Globalisasi kesinambungan kerakusan Namrud
Posted on Friday, June 13 @ 21:05:55 MYT
Topic: Tazkirah

Oleh: Y.A.B. Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

ISLAM mengakui wujudnya bangsa, warna kulit dan wujudnya berbagai-bagai bahasa dan Islam menggalakkan kita mengetahui berbagai-bagai bahasa supaya saling mengadakan hubungan dengan manusia yang lain dan menyampaikan risalah Islam kepada bangsa-bangsa yang lain.

 Adapun globalisasi yang diamalkan hari ini mahu memaksa dunia supaya menggunakan bahasa Inggeris yang hanya boleh digunakan oleh Amerika Syarikat dengan tujuan untuk mematikan bahasa-bahasa lain melalui penyebaran ilmu dan maklumat. Melalui penyebaran pelbagai perkara, Islam tidak boleh memaksa di dalam perkara bahasa walaupun bahasa Arab adalah bahasa ahli syurga.

Bangsa, bahasa dan berbagai agama telah ditetapkan oleh Allah SWT sepertimana firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah mencipta kamu daripada seorang lelaki dan dan seorang perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang bertaqwa."

Dan Islam melarang memaksa di dalam perkara agama sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud:

"Tidak ada paksaan di dalam agama"

Menganut Islam mestilah dengan iman yang ikhlas yang ada di dalam hati. Memaksa orang hanyalah melahirkan ramainya golongan munafiqin di dalam masyarakat Islam. Yang tidak mencapai matlamat dan tujuan orang itu menjadi Islam secara menyerah diri kepada Allah SWT. Islam melarang kita memaksa penganut-penganut agama lain, tetapi hendaklah ditunjukkan perkara yang yang menjadi kepentingan sejagat iaitu keadilan kepada seluruh manusia.

Apabila Islam memerintah negeri-negeri lain di dalam dunia Parsi dan Rom, Islam telah menunjukkan keadilan yang sangat tinggi. Islam memberi hak kepada rakyat negeri masing-masing apa yang tidak diberi oleh kerajaan mereka di masa itu. Islam tidak mengangkut hasil di dalam negeri-negeri itu untuk dipunggah kepada kerajaan pusat di Madinah selagi tidak disempurnakan rakyat yang ada di dalam negeri itu terlebih dahulu, bahkan mengikut hukum zakat dan hukum fara'id yang ada di dalam Islam.

Pembahagian zakat kepada fakir miskin hendaklah diutamakan di mana tempat zakat itu dikeluarkan terlebih dahulu. Setelah selesai fakir miskin dalam wilayah itu, barulah dipindahkan kepada wilayah yang lain. Inilah pandangan yang diberikan oleh ulama, dimana penaklukan Islam terhadap negara-negara lain dalam dunia ini bukan di atas fahaman 'Imperialisme' sebahagaimana yang diamalkan oleh barat, tetapi untuk menunaikan tanggungjawab 'Khilafah' yang diamanahkan oleh Allah SWT.

Inilah yang menyebabkan bangsa-bangsa lain dalam dunia telah menganut Islam. Apabila Islam memerintah negeri dengan hukum Islam, maka rakyat akan menganut agama Islam. Dalam keadaan tidak dipaksa dan dalil tidak dipaksa, di Iran masih ada penganut agama Majusi. Di Iran masih ada rumah ibadat agama Majusi yang menyembah api. Di Mesir masih ada gereja-gereja Kristian dan rumah ibadat Yahudi yang dibina sejak ribuan tahun.

Di Syria masih ada gereja-gereja yang dibina ribuan tahun. Ini menandakan Islam tidak memaksa dalam perkara agama. Kerajaan Denmark yang memerintah Indonesia tidak merobohkan Candi Borubodor di Bali. Tidak merobohkan rumah-rumah ibadat selagi penganut itu masih ada. Apa yang berlaku rumah-rumah ibadat yang lain musnah, ia dimusnahkan oleh penganut agama itu sendiri. Apabila penganut itu sendiri meninggalkan agama mereka, mereka merobohkan rumah ibadat mereka dan ditukarkan kepada masjid.

Ini yang berlaku di dalam sejarah. Inilah kesejagatan globalisasi yang diamalkan oleh Islam yang menunaikan satu tanggungjawab. Ada perhitungan dosa dan pahala. Kita melihat globalisasi yang diamalkan hari ini adalah kesinambungan daripada slogan yang ditaja oleh iblis ketika menggoda Nabi Adam AS supaya melanggar perintah Allah SWT dengan mengatakan buah yang dilarang oleh Tuhan ini adalah buah yang akan menjadikan kamu hidup selama-lamanya. Buah yang akan menjadikan kamu memiliki kerajaan yang tidak akan jatuh sampai bila-bila.

Globalisasi yang diamalkan pada hari ini adalah kesinambungan daripada kerakusan Namrud di zaman Nabi Ibrahim AS untuk menakluk dunia dan kerakusan Firaun untuk menakluk dunia. Termasuklah Firaun mendirikan menara yang tinggi untuk mencabar Tuhan Nabi Musa AS.

Bezanya di zaman sekarang ialah menggunakan kapal angkasa lepas seperti Colombia dan sebagainya untuk mencabar kekuasaan Allah. Untuk menguasai angkasa lepas. Langit dunia yang terlalu rendah. Firaun pernah mencabar Tuhan dengan membina menara yang tinggi untuk melihat Tuhan Nabi Musa AS.

Menara yang didirikan oleh Firaun telah dibinasakan oleh Allah SWT. Begitulah kapal angkasa lepas Colombia yang digunakan dengan sombong dan angkuh dimusnahkan oleh Allah SWT. Ini semua adalah hikmat yang perlu kita faham dan umat Islam sendiri hendaklah sedar mereka adalah penganut satu agama yang maha luas. Satu agama yang maha agung dan satu agama yang mempunyai faham kealamayaan yang lebih besar dari globalisasi.

Globalisasi yang dilaungkan ini hanyalah untuk menguasai dunia dalam konteks antarabangsa dalam bulatan dunia yang ada hari ini adapun kealamayaan yang diajarkan oleh Islam dan hubungan antara langit dan bumi sehingga langit yang ketujuh melampaui kawasan matahari, bulan dan bintang cakerawala yang ada dalam kawasan langit dunia sehingga ke sidratul-Muntaha, bukan untuk menguasai sidratul-Muntaha tetapi untuk melihat kehebatan kekuasaan Allah SWT yang memaksa manusia dan hati nurani supaya tunduk kepada Allah SWT yang menyedarkan manusia untuk menggunakan bahan-bahan yang ada di atas muka bumi dan menggunakan bahan-bahan yang diizinkan oleh Allah SWT.

Dan jangan menggunakan bahan-bahan yang tidak diizinkan Allah SWT dan Allah SWT menjanjikan satu visi yang sangat luas. Satu wawasan yang sangat jauh. Bukan sekadar tahun 2020, tetapi dari dunia sampai akhirat sebagaimana yang dinyatakan oleh Rubi'e bin Amir yang dihantar oleh Sa'ad bin Abi Waqas untuk menemui kuasa besar Parsi di zaman itu. Peristiwa tersebut berlakudi zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khatab.

Apabila Rubi'e bin Amir dihantar untuk menjadi utusan kepada tentera Islam yang datang untuk menghadapi cabaran tentera kuasa besar dunia, Parsi yang ingin menghancurkan Islam. Panglima tertinggi Rostom bertanya kepada Rubi'e bin Amir kenapa mereka datang ke sini. "Adakah kerana negeri kamu padang pasir dan tiada makanan. Kalau tiada makanan, kami akan menghantar makanan kepada kamu."

Hal ini samalah seperti Amerika Syarikat hendak menghantar makanan kepada Korea Utara. Itulah bandingannya, kerana mereka menguasai stok simpanan makanan yang terlalu banyak. Mereka boleh menghantar ke negara-negara yang berkebuluran. Memang sahabat-sahabat Nabi SAW yang bermusafir untuk berdakwah, ada yang terpaksa merebus biji-biji kurma untuk diminum airnya, kerana isinya sudah habis dimakan, tetapi mereka tidak menyerah kalah kepada kuasa besar.

Apabila Rostom mengatakan, "adakah kamu datang kerana lapar, kerana tidak cukup makanan? lalu ditegaskan oleh Rubi'e bin Amir dengan berkata, "Allah SWT yang mengutuskan kami kepada kamu untuk mengajak sesiapa yang mahu kepada Islam."

Kedatangannya adalah untuk mengajak sesiapa yang mahu daripada mengabdikan diri kepada makhluk seperti patung berhala atau manusia yang berlagak menjadi tuhan kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Kedatangannya adalah untuk mengajak manusia meninggalkan kezaliman ajaran yang lain selain Islam kepada keadilan Islam, daripada dunia yang sempit kepada dunia yang luas termasuk akhirat. Itulah wawasan Islam yang dibawa oleh Rubi'e bin Amir kepada Rostom. Makan bukanlah matlamat Islam walaupun umat Islam memerlukan makanan. Bukanlah wilayah menjadi matlamat walaupun wilayah adalah penting. Matlamat Islam ialah menyampaikan risalah Allah SWT. Mesej rahmat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW untuk menurunkan rahmat ke seluruh alam.

Sekiranya Islam diamalkan manusia dengan tidak dipaksa, manusia dilayang dengan adil dan manusia tidak mementingkan nafsu, maka tidak akan berlaku kemusnahan alam sekitar dan seumpamanya. Berbagai kemusnahan telah berlaku sebagaimana amaran yang diberikan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya dalam surah Ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

"Telah nyata keburukan di darat dan di laut hasil dari kerja yang dibuat oleh tangan-tangan manusia sendiri supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka mudah-mudahan mereka akan kembali kepada Allah"

Mana ada laut di Mekah dan di Madinah. Tetapi Al-Quran telah menyebut kemusnahan di laut dan di darat. Al-Quran menyatakan kemusnahan di darat dan di laut hasil kerja tangan manusia itu sendiri, kerana perlumbaan teknologi, berlakunya kemusnahan lapisan ozon dan seumpamanya. Inilah globalisasi yang memusnahkan manusia.

Allah mengatakan bahawa keburukan dilakukan oleh tangan-tangan manusia sendiri supaya manusia sedar dan insaf. Mudah mudahan mereka kembali kepada Allah SWT sebelum hari qiamat, hari mereka dibicarakan di hadapan Allah SWT.

 

 

 

 

.