TAZKIRAH: Pemberian Allah terlalu banyak
Posted on Wednesday, July 16 @ 04:00:32 MYT
Topic: Tuan Guru Hj. Abdul Hadi

Oleh: Y.A.B. Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang

OLEH kerana tanggungjawab itu amanah dan perkara yang penting, maka Allah SWT menimbang tindak tanduk manusia di atas muka bumi sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

 

"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan sebesar zarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasannya). barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihat(balasannya)"

Surah Al-Zalzalah: 7 - 8

Maka adapun sesiapa yang berat timbangan amalannya maka dia berada dalam kehidupan yang meredhakan. Diisi dengan amalan yang soleh di dalam hidup akan ditimbang oleh Allah SWT amalan-amalan itu boleh ditimbang dalam neraca keadilan. Tiap-tiap amalan yang soleh digandakan sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda, bahkan sesiapa yang berniat untuk mengerjakan amal-amal yang baik diberi kepadanya satu pahala, kerana niat hendak melakukan kebaikan.Jika dia melakukan kebaikan dia dikurniakan sehingga 700 kali ganda sehingga kelebihan yang tidak terhingga disimpan di sisi Allah SWT mengikut keikhlasan masing-masing.

Adapun amalan yang jahat, setelah dilaku diberi peluang untuk bertaubat. Kalau tidak bertaubat maka dicatatkan satu kejahatan, dan tidak digandakan sebagaimana melakukan amalan yang baik. Walaupun demikian, masih ramai manusia yang masih leka dan lalai dan meninggalkan perintah Allah SWT. Mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh Allah SWT tentang berlakunya hari pembalasan.

Di sana ada hadiah-hadiah yang sangat berharga yang diberikan oleh Allah SWT. Hadiah pintu taubat yang dibuka bermula daripada amal umur sehingga nyawa ke halkum. Pintu taubat dibuat sehingga matahari naik dari barat. Itu adalah kurnia dan pemberian pahala yang berlipat kali ganda, lebih besar dari hakikat amalan kebajikan di antara zikir-zikir yang tertentu. Contohnya Rasulullah SAW pernah mengajar kita supaya menyebut kalimah "Subhanallah Wal Hamdulillah, Subhanallah Hil Azim".

Dua kalimah yang terlalu ringan untuk disebut dengan lidah yang berat timbangan amalannya pada hari Qiamat nanti. Dua kalimah yang memberi makna yang besar dan terkandung di dalamnya memuji dan memuja Allah SWT. Mempersucikan Allah SWT.

Terlalu banyak hadiah yang diberikan oleh Allah SWT tetapi kebanyakan manusia lupa akan kurniaan Allah SWT menyebabkan terbengkalai dalam mengerjakan amal kebajikan kerana dihalang oleh hawa nafsu yang mendorong mengerjakan keahatan. Maka ramai manusia yang ringan timbangan amal solehnya.

Apabila ditimbang amal yang soleh ringan dan amal yang jahat lebih berat. Manusia yang seperti ini akan menerima padah dan musibah, iaitu dihumbankan ke dalam neraka Haawiyah. Haawiyah ialah neraka yang membakar dan hukuman yang adil daripada Allah SWT. Semua hukuman Allah SWT adalah adil, kerana sepadan dengan kejahatan yang dilakukan semasa di atas muka bumi. Padahal Allah SWT telah mendahului rahmat daripada kemurkaan. Mendahului keampunan daripada kemurkaan.

Allah SWT wajib bersifat adil dan mustahil bersifat zalim sepertimana firman Allah SWT di dalam Hadith Qudsi yang bermaksud:

"Wahai hamba-hamba-Ku, Aku haramkan kezaliman itu berlaku daripada diri-Ku. Aku jadikan ia haram di kalangan kamu. Allah itu Maha Adil, kerana terlalu banyak nikmat yang diberikan."

Jika kamu hitung nikmat Allah, nescaya tidak terhitung banyaknya. Bukan sahaja nikmat yang dirasai oleh jasad, tetapi yang terbesarnya ialah nikmat roh, akal, fikiran dan ilmu pengetahuan. Yang tertinggi sekali ialah nikmat iman dan Islam. Nikmat yang tidak boleh dibanding dengan segala nikmat yang lain. Semua perintah Allah SWT dan larangannya. Sekiranya disempurnakan dengan baik maka menjadi kurnia yang sangat besar.

Allah SWT tidak mendapat apa-apa faedah daripada amal yang baik yang dilakukan oleh manusia dan semua amal kejahatan yang dilakukan oleh manusia tidak memberi apa-apa mudharat kepada Allah SWT. Disebut di dalam hadith Qudsi yang bermaksud:

"Wahai manusia, sekiranya kamu menjadi jin yang awal dan yang akhir."

Manusia yang pertama ialah Nabi Adam AS dan manusia yang paling akhir sekali meninggal dunia dicampur sekali. Semua kamu mengerjakan amal yang baik disatukan di satu tempat.

Allah SWT telah memberi kepada kamu semua apa-apa yang kamu minta, nescaya tidak mengurangkan apa yang ada di sisi Allah SWT, laksana dicelup jarum yang halus ke dalam lautan yang luas.

Sekiranya semua kamu, wahai manusia dan jin yang awal dan yang akhir hidup mendurhakai dan menentang Allah SWT nescaya tidak mengurangkan sedikitpun kerajaan Allah SWT. Itulah kebesaran Allah SWT.

Keagungan yang tidak terhingga Allah SWT yang mencipta dan mentadbir alam yang dipuji dan dipuja dalam rakaat sembahyang dengan menyebut Alhamdulillahi Rabbi Alamin, "Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta Alam." Allah SWT juga yang menamatkan riwayat dunia. Tidak ada kuasa besar yang boleh menghalang. Tidak ada ilmu yang ada pada manusia boleh menyekat semua itu.

Beberapa tahun lepas, peristiwa gempa bumi yang berlaku di Bombay, para arkitek bangunan telah meletakkan berbagai-bagai ciri keselamatan yang boleh menahan bangunan itu atau mempunyai ketahanan sekiranya berlaku gempa mengikut skala rektor yang diukur oleh mereka.

Allah SWT menambah sedikit sahaja daripada ukuran yang dibuat oleh mereka dan telah meranapkan sebuah bangunan. Hatta dengan bangunan-bangunan yang tersergam gagah itu. Bila berlaku bencana alam di negara-negara kuasa besar dunia, alat-alat yang canggih tidak boleh melindungi mereka daripada bencana alam.

Sebagaimana Allah SWT membinasakan kaum Aad, Tsamud,  Firaun dan lain-lain lagi yang menentang Allah SWT. Semua kaum yang menentang Allah SWT itu sebenarnya telah mempunyai tamadun yang hebat. Kaum Tsamud memahat bukit-bukit untuk dijadikan rumah.

Bukit batu yang pejal dan keras dipahat. Semua jenis batu yang pejal dan keras yang berada dibukit-bukit telah dipahat oleh mereka untuk dijadikan bilik sebagai tempat tinggal mereka.

Apabila mereka menentang Nabi dan mempersendakan mukjizat yang sesuai dengan zaman itu. Allah SWT telah mengurniakan seekor unta mukjizat dan Allah SWT menguji supaya jangan mengganggu unta tersebut. Mereka mempersenda-senda Rasul, maka berlakulah tempikan yang tidak mampu didengari oleh telinga. Tidak mampu diterima oleh jantung. Bukan sahaja anak telinga; gegendang telingapun pecah, bahkan jantung mereka turut sama pecah.

Dengan suara yang terlalu kuat rumah-rumah mereka telah musnah. Suara yang kuat itu telah membinasakan mereka semua sehingga menjadi mayat bergelimpangan. Kaum Tsamud dan bangunan yang mereka tegakkan di atas tiang-tiang yang dipahat laksana kayu balak, maka batu pejal yang dipahat sebagai tiang turut binasa.

Apabila mereka menentang Rasul mereka yang bernama Hud AS, maka Allah SWT membinasakan mereka. Tiang-tiang yang gagah kuat tidak dapat menahan mereka daripada dihukum oleh Allah SWT. Itulah kekuasaan Allah SWT.

Dan Allah SWT menyedarkan manusia dengan nikmat yang diberikan dalam kehidupan dunia. Nabi Sulaiman AS diberi bahtera yang boleh dilayari di udara yang lebih hebat daripada kapal angkasa lepas, kapal terbang, yang bergerak dengan mukjizat. Nabi Sulaimanboleh membawa bala tenteranya di atas bahtera dengan angin yang diperintahnya dan merupakan mukjizat. Satu tamadun kebendaan daripada tamadun sains dan teknologi yang ada pada hari ini. Nabi Sulaiman AS telah diwafatkan oleh Allah SWT dan saki baki pembangunan Nabi Sulaiman AS telah dihilangkan oleh Allah SWT.

Yang anehnya, peninggalan nabi-nabi dan rasul-rasul telah dihilangkan oleh Allah SWT, termasuk kota, bangunan yang teguh, yang bukan sahaja didirikan oleh manusia dan buruh, tetapi juga yang didirikan oleh jin di atas perintah Nabi Sulaiman AS.

Sebaliknya Allah SWT telah meninggalkan saki-baki tamadun kebendaan Firaun, Tsamud, Namrud dan lain-lain supaya dapat dilihat oleh manusia pada hari ini. Tetapi semua itu tidak penting bagi kita kerana yang pentingnya ialah ajaran Allah SWT yang dibawa oleh nabi-nabi dan rasul-rasul. Yang perlu menjadi pegangan kepada semua manusia. Tetapi kebanyakan manusia pada hari ini telah lupa daratan. Yang dicari-cari ialah keredhaan manusia dan bukannya keredhaan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mencari keredhaan Allah walaupun dimarahi oleh manusia, Allah meredhainya dan akhirnya Allah akan menjadikan manusia meredhainya. Barangsiapa yang mencari keredhaan manusia tanpa keredhaan Allah, maka ia akan dimurkai oleh Allah dan akhirnya akan dimarahi oleh manusia, kerana akhirnya manusia akan menyedari dia adalah penipu untuk mencari keredhaan manusia bagi dirinya dan bukan keredhaan Allah."

Hanya mereka yang membulatkan hati dengan ikhlas kepada Allah SWT, mengerjakan amal yang soleh akan mendapat "Raadiyah" hidup yang penuh dengan keredhaan. Keredhaan Allah SWT yang terkandung di dalam nikmat dunia dan akhirat. Itulah sahaja yang menyelamatkan manusia ketika menghadapi kegemparan dan kedahsyatan hari Qiamat di mana nabi-nabi dan rasul-rasul ketika awal berlakunya Qiamat berdiri dengan lutut tidak boleh tegak dengan kaki. Kalau nabi-nabi dan rasul-rasul begitu rupa, bagaimana dengan mereka yang tidak nabi dan tidak rasul?           

 

ADAPTION FROM LADANGWEB BY:

MELI, 29.1.2004, KHAMIS, 8.24PM