NAZISME MEDIA DI MALAYSIA

OLEH :

MELI

 

 

Assamu'alaikum wm.wbt dan salam sejahtera

Saudara-saudara pembaca budiman.
 
Alhamdulilah dapat kita bertemu kembali dan saya berharap saudara-saudara sekalian mendapat keberkatan dar Allah SWT berada dalam keadaan sihat fizikal dan mental untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.

Pada kesempatan kali ini, saya akan menyentuh berkaitan peranan media di Malaysia dalam usaha memanipulasikan laporan-laporan dan berita bagi mengukuhan kedudukan UMNO dan pemimpin-pemimpinnya yang korup. Kita bersama-sama berharap dapat membina sebuah negara yang aman dan makmur bagi semua kaum, di samping itu kita juga bersama-sama berjuang menyuburkan amalan demokrasi yang kita amalkan semenjak kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Dalam pada itu, jangan lupa kita sama-sama berusaha menghapuskan korupsi, kroni, nepotisme, penyalah-gunaan kuasa dan menyeleweng demi untuk survival agama, bangsa dan Negara tercinta ini.
 
Media yang saya bermaksud di sini ialah media cetak dan media elektronik [media cetak merujuk kepada akhbar seperti Berita Harian [BH], Utusan Malaysia[UM], NST, STAR dan lain-lain media keluaran syarikat NST dan Utusan Melayu dan beberapa akhbar berbahasa Cina dan Tamil], manakala media elektronik pula seperti RTM [radio dan TV1], TV3 dan TV7]. Kesemua media-media ini dimiliki oleh parti-parti politik, UMNO menguasai semua media cetak dan elektronik berbahasa Melayu dan Inggeris, MCA pula menguasai akhbar berbahasa Cina dan MIC pula menguasai akhbar berbahasa Tamil.
 
Di Malaysia, tidak ada satu garis panduan yang mewajibkan setiap media yang hendak membuat laporan pemberitaan hendaklah betul dan tepat bersama-sama dengan fakta yang sahih [hanya diberi ruang untuk membuat saman menuntut ganti rugi sekiranya berita yang disiarkan itu tidak tepat]. Oleh itu tanpa takut dan malu-malu [ tambahan pula dapat perlindungan dari kerajaan UMNO/BN] memudahkan media-media ini membuat pembohongan demi pembohongan seperti akhbar BH, UM dan TV1 bagi menjaga kepentingan sebelah pihak iaitu UMNO. Begitu juga bila ketiadaan garis panduan ini [ kalau ada pun hanyalah sebagai rujukan tanpa tindakan oleh Persatuan Wartawan Malaysia kerana tiada ada kuasa], maka media-media ini sangat galak membuat pemberitaan yang tidak seimbang, memfitnah dan memburukkan pihak lain, tanpa memberi peluang pihak yang dituduh itu membela diri.
 
Terlalu banyak berita-berita berbentuk fitnah dan berbohong disiarkan dari masa ke semasa bagi tujuan untuk memburuk peribadi orang tertentu atau merosakkan reputasi sebuah organisasi atau pertubuhan di kaca mata rakyat. Matlamatnya supaya rakyat memisahkan diri dari organisasi atau pertubuhan terbabit dan sebaliknya semua bersatu di bawah sebuah pertubuhan iaitu UMNO. Parti pembangkang terutamanya PAS mendapat tempat paling istimewa menerima kecaman dan kutukan dari pemimpin-pemimpin UMNO yang dayus untuk berhujah di depan rakyat secara terbuka. Melalui media inilah mereka berani menghentam PAS siang malam pagi petang 24 jam. Tiada ada ruangan langsung bagi PAS bagi menjawab balik tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atasnya.

Semua saluran untuk menjelaskan tuduhan-tuduhan itu kepada rakyat ditutup. Berceramah tidak dibenarkan, penerbitan akhbar dan majalah diharamkan serta program yang dianjurkan dikepong dan dikawal oleh polis diburu seperti babi hutan.
 
Berita-berita ini akan membiak subur ketika UMNO menghadapi masalah iaitu ketika menghadapi siri-siri pilihan raya yang lalu terutama pada tahun 1990 isu tengkolok Ku Li berlambang salib yang menjadi ketakutan orang Melayu Islam ditonjolkan secara meluas dicetak dan disebar seluruh negara termasuk kampung-kampung pendalaman terpencil.
 
Begitu juga pada Pilihan Raya Umum pada tahun 1999 telah menyiarkan laporan pergerakan reformasi yang bercorak ganas membakar dan merosakkan harta benda bermotifkan ugutan dan menakut-nakutkan orang bukan Melayu supaya jangan menyokong BA kalau hendak hidup dalam keselamatan, keamanan dan pembangunan berterusan.
 
Malah siri-siri pilihan raya kecil yang berlaku selepas itu seperti di Lunas, Pendang dan Anak Bukit di Kedah, Indera Kayangan di Perlis, di Sanggang dan di Ketari di Pahang dan di Telok Kemang di Negeri Sembilan. Peranan media ini terus ditingkatkan untuk memburuk-burukkan dan memfitnah parti lawan tanpa diberi ruang untuk membela diri dan menjelaskan dasar perjuangan kepada rakyat supaya rakyat tidak terkeliru [itulah tujuan sebenar media ini supaya rakyat senantiasa berada dalam kekeliruan dan kebodohan], di samping itu UMNO akan diberi ruang yang teramat selesa untuk meraih sokongan melalui media ini. Mereka menjalankan kempen 24 jam.
 
Penggunaan media secara tidak beretika akan terus berlaku selagi UMNO/BN memerintah  walaupun pelbagai undang-undang kesalahan pilihan raya telah dipinda dan diperbaiki kelemahannya, malah berani saya meramalkan media-media ini akan bertindak lebih agresif lagi berbanding pilihan raya-pilihan raya yang lepas pada pilihan raya umum ke-11 nanti kerana kedudukan UMNO ketika ini tidak ada kesepakatan di antara pemimpin-pemimpin. Meraka sebenarnya lemah dan menghadapi masalah dalaman yang kronik. Peranan media inilah yang memberi gambaran yang molek pada pandangan rakyat. Umpamanya wanita huduh membeli make-up mahal-mahal untuk melindungan kehuduhan. Begitulah sikap UMNO. Mereka akan mencapai apa sahaja untuk menyelamatkan kekuasaan yang mereka miliki sekarang ini dari terjatuh ke tangan orang lain. Ini mimpi yang amat ngeri. Mereka berada di atas undang-undang secara amalannya kerana berlori-lori laporan pelbagai penyelewengan dan menyalahgunaan kuasa telah dibuat kepada polis dan BPR, satu pun tidak diberi perhatian. Dibakulsampahkan. Secara teori mereka tetap sama di bawah satu undang-undang yang sama sepertimana ditetapkan oleh Perlembagaan, tiada siapa yang kebal termasuk Raja-raja boleh didakwa di mahkamah khas, jika sekiranya mereka melakukan kesalahan.
 
Ramalan ini dibuat berdasarkan kepada keadaan UMNO yang lemah dan tidak mendapat sambutan di kalangan orang Melayu Islam dan generasi muda yang sudah muak dengan UMNO yang berjuang untuk kepentingan peribadi dan sebagainya[ buktinya persempadanan semula kawasan pilihan raya yang baru oleh SPR], berlakunya peralihan kuasa yang belum lagi yang boleh meyakinkan rakyat akan kehandalan kerajaan baru itu untuk menyelesaikan masalah rakyat serta perselisihan faham yang berlaku di antara parti-parti komponen dalam BN. Awas pakar-pakar strategis yang ada dalam PAS dan Keadilan. Seribu kemungkinan akan berlaku yang akan dimainkan oleh media-media ini. Tunggu dan akan tiba saatnya.
 
Terbaru usaha untuk melumpuhkan parti Keadilan telah dijalankan yang mana pada 22.10.2003 sistem penyiaran swasta Australia SBS telah menyiarkan rencana mengaitkan Anwar Ibrahim dan Rahim Ghause terlibat dengan terroris. Bernama telah menyiarkannya secara meluas ke dalam semua media di Malaysia.
 
Anwar yang dikatakan pengasas International Institute of Islamic Thought [IIIT] ada kaitan dan menyumbang dana serta mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda. Dulu Anwar dituduh sebagai agen CIA, agen Amerika, boneka IMF dan terbaru terroris Al-Qaeda. Hebat Anwar.
 
Bernama dalam laporan telah menokok tambah cerita[ yang tidak disiarkan oleh SBS] seperti pemberian RM300,000 [ kawan-kawannya di Amerika berusaha mengumpul duit dan kawan-kawan rapatnya di Malaysia yang banyak mendapat bantuan dari Anwar telah menjadi maha barua mendiamkan diri] menyalurkan bantuan pendidikan anak-anak beliau semenjak beliau dipenjarakan. Lihat betapa prihatinnya orang Islam bangsa lain yang sanggup membantu saudara sesama Islam. Melayu Islam yang berada dalam UMNO sanggup memijak kawan untuk naik ke atas.
 
Media dalam negara ini mendiamkan diri apabila stesen TV Australia ABC menyiarkan sebuah rencana mengenai perjuangan Anwar secara positif . Berita itu tidak dimuat langsung dalam media-media dalam negara ini. Apa kita hendak sebut tabiat semula jadi media-media ini dari dulu, kini dan selama-lamanya [ semacam dia akan hidup kekal selama-lama macam tuhan pencipta alam semesta]. Berbohong, memfitnah dan melaga-laga di antara satu sama lain adalah merupakan budaya media-media di Malaysia. Ada setengah orang secara sinis menyatakan laporan media di Malaysia ini tidak boleh dipercayai kecuali laporan nombor ekor 4 digit.
 
Bagi menutup biasnya itu, maka pemimpin-pemimpin negara berhujah mengatakan bahawa Harakah [akhbar milik PAS]. Seruan Keadilan [ milik parti Keadilan ], Roket [ milik DAP ] dan Suara Rakyat [ milik PRM] tidak pernah membuat laporan secara tepat mengenai UMNO/BN dan kerajaan. Ini hujah orang bodoh [ seperti hujah Mahazir Mohd. Khir Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dalam menjawab soalan Puteri Umno masuk sekolah amat mengecewakan sebagai seorang cendekiawan ]. Begitu juga apabila ditimbulkan parti dan kerajaan, pemimpin-pemimpin ini juga bodoh dan bangang [termasuk Prof. Madya Dr. Ahmad Atory Hussain] yang tidak dapat membezakan yang mana aktiviti parti dan yang mana pula aktiviti kerajaan. Sebab itu UMNO menjadi pemimpin menimbulkan pelbagai masalah kepada negara dan rakyat.
 
Dalam pada itu, pengendalian media-media [yang didokong oleh tokoh politik dari UMNO, MCA dan MIC tertentu yang memiliki media-media ini ] juga memaksa audien menerima dari pandangan dari satu sudut sahaja. Diharamkan sama sekali [permit tidak dibenarkan oleh KDN] pandangan daripada pelbagai sudut kerana takut segala pembohongan, tipu muslihat, fitnah-memfitnah dan pelbagai penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa akan terhambur keluar akan diketahui oleh rakyat, maka survival UMNO dan pemimpinnya akan musnah dan hancur. Oleh itu disogoklah cerita-cerita separuh seks, lucah, hiburan mengagungkan artis [contoh kematian mantan Panglima Tentera Laut, Allahyarham Dato' Seri Mohamad Sharif tidak diberi liputi yang meluas untuk menjadikan teladan kepada anak-anak muda, tetapi sebaliknya kematian Normadiah dan Khatijah Awang [makyong] diberi liputan yang luas malah disediakan ruang khas membicarakan sumbangan mereka terhadap seni, tidak kepada Sharif. Ini amat malang.
 
Semua yang saya sebutkan di atas berada dalam lingkaran cengkaman nazisme media. Nazisme yang saya sebutkan ini ialah kediktatoran media di bawah arahan kuasa politik status quo supaya kebebasan politik tidak menjahanamkan pengaruh parti yang berkuasa ke atas negara.
 
Sebelum saya meneruskan sambungan tulisan berjudul "Nazisme Media Di Malaysia", baik kiranya saya menjawab sedikit [jawapan ini juga sangat baik untuk Pak Lah [ PM boneka remote control oleh Mahathir yang masih memerintah Negara ini sekarang ]  sebagai PM ke-5 supaya hentikan kempen-kempen berterusan dari pihak UMNO ke atas pembangkang melalui media]  kenyataan yang dibuat oleh mantan PM ke-4 pada 30.10.2003 selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO [UM, 31.10.2003 ms: 10], beliau ada menyatakan bahawa beliau merasa hairan keadaan politik di negara ini kerana kempen-kempen politik diadakan sepanjang tahun sedangkan di negara-negara demokrasi yang lain kempen hanya diadakan sebelum pilihan raya, selepas itu semua kembali berbaik-baik.
 
Mengikut mantan PM itu, ia merugikan masa sehinggakan tidak bekerja langsung cuma duduk di kedai-kedai kopi untuk berbincang politik dan kerajaan juga katanya terpaksa menghabiskan banyak masa untuk mempertahankan diri yang mana ia merupakan satu pembaziran.
 
Kalau boleh beliau mahu PAS dan Keadilan dalam gabungan BA tidak berkempen hanya mereka yang boleh berkempen siang malam pagi petang. Dia mahu apabila PAS dan Keadilan masuk bertanding dalam pilihan raya, PAS dan Keadilan kalah. UMNO bolehlah mendabik dada seluruh dunia bahawa mereka melaksanakan pilihan raya setiap 5 tahun sekali bagi peluang rakyat memilih kerajaan, walaupun setiap pilihan raya berlaku, UMNO berlaku tidak adil [not fair play] dan selalu mengalih tiang gol jika mereka merasa mereka akan kalah dan pengadilnya pula mata masuk pasir dan habuk menyebabkan mata menjadi kabur serta kelabu sehingga apa yang UMNO lakukan tidak nampak walaupun UMNO melanggar pelbagai undang-undang kesalahan pilihan raya.
 
Kita tinjau pula apa yang berlaku di negara-negara maju. Keadaan seumpama ini tidak wujud di negara-negara maju contohnya di Amerika Syarikat. Semasa pilihan raya presiden di antara Al-Gore dengan George W.Bush Jr pada tahun 2000, kedua-dua mereka berkempen secara adil [fair play] .
 
Media bebas melaporkan kempen-kempen mereka. Tiada ugutan dan ancaman. Kedua mereka muncul dalam media, masing-masing berhujah untuk kepentingan masing-masing, menimbulkan kelemahan dan kekurangan lawan tanpa ada sekatan atau menggunakan harta awam untuk kepentingan diri sendiri dan parti. Apabila parti Republikan pimpinan Bush menang, walaupun ada sedikit kontroversi berlaku di Florida, Al-Gore dari parti Demokrat menyokong pilihan rakyat.
 
Di Britain begitu juga, BBC memberi kebebasan bercakap dan mengeluarkan pendapat kepada semua kumpulan, semua parti, termasuk kumpulan minoriti seperti umat Islam diberi peluang bercakap bagi kepentingan kumpulan masing-masing. Ini kerana kerajaan British memberi pengiktirafan kepada semua rakyatnya kerana mereka mempunyai hak yang sama sebagai pembayar cukai. Hal ini merupakan cabaran kepada Pak Lah untuk menjadi Negarawan Ulung lagi dihormati kerana sensitif dengan agenda hak asasi manusia.
 
Ada kelompok tertentu di Amerika mempunyai medianya tersendiri yang menyokong, membiayai dan berkempen secara terang-terang membantu Al-Gore. Begitu juga di sebelah Bush ada media berkempen untuknya. Malah lebih ke depan lagi ada pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan perniagaan yang besar-besar menyalurkan bantuan kewangan secara sah dari segi undang-undang Amerika kepada kedua-dua parti yang bertanding ini [bagaimana ini berlaku di Malaysia]. Perlembagaan Amerika ada memberi peruntukan khas kepada parti-parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya.
 
Sebaliknya apa yang berlaku di Malaysia. Sebaik sahaja Terengganu diperintah oleh PAS, perjanjian Petronas dengan Kerajaan Negeri Terengganu yang ditandatangani pada 1975 ditarik-balik pada Ogos 2000. Selama 25 tahun UMNO memerintah memperoleh hasil daripada Petronas sebanyak RM7,129,373.00 dan meninggalkan hutang kepada kerajaan PAS berjumlah RM700 juta.
 
Kerajaan PAS di Kelantan didera dengan pelbagai cara dan helah, melambat-lambatkan pengeluaran grant tahunan untuk melumpuhkan pembangunan negeri.
 
Media dikongkong. Pembangkang dinafikan hak memiliki media. PAS diserang setiap hari dan setiap waktu. Amanat Haji Hadi, Kes Memali, isu tuhan samseng, isu barua, ulama gila kuasa, Kelantan Gerhana, Terengganu kite, Pas digambarkan sebagai Taliban Malaysia, isu negara Islam PAS, isu Hudud, isu Al-Maunah, KMM dan pelbagai lagi isu lagi dihalakan kepada pembangkang terutama PAS. Adakah Pas hendak tunggu dan lihat menanti pilhan raya baru hendak jawab. Sepatutnya kedua-dua belah pihak UMNO dan PAS adakan "gencatan senjata" berehat dan tumpukan perhatian ke arah memperbaiki taraf hidup rakyat.
 
Apa boleh buat kerana media kita berkonsepkan "Nazisme Media". Konsep ini menjelmakan dua tokoh terkemuka dalam parti Nazi German, iaitu Adolf Hitler [1889 - 1945] dan Paul Josepph Geobbles [1897 - 1945]. Hitler peneraju parti Nazi yang kemudiannya berkuasa ke atas negara German. Geobbbles pula adalah tokoh propaganda parti yang kemudiannya menjadi Menteri Propaganda di zaman Hitler berkuasa di German.
 
Pelopor nazisme dalam media ini ialah Hitler yang juga merupakan seorang yang fanatik terhadap Niccolo Machiavelli seorang mengarang taktik berpolitik untuk mengukuhkan kuasa terhadap negara dan rakyat. Beliau sangat kagum dan menganggap buku The Prince menjadi sumber ilham beliau, maka nazisme media adalah jelmaan dari ajaran Machiavelli. Pengajaran utama moral politik seorang pemimpin yang ingin menguasai negara ialah :
 
1. Pertahankan kepentingan diri sebelum sesuatu yang lain. Dalam maksud ini, sesebuah parti yang menguasai negara wajib menghalakan media ke araj kepentingan pemimpinnya dan parti dibandingkan dari segala yang lain.
 
2. Matlamat dan tujuan [matlamat kuasa] atau untuk tujuan itu boleh dimaafkan penggunaan helah yang curang dan zalim bagi membina kuasa politik. Peranan media ialah memperkukuhkan parti yang berkuasa dan para pemimpinnya.
 
3. Mestilah melakukan pembohongan secara berulang-ulang, kerana pembohongan yang diulang-ulang ini berupaya mempengaruhi rakyat dan membentuk kepercayaan rakyat. Sebab itu, bila Mamak Zam masuk melalui pintu belakang ke dalam RTM, peranannya mencipta pembohongan dan menghamburkan pelbagai bentuk fitnah secara berulang-ulang setiap detik.
 
4. Nilai-nilai akhlak dan moral tidak dipedulikan kerana ia boleh menyebabkan orang menjadi cerdik dan bertaqwa. Oleh itu, melalui ajaran ini media yang dikuasai oleh parti politik yang berkuasa tidak mempedulikan kebenaran dan keadilan dari pemberitaannya asalkan ia boleh membawa keuntungan mengelirukan rakyat. Rakyat senantiasa berada dalam kekeliruan.
 
5. Dasar-dasar yang dibentuk boleh diubah-ubah pengertiannya mengikut kepentingan parti yang berkuasa. Memperalatkan fakta dan menonjolkan fakta yang boleh membawa keuntungan politik dan membuang fakta yang akan merugikannya. Dasar-dasar dalam Perlembagaan akan diputarbelitkan atau dipinda bagi menambah cengkaman kuasanya. Ini semuanya diarahkan kepada media menyelewengkan rakyat dengan memberi justifikasi penyelewengan-penyelewengannya itu.
 
6. Buangkan semua sifat-sifat mulia, tetapi pada keadaan tertentu perlu berpura-pura menonjolkan kemuliaan. Ini boleh memunafikkan media.
 
7. Perjanjian adalah merupakan sehelai kertas yang tidak bernilai. Sifat permainan politik tidak setia kepada apa yang dijanjikan. Dalam politik tidak ada kejujuran sepanjang masa. Tidak ada musuh atau kawan yang kekal, Siapa bijak dan kuat merekalah yang berkuasa. Kebenaran terletak dalam tangan orang-orang yang kuat dan berkuasa.
 
8. Politik adalah satu permainan iaitu percaturan dan pengekalan kuasa adalah bergantung kepada kepintaran mengguna media mempengaruhi pemikiran rakyat dan kecekapan permainan itu sendiri untuk meramal dan membuat keputusan.
 
9. Menguasai semua kekuatan built-in-advantage, sumber kekayaan, undang-undang, birokrasi. Bertindak cepat dan biarkan musuh berteriak sehingga letih baru kita menerkam.
 
10. Media wajib melenyapkan isu dengan isu. Taktik lumpuhkan isu dengan mengingatkan rakyat kepada janji yang belum ditunaikan kepada harapan baru dan janji baru.
 
11. Kepentingan kuasa adalah segala-segalanya. Rakyat dijadikan alat kuasa dan sebagai alat rakyat mesti dibelenggu dan dikekang pemikirannya. Dan ini hendaklah dilaksanakan oleh media.
 
Inilah ajaran Machiavelli yang diamalkan oleh media-media di Malaysia.
 
Di zaman Hitler berkuasa ada 3 tokoh utama yang menguasai media secara berasingan, tetapi matlamatnya sama untuk memperkuatkan parti Nazi. Mereka ialah Joseph Geobbels sebagai Menteri Propaganda [ seperti Khalil Yaakob dan Zam Mamak, Kementerian Penerangan kita], Otto Dietrich berkuasa ke atas propaganda parti Nazi [ seperti Megat Junid Megat Ayob, Ketua Penerangan UMNO ] dan Max Amann pula seorang hipokrit mencari kekayaan melalui media atas dokongan dan sokongan Hitler [ seperti ketua-ketua pengarang dan wartawan kanan media sekarang, pengerusi, pengarah dan ahli lembaga pengarah media yang ada sekarang inilah]
 
Hitler memperkenalkan pelbagai undang-undang untuk menyekat perkembangan media bebas yang boleh mengancam parti dan kedudukannya di German. Ia menguasai semua media dan pada 1 November 1933, melalui Menteri Propagandanya Goebbles telah menggubal satu ordinan yang mensyaratkan semua bahan-bahan yang hendak diterbitkan mesti memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan wajib diluluskan oleh kerajaan Nazi di bawah Kementerian Propaganda [ macam kitalah ada pelbagai akta untuk mengawal kebebasan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, ISA dan sebagainya ]. Pada tahun 1944, setahun sebelum beliau mati pengedaran sebanyak 20,694,000 naskah akhbar yang ada di pasaran di German dan terbesar di Eropah dan media bebas hanya ada 625. Nazi menguasai 82.5% pembaca dan media hanya 17.5% sahaja.
 
Pada pemikiran Hitler, media cetak mempunyai 3 golongan. Pertama golongan majoriti yang mudah terpengaruh dan percaya apa sahaja yang mereka baca. Kedua mereka yang menolak dan tidak meyakini apa sahaja yang mereka baca dan ketiga mereka yang terdiri dari golongan kritis. Mereka ini berupaya menganalisis dan memberi pendapat mereka terhadap apa yang mereka baca.
 
Menurut Hitler, golongan pertama itulah merupakan golongan yang terbesar atau golongan majoriti. Mereka ini pula paling ramai yang memiliki pengetahuan yang paling rendah dan mereka ini juga memiliki akal yang kurang cerdik serta tidak ada kepekaan. Malas berfikir dan menelan bulat-bulat apa yang disumbatkan ke dalam mulutnya.
 
Setiap hari 82.5% media ini mengasak fikiran rakyat sehinggakan fikiran rakyatnya menjadi pupus akan kewarasan akal rakyatnya terhadap perkembangan politik negaranya.
 
Bagaimana di Malaysia. Jawapannya ia sejalur dengan media di bawah cengkaman Hitler pemerintahan Nazi. Media arus perdana di Malaysia semuanya menjadi sayap parti UMNO. Penerbitan kecil dan bebas di kawal oleh Kementerian Dalam Negeri melalui pengeluaran permit. Jika ia dicurigai anti kerajaan atau kritis terhadap kerajaan dan sejalan dengan UMNO seperti majalah Detik. Wasilah dan akhbar Eksklusif diharamkan. Rakyat takut dan tidak berani mencetak apa-apa yang berisiko tinggi.
 
Sebagai kesimpulannya, media di Malaysia dikongkong oleh kerajaan UMNO seperti mana yang pernah dilakukan di bawah pemerintahan Adolf Hitler melalui partinya Nazi yang berkuasa memerintah German pada perang dunia ke 2 dulu. Oleh itu sesuailah saya namakan peranan media sebagai " NAZISME MEDIA DI MALAYSIA "
 
Sekian dulu kali ini, di lain kesempatan insyaAllah kita akan bertemu lagi dengan isu-isu lain untuk sama-sama kita berfikir untuk merubah keadaan, kalau kita tidak sama-sama berusaha negara, bangsa dan Islam akan hancur diperlakukan oleh UMNO menjadikan Malaysia ini sebagai harta mak bapaknya. Sebagai penutup saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua pembaca " Selamat Menjalani Ibadah Puasa Semoga Mendapat Keberkatan dari ALLAH SWT. Terima kasih. Wassalam.

 

- Meli - 03.11.2003 (suntingan M@RHAEN)