telah bersalah di bawah akta ini kerana membocorkan rahsia rasuah Rahim Tamby dan Rafidah Aziz dan dihukum 2 tahun penjara. Inilah bertuahnya negara Malaysia Boleh orang yang melaporkan perilaku rasuah dihukum, orang yang mengamalkan rasuah hidup bebas dan terus menjadi menteri. Isu surat menyurat di antara Ketua Puteri UMNO dengan SPR juga turut dikelaskan sebagai rahsia dan sekali lagi Zulkifli Sulung telah disiasat bagaimana beliau mendapat surat-surat tersebut, bukan menyiasat kenapa boleh terjadi kerjasama ini yang boleh menggugat demokrasi dan keyakinan rakyat terhadap SPR.

 

Tidak ketinggalan kita juga ada Akta Hasutan 1948 [ Akta 15] yang diperkenalkan oleh Inggeris yang kita guna-pakai sehingga hari ini dan saudara Zulkifli Sulung, Ketua Pengarang Harakah telah disabitkan kesalahan di bawah akta ini.

 

Ini yang dimaksudkan oleh Haji Hadi dalam ucapan dasarnya UMNO mengamalkan dasar ”keliru dan kawal” dalam usahanya untuk mengekalkan kuasa memerintah Malaysia.

 

PENUTUP

 

UMNO akan menggunakan apa saja cara melalui cara halal atau haram untuk mengekalkan kuasanya. Kehilangan kuasa bagi UMNO bagaikan orang buta kehilangan tongkat. Kuasa bagi UMNO sebagai tongkat sakti untuk meminta apa saja yang dihajati di dunia ini. Kekayaan, kedudukan dan kekuasaan.

 

Oleh itu jangan haraplah UMNO akan bersetuju dengan cadangan SPR untuk memperkenalkan Kod Etika Pilihan raya kerana kod memberi peluang bermain di padang yang sama rata dan merugikan UMNO. Mahathir pada 19 September 2003, awal-awal lagi telah menolak cadangan SPR untuk membenarkan parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya nanti untuk mengadakan rapat umum dengan alasan penyokong parti PAS belum matang lagi. Ahli dan penyokong UMNO sahaja yang matang, orang lain semua bodoh.

 

UMNO masih lagi memimpin, tetapi sejauh mana harapan rakyat Melayu terus bergantung kepada UMNO sebagai wadah perjuangan ketuanan Melayu belum dapat dipastikan. UMNO kini semakin jauh dari rakyat. Pemimpin elit tidak lagi dipotretkan sebagai kepimpinan yang memperjuangkan rakyat malah dilihat sebagai tuan rakyat. Kalau dulu 99 untuk rakyat 1 untuk pemimpin, kini sudah terbalik 99 untuk pemimpin 1 untuk rakyat.

 

Kepimpinan UMNO kini melihat semua orang lain salah kecuali UMNO. Rakyat dipersalahkan kerana mudah lupa, PAS dipersalahkan kerana ideologi Islam yang tidak progresif, Keadilan dengan isu Anwar dan DAP dengan sikap Malaysia Malaysiannya. Apa yang salah pada UMNO adalah bangkangan. Apa saja bangkangan terhadap usaha yang dianggap murni oleh UMNO semuanya dikatakan salah.

 

Sekian, untuk kali ini. Marilah sama-sama kita berfikir dan mencari jalan bagaimana untuk memperbetulkan keadaan supaya ianya kembali kepada rel yang betul bagi kepentingan agama, bangsa dan negara. Wassalam.

 

Meli [13.1.2004]