Islam Hadhari: Implikasinya mencemar akidah - Suatu Kritikan

Thursday, May 06 @ 15:45:55 MYT


Oleh Dr Shafie Abu Bakar

Pendahuluan
 

MUTAKHIR ini ulama Umno berhempas pulas cuba mengolah konsep 'Islam Hadhari' yang istilahnya dikoin dan dibekalkan kepada YAB Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam ucapannya pada satu persidangan awal tahun ini.

Islam Hadhari dikatakan merupakan projek khas YAB Perdana Menteri. Di dalam kertas kerja 'Program Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari Fasa Kedua Tahun 2004' dinyatakan:
 

"Program Seminar ini merupakan program khas yang akan dilangsungkan secara besar-besaran di seluruh negara yang akan melibatkan sektor kerajaan, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta, bank-bank, syarikat-syarikat korporat yang besar serta badan-badan berkanun."

Dari objektifnya antaranya dikatakan:
 

"Rata-rata rakyat negara ini disalahertikan dan menolak pembangunan itu sebagai tuntutan agama yang mereka pelajari dari ceramah-ceramah jalanan yang tidak berhemah. Dengan memahami penjelasan ini, ia akan membentuk masyarakat Islam yang cemerlang melalui penghayatan nilai-nilai Islam yang sebenar dan membentuk semua pekerja di negara ini menyokong usaha-usaha kerajaan dan Umno bagi mencapai matlamat wawasan 2020."
 

Antara tujuan yang diperturunkan ialah:
 

"Program seminar ini akan mempastikan seluruh kakitangan/pekerja di negara ini sebagai jentera kerajaan dan Umno yang terlibat secara langsung dengan pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan Barisan Nasional sekaligus memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN."
 

Seminar secara berperingkat yang akan dilakukan di seluruh negara menyasarkan untuk tahun ini seramai 700,000 pekerja dengan peruntukan sebanyak RM41.12 juta.
 

Huraian: Mengapa Islam Hadhari?
 

Sebelum ini Umno merasa tergugat dengan gagasan 'Negara Islam' dan dokumen Negara Islam' yang dilancarkan oleh PAS pada akhir 1424/2003.
 

Sebelumnya Umno mendakwa bahawa Malaysia 'Negara Islam' dan Umno parti yang memperjuangkan Islam, tetapi tidak pernah mengeluarkan sebarang dokumen 'Negara Islam' dakwaannya.
 

Dalam pada itu perisytiharan Malaysia 'Negara Islam' ala Umno tidak disenangi orang bukan Islam dalam parti-parti komponan BN dan juga di luar BN seperti DAP.
 

Dalam pada itu Umno sendiri merasa tercabar dengan dakwaan 'Negara Islam', kerana seharusnya ia menyediakan dokumen 'Negara Islam'nya, sedangkan Umno tidak pernah ikhlas untuk menegakkan 'Negara Islam' sebenarnya.
 

Sebab itu 'Islam Hadhari' memperlihatkan sifat tercari-cari Umno tentang gagasan Islamnya. Ianya adalah helah dan pelarian dari penjelasan 'Negara Islam' yang didakwa Umno.
 

Istilah Hadhari
 

Bagi mengelak daripada terperangkap dengan olahan 'Negara Islam' Umno, ulama Umno mencari-cari istilah yang dapat menarik perhatian masyarakat dan sekaligus mengabui mereka, maka dikemukakan istilah 'Islam Hadhari'.
 

UMNO sedar ada sebuah istilah yang telah terkenal dipopularkan di Malaysia, iaitu 'Masyarakat Madani'.

Istilah ini telah diperkenalkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa beliau berjawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, ketika menyampaikan kertas kerja berjudul, "Islam Dan Pembentukan Masyarakat Madani" yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia dari 19 - 21 September 1996 (Masyarakat Madani, 1998: VI).

Tetapi oleh kerana istilah ini diperkenalkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, maka ianya menjadi fobia bagi Umno dan dijauhinya sejauh-jauhnya.
 

Biarpun istilah ini lebih tepat dan jitu. Pengemukaan 'Islam Hadhari' secara yang boleh dipersoalkan adalah bertujuan untuk menandingi dan kalau boleh menenggelam dan menghapuskan istilah dan konsep 'Masyarakat Madani' itu.
 

Istilah 'Hadhari' bukan sebenarnya istilah asli yang dikemukakan oleh 'ulama Umno, tetapi diciplak dari istilah yang digunakan oleh Ibn Khaldun di dalam bukunya yang berjudul 'Muqaddimah Ibn Khaldun'.
 

Ibn Khaldun di dalam membicarakan tentang perkembangan masyarakat, menurutnya bermula dari Badwi (darat/hulu), membawa kepada Hadhari (maju/semasa), Madani (bandar/bertamaddun) dan Misri (kota/berbudaya). Istilah-istilah ini digunakan bagi menunjukkan tahap perkembangan dan kemajuan masyarakat ( Ibn Khaldun, 1948: 122).
 

Penggunaan istilah-istilah berkenaan oleh Ibn Khaldun yang menisbahkan kepada masyarakat adalah tepat. Dato' Seri Anwar juga yang turut meminjam dari istilah Ibn Khaldun 'Madani' dan dinisbahkan kepada masyarakat adalah tepat, iaitu 'Masyarakat Madani, manakala penggunaan istilah 'Hadhari' yang dinisbahkan kepada Islam adalah tidak tepat, mengelirukan, bahkan salah kerana ianya boleh mencemarkan akidah.
 

Kritikan: Istilah Islam
 

Istilah Islam adalah berasal dari al-Quran dan Hadith. Banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh dipetik.

Contoh ayat al-Quran bermaksud:
 

"Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah ISLAM" (Al-Imran, 3: 19)
 

Juga ayat bermaksud:
 

"Pada hari itu Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu (Islam) dan Aku lengkapkan kepada kamu nikmatKu dan Aku redhakan kepada kamu Islam sebagai agama".

Manakala Hadith dapat dipetik contoh hadith riwayat Abi Hurairah bahawa Nabi s.a.w. disoalkan tentang Iman, Islam dan Ihsan (Riwayat Bukhari).
 

Kefahaman Ilmu
 

Dari 'Islam' dapat dirumuskan antaranya sebagaimana berikut:
 

i) Islam adalah satu agama dari Allah yang sempurna lagi lengkap yang tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan.

ii) Islam merangkumi segala yang maujud. Menjadi keilmuan dan panduan.

iii) Islam boleh diolah secara tauhid, falsafah, prinsip, hukum, ilmu, akhlak dan sebagainya.

iv) Islam melahirkan negara, tamadun, peradaban dan kesusilaan.

v) Islam melahirkan masyarakat umat yang mempunyai identiti dan ciri tersendiri.
 

Sayyid Qutb di dalam membicarakan hakikat masyarakat Islam mengatakan:
 

"Sistem masyarakat Islam itu bersumber dari aqidah Islam dan ditentukan polanya oleh Syariat Islam, maka dalam penyegaran dan pertumbuhannya sistem itu haruslah tunduk kepada sumbernya dan kepada syariat Islam yang menentukan bentuknya.
 

"Syariat Islamlah yang menguasai segala perkembangan di dalam sistem masyarakat yang bercorak Islam itu. Dalam pengarahannya, sistem itu tidak memberi kelonggaran untuk menundukkan diri kepada sesuatu konsepsi asing yang menyimpang dari karakteristiknya sendiri, baik pengarahan yang bersifat menyeluruh (kulliy) maupun yang bersifat juziy (partial).'' (Sayyid Qutb, 1975: 66)
 

Dalam pada itu menurut Sayyid Qutb, jika ada secara kebetulan elemen-elemen tertentu yang dianggap baik dan mempunyai persamaan dengan sistem-sistem tertentu atau apa-apa penisbahan terhadapnya, maka tidak boleh dikaitkan dengan Islam contohnya 'Islam Sosialis', maka kata Sayyid Qutb:
 

"Adalah tidak layak sebenarnya untuk memberikan embel-embelan kepada Islam seperti di atas itu, kerana sistem Islam itu secara faktuil lebih tua (dari sistem sosialis - penulis) dan unggul.
 

"Ini dari segi gaya bahasa. Dari segi materinya, maka Islam adalah suatu sistem yang lengkap dan sempurna. Segala pengarahan yang terdapat di dalamnya berpangkal pada sendi-sendi yang tetap, terpaut pada idea yang menyeluruh dengan pembidangan yang teratur dan bersangkut rapat dengan akidah terhadap Allah." (Sayid Qutb, 1975: 24)
 

Makna
 

(Dari pemaparan di atas mari kita lihat 'Islam Hadhari' dari segi makna) Penggunaan Istilah 'Islam Hadhari' memberi implikasi makna sebagaimana berikut:
 

i. Ada faham (isme) tertentu (Islam Hadhari) yang ditempel (embel) kepada Islam yang faham ini mencabul Islam sebagai agama yang lengkap, suci dan sempurna yang tidak perlu dikaitkan kepada mana-mana fahaman.

ii. Melihat Islam sebagai sesuatu yang terhad, iaitu dari segi 'hadhari' (Maju dan Semasa), sedangkan Islam sebagai satu sistem yang menyeluruh yang mencakupi segala yang maujud. Ini merendahkan martabat Islam itu sendiri.

iii. Mengaitkan Islam dengan kemahuan pihak tertentu (Umno). Alangkah tidak beradabnya mereka yang terlibat terhadap Islam (lihat kertas kerja dan judul-judul kertas cadangan bagi Islam Hadhari).

iv. Memaksa Islam dengan kemahuan-kemahuan semasa yang tidak wajar dikaitkan dengan kesucian Islam (Contoh: Objektif Islam Hadhari: Membentuk semua pekerja di negara ini menyokong usaha-usaha kerajaan dan Umno bagi mencapai matlamat wawasan 2020).

v. Meninggalkan aspek-aspek kesempurnaan Islam yang lain seperti perundangan Islam dan dari satu segi mencemar Islam, kerana di dalam Islam Hadhari di Malaysia ada perkara-perkara yang bercanggah dengan Islam yang tidak diambil tindakan yang selaras dengan kehendak Islam seperti membiarkan perjudian, riba dan segala jenis maksiat.
 

Implikasi Dari Segi Aqidah Tauhid
 

(Dari pemaparan di atas mari pula kita lihat implikasi dari segi akidah tauhid)

i) Dalam sejarah pemikiran Islam, walau betapa pun berlakunya pelbagai pendapat. Misalnya lahirnya golongan Asha'irah, Maturidiyyah dan Mu'tazilah di dalam bidang usuluddin dan ilmu al-kalam (Al-Baijuri, t.t. 28 -29.).
 

Mereka tidak dinisbahkan kepada Islam Asha'irah, Islam Maturidiyyah atau Islam Mu'tazilah. Ini untuk mengelak dari perkara yang mengelirukan di dalam Islam.
 

Lagi pula kelahiran ini adalah merupakan aliran-aliran yang tumbuh di dalam peradaban dan tamadun masyarakat Islam. Ianya merupakan pengolahan terhadap Islam. Di dalam konteks ini tidak sewajarnya menempelkan 'Hadhari'' kepada Islam.

ii) Islam sebagai agama Allah yang bersifat syumul, tidak seharusnya dilihat kesyumulannya hanya kepada aspek yang dianggap significant dan dalam masa tertentu (kekinian). Implikasinya aspek-aspek yang lain tidak sempurna?

iii) Jelas dari kertas kerja 'Islam Hadhari'' memperlihatkan Islam diguna dan diperalatkan bagi kepentingan ideologi dan parti tertentu (Umno).

Sesungguhnya Allah Amat Mengetahui akan niat dan keikhlasan atau sebaliknya pihak-pihak berkenaan.

iv) Istilah 'Hadhari' bila dikaitkan dengan Islam tidak dapat mengelak dari pencemaran akidah, maka sebab itu hendaklah dinisbahkan pertumbuhan yang lahir dari nilai dan syariat Islam kepada masyarakat.

Contohnya 'Masyarakat Madani'. Istilah ini tepat dan menarik kerana ianya mempunyai akar kata dan pecahan yang tumbuh dan berkembang di dalam tamadun dan peradaban Islam.
 

Contohnya berasal dari Madinah (tempat berkembang suburnya Islam), berkait dengan tamaddun (peradaban dan susila), berkait dengan kata 'Din', iaitu tempat dikembangkan agama Islam, berkait dengan 'Dayn', iaitu manusia terhutang dengan Allah, kerana nikmat yang dikurniai-Nya, sebab itu manusia perlu patuh kepada-Nya dan berkait dengan kata 'Dana', iaitu dekat dengan Allah dan juga bererti mudah dipelajari (Islam).
 

Manakala istilah 'Hadhari' tidak ada perhubungan dengan sebarang istilah yang merujuk kepada tamaddun dan peradaban Islam. Mengapakah istilah yang miskin, tidak tepat dan tidak berkembang di dalam perbendaharaan Islam ini menjadi pilihan ?
 

v) Secara sedar atau tidak mereka yang terlibat dengan gagasan 'Islam Hadhari' adalah mereka yang terpengaruh, bahkan terjebak dengan faham sekularisme Barat.

Berhubung dengan faham sekularisme ini Syed Naquib al-Attas di dalam bukunya Islam And Secularism mengatakan:
 

''The term secular, from Latin saeculum, conveys a meaning with a marked dual connotation of time and location; the time referring to the 'now' or 'present' sense of it, and the location to the 'world' or 'worldly' sense of it. Thus saeculum means 'this age' or 'present time', and this age or the present time refers to events in this world, and it also then means 'contemporary events (Al-Attas, 1978: 14).
 

Jelas 'Islam Hadhari' yang bermakna Islam semasa, kini dan sekarang melihat kemajuan secara terputus kepada pergolakan semasa, moden dan kini dan terpisah dari kesyumulan Islam secara keseluruhan, khususnya dari segi akidah, syariat dan nilai serta akhlak.
 

Penglihatan lebih didominasi oleh konsep kemajuan alam kebendaan dan sekular terpisah dari kerohanian.

'Islam Hadhari' jika tidak sepenuhnya bersifat sekular sebagaimana dihuraikan di atas, setidak-tidaknya tidak terlepas dari pandangan dan pengaruh sekular itu.
 

Pengaruh sekular ke dalam pemikiran tokoh-tokoh ulama Umno bukan secara kebetulan, kerana bukan satu rahsia lagi ada kalangan pensyarah dan ulama yang mendokong Umno terang-terang menampilkan pandangan yang bersifat sekular baik di dalam bilik kuliah, di dalam ceramah, forum dan penulisan sehingga orang awam sendiri merasa tidak senang.
 

Disebabkan itulah tidak hairan pandangan yang bersifat sekularisme meresap masuk ke dalam rangka dan gagasan 'Islam Hadhari'.
 

Kesimpulan

(Bagi menjaga kesucian Islam, maka di bawah ini diperturunkan beberapa cadangan)
 

i) Agama Islam adalah agama yang suci lagi lengkap, maka segala usaha secara ikhlas bagi menegakkan Islam, hendaklah atas nama ISLAM semata-mata.

Usaha menempel atau melabelkannya dengan sesuatu boleh merosakkan kesucian Islam itu sendiri. Ini adalah merupakan sebaik-baik pendekatan.
 

ii) Seandainya hendak juga ditempelkan sesuatu, maka janganlah ditempelkan pada Islam yang sudah lengkap, tetapi bolehlah pada aspek-aspek pengolahan terhadap Islam, misalnya Masyarakat Madani (hasil dari acuan akidah-syariat Islam).
 

iii) Istilah 'Islam Hadhari' khususnya istilah 'Hadhari' agak janggal dan asing. Ianya tidak tumbuh dan berkembang di dalam peradaban dan persuratan Islam, sekurang-kurangnya tidak sebagaimana istilah 'Madani' bagi 'Masyarakat Madani.
 

iv) Andainya istilah ini (Hadhari) mahu digunakan, walaupun 'Madani' lebih wajar, tetapi kerana ianya dipopularkan oleh Dato' Seri Anwar dan mahu dielak (tidak wajar dari segi ilmu dan kebenaran), maka hendaklah digunakan Masyarakat Hadhari, bukannya 'Islam Hadhari'.
 

v) Jangan terjebak ke dalam pengaruh sekularisme yang boleh merosakkan kesucian Islam dan boleh mencemarkan akidah.
 

Rujukan:
 

Al-Attas, Syed Muhammad al-Naquib. 1978. Islam And Secularism. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam (ABIM).

Al-Bayjuri, Ibrahim. T.t. Hashiyat Tuhfat al-Murid 'Ala Jawharat al-Tawhid. Misr: Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyyat.

Ibn Khaldun. 1984. Muqaddimat Ibn Khaldun. Beirut: Dar al-Qalam.

Masyarakat Madani: Satu Tinjauan Awal. 1998. Selangor: Institut Strategi Pembangunan Malaysia (MINDS).

Sayyid Qutb. 1975. Masyarakat Islam. Bandung: PT al-Ma'arif. - mks.