ADAKAH PAK LAH BERKEUPAYAAN MEMPERBAIKI INSTITUSI NEGARA YANG ROSAK ?
PUTERA
05-11-2003

Perdana Menteri Dato' Seri Dr.Mahathir Mohamad telah meninggalkan kuasa yang dipegangnya selama 22 tahun. Pada pagi 1 November 2003 Pak Lah akan ditabalkan sebagai PM ke 5.

Kita sebagai rakyat Malaysia menyambut baik pengambilalih kuasa tersebut secara teratur sebagaimana yang telah berlaku pada masa-masa yang lepas. Pak Lah menghadapi masalah berat untuk ditanganinya secara bijaksana. Masalah ekonomi, peratus pengangguran yang tinggi di kalangan lepasan universiti, hubungan antarabangsa, memperbaiki imej lebih menyakinkan, menghapuskan bayang-bayang Mahathir dalam pentadbiran negara dan sebagainya.

Dalam kontek tulisan ini saya hanya akan menumpukan perhatian dalam memperbaiki kerosakan yang berlaku dalam instrument pentadbiran negara. Dalam pentadbiran sesebuah negara yang mengamalkan demokrasi, tiga cabang utama telah rosak teruk akibat perbuatan mahu terus berkuasa, iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman.

Pak Lah juga terpaksa membaikpulih tiga institusi yang rosak teruk akibat perbuatan Mahathir gila kuasa. Tiga institusi ini amat penting dalam sistem pentadbiran sebuah negara demokrasi yang kita amalkan ini. Institusi Legislatif [Perundangan iaitu Parlimen ]merupakan institusi yang tertinggi di antara dua institusi lainnya, tugas institusi ini adalah untuk mengubal dan meminda undang-undang yang dibawa kepadanya oleh pihak Eksekutif  dan tidak boleh mencampuri urusan institusi-institusi lain [Eksekutif dan Kehakiman].

Begitu juga institusi Eksekutif merupakan badan melaksanakan dasar-dasar yang digubal dan diluluskan oleh di Parlimen dan tidak boleh mencampuri urusan institusi lain [ Perundangan dan Kehakiman ]. Ini bermakna setiap dasar atau undang-undang yang hendak dilaksanakan mesti mendapat kelulusan institusi tertinggi [ Parlimen ] negara ini.

Sama ada ia hendak diluluskan atau tidak dasar atau undang-undang yang dibentangkan itu bergantung kepada kelulusan kedua-dua dewan yang teribat, iaitu dewan rakyat dan dewan negara setelah perbincangan dan perdebatan dilangsungkan secara demokratik.

Pihak Eksekutif tidak ada hak untuk campur tangan, tetapi sebaliknya telah berlaku dengan majoriti 2/3 yang UMNO/BN miliki telah menjadikan kedua-dua dewan ini sebagai " rubber stam ".

Manakala institusi Kehakiman pula berperanan sebagai menafsir dasar dan undang-undang dan mengesahkan sama ada perlaksanan dasar atau undang-undang yang diluluskan itu dilaksanakan mengikut peraturan atau kriteria yang ditetapkan bagi menjamin keadilan kepada semua lapisan rakyat di negara ini. Pengasingan kuasa ini jelas ditetapkan oleh Perlembagaan bab 3, bab 4 dan Bahagian ix perkara 121.

Dalam era Mahathir, beliau mencampuri semua urusan ketiga-tiga institusi ini.Semua institusi ini tunduk dengan kehendak Mahathir. Tindakan Mahathir ini  seperti pemerintahan kesultanan Melayu dahulu kala di mana kedudukan sultan-sultan ketika itu tidak boleh dicabar. Sultan yang memerintah mempunyai kuasa mutlak. Kuasa Eksekutif, legislatif [ perundangan ] dan kehakiman berada dalam genggaman sultan. Sultan tidak berkongsi kuasa dengan sesiapa. Sultan mempunyai kedaulatan yang tidak berani dipertikaikan oleh sesiapa. Kesetiaan rakyat terhadap sistem monarki mutlak ini tidak berbelah bagi. Hitam kata sultan, hitamlah kata rakyat. Putih kata baginda, putihlah. Perintah sultan tidak pernah dibantah atau dipersoalkan seperti yang dijelaskan dalam peristiwa penghukuman ke atas Hang Tuan akibat perbuatan pembesar-pembesar negara ketika itu.

Mahathir dari pihak institusi Eksekutif mencampuri bidang tugas pihak lain khususnya jentera-jentera kerajaan dalam perkhidmatan awam seperti yang ditetapkan di Bahagian x perkara 132 Perlembagaan. Pegawai-pegawai awam, Pasukan Polis Di Raja Malaysia, bangunan-bangunan milik kerajaan, media massa khususnya RTM, alat-alat dan mesin-mesin kepunyaan kerajaan seperti kenderaan-kenderaan yang dimiliki oleh Kementerian/Jabatan/Agensi kerajaan telah digunakan secara meluas tanpa segan silu menjadi harta milik UMNO bagi mengukuhkan kedudukan beliau dan UMNO.

Contoh terbaru yang hangat dibincangkan ialah kisah SPR sebuah badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagan dan terletak di bawah Yang DiPertuan Agong telah digunakan oleh UMNO bagi membantu UMNO memenangi pilihan raya ke 11 nanti. Tidak perlu bagi saya untuk mengulas lebih lanjut bagaimana SPR telah bertindak membantu UMNO untuk mengekalkan kuasanya kerana perkara telah banyak diulas dan dibincangkan.

Saya hanya sekadar memetik luahan rasa Pengerusi SPR Abdul Rashid Abdul Rahman yang telah ditemubual oleh media sebagai renungan dan bagi merangka strategi untuk menyertai pilihan raya di Malaysia yang kelihatan tidak bebas ini. Diantaranya beliau menyebut beliau tidak bebas bekerja kerana ada tekanan dari pemerintah [ kerajaan UMNO/BN ] dan tangannya terasa seperti diikat di belakang yang menyukarkannya menjalankan tugas seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan.

Lagi beliau berkata tolerensi [ keterbukaan ] SPR bergantung kepada tolerensi parti memerintah dan pada 30.9.2003 dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua media beliau menyarankan agar pemberitaan yang hendak dilakukan terutama dalam kempen pilihan raya biarlah seimbang di antara parti pemerintah dengan parti pembangkang.

Wan Ahmad Wan Omar,  Setiausaha SPR lebih  biadab dan tidak bertanggungjawab  apabila beliau menyindir pembangkang berhubung isu pengambilan ahli Puteri UMNO sebagai Kerani Sambilan supaya jangan menjaga tepi kain orang dan lebih baik tumpukan perhatian bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Kita ingin memberi amaran dan cabaran kepada Wan Ahmad sebagai kakitangan kerajaan yang bertugas di SPR yang merupakan sebuah badan bebas, kalau beliau berminat mempertahankan kedudukan UMNO, baiklah beliau meletakkan jawatan dan bergiat aktif dalam politik. Wan Ahmad tidak boleh berlindung disebalik jawatan bagi membantu UMNO mengekalkan kuasa. Sila turun ke padang. Jangan jadi barua UMNO sepanjang masa.

 Kita perlu merakamkan ucapan penghargaan dan junjung kasih kepada Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja Melayu yang begitu prihatin terhadap perkembangan politik semasa dengan mengeluarkan kenyatan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang Duli-Duli merasa dukacita di atas peranan yang dimainkan oleh SPR dan Peguam Negara yang cuai dalam menjalankan tugas. Terasalah pedasnya. Malulah sedikit pada diri sendiri yang angkoh dan sombong dengan sedikit anugerah yang diberi oleh Allah.

Lain-lain penyalahgunaan jentera-jentera kerjaan yang lain tidak perlu saya ulas lanjut kerana kita semua sudah sedia maklum. Kerja kita sekarang ialah bagaimana kita dapat merangka strategi supaya UMNO dapat menghentikan perkara yang mencemarkan ini dari terus berlaku dan menjadi budaya politik UMNO. Ini menjadi cabaran kepada Pak Lah sama ada beliau akan terus mengunakan jenjeta-jentera kenderaan dalam mengukuhkan kedudukannya atau tidak, tetapi ia tetap menjadi masalah kepadanya bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan di bawah pimpinannya nanti.

 Gambaran rakyat pada umumnya terhadap era pemerintahan Pak Lah juga turut menjadi masalah kepada beliau, yang mana Pak Lah akan terus melaksanakan pemerintahan ala diktator atau kuku besi sepertimana yang dilakukan oleh Mahathir. Semacamlah gambaran rakyat terhadap usaha-usaha kerajaan untuk membasmikan rasuah. Walaupun bersuara lantang dan keras menentang perlakuan rasuah, tetapi rasuah tetap berkembang biak. Berpuluh laporan rasuah dibuat terhadap pemimpin UMNO/BN, tetapi satu pun tidak disiasat, sebaliknya ikan bilis yang kena, ikan jerung terlepas.

Mahathir menjadi diktator melalui undang-undang yang digubal dan dipinda berkat UMNO/BN memiliki 2/3 majoriti di Parlimen. Saya akan bincang beberapa contoh [sebenarnya banyak] bagaimana perkara ini terjadi yang menyebabkan beliau dapat berkuasa begitu lama selama 22 tahun tanpa ada orang lain boleh menyentuhnya.

Mengikut Sulaiman Abdullah bekas Presiden Peguam Malaysia dan juga merupakan salah seorang peguambela Anwar di satu forum di Petaling Jaya pada 22.5.2001, beliau berkata Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 42 kali semenjak negara mencapai kemerdekaan tahun 1957 sehingga kini terutama perkara 121 bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan Rendah bagi membolehkan Peguam Negara membuat pendakwaan di mana-mana mahkamah yang menjadi pilihannya.

Di antara banyak pindaan terhadap akta dan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, Akta Keselamatan Dalam Negeri [ISA] yang paling banyak mengalami pindaan. Semenjak merdeka ISA mengalami 20 kali pindaan lain-lain akta tidak seteruk begitu. Pindaan-pindaan ini dibuat mengikut suasana politik semasa yang boleh mengugat dan mengancam kekuasaan UMNO. Mengikut ISA sesiapa sahaja boleh ditahan tanpa memberi sebab kenapa ianya perlu ditahan, memadai hanya memberi alasan ianya boleh mengugat keselamatan negara, maka ia boleh ditahan 60 hari untuk siasatan, kalau tidak selesai boleh dihantar ke Kemunting bagi tempoh 2 tahun [ seperti kes Roformis 6 yang baru dibebaskan pada bulan Jun 2003 yang lalu] kalau tidak selesai juga boleh dilanjutkan lahi 2 tahun [ seperti 9 orang ahli KMM]

ISA dibentok pada 22.6.1960 bagi mengantikan Akta Darurat 20.6.1948 oleh seorang yang bekerja sebagai legal draftman yang bernama Prof.Hugh Hickling. Dalam temuramah dengan The Star pada 17.4.2001[ dalam usia 81 tahun], beliau berkata walaupun ISA masih diperlukan, tetapi suatu judicial review perlu diadakan. Katanya lagi ISA digubal untuk membenteras jenayah terancang yang dilakukan oleh komunis pada waktu darurat [ 1948 - 1960 ] ......the act was never aimed at polician.

Pada awal perlaksanaan  akta ini banyak aktivis-aktivis dan penyokong komunis ditahan yang terdiri majoritinya kaum China. Dalam era 60an dan 70an tokoh-tokoh pembangkang dan ketua-ketua union yang banyak melibatkan kaum China juga, mulai era 80an ia meliputi semua bangsa dan agama dan termasuk pelajar yang sedang belajar di universiti.

Pada tahu 1988 ia dipinda sek. 8B,  8C dan 8D iaitu perintahan penahanan seseorang tidak boleh dipersoalkan oleh mahkamah [ tidak boleh review of court ] kecuali aturcara atau syarat penahan tersebut tidak mengikut Perlembagaan. Pindaan ini timbul ekoran penahanan Lim Kiat Siang lebih daripada 60 hari yang dibenarkan [ beliau ditahan selama 63 hari disebabkan kesilapan teknikal ], mahkamah menagguhkan kes ini dengan memberi alasan pilihan raya dan afidavit pendakwaan belum siap.

Semasa penangguhan ini Mahathir membuat pindaan di Parlimen sek.8A dan 8D dan pada 14.7.1988 ianya diwartakan. Pada 15.7.1988 jam 12.01 minit pagi pindaan ini berkuatkuasa dan keesukkan harinya mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk judicial review dan Lim Kiat Siang kalah.

Lihat pula kes Karpal Singh ketika itu MP Jelutung. Beliau ditangkap pada tahun 1987 dalam Operasi Lalang dan beliau menghadapi tuduhan berhimpun pada satu tempat dan dalam rayuan hearbus carpousnya,  beliau dapat buktikan di hadapan Hakim Bay Siew Chin di Mahkamah Tinggi Ipoh yang beliau pada masa yang disebutkan itu beliau ada ditemapt lain dan mahkamah bebaskan beliau. Dengan serta merta Mahathir membuat pindaan melalui Parlimen yang pindaan itu berbunyi " semakan kehakiman tidak boleh dibuat untuk mencabar kesahihan atau tidak sah " dan ianya di'backdated'kan. Kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan akhirnya Karpal kena di hantar ke Kemunting.Begitulah liciknya Mahathir untuk mempertahankan kuasanya digunakan akta ini semau-maunya.

Sukacita juga saya memetik kata-kata Abdullah Ahmad [ Pengerusi NSTB ] semasa beliau ditahan pada Januari 1976 bersama-sama dengan Samad Ismail, Abdullah Majid dan Kassim Ahmad dituduh sebagai pro komunis dan egen komunis. Beliau berkata dia dianiaya oleh beberapa kerat pemimpin UMNO ketika itu yang gila kuasa.

Beliau buat pengakuan di tv [ dijanjikan untuk dibebaskan ] draf ucapan itu disediakan oleh SB [ drafnya ditolak ] akhirnya pengakuan beliau di tv itu dijadikan alasan untuk terus menahannya selama dua tahun. Beliau kemudiannya menentang dan menarikbalik pengakuan tersebut atas alasan beliau dipaksa kerana beliau dijanjikan untuk dibebaskan segera dan kerana kedegilanya hukuman ke atasnya ditambah dua tahun lagi. Banyak buku-buku yang diterbitkan menceritakan kezaliman akta ini seperti siri buku Shaari Sungib, Dr. Hussein Ali Dua Wajah dan lain-lain lagi yang ada di pasaran.

Kita juga mengharapkan Pak Lah mengembalikan semula status kedudukan Raja-Raja Melayu sebelum pindaan Perlembagaan dibuat pada tahun 1983 dan 1993. Institusi Raja ini musnah dan hilang taringnya apabila Parlimen meluluskan pindaan tersebut. Sebagai orang melayu tulin, Pak Lah perlu bertindak mengembalikan balik Kedudukan Istimewa Raja seperti yang diperuntukan di Perlembagan perkara 32 yang dipinda bagi menghapuskan imuniti Raja-raja. Perkara 38(4) dan perkara 38(5) juga perlu dikembalikan dalam bentuk asal.

Bagi orang melayu, Rajalah tempat berteduh dan berlindung. Apabila perkara ini ditarik balik, apa lagi yang ada pada orang melayu untuk mencari tempat berpegang yang menjadi benteng terakhir mempertahankan hak-hak orang melayu semakin hari semakin lenyap dalam suasana UMNO  gilakan pembangunaan gunakan tanah rezab melayu yang tidak diganti, buang indentiti melayu dalam kad pengenalan, penubuhankan banyak insitusi-institusi pendidikan swasta bagi meramaikan orang bukan melayu menjadi maju, memperkenalkan meritrokasi bagi mengurangkan orang melayu melayakkan masuk ke IPTA-IPTA khususnya dalam bidang sains dan teknologi, memperkenalkan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik bagi memundurkan pelajar-pelajar melayu dari luar bandar, menghapuskan pemberian biasiswa dan mengantikan dengan pinjaman supaya apabila pelajar-pelajar melayu ini tamat belajar dan sudah bekerja terus menjadi miskin kerana duit gaji yang diterima tidak berkecukupan untuk membiayai keluarga dan membiarkan dan membuka peluang 10% pelajar bukan melayu memasuki program matrikulasi dan MRSM suapaya orang melayu tidak dapat bersaing dengan bukan melayu.

Kita tahu ada setengah-tengah Sultan mencampuri urusan pentadbiran sesebuah negeri dan melakukan beberapa perkara yang melanggar undang-undang, tetapi tidak bermakna kita menarik balik hak keistimewaan yang mereka patut dapat seperti yang diperuntukan dalam Pelembagan. Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kita faham bahawa ini adalah strategi Mahathir untuk membolot kuasa dan menjadi diktator melalui undang-undang. Benci Mahathir pada Raja-raja Melayu boleh dilihat seperti yang digambarkan oleh Zainuddin Maidin dalam buku Di Sebalik Tabir [1994, 77-104]. Dia menunggu masa yang sesuai untuk bertindak, maka pada 10 Ogos 1983 apabila Yang DiPertuan Agong Ketika itu Sultan Ahmad Shah enggan memperkenankan satu rang undang-undang belanjawan yang diluluskan oleh Parlimen pada 3 Ogos 1983. Keengganan Seri Paduka itu kerana ada dua pindaan yang melibatkan kedudukan beliau.

Pertama, menetapkan tempoh 15 hari bagi Seri Paduka memberi perkenan setiap rang undang-undang yang diluluskan oelh Parlimen. Jika sekiranya Seri Paduka tidak memberi perkenan dalam tempoh tersebut secara otomatik menjadi undang-undang. Sebelum pindaan ini dicadangkan tidak ada had tempoh tertentu ditetapkan baik di peringkat negeri atau di peringkat persekutan. Kedua mengenai kuasa mengistiharkan darurat. Dalam Perlembagan, kuasa mengistiharkan darurat terletak di tangan Yang Dipertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri, tetapi cadangan pindaan itu pindah ke tangan Perdana Menteri.

Maka tercetuslah perhimpunan rakyat di seluruh negara yang lebih dikenali sebagai Krisis Perlembagaan akibat keengganan Yang DiPertuan Agong memperkenankan pindaan tersebut yang kononnya bagi mengekalkan dan menegakkan kuasa Eksekutif pilihan rakyat. Rang undang-undang itu akhirnya ditandatangani oleh Timbalan Yang DiPertuan Agong setelah dibuat pindaan tempoh perkenaan di panjangkan dari 15 hari ke 30 hari.

Mahathir tidak berpuas hati dan menaruh dendam terhadap Raja-raja terutamanya Sultan Pahang dan Johor dan menunggu peluang untuk bertindak. Pucuk dicita ulam mendatang apabila tercetus satu peristiwa Sultan Johor memukul Jurulatih Hoki Maktab Sultan Abu Bakar dan pada 10 Disember 1993, Timbalan Perdana Menteri ketika itu Ghafar Baba telah membuat usul khas di Parlimen memberitahu dewan bahawa seorang rakyat Malaysia bernama Douglas Gomez telah dicederakan di Istana Bukit Serene oleh Sultan Johor pada 30 November 1992.

Perbincangan mengenai usul itu telah mendedahkan pelbagai perilaku buruk Sultan Johor yang selama ini menjadi rahsia umum dan tidak pernah tersiar di mana-mana akhbar dan media massa. 12 orang wakil UMNO dari setiap negeri termasuk wakil Pergerakan Pemuda dan wanita membahaskan usul itu pada 1 Disember 1993. Wakil PAS dan PMS46 menyuarakan bantahan secara lebih beradab dan bertatasulila dan menyokong usul memansohkan perkara 181(2) bagi membuang kekebalan Raja-raja dan Raja-raja boleh didakwa di mahkamah khas.

Anggota parlimen Arau, Shahidan Kassim menjadi juara bila mendedahkan keburukan keluarga DiRaja Johor yang bertanggungjawab melakukan 23 kes penganiayaan ke atas termasuk memukul, mencedera dan merogol semenjak dari tahun 1972. Semua Sultan didedahkan keburukkan mereka di tengah-tengah rakyat jelata, kecuali Sultan Kedah. Ketika itu moral Sultan-sultan terhina di mata rakyat.

Imej Sultan Kelantan tercemar teruk akibat perbuatan Annuar Musa dan Raja Katak Ibrahim Ali. Pada 29.4.1993 upacara melantik Tengku Ibrahim Indra Petra telah dilangsungkan di Ketereh anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan [Annuar Musa Pengerusinya] bagi mengantikan Sultan Ismail Petra yang ada sekarang, yang pada pemikiran pada waktu itu Sultan Ismail bukan waris yang sah. Hai, Annuar dan Ibrahim apa jadi sekarang.

Program Semarak di Lubok Jong, Pasir Mas, Mohamad Yakob menghina Sultan. Pada 23.4.1993 UMNO membuat perarakan ke istana menyerah memorandum mendesak Sultan turun tahta dan kes melarikan kereta Lamborghini meriuhkan seluruh negara.

Pak Lah terpaksa mengakui era pemerintahannya di bawah langit terbuka. Maklumat masuk dan keluar seumpama arus sungai yang kuat yang turun dari bukit. Walau bagaimana cara sekali pun membuat benteng, arus yang turun dengan kuat itu akan membawa benteng bersama-samanya, air akan melimpah keluar.

Era Pak Lah adalah era ICT dunia global. Maklumat akan diperolehi dari pelbagai sumber. Rakyat semakin celik dan berpendidikan. Ini bukan zaman 60an atau 70an yang mana rakyat akan menelan bulat-bulat apa jua maklumat yang disalurkan oleh kerajaan. Era Mahathir boleh bertahan dengan cara penyampaian maklumat seperti ini dan dari sumber kedua dihalang dan disekat. Rakyat terus bergerak ke hadapan menghadapi cabaran globalisasi dan IT.

Rakyat Malaysia menuntut hak kebebasan mendapat maklumat berasaskan budaya kita dan ajaran Islam, bukan kebebasan tanpa had seperti yang berlaku di negara-negara barat. Mahathir mengunakan kaedah dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat penyaluran maklumat pandangan kedua ini bagi meneruskan pemerintahan ala diktator. Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dibentangkan di Parlimen pada 3.12.1987 selepas 35 hari Operasi Lalang yang dicetuskan oleh UMNO dan MCA. Berikutan itu The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan diharamkan.

Akta Polis juga turut dipinda pada 4.12.1987 bagi mengekang pergerakan yang anti kerajaan yang kononnya boleh memudaratkan keselamatan negara. Akta Hasutan 1948 juga dipinda menyebabkan Lim Guan Eng terhempap ke penjara kerana mempertikaikan keputusan mahkamah dalam kes Rahim Tamby Chik yang sekarang ini berangan-angan untuk menjadi jaguh pemimpin pemuda Islam Antarabangsa. Tolong cermin muka dulu.

Sistem kehakiman yang menjadi nadi dalam pemerintahan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran telah rosak teruk akibat angkara Mahathir dan menghakis keyakinan terhadapnya. Usaha pemulihan ini menjadikan Pak Lah merasa amat tertekan kerana pemulihannya memakan masa yang lama untuk menyakinkan balik rakyat terhadap peranan kehakiman membela keadilan dan mencari kebenaran dan menentang ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

Di era Mahathir memerintah campur tangan secara berluasa pihak Eksekutif ke atas Institusi Kehakiman secara berluasa telah menyebabkan institusi ini tidak dihormati oleh rakyat lagi. Perkara ini tidak pernah berlaku di waktu Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak dan Hussain Onn memerintah Malaysia

Mahathir mula memandang serong terhadap institusi ini ketika Salleh Abas menjadi Ketua Hakim Negara mengantikan Sultan Azlan Shah [ Sultan Perak sekarang ]. Salleh menafsir undang-undang mengikut peraturan yang ditetapkan. Kadang-kadang keputusan yang dibuatnya menyenangkan hati kerajaan dan kadang-kadang menimbulkan kemarahan pihak kerajaan. Contohnya kes John Berthelson, wartawan Asian Wall Steet journal yang mana keputusan yang dibuat oleh Salleh menimbulkan kemarahan Mahathir.

Selepas tarikh tersebut, Mahathir mula menyindir dan menyerang Hakim-hakim, misalnya ketika beliau membentangkan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1987, beliau berkata " undang-undang ini dipinda kerana kerajaan yang mewakili rakyat berpendapat amatlah bahaya jika pentadbiran negara ditafsirkan mengikut budicara dua tiga orang sahaja ".

Sikap Salleh pula dalam membela Hakim-hakim pula berkata, " pentafsiran merupakan bahagian terpenting dalam mana-mana undang-undang dan oleh itu para Hakim mestilah diberi kepercayaan".

Mulalah berlaku pertembungan terbuka di antara Mahathir dengan Institusi Kehakiman, khususnya dengan Salleh Abas. Mahathir menunggu waktu yang sesuai untuk memecat Salleh. Waktu yang tunggu-tunggu pun tiba, apabila kes pengharaman UMNO yang berlaku pada 4.2.1988 oleh Hakim Harun Hashim akibat perebutan jawatan di antara Mahathir & Ghafar V  Ku Li & Musa pada 24.4.1987.

Dalam penghakiman tersebut, Harun mengunakan peruntukan Akta Pertubuhan seksyen 12 (1) dan (3) yang mengatakan mana-mana cawangan yang tidak berdaftar, maka pertubuhan itu dianggap tidak sah atau haram. Disamping itu, beliau menyarankan agar Mahathir mengunakan seksyen 70 yang boleh dikecualikan dengan kuasa menteri [ ketika itu Mahathir ialah Menteri Dalam Negeri ], tetapi Mahathir tidak mengunakan kuasa ini kerana beliau ada muslihat sendiri dan kita dapat menyaksikan sendiri peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas itu.

Pada 17.3.1988 satu pindaan rang undang-undang perlembagaan mengenai kehakiman telah dipinda dan dalam ucapan pembentangan tersebut Mahathir berkata " kehakiman sepatutnya menumpukan perhatian kepada keadilan dan tidak memihak kepada sesiapa dan tidak terbabit dalam politik".

Apabila kumpulan 11 membawa kes ini ke Mahkamah Agong yang mana salah seorang Hakim yang akan mendengar kes itu ialah Salleh. Ini mengecutkan perut Mahathir dan beliau terpaksa mencari jalan untuk membersarakan Salleh secara terhormat.

Salleh dipanggil mengadap Mahathir pada 27.5.1988, ada bersama beliau ketika itu ialah Ghafar Baba dan Salahuddin Mohamad [ KSN ] menyuruh Salleh bercuti untuk bersara awal. Pada  28.5.1988 beliau menyerahkan surat permohonan bersara awal, tetapi apabila beliau menerima surat bertarikh 26.5.1988 memberitahu beliau akan digantung jawatannya, pada 29.5.1988 beliau menarik balik surat tersebut dan pada 31.5.1988 beliau digantung dari jawatannya.

Oleh itu, Mahathir terpaksa mencari jalan lain untuk memberhentikan Salleh mengikut aturan Perlembagaan iaitu dengan menubuhkan sebuah tribunal. Salleh dituduh dengan 5 salahlaku dan akhirnya tribunal mendapati beliau bersalah dan dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara. Perkara ini merupakan campur tangan secara langsung Mahathir.

Bagi memastikan Salleh dipecat beliau melantik Hamid Omar pemangku Ketua Hakim Negara dan melantik Hakim-hakim yang lebih rendah kedudukannya dari Salleh dan Hamid bertindak sebagai Pengerusi pada tribunal bagi memastikan rancangan ini berjaya dan pada prinsip undang-undang Hamid  tidak layak kerana beliau mempunyai kepentingan diri dalam kes ini. Dan akhirnya mengikut Perlembagan perkara 125(3) pada 8.8.1988 Salleh dipecat melalui sepucuk surat bertarikh 6.8.1988. Inilah merupakan sejarah seorang Ketua Hakim dipecat dan Mahathir mengukir namanya disitu.

Kes Hamid Omar yang ketika itu Ketua Hakim Negara telah melakukan banyak salahlaku sepertimana yang dilaporkan oleh MP Bukit Bintang Wee Choo Keong seperti melibatkan diri dalam perniagaan Syarikat Seri Azha Sdn Bhd, kekayaan melebihi dari kelayakan, menjual kereta mercedes benz 280SE no.plat WBD 1 kepada presiden/ cheif executif MBF Loy Hean Hong dan pertemuan dengan Loy pada pagi [10.00pagi] di supreme court yang mana kes Loy masih lagi berjalan melawan MP Bukit Bintang. Malangnya tidak sebarang tindakan diambil terhadap Hamid, lebih melucukan lagi di awal perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara beliau mencadangkan Pindaan Perlembagaan 1994 berkaitan dengan kod etika Hakim-hakim, tetapi beliau sendiri melanggar kod etika yang beliau sendiri cadangkan itu.

Begitu juga ketika Eusoff Chin menjadi Ketua Hakim Negara melanggar kod etika ini seperti menurut perintah pihak eksekutif khususnya Mahathir agar semua kes yang bersangkutan dengan kerajaan [UMNO] supaya memihak kepada kerajaan. Umpamanya kes pengundi hantu di Likas yang mana Hakim Mohd.Kamil Awang menyebut orang atas{Eusoff Chin] menyuruh beliau membuang kes itu. Laporan polis dibuat, tetapi tidak ada siasatan dibuat. Mengikut Dr.Hussain Ali menjelaskan kemungkinan juga Eusoff Chin menyuruh Hakim Augustine Paul menolak petisyen yang dibuat oleh Dr.Jayakumar di Sungai Siput, Perak.

Satu peristiwa yang paling mencemarkan imej institusi ini ialah peristiwa percutian Eusoff Chin bersama keluarga, Mokhtar Abdullah, V.K. Lingam bersama keluarga dan Vincent Tan di Itali pada 10 hingga 22.12.1994. Berita percutian ini disiarkan oleh akhbar Asian Wall Sreet Jounal [AWSJ] oleh Raphael Pura. Percutian ini dianggap oleh akhbar itu sebagai percutian memilih hakim. Perlu diingatkan bahawa ketika itu Vincen Tan menyaman MGG Pillai yang menulis satu artikal yang bertajuk " Malaysian Justice On Trial In International Commercial Litigation" disiarkan oleh AWSJ yang dianggap mefitnahkan dan menjejaskan imejnya sebagai seorang tokoh korporat terkenal dan menuntut ganti rugi. Hakim R.K. Nanthan menolak permohonan Vincen Tan. Peguambela Vincen Tan ialah V.K Lingam.

Lingam mempunyai hubungan rapat dengan Eusoff dan Mohtar. Hasil percutian ini Hakim Mokhtar Siding ketika itu hakim Mahkamah Rayuan dan yang juga Pengerusi  Jawatankuasa Disiplin Peguam-peguam dipilih mendengar rayuan Vincen Tan itu. Hakim Mokhtar mengarahkan MGG Pillai membayar kepada Vincen Tan RM10 juta. Amat malang bahawa kes keputusan oleh hakim ini dipinda, dipadam dan ditaip di pejabat V.K Lingam sebelum dihantar kepada Mokhtar Siding untuk membaca keputusannya.

Mahathir banyak membuat komen tentang perjalanan mahkamah yang mana beliau boleh diketagorikan sebagai menghina mahkamah sepertimana beliau banyak membuat komen tentang peristiwa Anwar yang mana dia jatuhkan hukuman sebelum mahkamah berbuat demikian, enggan menjadi saksi dan kes Lim Guan Eng yang mana beliau membuat komen tentang Mahkamah Tinggi Melaka jatuhkan hukuman ringan sedangkan ketika itu kes Lim sedang didengar di Mahkamah Rayuan di KL untuk menambah hukuman.

Mahathir dan Pemuda Umno adalah Maha Dayus!
Bung Karno
03-11-2003


BUKAN main lagi Tepak Bersulam membelasah Pemuda Pas dan Keadilan yang 'mencacatkan' kesedihan (dibaca kemeriahan) persaraan Tun Dr Mahathir daripada jawatan Perdana Menteri. Bacaan mudahnya ialah Pemuda-pemda BA hanya berani melaporkan kesalahan Mahathir setelah beliau tidak berkuasa sebagai PM. Tersuratnya, sewaktu Mahathir gagah sebagai PM, semua pimpinan pemuda BA menjadi tikus menyorok di lubang yang maha dalam. Itu ludahan kahak Tepak Bersulam dalam Gerbang Tempur Puteri Umno yang pasti akan dijilat semula selepas ini.

Massa tidak pernah lupa pertempuran politik antara BA dengan BN. Menuduh pemuda BA dayus kerana menjadi tikus di hadapan kuasa PM, dengan harapan kelompok Umno maha hebat, kebal dan gagah! Saya akan paparkan siri 'anak jantan' pemuda BA yang dikatakan dayus. Ingat, jika tindakan jantan pemuda ini sudah diistilahkan dayus, sila beri istilah baru dengan kecutnya Pemuda Umno.

Pertama: Laporan polis terhadap salah laku Mahathir selepas persaraannya. Mahathirlah manusia paling berkuasa di Malaysia selama 22 tahun sama ada jelas dengan kuasa politik atau melalui undang-undang. Dengan kuasa besarnya dia menjadi besar kepala. Siapa bilang tidak ada laporan polis terhadap salah laku Mahathir apabila menegah Pengarah BPR Datuk Shafie apabila cuba menyiasat Gabenar Bank Negara Abul Hassan. Media perdana tidak berani mencatat berita ditemukannya tunai RM 100,000.00 di tangan Abul Hassan. Mahathir segera mengangkat tongkat amarannya, "berani awak kenakan pegawai saya." Apa sudah jadi dengan laporan polis pemuda BA. Itu berlaku sebelum Ezam disumbat ke Kem Kemunting.

Bukankah selama Mahathir menjadi PM semua institusi kerajaan menjadi kuda. Takutkan kuasa ceramah BA, permit ceramah dibekukan. Polis dijadikan pelindung ketakutan Mahathir. Pimpinan BA di peringkat kawasan berjumpa sendiri dengan ketua-ketua polis daerah mengenai 'demi keselamatan'. Polis tidak mampu menjawab kecuali ini adalah masalah politik orang atasan! Ingat, Ustaz Fadzil Noor telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara untuk berbincang dengan KPN mengenai 'demi keselamatan' dalam ceramah BA. Polis yang megah dengan 'cepat dan betul' akhirnya menjadi 'tikus betul'. Sampai Ustaz Fadzil meninggal, tidak secebis kertas menjawab surat tersebut. Semua yang memalukan polis itu kerana kerja Mahathir.

Lihat dalam kes Anwar, sampai sekarang masalah tidak selesai. Zaman Mahathir, Malaysia ada dua versi undang-undang. Satu untuk semua rakyat, satu lagi untuk Anwar. Kalau orang lain dituduh seperti Anwar mereka bisa dijamin, bisa diberi rawatan dan sebagainya. Dahulu banduan Abdullah Ang meski masih dihukum penjara tetap mengurus bisnesnya di luar penjara! Satu dunia Mahathir menuduh Anwar buat kerja hina, apabila peguam bela mahu Mahantir memberi bukti di mahkamah, Mahathir menjadi tikus meminta para hakim menggalikan lubang yang dalam untuknya menyorok. Oh itu tidak dayus! 

Kedua: Dayuskah Salahuddin dan Ezam! Salahudin, Mahfuz dan seorang ahli Pas sanggup masuk sel Mahathir kerana menentang kehadiran pasukan kriket Israel ke KL. Undangan pasukan Israel itu kehendak Mahathir! Negara mengamalkan dasar luar membenci Israel, malah sesiapa yang masuk ke Israel akan ditangkap, Mahathir mahukan Israel. Wajiblah Pemuda Pas menggegarkan medan mengatakan itu kerja bodoh Mahathir. Pemuda Pas tahu mereka berdepan dengan sel. Namun Pemuda adalah anak jantan yang sanggup menggadai kebebasan untuk menentang kerja biadap seorang PM.

Ezam sanggup masuk sel selama 2 tahun kerana melanggar OSA Mahathir. Semua tahu Ezam dijadikan banduan kerana membongkar kes rasuah Rafidah Aziz dan Rahim Tamby Chik, bukan Ezam yang makan rasuah! Apa Pemuda Umno buat untuk membendung rasuah di kalangan orang besar. Saya sebut, sepanjang menjadi ketua Pemuda Umno, tak sekali pun Datuk Hisham menyebut kesungguhannya membanteras rasuah dan penyelewengan! 

Pendekarkah Hisham memimpin Pemuda Umno? Tidak pernah sekalipun Hisham sanggup berdepan dengan Mahfuz sama ada debat satu lawan satu atau dalam forum biasa. Kalau orang politik tidak berani bertarung lidah, pergilah buat direct selling alat-alat solek. Saya yakin dalam Umno pun cukup malu dengan Hisham sebagai Ketua Pemuda. Jika Hisham tidak sanggup gugur sehelai bulu romanya dalam perjuangan, minta Tepak Bersulan berikan istilah yang paling tepat.

Jangan sebutlah soal dayus kalau belum teruji dalam perjuangan. Pemuda BA adalah kumpulan yang paling layak berbicara soal perjuangan kerana telah menempuh mehnah dihina, difitnah sehingga disumbat ke dalam sel. Sekarang beban melaksanakan keadilan dalam negara di bahu Pak Lah. Jika Pak Lah tidak punya kredibiliti, dia akan menggunakan standard Mahathir. Maknanya teruskan zaman gila Mahathir selama 22 tahun, cuma wataknya seorang cucu ulama besar. Apabila ditanya soal ketidakadilan, tentulah Pak Lah akan menjawab 'kita ada cara sendiri'. Siapa yang sanggup menyanggahnya? Jawabnya, semua kelompok dalam BA, khasnya kaum pemuda!


 

 

 

PENUTUP

Masalah ini yang amat berat untuk Pak Lah untuk memikulnya akibat perbuatan Mahathir yang menjadikan Malaysia sebuah syarikat sendiran berhad, tempat membahagi-bahagikan kekayaan negara di kalangan kroni-kroninya. Pak Lah ada dua cara untuk mengatasi masalah berat ini. Pertama berdasarkan ucapan beliau di perasmian perhimpunan Ketua Pemuda dan Wanita yang lalu, yang mana beliau menegaskan pemerintahannya berteraskan perintah Allah dan RasulNya, maka menjadi kewajiban pada Pak Lah untuk memulihkan balik sistem pentadbiran negara ke tempat asal. Pak Lah terpaksa memusing balik jarum jam ke belakang untuk memulakan langkah baru, walaupun beliau akan menghadapi risiko yang besar dikala suasana politik semasa yang tidak memberangsangkan kepada UMNO. Kalau beliau tidak melakukan pembaikkan, hanya Allah yang mengetahui apa kesan dan akibat dari pengistiharannya itu.

 

Kedua, beliau akan bertindak meneruskan apa saja tindakan-tindakan yang telah dilakukan oleh Mahathir yang nyata dan jelas telah menjerumuskan negara dan bangsa ke arah kehancuran. Malah berkemungkinan besar Pak Lah akan bertindak lebih ganas dan kejam lagi berbanding apa yang telah dilakukan oleh Mahathir. Kemungkinan itu tetap ada berasaskan tingkah laku beliau akhir-akhir ini. Mungkin beliau menutup terus saluran maklumat kedua dan mengunakan pasukan polis semaksima mungkin untuk melemahkan kebangkitan pembangkang khususnya PAS dan megembalikan kekuatan UMNO walaupun ianya bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi.

 

Kalah dan menang boleh dibuat-buat, yang tidak boleh dibuat-buat oleh manusia adalah haq, bathil, kebenaran dan kepalsuan. Kebenaran tetap benar dan rakyat akan tahu juga akan benaran tersebut.

 

Harapan itu ibarat satu jalan ke pendalaman. Ia asal tidak ada, tetapi bila orang ramai yang melaluinya, maka satu jalan akan terbentuk. Oleh itu, satu harapan mesti dikongsi ramai orang dan mesti tidak hanya bercakap tetapi harus bertindak. Jangan marah orang mengatakan orang gila sebagai gila, tetapi marahlah orang yang mengatakan orang gila tidak gila.

 

Oleh:

PUTERA