Assalamu'alaikum wrt.wbh

 

Saudara-saudara budiman pengkianatan UMNO terhadap Bahasa Melayu ini tulisannya panjang, oleh dinasihatkan apabila klik tajuk ini ,sila disconnetkan untuk menjimatkan bil telefon anda. Selepaskan itu anda boleh connet semula untuk bacaan seterusnya.

-------------------------------------------------------------------

Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa


Mulai hari ini, Laman M@RHAEN akan menerbitkan semula beberapa penulisan/kertas kerja/kertas persidangan oleh beberapa orang penulis, yang menyentuh mengenai 'bahasa' khususnya bahasa Melayu. Siri pertama (daripada tujuh kesemuanya) bertajuk 'Isu Bahasa Dan Pembentukan Bangsa' adalah merupakan Kertas Persidangan yang ditulis oleh Ahmat Adam (Universiti Malaysia Sabah). Himpunan penulisan ini telah dikirimkan kepada Laman M@RHAEN oleh Sdra Nazmat pada awal Januari lalu.


ISU BAHASA DAN PEMBENTUKAN BANGSA
Oleh Ahmat Adam - Universiti Malaysia Sabah

 

PENDAHULUAN

 

Konflik etnik yang serius berulang kali berlaku dalam arus sejarah Semenanjung Malaysia sejak zaman kolonial lagi. Yang paling besar dan yang merupakan titik hitam dalam sejarah pembentukan bangsa di Malaysia ialah peristiwa 13 Mei pada tahun 1969. Peristiwa yang ditandai oleh rusuhan Melayu-Cina itu telah meledak apabila parti-parti pembangkang yang asasnya Cina (kerana kepemimpinan dan pendukungnya hampir keseluruhannya daripada kaum Cina) telah memenangi kerusi yang agak banyak bagi Dewan Perundangan Negeri di dua buah negeri yang diterajui oleh raja-raja Melayu. Yang mencetuskan rusuhan ialah momokan dan penghinaan yang dilakukan oleh para penyokong parti pembangkang terhadap orang Melayu.

 

Sekalipun faktor ekonomi tampak penting dalam analisis para sarjana tentang rusuhan kaum tahun 1969 itu, namun faktor kebudayaan, yang di dalamnya terangkum persoalan bahasa kebangsaan, kurang diberi perhatian, padahal faktor ini, khasnya faktor bahasa Melayu, merupakan masalah yang belum selesai, yang saya kira akan menjadi isu yang akan meluaskan konflik ras dan menggagalkan pembentukan suatu identiti kebangsaan dan seterusnya menggagalkan pewujudan suatu bangsa yang berwajah Malaysia.

 

ISU BAHASA

 

Mengapakah isu bahasa ini penting dan perlu diselesaikan? Orang politik di Malaysia akan mengatakan bahawa masalah ini sudah selesai. Walaupun Akta Pendidikan dan dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah-sekolah dan sekolah rendah hingga ke universiti telah dilaksanakan, isu bahasa ini sebenarnya belum lagi selesai. Sekalipun bahasa Melayu itu sudah diperundang-undangkan sebagai bahasa kebangsaan dengan nama bahasa Melayu, namun pada praktiknya martabat atau status bahasa itu masih rendah; bahasa itu kalah oleh bahasa Inggeris; bahkan pada tempat-tempat tertentu kalah oleh bahasa Mandarin juga. Sekarang ini seseorang siswazah universiti belum tentu dapat diterima bekerja di firma-firma perdagangan atau syarikat-syarikat yang dimiliki oleh swasta jika dia tidak mempunyai kelulusan ataupun penguasaan bahasa Inggeris. Bahkan orang peribumi yang tidak mengetahui bahasa Mandarin tidak mungkin diterima bekerja di firma-firma Cina yang sangat lazim mengambil pekerja daripada kelompok etniknya sendiri atau daripada golongan keluarganya sendiri.

 

Sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia masih lagi dalam proses membentuk keperibadiannya sebagai suatu bangsa. Masyarakat Malaysia ialah suatu masyarakat yang terbahagi-bahagi. Ini jelas dibayangkan oleh hakikat wujudnya parti-parti politik yang muncul atas dasar etnik. Walaupun usaha dan strategi dilaksanakan untuk mempertemukan kelompok-kelompok etnik terbesar di Malaysia pada tingkat politik nasional, etnisiti sebagai suatu gejala sosial, politik, dan ekonomi dalam masyarakat Malaysia masih suatu hal yang nyata.

 

Penduduk Malaysia pada hari ini terdiri daripada kira-kira hampir 19 juta orang terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bajau, Melanau, dan beberapa suku bangsa peribumi yang lain. Kebanyakannya terdapat di Sabah dan Sarawak. Masyarakat Malaysia bukan saja berbilang bangsa, tetapi juga berbilang budaya, berbilang bahasa, dan berbilang agama. Penduduk peribuminya – iaitu Melayu, orang asli (nama umum bagi kaum-kaum Semang, Senoi, Jakun, dan lain-lain), dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak – merangkumi kira-kira 61 peratus daripada jumlah penduduk; sementara itu sekitar 82 peratus penduduk mendiami kawasan Semenanjung Tanah Melayu, 10 peratus tinggal di Sarawak, dan 8 peratus yang lainnya di Sabah. Pertambahan penduduk ternyata tinggi, iaitu kira-kira 2.8 peratus setiap tahun. Angka bagi penduduk Cina pula ialah sekitar 30 peratus manakala angka bagi penduduk India ialah 9 peratus.

 

Kemajmukan masyarakat di Malaysia menyebabkan usaha-usaha ke arah pembentukan identiti nasional dan bangsa yang dihasratkan, iaitu bangsa Malaysia, menghadapi pelbagai kesukaran. Integrasi nasional seperti yang sudah ketara di Indonesia masih merupakan persoalan yang besar di Malaysia. Etnisisme meratai semua ciri kehidupan seharian dan kehidupan politik. Semua keputusan, baik yang bersifat pentadbiran mahupun yang bersifat politik, harus dicapai melalui pertimbangan mengikut faktor ras.

 

MASALAH PEMBENTUKAN BANGSA MALAYSIA

 

Masalah pembentukan suatu bangsa Malaysia berpunca daripada hakikat bahawa sejarah pergerakan kebangsaan yang tulen bersifat nasional amat pendek, jika dibandingkan dengan pergerakan kebangsaan  di Indonesia. Pada waktu kemerdekaan diserahkan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, kelompok etnik terbesar, iaitu Melayu, Cina, dan India ialah komuniti yang terpisah, yang hidup dalam suatu masyarakat majmuk seperti yang dihujahkan oleh Furnivall. Mereka itu mempunyai bayangan “bangsa” mereka sendiri. Masyarakat yang dikhayalkan sebagai wajah “bangsa” itu berbeza-beza mengikut latar belakang etnik mereka. Oleh itu mereka tidak memiliki pengalaman historis yang sama dan tidak mempunyai suatu image of common destiny. Yang wujud menjelang tahun 1957 hanya suatu kebulatan tekad pada pihak elit politik Melayu dan para pemimpin bukan Melayu (Cina dan India) untuk meraih kemerdekaan tanpa benar-benar mempersiapkan asas-asas kebangsaan yang kuat yang berlandaskan suatu cita-cita kemerdekaan, falsafah, dan ideologi nasional yang sama sebagai suatu bangsa.

 

Ketika kemerdekaan diperjuangkan sekitar awal 50-an, parti Melayu, UMNO (United Malays National Organisation), menyedari bahawa orang Melayu harus bekerja sama dengan parti Cina, MCA (Malayan Chinese Association), jika ingin mencapai kemerdekaan. Sesungguhnya pada tahun 1952 Inggeris menjadikan dasar kolonialnya untuk memberikan dorongan kepada organisasi yang bersifat multietnik berkembang. Inggeris menunjukkan sikap bahawa kemerdekaan akan diberikan hanya kepada Malaya yang multietnik sifatnya. Keadaan inilah yang melahirkan parti Alliance atau Perikatan. Kelahiran parti ini pun didorong oleh hakikat bahawa keadaan demografi di Malaya pada waktu itu jelas menunjukkan kawasan kota sebagai kawasan Cina dan kawasan desa sebagai kawasan Melayu. Perlunya kerusi di kota dimenangi menyebabkan UMNO terpaksa sanggup menerima konsep Alliance atau “Perikatan” itu. Selain itu, cabaran yang datang dari IMP (Independence of Malaya Party) yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan yang juga bersifat multietnik telah menggalakkan penubuhan parti Perikatan itu.

 

Kemenangan UMNO-MCA ini dalam pilihan raya majlis perbandaran telah meyakinkan beberapa banyak pihak terhadap potensi konsep ini dalam politik di Malaya dan dengan itu pada awal tahun 1953 parti Perikatan secara rasmi didirikan oleh Tunku Abdul Rahman. Dasar yang menjadi pegangan parti ini, dan yang hingga kini masih terus diterima oleh parti yang mirip supra-Alliance, iaitu “Barisan Nasional”, ialah “tawar-menawar inter-etnik”.

 

Dasar ini bertolak atas andaian bahawa ketika parti Perikatan memperjuangkan kemerdekaan Malaya pada tahun 1950-an dahulu, di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA telah wujud semacam kontrak yang tidak bertulis antara kelompok etnik. Perjanjian lisan ini dikatakan mengiktiraf bidang-bidang tertentu yang dikuasai oleh Melayu dan Cina. Orang Cina, kononnya, oleh sebab lebih banyak dalam berdagangan, harus diberi keunggulan dalam bidang ini. Bangsa Melayu pula harus lebih berkuasa dalam bidang pemerintahan. Bangsa Cina dikatakan akan melepaskan tuntutannya menjadikan multi-linguilisme sebagai dasar rasmi tetapi pemimpin-pemimpin UMNO memperlihatkan tolak ansurnya dengan mengizinkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil dalam keadaan tidak rasmi. Perlembagaan Malaya (dan kini Malaysia) meletakkan tempat yang khas bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, Islam sebagai agama rasmi, dan hak istimewa kepada orang Melayu, dari segi pemberian biasiswa, pengambilan anggota tentera, dan jawatan pemerintah. Syarat-syarat implisit daripada ‘kontrak’ ini pula ialah bahawa kewarganegaraan diberikan kepada orang Cina dan India dan bahawa orang Melayu akan diberi dorongan dan kemudahan untuk ikut serta dalam sektor perdagangan.

 

KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DIPERSOALKAN

 

Walaupun dikatakan bahawa kontrak tidak bertulis itu wujud, namun selepas kemerdekaan tercapai pada tahun 1957, isu tentang hak istimewa orang Melayu dan kedudukan bahasa Melayu mula dipersoalkan dan bahkan ditentang secara terbuka oleh orang-orang Cina. Ini berlaku dengan jelas pada setiap kali pilihan raya diadakan. Ketegangan ras bangkit pada tahun 1959 atas isu bahasa dan juga pada tahun 1964, apabila parti PAP ( People’s Action Party) Lee Kuan Yew mengajukan konsep Malaysian Malaysia. Kemudian, dalam tahun 1966 dan 1967, sekali lagi orang Cina  mencabar isu bahasa. Begitu kuat tentangan terhadap bahasa Melayu dan desakan meminta agar bahasa Cina dan Tamil dijadikan sebagai bahasa rasmi, dan digabungkan dengan masalah ekonomi orang Melayu serta bertambahnya kelompok setinggan dari desa di celah-celah kota Kuala Lumpur, telah membakar emosi orang Melayu sehingga meledakkan rusuhan kaum pada tahun 1969 itu.

 

Peristiwa 13 Mei 1969 penting dalam sejarah baru Malaysia. Peristiwa ini menyedarkan pemimpin Melayu bahawa orang Melayu kini merasakan hak-hak mereka sebagai peribumi tercabar. Yang lebih penting, dasar kerajaan dalam usaha pembinaan bangsa Malaysia ketara gagal. Peristiwa itu akhirnya mendorong kerajaan untuk mengubah arah dasar negara yang berasaskan suatu ideologi yang baru dan dasar ekonomi yang baru yang diberi nama Dasar Ekonomi Baru (DEB). Melalui DEB kerajaan ingin  menyusun semula masyarakat Malaysia dengan tujuan membasmi kemiskinan semua bangsa, khasnya Melayu.

Untuk meredakan keadaan selepas rusuhan kaum pada 13 Mei 1959, suatu Majlis Gerakan Negara (National Operations Council) di bawah Tun Abdul Razak telah mengambil alih pemerintahan. Pada bulan Ogos 1970, suatu pengisytiharan ideologi nasional, yang disebut Rukun Negara, telah dikeluarkan dengan mengatakan lima rukun, seperti Pancasila, untuk dijadikan asas keharmonian negara:

1. Kepercayaan kepada Tuhan
2. Kesetiaan kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang-undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan

 

ISU-ISU SENSITIF

 

Dalam pada itu, kerajaan mengeluarkan larangan bagi sesiapa pun membangkitkan isu-isu yang sensitif, seperti soal hak istimewa kaum peribumi, isu bahasa kebangsaan, hak kewarganegaraan (orang bukan Melayu), dan kedaulatan raja Melayu. Untuk tujuan membasmi kemiskinan, kerajaan melancarkan DEB yang mempunyai sasaran 20 tahun dan tahun 1990 ialah tahun bagi dasar ekonomi itu berakhir. Matlamat asal DEB untuk membasmi kemiskinan dan membawa orang Melayu ikut serta dalam sektor perdagangan serta mengagihkan saham korporatnya sebanyak 30 peratus nampaknya tidak sepenuhnya tercapai; namun keberhasilan dasar itu tidak pula dapat dinafikan. Tetapi sayangnya perlaksanaan DEB telah meluaskan jurang polarisasi antara Melayu dengan Cina. Orang Cina memandang DEB sebagai satu lagi dasar kerajaan yang mengelompokkan warga negara Malaysia secara berasingan ke dalam kategori ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’. Kejengkelan mereka terhadap dasar kerajaan yang pro-bumiputera menyebabkan isu lama, iaitu bahasa dan kebudayaan, dipermainkan lagi. Oleh sebab soal bahasa kebangsaan tidak boleh diungkit lagi dengan larangan melalui Akta Hasutan, bangsa Cina kini mengulang sikap berkerasnya untuk mempertahankan benteng kebudayaan dan bahasa Cinanya.  Setelah gagal memperjuangkan penubuhan sebuah universiti swasta yang akan diurus oleh kaum Cina, sekolah-sekolah Cina menjadi kubu terakhir bagi bahasa, kebudayaan, dan cauvinisme Cina.

 

Pada bulan Ogos tahun 1987, ketika Universiti Teknologi Malaysia memberikan arahan kepada semua graduan lelaki yang akan menerima ijazah dalam upacara konvokesyen  supaya memakai songkok, dan yang wanitanya memakai tudung yang menutup kepala, mahasiswa dan mahasiswi Cina telah membangkang dan mencari sokongan daripada parti Cina, MCA. Pada bulan September tahun itu juga, Kementerian Pendidikan telah menaikkan pangkat 87 orang guru Cina yang tidak terdidik dalam bahasa Mandarin untuk memegang jawatan penolong kanan di beberapa sekolah Cina. Tindakan ini telah mendatangkan bangkangan daripada para pendidik Cina dan pemimpin masyarakat Cina yang lain. Walaupun kesemua guru itu orang Cina, namun para pemimpin Cina menganggap guru-guru yang tidak tahu akan bahasa Mandarin itu akan mengurangi identiti sekolah Cina, dan mereka kemudian mendesak agar pelantikan mereka ditarik kembali. Isu ini pun telah mendapat sokongan daripada parti Cina seperti MCA, Gerakan, dan DAP juga, walaupun secara ideologi mereka tidak sehaluan. Tekanan daripada 15 buah guild dan pertubuhan-pertubuhan Cina yang lain mendapat sokongan daripada keseluruhan masyarakat Cina sehingga mereka mengadakan rapat dalam suatu tunjuk perasaan oleh sebanyak 2000 orang Cina pada 11 Oktober 1987 di sebuah kelenteng di Kuala Lumpur. Melalui Jawatan Kuasa Tindakan Bersama yang didirikan, mereka telah menyampaikan suatu kata putus bahawa jika isu itu tidak diselesaikan dalam masa yang singkat mereka akan memboikot sekolah-sekolah Cina. Demonstrasi Cina itu mendorong perasaan jengkel daripada pemuda UMNO yang kemudian mengancam akan mengadakan tunjuk perasaan yang lebih besar lantaran membantah penyertaan MCA (rakan UMNO dalam Barisan Nasional).

 

Mujurlah ketegangan antara etnik akhirnya dapat ditenangkan oleh Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri, apabila beliau membentuk sebuah jawatan kuasa kabinet, yang di dalamnya duduk juga Menteri Pendidikan, untuk mencari jalan penyelesaian. Hasilnya, Jawatan Kuasa Tindakan Bersama orang Cina telah membatalkan boikot yang direncanakan. Namun demikian, 20 000 orang pelajar sekolah Cina, kebanyakannya di Pulau Pinang, tidak datang ke sekolah pada tarikh rancangan boikot itu.

 

TIDAK PERNAH MENGALAH

 

Golongan bukan peribumi tidak pernah mengalah dalam hasrat mereka hendak mengekalkan penggunaan bahasa dan kebudayaan mereka di tingkat yang rasmi. Pada tahun 1987 juga, mahasiswa India dan Cina di Fakulti Sastera di Universiti Malaya telah membangkang ketetapan senat universiti tersebut yang menghendaki beberapa kursus elektif dalam jurusan pengajian Inggeris, India, dan Cina diajarkan dalam bahasa Melayu. Mahasiswa yang membangkang itu, yang mudah menerima sokongan daripada parti Cina dan India (baik dalam barisan pembangkang mahupun kerajaan) dan pemimpin-pemimpin bukan politik orang bukan peribumi, membantah arahan senat Universiti Malaya itu dengan alasan bahawa hal itu akan mengancam hak mahasiswa bukan Melayu untuk mempelajari kesusasteraan, kebudayaan, dan bahasa mereka.

 

Tampak jelas bahawa setelah 33 tahun merdeka, Malaysia masih belum dapat menyelesaikan masalah penyatuan bangsa dan pembentukan identitinya yang berlandaskan faktor-faktor sejarah alam Melayu. Kegagalan usaha ini menjadi ancaman utama pada kestabilan masyarakat dan negara Malaysia. Jika sejak tahun 1969 kekacauan etnik belum lagi sampai mengulang tragedi 13 Mei tahun itu, maka ini adalah kerana kekuatan ekonomi negara Malaysia dan ini sajalah faktor yang mengikat perpaduan yang wujud sekarang ini.

 

CARA YANG AGAK LIHAI

 

Dalam situasi ekonomi Malaysia kini mencapai tingkat yang lebih lega, dengan kadar pertumbuhannya mencapai angka 7.5 peratus pada tahun 1990, dan dalam keadaan isu sensitif seperti bahasa kebangsaan tidak boleh diperdebatkan lagi, satu cara maneuer yang agak lihai nampaknya dimanfaatkan oleh kaum bukan peribumi dengan mempromosikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang maha penting bagi rakyat Malaysia. Sehingga kini, akhbar berbahasa Inggeris di Malaysia amat sering memuatkan surat-surat daripada pembaca Cina dan India yang menekankan betapa pentingnya bahasa Inggeris itu dipupuk kemajuannya di Malaysia. Atas alasan keilmuan dan pemodenan juga, mereka memperjuangkan bahasa Inggeris itu tanpa menyentuh dan secara langsung mengambil peranan untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan alat pemodenan bangsa.

 

Pendewaan bahasa Inggeris sehingga mengancam kedudukan bahasa Melayu, yang sudah berlaku beberapa tahun terakhir ini, tampaknya sudah menular di kalangan rakyat kota yang latar belakang sosialnya rata-rata menengah rendah dan atas. Di pasar-pasar raya dan di restoran-restoran makanan segera, para petugas hanya akan berbahasa Inggeris kepada pelanggan mereka walaupun mereka sama-sama orang Malaysia. Kalangan elit Melayu yang berpendidikan Barat pun nampaknya mempunyai sikap mendewa-dewakan bahasa Inggeris. Mereka amat prihatin mengenai kemerosotan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, tetapi tidak peduli akan keadaan bahasa Melayu, padahal, jika dilihat penggunaannya dalam akhbar Melayu yang amat kurang memperhatikan soal tata bahasa para wartawannya, ternyata keadaan bahasa Melayu merupakan masalah yang membimbangkan.

 

ANCAMAN BAHASA INGGERIS

 

Ancaman bahasa Inggeris terhadap bahasa Melayu lebih mengkhuatirkan lagi dewasa ini apabila muncul institusi pendidikan yang menawarkan kursus yang bersama-sama dianjurkan oleh universiti luar negeri bagi peringkat ijazah sarjana muda. Sistem universiti kembar (twinning) yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantarnya jelas menyalahi maksud Akta Pendidikan 1967 dan dasar menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar yang tunggal di semua institusi pengajian tinggi sejak tahun 1970.

 

Pernyataan ini tidak bertujuan untuk meremehkan peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa penyaluran ilmu-ilmu. Pernyataan ini tidak juga bermaksud untuk menyalahkan dasar ingin membentuk suatu masyarakat Malaysia yang menguasai dua bahasa. Bagi penulis, demi kepentingan persatuan bangsa Malaysia, bahasa pertama haruslah bahasa Melayu, dan bahasa kedua pula bahasa Inggeris. Bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa daerah dan bahasa suku, harus dianggap sebagai bahasa tambahan. Sebagai sebuah negara kecil yang penduduknya pun tidak besar, Malaysia harus mencontohi negara-negara lain seperti Belanda, Jerman, dan negara-negara Skandinavia. Di negara-negara itu bahasa Inggeris ialah bahasa kedua bagi kebanyakan orang. Tetapi, walaupun bahasa Inggeris itu luas digunakan oleh rakyat negara-negara itu apabila berhubungan dengan warga antarabangsa yang lain, namun bahasa kebangsaannya tetap menjadi alat komunikasi utama antara rakyat sesama sendiri.

 

BAHASA INGGERIS MENGATASI BAHASA KEBANGSAAN

 

Dalam situasi yang ada di Malaysia kini, nampaknya bahasa Inggeris itu mengatasi bahasa kebangsaan, baik dari segi martabatnya mahupun dari segi nilai ekonominya. Bahasa Melayu, hingga kini (sesudah 31 tahun Malaysia terbentuk), nampaknya belum berhasil menjadi wahana modenisasi kebudayaan, kerana pihak-pihak tertentu, termasuk kalangan elit Melayu juga, masih meragui kemampuan bahasa itu sebagai pembina ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Politik etnik yang sangat berleluasa mempersukarkan niat kerajaan dan orang Melayu umumnya untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana pembinaan bangsa dan pengikat kesatuan bangsa.

 

Yang lebih mencemaskan lagi ialah betapa lemahnya penguasaan bahasa Melayu di kalangan elit Melayu itu sendiri. Ini tampak jelas apabila mereka diwawancarakan di radio dan di televisyen. Mereka ini bukan saja terdiri daripada orang politik tetapi juga para pegawai yang memegang jawatan penting dalam pemerintahan. Kurangnya semangat kebangsaan di kalangan masyarakat Malaysia dan perasaan terasing akibat polarisasi ras antara peribumi dengan bukan peribumi merupakan rintangan juga bagi bahasa Melayu untuk maju sebagai bahasa persatuan. Selain itu, rasa rendah diri di kalangan orang Melayu yang terpelajar menyebabkan timbulnya anggapan bahawa sesuatu ide yang canggih tidak dapat diungkapkan dalam bahasa kebangsaan, padahal apabila mereka ini berbicara dalam bahasa Inggeris, tata bahasanya pun bersimpang-siur. Di kalangan mereka yang terdidik pun ternyata betapa kurang mampunya mereka melahirkan fikiran secara teratur dalam bahasa Melayu yang sistematis dan logis.

 

MASA YANG MENCABAR BAGI BAHASA MELAYU

 

Dasawarsa 1990-an ialah suatu jangka masa yang amat mencabar bagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Daripada gelagat mereka yang berkuasa hari ini, nampaknya usaha menjamin ketrampilan Malaysia dalam bidang ekonomi mengatasi segala-galanya. Dan untuk ini bahasa Inggeris itu dianggap sangat penting fungsinya. Dalam mengejar status Negara Industri Baru untuk menyertai kelompok harimau Asia yang lain, kerajaan nampaknya tidak begitu gigih dalam gagasan pembentukan bangsa yang berlandaskan faktor-faktor sejarah. Aspek kebudayaan yang berwajah nasional pun kelihatannya kurang diberi perhatian dan oleh sebab itu kurang nilai ekonominya.

 

Namun demikian, Malaysia telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaannya. Melalui wahana inilah saja Malaysia dapat membentuk keperibadian nasionalnya. Kerajaan harus mengambil ingatan juga bahawa nasionalisme Melayu yang lahir ialah nasionalisme budaya yang berkisar pada bahasa dan kebudayaan Melayu. Dari sudut sejarah, budaya politik Malaysia yang telah dimulakan oleh orang Melayu tidak mungkin diputuskan kesinambungannya. Keadaan demografi Malaysia dalam abad ke-21 kelak pasti akan mencerminkan budaya politik Melayu ini. Oleh yang demikian, adalah logis bagi semua pihak untuk mengukuhkan bahasa Kebangsaan itu agar benar-benar menjadi bahasa untuk mengungkapkan kekreatifan pemikiran dan kebudayaan Malaysia baru dan penyalur penting ilmu-ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Dan yang lebih penting lagi, bahasa Melayu perlulah diterima secara jujur oleh kaum bukan peribumi sebagai alat pemersatuan dan penyatuan bangsa.

 

(Makalah ini asalnya ialah kertas persidangan yang dibentangkan dalam Simposium Kebudayaan Malaysia III yang diadakan pada 5 hingga 6 Jun 1990 dalam rangka kerja sama antara Universitas Padjadjaran dengan  Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pemerintah Daerah Tingkat 2 Jawa Barat. Makalah ini diterbitkan pada tahun 1994 sebagai Bab 5 dalam buku Isu Bahasa dan Pembentukan Bangsa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya,oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 120-133)

 

Oleh Ahmat Adam
Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 08.05.2004
 

Masalah Bahasa Asing Sebagai Bahasa Pengantar


MASALAH BAHASA ASING SEBAGAI BAHASA PENGANTAR
Oleh Ainon Mohd

 

PENDAHULUAN

 

Sejak belakangan ini banyak terdengar pendapat mengenai pentingnya kita menguasai bahasa Inggeris. Alasan yang selalu dikemukakan ialah demi kepentingan ilmu pengetahuan dan kepentingan komunikasi antarabangsa.

 

Sebelum kita membuat keputusan sama ada negara harus berpatah balik kepada bahasa Inggeris sebagai pengantar ilmu pengetahuan, ada beberapa hal yang harus kita renungkan.

 

Peta dunia abad ke-20 ini diwarnai oleh dua cat. Cat yang pertama berwarna hijau. Negara yang memiliki warna ini dikenal sebagai Dunia Pertama, atau Negara-negara Utara atau Negara Maju. Negara itu menggunakan bahasa nasional masing-masing sebagai alat pembangunan bangsa dan penghantar pendidikan.

 

Cat yang kedua berwarna merah. Negara-negara yang memiliki warna ini dikenal sebagai Dunia Ketiga, atau Negara-negara Selatan, atau Negara-negara Membangun. Kebanyakan negara ini menggunakan bahasa asing sebagai bahasa nasional dan penghantar pendidikan.

 

Seluruh benua Amerika Latin. Afrika. India. Dan sebahagian daripada benua Asia menggunakan bahasa asing. Negara-negara kelompok ini miskin belaka.

 

MENGGERUNKAN

 

Kaitan antara dasar bahasa dengan aspek-aspek politik, ekonomi, dan ketenteraan ini menggerunkan sekali. Jika diteliti dari sudut politik, negara-negara yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa rasmi adalah negara-negara yang sangat rendah darjah demokrasinya; biasanya negara-negara itu di bawah pemerintahan diktatorial, kuku besi, feudal, pemerintahan tentera, sama ada secara terbuka ataupun terselindung.

 

Di kalangan negara-negara itulah juga ada segala masalah; perang saudara, rampasan tentera, pemberontakan, gerakan perpecahan, perang gerila-segala bentuk pertumpahan darah.

 

Gambaran yang menggerunkan ini tidak habis di situ, kerana kita sudah dan masih menyaksikan bahawa di kalangan negara-negara ini semakin hari semakin banyak anggotanya yang jatuh ke tangan sosialisme dan komunisme, satu demi satu. (Yang anehnya, ini berlaku pada saat negara-negara sosialis- komunis Eropah-Cina sedang mara ke arah dasar liberalisme).

 

Negara-negara ini pun di bawah pengaruh dan telunjuk kuasa politik dan militer negara asing (iaitu kumpulan negara-negara yang menggunakan bahasa setempat).

 

Ditinjau daripada sudut ekonomi, semua negara yang meminjam bahasa asing sebagai bahasa rasminya ialah negara-negara miskin yang menderita hutang negara yang tinggi, pengeluaran dan eksport negara yang rendah, kadar pertumbuhan ekonomi yang kalau tidak rendah, sama sekali statik, kadar kelahiran yang tinggi, tidak memiliki teknologi tinggi, semata-mata berharap pada pengeluaran bahan mentah, dan sektor desanya miskin.

 

Daripada sudut sosial pula, negara-negara ini menderita segala bentuk kezaliman sosial, mutu pendidikan yang rendah, buta huruf yang tinggi, perkhidmatan sosial yang menyedihkan, penuh rasuah serta segala macam penyakit berjangkit.

 

Sebaliknya negara-negara yang memilih bahasa setempat sebagai bahasa rasmi menikmati kebalikan daripada yang dideritai oleh negara-negara yang menerima bahasa asing sebagai bahasa rasmi. Negara-negara berbahasa setempat menikmati demokrasi yang sangat tinggi, walau apa pun bentuk demokrasi yang diamalkan. Politik mereka stabil, dan kehidupan mereka aman. Amerika, Inggeris, Jerman, Perancis, Rusia dan Jepun sentiasa berperang tetapi peperangan mereka tidak dalam negeri, melainkan di tempat lain – di Dunia Ketiga. Tidak ada perang saudara, rampasan kuasa; tiada undang-undang darurat atau militer.

 

Blok Komunis kini condong ke arah liberalisme dan kapitalisme. Negara-negara ini memonopoli maklumat dan teknologi tinggi. Mereka memiliki kuasa, pengaruh politik, dan ketenteraan antarabangsa. Kadar pertumbuhan ekonomi mereka adalah tinggi kerana mereka adalah negara–negara pengeksport barang buatan. Oleh itu mereka mengecap kemakmuran yang tinggi dan ada kalanya terlalu mewah. Kadar kelahiran mereka pula rendah, manakala mutu pendidikan dan kadar celik huruf mereka tinggi. Mereka mempunyai keadilan sosial, dan rasuah tersangat rendah serta terkawal. Mereka sudah bebas daripada ancaman penyakit-penyakit berjangkit.

 

PROGRAM PENTERJEMAHAN YANG TERANCANG

 

Di kalangan negara-negara yang menggunakan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa rasmi dan penghantar pendidikan, ada beberapa buah yang menyimpang daripada pola Dunia Pertama. Negara-negara itu ialah China, Indonesia, dan Thailand. Ternyata bahawa ketiga-tiga negara itu, walaupun telah membuat pilihan yang betul untuk bahasa nasional mereka, namun mereka tidak dapat menandingi kemajuan yang dicapai oleh negara-negara Dunia Pertama.

 

Faktor yang tidak disedari oleh negara-negara seperti China, Indonesia, dan Thailand ialah pentingnya tindakan pemilihan bahasa nasional segera disusul dengan tindakan melakukan proses lintas ilmu yang besar dan cepat daripada bahasa-bahasa lain ke dalam bahasa nasional itu. Ini dapat dilakukan hanya jika pemerintah mengadakan program penterjemahan yang terancang. Faktor inilah yang tidak dilakukan oleh China, Indonesia, dan Thailand.
 
Antara negara-negara yang menggunakan bahasa asing sebagai bahasa nasional dan penghantar pendidikan, hanya sebuah negara sahaja yang telah berjaya, iaitu Singapura. Kejayaan bahasa Inggeris di Singapura bukanlah bukti kemampuan bahasa Inggeris di tanah asing. Singapura adalah sebuah negara bandar. Mana-mana bandar pun memang dapat hidup dengan bahasa asing. Bagi Malaysia, umpamanya, Kuala Lumpur sahaja dapat hidup dengan bahasa Inggeris, tetapi kita mestilah menyedari bahawa Kuala Lumpur itu bukan Malaysia. Begitu juga halnya dengan semua negara Dunia Ketiga yang majoriti kawasan serta penduduknya adalah di kawasan desa.

 

Jika kegiatan terjemahan tidak dijadikan tugas negara dan dibuat secara berencana serta besar-besaran, maka negara-negara itu tidak dapat bertolak mencapai kemajuan.

 

Untuk membangun, sesuatu negara tidak cukup hanya mempunyai dasar bahasa nasional. Hal ini sudah terbukti pada negara-negara yang setelah mencuba bahasa nasional kemudian berpatah balik kepada bahasa penjajah (Burma, Filipina, dan banyak lagi). Hal itu berlaku apabila sistem pendidikan dalam bahasa nasional menghadapi ancaman kemunduran disebabkan oleh masalah-masalah teknikal, seperti peristilahan dan buku-buku rujukan. Dengan demikian, maka suatu pertimbangan teknikal telah dijadikan alasan membatalkan pertimbangan yang prinsip.

 

Oleh sebab soal peristilahan dan buku adalah soal teknikal, maka penyelesaiannya terletak di peringkat itu. Tidak seperti Eropah dan Jepun yang telah melakukan gerakan penterjemahan besar-besaran, tidak ada satu pun antara negara-negara Dunia Ketiga yang melakukan hal itu. Istilah–istilah adalah hasil sampingan daripada kegiatan intelektual seperti penulisan dan penterjemahan. Sebaliknya soal peristilahan ini selalu sahaja dijadikan dalih untuk tidak mahu melaksanakan dasar bahasa nasional.

 

SEJARAH EROPAH

 

Sejarah Eropah membuktikan suatu hal, iaitu Eropah baru dapat keluar daripada kegelapan Zaman Pertengahan hanya selepas berlakunya Perang Salib apabila Charlemagne mengalahkan tentera Islam Sallahuddin. Pertempuran ketenteraan itu telah memberi peluang kepada Eropah untuk menemukan pusat-pusat pengajian Islam dan langsung Eropah mengambil tindakan menterjemahkan seluruh ilmu yang ditulis dalam bahasa Arab ke dalam bahasa Latin untuk dibaca di Eropah.

 

Kembali kepada sejarah, negara-negara Dunia Pertama yang menggunakan bahasa setempat sebagai bahasa rasmi pernah menggunakan bahasa pinjaman (bahasa penjajah) sebelumnya. Seluruh Eropah Barat pernah menggunakan bahasa bangsa Romawi, iaitu Latin, sebagai bahasa rasmi dalam bidang ilmu dan ketatanegaraan.

 

Sebelum zaman pembaharuan (renaissance) seluruh Eropah dalam kejahilan dan kegelapan selama 2000 tahun dengan selimut bahasa Latinnya. Sedangkan di bahagian dunia lain, iaitu di Timur Tengah, Baghdad sudah mempunyai rumah sakit dan jalan-jalan rayanya di terangi lampu. Waktu itu para penterjemah di Baghdad dibayar oleh pemerintahnya dengan emas yang ditimbang sama berat dengan bahan yang diterjemahkan ke bahasa Arab daripada bahasa-bahasa Yunani.

 

Kebangkitan semangat kebangsaan di Eropah yang telah berjaya menjatuhkan penjajahan Romawi diikuti oleh kemunculan negara-negara bangsa berdasarkan bahasa-bahasa setempat yang telah melenyapkan pengaruh Latin yang demikian penting sebelumnya. Semua ini berlaku dan menjadi unsur penting gerakan renaissance. Sayangnya hal ini selalu tidak diajarkan kepada cendekiawan dan ahli politik negara-negara Dunia Ketiga.
 
Sebelum zaman renaissance, bahasa-bahasa Inggeris, Sepanyol, Itali, Perancis, Jerman, dan Rusia seperti yang kita kenal hari ini adalah bahasa-bahasa “kasar” atau “kampungan” (seperti bahasa Melayu sebelum Melaka) dan dituturkan hanya oleh orang bawahan yang tidak berpelajaran.

 

Pada abad kesembilan belas, revolusi industri yang berlaku di Eropah pula dimungkinkan oleh penterjemahan buku-buku yang tertulis dalam bahasa Latin ke dalam bahasa-bahasa nasional setempat di seluruh Eropah. Sebenarnya penterjemahanlah yang telah memodenkan apa saja yang sebelumnya adalah bahasa-bahasa “kampungan” hingga menjadi bahasa besar sekarang. Dan penterjemahan jugalah yang memungkinkan bangsa-bangsa itu menguasai pelbagai ilmu dan melakukan kemajuan selanjutnya pada ilmu-ilmu itu.

Nyatalah, kemajuan yang dicapai oleh bahasa-bahasa Eropah moden itu dapat berlaku hanya melalui penggantian dan perubahan pada tugas yang selama ini dimainkan oleh bahasa Latin sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran. Pola ini dilalui juga oleh beberapa bahasa Asia moden, iaitu bahasa Jepun dan Korea.

 

Pada suatu masa dahulu Jepun dan Korea menggunakan bahasa Cina Kuno, iaitu bahasa penjajah mereka, sebagai bahasa ilmiah dan pentadbiran. Seratus tahun yang lalu, apabila Meiji berkuasa semula, Jepun telah mengganti bahasa Cina Kuno dengan bahasa setempat sebagai bahasa rasmi.

 

Demikianlah pula Korea selepas Perang Dunia Kedua, iaitu apabila negara itu mencapai kemerdekaannya daripada Jepun. Korea menjadikan bahasanya sendiri sebagai bahasa rasmi untuk mengambil tempat bahasa Cina. Peristiwa inilah yang memungkinkan Jepun dan Korea membangunkan bangsanya.

 

Bagaimanapun, pola yang dilalui oleh seluruh Eropah, Jepun, dan Korea itu tidak dicontoh oleh bekas tanah-tanah jajahan Inggeris, Sepanyol, dan Perancis oleh sebab seluruh negara benua Amerika Latin, Afrika, dan sebahagian Asia telah membuat keputusan untuk terus meminjam bahasa asing sebagai bahasa rasmi daripada menggantikannya dengan bahasa nasional setempat. Malah ada tanda-tanda bahawa di beberapa negara Dunia Ketiga yang sudah mempunyai bahasa nasional sendiri, ada golongan elit yang mahu supaya dasar itu diubah dan mencontohi negara-negara yang meminjam bahasa asing.

 

BAHASA NASIONAL UNTUK PEMBANGUNAN NEGARA

 

Jepun ialah negara contoh sezaman yang dengan jelasnya membuktikan kesan penggunaan bahasa nasional setempat sebagai alat pembangunan negara. Sejarah Jepun moden bermula hanya 100 tahun yang lalu, iaitu apabila Meiji berkuasa. Sebelum itu Jepun ialah tanah jajahan China. Ketika dijajah, seluruh pentadbiran negara Jepun dan sistem pendidikannya dijalankan dalam bahasa Cina Kuno. Waktu itu Jepun adalah negara feudal dengan kasta-kasta ekonomi dan sosial yang jelas. Pada waktu itu, Jepun miskin dan mundur jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah yang telah menguasai hampir 80 peratus muka bumi ini. Pemerintahan Meiji menyedari hal itu dan bercita-cita untuk membangunkan suatu “negara maju” berdasarkan “alam pengetahuan baru”.
 
Untuk melaksanakan cita-cita membangun “negara maju“ berdasarkan “alam pengetahuan baru”, Meiji menyedari bahawa tiap-tiap rakyat Jepun mesti diberi ilmu-ilmu baru supaya tidak ada yang tidak dapat ikut serta dalam pembangunnan yang dirancang.

 

Dalam usaha ini Meiji sedar bahawa bahasa penjajah Cina adalah penghalang utama ke arah cita-cita itu dan untuk membina zaman baru, bahasa Cina mestilah “dibuang” dan diganti dengan bahasa Jepun sendiri. Tetapi waktu itu bahasa Jepun adalah bahasa rendah, belum ada tulisan, tiada sastera bertulis, perbendaharaan katanya terhad, dan terdiri daripada beberapa loghat. Begitulah keadaan bahasa Jepun yang akan menggantikan bahasa Cina dalam urusan tata negara dan di universiti-universiti Jepun 100 tahun dahulu.

 

Bagaimanapun Meiji telah membuat keputusan, dan loghat yang telah dipilih ialah loghat yang pada waktu itu dituturkan hanya oleh para petani dan kaum wanita, iaitu kumpulan kasta yang paling rendah dalam masyarakat Jepun zaman itu. Loghat inilah yang menjadi asal–usul bahasa Jepun moden hari ini. Pemilihan loghat petani dan wanita penting kerana alam pengetahuan baru hendak disampaikan kepada setiap rakyat Jepun dalam bahasa yang difahami oleh mereka.

 

Dengan keputusan itu maka langkah-langkah untuk memberikan tulisan pada bahasa itu dan menambah perbendaharaan katanya telah dibuat. Selanjutnya Meiji telah memilih pemuda-pemuda yang pintar untuk dilatih di negara–negara Eropah dan mempelajari bahasa–bahasa asing dengan tujuan khusus untuk menterjemah ilmu-ilmu Barat ke dalam bahasa Jepun. Pemuda-pemuda itu dihantar ke Rusia untuk menterjemahkan buku-buku militer, ke England untuk buku-buku perkapalan, ke Perancis untuk buku-buku falsafah, dan ke Jerman untuk buku-buku sains dan perubatan. Dalam usaha itu Meiji menubuhkan biro terjemahan yang menjadi asal–usul Universiti Imperial Tokyo hari ini.

 

Seandainya kita sedia menerima dan mengakui kebenaran sejarah lalu, maka kita di negara–negara Dunia Ketiga hendaklah bersedia melakukan pelaburan ke dalam kegiatan penterjemahan dan pembinaan bahasa nasional setempat. Jikalau tidak, negara-negara Dunia Ketiga akan mengalami nasib seperti yang sekarang ini sampai bila-bila. Kita lihat sendiri apa yang terjadi pada anggota Dunia Ketiga yang paling penting, iaitu India.

 

KEGAGALAN BAHASA INGGERIS DI INDIA

 

Sejarah kegemilangan bangsa India sangat tua usianya, sejak zaman tamadun di Lembah Indus. Bangsa ini ialah bangsa yang besar dan telah mengembangkan pengaruh kuasanya dengan luas ke negara–negara yang mengelilinginya. Dua agama besar yang lahir di sana, iaitu Hindu dan Buddha, telah tersebar luas hingga hari ini. Bangsa ini telah melahirkan beberapa banyak cendekiawan, sasterawan, ahli sains, dan tokoh-tokoh yang bertaraf internasional.

 

India telah mengalami nasib seperti berpuluh-puluh negara lain, iaitu jatuh ke tangan penjajah selama beratus-ratus tahun, dan dalam waktu itu bahasa Inggeris telah mengambil alih fungsi bahasa-bahasa India dalam urusan–urusan tata negara dan ilmiah.

 

Setelah merdeka, India mengekalkan penggunaan bahasa penjajah itu sebagai bahasa rasminya hingga hari ini. Bahasa Inggeris ialah bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan India. Semua pendidikan tinggi disampaikan dalam bahasa Inggeris di India. Ini bermakna bahawa India menyampaikan pengetahuan moden kepada rakyatnya melalui bahasa asing dan tidak melalui jalan pembinaan bahasa kebangsaannya sendiri. Begitu pula India tidak mengambil langkah untuk menterjemahkan kesusasteraan ilmu-ilmu moden secara besar-besaran dan dengan terancang.

 

Jelas kepada kita, sebagai orang luar, bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak berdaya upaya untuk menyelamatkan India daripada terus–menerus menghadapi ancaman masalah-masalah yang paling asas dalam hidup manusia, seperti makanan, pakaian, dan perumahan; belum lagi masalah yang lebih tinggi, seperti keadilan sosial (sistem kasta), perang saudara (pemisahan Pakistan, kemudian Bangladesh) dan kebebasan politik (pengaruh Rusia).

 

Tetapi inilah negara yang banyak melahirkan tokoh seperti Bose (beliau membetulkan kesalahan teori Einstein). Dan inilah juga negara yang paling banyak cerdik pandainya yang telah berhijrah ke negara-negara Barat atas desakan ekonomi semata-mata. Indialah juga negara miskin terbesar di dunia.

Walaupun India mempunyai daya sumber yang kaya dan potensi pasaran dalam negeri yang besar, namun kekuatan bahasa Inggeris di tanah asing gagal menggerakkan daya sumber itu untuk membangun manusia di India sebagaimana bahasa itu berjaya berbuat demikian di tanah airnya sendiri, iaitu negara Inggeris.

Bahasa Melayu ialah pilihan yang betul untuk membangun Malaysia. Tindakan segera yang diperlukan sekarang ialah menterjemahkan seluruh ilmu moden ke dalam bahasa Melayu, tidak ada jalan lain bagi kita.

 

(Makalah ini pernah tersiar dalam Utusan Malaysia pada tanggal 2 Julai 1985. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya,oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 193-202)

Oleh Ainon Mohd
Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 10.05.2004

 



BI MELEMAHKAHKAN MELAYU

Saudara Akmal Nizam,
Saya amat tertarik dan amat bersetuju sekali dengan pandangan saudara.


Seperti yang tersiar diakhbar orang melayu masih mundur dan ketinggalan itusama sekali tidak benar. Disini saya ingin berkongsi pengalaman dengansaudara saudari sekalian pengalaman  saya selama bekerja di bahagian
industri.

Saya berjaya mendapat kerja di kilang saya mungkin kerana nasib menyebelahisaya. majoriti ditempat kerja saya adalah bangsa Cina. Dan rata -ratadaripada mereka tidak fasih berbahasa Inggeris dan memiliki Diploma darikolej yang tidak diiktiraf oleh JPA. Setelah saya beberapa tahun disinisaya telah di naikkan pangkat dan saya adalah satu-satunya orang melayuyang memegang jawatan yang tertinggi dalam syarikat saya. Sedangkan ramailagi melayu yang berkebolehan dan berpendidikan tinggi yang layak menjawatjawatan tinggi dalam syarikat saya. Saya dikelilingi oleh bangsa cina yangtidak tahu  bertutur dalam bahasa Inggeris dan tak ada qualification (notqualified by JPA) tetapi  dinaikkan pangkat sehingga menjadi pengurus dansenior engineer. Sedangkan orang melayu yang mempunyai ijazah, bolehberkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik dan mempunyai reputasikerja yang baik hanya diberi jawatan assistant engineer. Kalau pasal gajitak payah cakap lah. Graduan lepasan ijazah Melayu  diberi gaji RM 1200/- (starting salary ) tetapi graduan ijazah bangsa Cina diberi gaji RM 1800/- .Bayangkanlah betapa jauhnya berbezaan mereka.


Saya pernah didatangi oleh seorang engineer (bangsa cina) dia minta tolongsaya memeriksa  surat draft  untuk membatalkan perkhidmatan insuran bagicredit cardnya. Alangkah terkejutnya saya seorang engineer menulis " I liketo cancer my insurance ...." Dalam hati saya berkata " Awatlah teruk nyacina bukit ni tulis surat ... dia ni tau ke meaning cancer dengan cancelled
tu ...".

Sebenarnya rata-rata orang cina boleh berjaya kerana mereka ni diberi
peluang oleh majikan  mereka saja. Sekiranya orang melayu diberi peluangsepertimana yang diperolehi oleh mereka tu, we can perform much better thanthem. Masalahnya nasib orang melayu tidak terbela disebabkan kuota tidakdibuka untuk bahagian staff dan management. Kerajaan kita hanya meletakkankuota secara umum disetiap sector swasta 30-40%  mestilah melayu. Maka30-40% itu dimasukkan kedalam bahagian bawahan seperti operator, drebar dankerani saja. Sebenarnya orang Melayu merempat dinegara sendiri. OrangMelayu dianggap second class oleh orang cina di Malaysia.

Perkara diskriminasi  disector swasta terlalu ketara sekali. Orang-orangmelayu kalau adapun hanya dipergunakan oleh majikan mereka. Contohnya dirisaya sendiri saya bekerja dibahagian  logistics. Saya behubung rapat denganjabatan kerajaan mengenai kemasukan dan penghantaran barang.   Saya takrasapun yang saya dihargai  ditempat kerja saya kerana saya tak dapatlayanan (treatment) yang sepatutnya berbanding dengan bangsa cina yangsejawatan saya. Dari segi gaji, elaun dan bonus.  Saya hanya dipergunakanuntuk memudahkan urusan mereka saja. Tetapi saya masih bekerja disinikerana, sekiranya saya lari ke tempat lain keadaannya juga sama ataumungkin lebih teruk lagi. Disini sekurang nya saya diperlukan, kalau sayatidak ada siapa nak membela nasib anak buah saya yang kesemuanya Melayu.


Saya pernah di tegur oleh MD saya kenapa pilih semua staff melayu. Denganalasan bila perayaan siapa nak standby ? Saya rasa sakit hati teramatsangat dengan persoalan tadi secara terang-terangan saya tanya dia balikKenapa Procument / purchasing department semua Cina pulak ? Macam manakalau cuti Chinese New Year siapa nak stand by ? Boss saya terus diam dantak dapat kata apa-apa. Nampak tak mentaliti mereka ?  Cukup busuk hati.Dalam hati mereka dah tertanam sikap bencikan melayu dan beranggapan melayuno class. Kalau dikaji mereka tu lagi tak dak class.  Kita selalu lihatdiluar rumah mereka begitu gah tersergam indah tapi didalamnya  bersepahtak berkemas lansung. Begitu jugalah diri mereka nampak putih bersih tapibusuk dan tak suci sebabnya tak mandi.

Saya sangat berharap agar warga melayucyber group  dapat  lakukan sesuatuuntuk membantu nasib graduan melayu yang terpinggir dan juga melayu yanglain agar tidak menjadi kuli batak saja. Anggapan Melayu bodoh dan tak declass patut di hakis sama sekali. Saya berharap rakan-rakan darimelayucyber dapat memberikan  idea atau pandangan.  Tindakan apakah  yangwajar  kita buat untuk mendapat pembelaan terhadap bangsa Melayu yang dahlama ditindas  oleh pendatang yang tak sedar diri ni.

Sekian. Terima kasih.

Akmal Nizam
05/11/2004 11:06 AM

To:    melayucyber@yahoogroups.com
cc:
Subject:    [melayucyber] Alasan BI cuba tutup peluang Melayu ????????


Alasan BI cuba tutup peluang Melayu
Alasan pengangguran siswazah Melayu yang selalu dikeluarkan olehpemimpin kita adalah kelemahan berbahasa Inggeris dan kekuranganpengetahuan tentang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Tetapibagi saya, pemimpin yang berkata begitu adalah pemimpin yang hanyadengar cakap orang dan jarang turun padang.

Saya ingin nyatakan pengalaman saya dan rakan-rakan semasa prosespencarian kerja sejurus tamat pengajian di dalam dan di luar negara.

Saya telah duduk di kalangan bangsa asing sejak berumur 19 tahun.Saya menimba ilmu dengan dikelilingi bangsa lain begitu juga denganrakan-rakan saya. Jadi bahasa pengantar kami adalah bahasa Inggeris.

Jarang saya jumpa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terutamasekali yang datang dari bandar-bandar besar lemah berbahasa Inggeris kecuali yang datang dari pedalaman. Kalau nak diikutkan purata pelajar IPT yang betul-betul datang dari pedalaman amat sedikitsekali bilangannya. Di manakah silapnya orang Melayu kita?

Hampir setiap hari di dada surat khabar kita dihamburkan dengankritikan-kritikan yang tidak membina tentang orang Melayu. Semua yangtak bagus dilemparkan kepada orang Melayu, yang baik-baik kepadabukan Melayu. Bagi saya itu hanyalah alasan pihak tertentu untukmengaburi mata rakyat.

Ketinggalan

Apa sebenarnya berlaku di Malaysia? Sebenarnya bukan kerana kelemahanbahasa Inggeris ataupun ketinggalan dari segi teknologi, tetapi kitamesti akui bahawa syarikat-syarikat besar di Malaysia kebanyakannyadikuasai oleh kaum bukan Melayu walaupun syarikat itu milik Amerika Syarikat (AS) ataupun Eropah.

Mereka telah memegang jawatan penting di syarikat itu dan mempunyai agenda tersendiri. Mereka menggunakan pelbagai cara supaya orang Melayu dilihat sebagai lemah. Mereka menggunakan alasan bahasa Inggeris sedangkan apabila membuat iklan tercatat di situ Mandarin is an added advantage atau berkemahiran berbahasa Mandarin ataupun
Kantonis.

Kalau dilihat, syarikat-syarikat tersebut adalah dari AS ataupunEropah. Adakah mereka akan menggunakan bahasa Mandarin untukberkomunikasi? Sudah tentu tidak. Itu hanyalah alasan yang dibuat-buat supaya peluang orang Melayu akan tertutup dengan sendirinya.


Kalau tidak percaya, belilah akhbar bahasa Inggeris dan lihat diruangan jawatan kosong.Untuk pengetahuan pembaca, bukan setakat belajar bersama bangsa asingtetapi saya bekerja pun bersama mereka. Saya adalah satu-satunya
pegawai peringkat pertengahan di mana selebihnya adalah bukan Melayudari peringkat saya sampai ke peringkat atasan.

Saya percaya tujuan pengambilan saya adalah untuk mencukupkan syaratsupaya apabila ada pegawai-pegawai kerajaan yang hadir, saya ditolakuntuk melayan mereka walaupun bidang saya tidak mempunyai kaitanlangsung dengan mereka. (Saya bekerja bahagian IT).

Saya telah lihat mereka bukanlah seperti yang digembar-gemburkan didada-dada akhbar malah mereka adalah lebih teruk daripada Melayu bilaberbahasa Inggeris.


Bercakap

Memang mereka yang tidak tahu berbahasa Inggeris mengatakan merekasudah cukup bagus tapi bagi saya orang Melayu kita lagi bagus. Merekahanya berani bercakap walaupun tatabahasanya tunggang terbalik. Disini saya sertakan beberapa ayat yang selalu digunakan oleh mereka
``you calling from where?'', you want to talk to who?'' yang manakadang-kadang menyebabkan saya ketawa besar bila mendengarnya. Inikahkaum yang perlu dicontohi oleh orang kita?

Mungkin mereka pandai dalam bidang ekonomi tapi sebenarnya merekabukanlah pandai sangat. Mereka hanya mempunyai persatuan yang kuat diu dan sanggup bantu membantu.

Antara pengalaman yang saya alami sendiri apabila ingin mengambilstaf di bahagian saya yang baru. Pengurus besar awal-awalmemberitahu, jawatan ini adalah untuk bukan Melayu. Mereka sudahpendekkan senarai dan suruh saya menemu duga mereka, yang palingmengejutkan bos saya (yang ketika itu berada di sisi) yang selama inimengutuk orang Melayu keluar tersipu-sipu dari bilik temu duga kerana
malu apabila kaumnya sendiri bercakap bahasa Inggeris tunggangterbalik dan mempunyai ijazah dan diploma yang tidak berkualiti dariIPT swasta.

Pengalaman rakan baik saya semasa ditemu duga oleh sebuah kilangmilik pelabur AS yang terkemuka di Malaysia amat menyedihkan.


Walaupun fasih berbahasa Inggeris tetapi tidak juga berjaya menambathati kaum pegawai bukan Melayu. Dia lulus ketiga-tiga peringkat yangdiperlukan dan akhir sekali penemu duga tidak mempunyai cara lainselain berterus terang. Rakan saya bagaikan tidak percaya, walaupun
berada di negara sendiri tetapi diberi layanan seperti rakyat asing.


Akhirnya dia berjaya mendapat jawatan di salah sebuah syarikat kerajaan.

Tujuan saya menceritakan semua bukanlah untuk mengutuk pemimpin kita,tetapi janganlah lagi menggunakan alasan yang tiada langsungkebenarannya. Buat analisis di kilang-kilang, kenapa banyak orangMelayu hanya bekerja sebagai operator kenapa tidak jawatan yangberpangkat? Di manakah longgokan graduan Melayu? Adakah mereka inibenar-benar tidak berkualiti atau menjadi mangsa keadaan kerana
pemimpin yang sengaja menutup sebelah mata?

 

SALAH SIAPA KEHANCURAN BUDAYA DAN BAHASA BANGSA MELAYU?


Tatkala Pak Ngah bangun selepas kokokan SiJalak, ayam kesayangan pada pagi hari minggu yang seperti mana hari-hari biasa yang lain. (Maklumlah bagi Pak Ngah hari yang istimewa hanya hari Jumaat. Cepat-cepat selesaikan menoreh getah untuk berjemaah Hari Jumaat yang besar ertinya bagi kami golongan orang lama dan ketinggalan zaman yang serba-serbinya inginkan pembangunan ini). Pak Ngah terpaku pada peti televisyen motivasi pagi.

 

Dari pagi hingga ke larut malam motivasi, hasilnya adalah generasi yang serba-serbinya angkuh dengan berdikarinya. Pak Ngah melelehkan air mata mengenangkan seribu peristiwa yang terpapar di muka depan dan dalam akhbar harian. Keruntuhan sebuah bangsa, bangsa Pak Ngah sendiri.

 

Pak Ngah penoreh getah, mana tahu berhujah macam pensyarah universiti, apatah lagi dari Jabatan Bahasa, Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Hanya sedikit pengalaman dan hidup yang Pak Ngah ingin kemukakan.

 

Kalau rumah senget, pastinya tukangnya tidak cekap. Kalau kebunnya semak samun, tentu empunya amat pemalas. Kalau orang ramai berkumpul tentunya penjual ubat itu petah bicaranya.

 

Begitulah ibaratnya dengan budaya dan bahasa bangsa Melayu. Kalau budayanya menjadi songsang, budayawan di menara gading itulah salahnya. Apa yang diajarkan hanya untuk akademik dan bahan sejarah serta peperiksaan sahaja. Kalau bahasa menjadi rojak, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak berani menegurnya, apa lagi kalau orang politik yang berbicara. Akhirnya para pensyarah menjadi penjual ubat yang penuh tipu muslihat hanya untuk mendapatkan sesuap nasi sahaja. Mereka bukan lagi para cendekiawan dan para intelek yang sentiasa mempertahankan maruah budaya dan bahasa bangsa Melayu.

 

Apakah mereka menunggu orang seperti Pak Ngah untuk mengetuai mereka? Kalau mereka sebenarnya menunggu Pak Ngah, InsyaAllah Pak Ngah, Pak Long, Pak Andak, Pak Anjang, Pak Su dan Pak Chik akan sampai ke menara gading bagi memulakan langkah mengembalikan budaya dan bahasa bangsa Melayu kepada kedudukan selayaknya.

 

* Khas buat para pensyarah terutama yang selalu muncul dalam televisyen yang selalu membicarakan yang itu dan yang ini. Kokok berderai-derai, ekor bergelumang taik.

 

Pak Ngah - 11.05.2004 (suntingan M@RHAEN)

 

 

Benturan Dua Budaya
Dalam Pembangunan Sains Dan Teknologi Di Malaysia


Benturan Dua Budaya Dalam Pembangunan Sains Dan Teknologi Di Malaysia
Oleh Shaharir Mohamad Zain
Universiti Kebangsaan Malaysia

 

PENDAHULUAN

 

Tesis benturan peradaban yang diajukan oleh Samuel Huntington (1993) menerusi makalah terkenalnya The Clash of Civilization banyak menimbulkan kontroversi, terutamanya apabila beliau menekankan bahawa penciri peradaban itu ialah agama , khususnya “Islam lawan yang lain”. Jika bahasa diambil sebagai penakrif peradaban , maka teori Huntington itu nampaknya dapat juga terpakai. Kontroversi bahasa Melayu lawan bahasa lain (terutamanya Inggeris) di Malaysia dapat menjadi contohnya . kontroversi benturan ini semarak bukan kerana emosi semata mata tetapi kerana perkaitan tabii tentang bahasa dengan pembinaan negara bangsa dan kemajuan sains dan teknologi.

 

Benturan budaya berbahasa di Malaysia, terutamanya kini, tertumpu kepada benturan dua kelompok manusia.

 

Kelompok pertama ialah golongan elit yang berbudaya bahasa Inggeris, yang percaya bahawa kemajuan dalam bidang apa pun mestilah di kejar menerusi budaya berbahasa Inggeris; budaya bahasa lain , khususnya budaya berbahasa Melayu, tidak mungkin memajukan bangsa dan negara berkenaan.

 

Kelompok kedua ialah golongan yang percaya bahawa kemajuan patut dan dapat dicapai menerusi budaya berbahasa Melayu dengan tidak mengabaikan kemampuan berbahasa lain yang relevan dan kena pada masa dan tempatnya , terutamanya bahasa Inggeris.

 

Benturan dua kelompok ini sudah berlaku pada tiga gelombang yang besar, iaitu gelombang kemerdekaan 1957, gelombang pemartabatan bahasa Melayu 1967-1970, dan kini gelombang besar atas nama kesejagatan (globalisme) , persaingan, kemajuan, dan sebagainya terutama selepas Y.A.B. Perdana Menteri mengisytiharkan dasar yang mengimplikasikan perlunya pendidikan Sains dan Teknologi (S & T ) dilakukan dengan bahasa Inggeris pada 27 Disember 1993. Benturan minda dan emosi dalam gelombang ketiga ini sedang berlaku hebat sehingga isu yang sebenarnya sering melencong.

 

Ada sekurang-kurangnya empat isu utama yang selalu diseret ke dalam kancah persoalan tentang mauduk ini.

 

1. Setelah negara kita (bermula dengan tertubuhnya UKM) menjalankan kursus-kursus Sains dan Teknologi (S & T) dalam bahasa Melayu sejak tahun 1970, apakah kegagalan dan  kejayaannya?


2. Apakah untungnya , terutamanya bagi orang Melayu dan peribumi/bumiputera lainnya, jika universiti kita sekarang kembali menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pendidikan S & T? (Sejak tahun 1982 semua universiti menggunakan bahasa Melayu).

3. Adakah sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris mempunyai hubungan dengan pencapaian ilmu dan kemajuan sesebuah negara bangsa ?
4. Jika benar sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris dapat memajukan sesuatu bangsa, contohnya bangsa Melayu, adakah benar bahawa kemajuan yang tercapai menerusi bahasa Inggeris itu akan menaikkan martabat bahasa Melayu.

 

BENARKAH PENDIDIKAN S & T DALAM BAHASA MELAYU GAGAL?

 

Kegagalan pendidikan S & T dalam bahasa Melayu sebenarnya satu tanggapan yang sehingga kini belum dapat dibuktikan kerana kajian yang dibuat sehingga kini menunjukkan hal yang sebaliknya. Tanggapan ini dipengaruhi oleh kehidupan seseorang dalam dunia yang tidak berbahasa Melayu atau dalam alam cita Inggerisnya. Kajian pesurih UKM tidak dapat dipergunakan untuk menunjukkan bahawa siswazah S & T dari UKM (dalam bahasa Melayu) lebih rendah mutunya daripada siswazah dari universiti lain (yang berpenghantar bahasa Inggeris), kecuali prestasi mereka, yang memang diduga, dalam daya komunikasi berbahasa Inggeris. Tetapi, adakah kelemahan dalam berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pun sudah menyebabkan kita ketinggalan dalam S & T berbanding dengan negara-negara maju yang lain? Jika isunya adalah kelemahan berbahasa Inggeris saja, mengapa pula pendidikan S & T yang dipalitkan setelah pelajar tersebut belajar bahasa Inggeris selama 11-13 tahun di sekolah? Mengapa tidak dibangkitkan soal pengajaran bahasa Inggeris itu sendiri? Mungkinkah kelemahan generasi baru dalam bahasa Inggeris sengaja digunakan oleh golongan tertentu untuk kembali memperkukuhkan pengaruhnya dalam penyemarakan “budaya Inggeris” yang disanjungnya dan dihayatinya selama ini? Bukankah keadaan ini merupakan manifestasi benturan budaya berbahasa Inggeris dengan budaya berbahasa Melayu?

 

Kelemahan siswazah pernah dibangkitkan dengan hebatnya pada tahun-tahun 1986-1990 ketika siswazah menganggur. golongan pencinta bahasa Inggeris (Inggerisofil) pun mengambil kesempatan untuk meluahkan isi hatinya yang terbendung selama ini dengan mengatakan bahawa sistem pendidikan dalam bahasa Melayulah yang menjadi penyebabnya; sedangkan sebab sebenarnya ( yang lebih dominan) ialah kemelesetan ekonomi. Anehnya , sebelum dan selepas itu (hingga sekarang pun) isu pengangguran siswazah tiada berkumandang lagi , padahal pendidikan berpenghantar bahasa Melayu dalam S & T tidak berubah.

Siswazah kejuruteraan UKM yang diajar dengan bahasa Melayu , terutamanya sejak beberapa tahun ini, hampir 100% mendapat pekerjaan sebelum mereka mendapat ijazah secara resmi lagi, dan prestasi mereka dalam pekerjaan masing-masing, mengikut pihak majikan, tidak kurang daripada mereka yang memperoleh ijazah dari luar negara.

 

Mengikut kajian Faridah Karim dan rakan-rakannya (1992, lihat “Laporan Kajian Prestasi Siswazah UKM”), siswazah UKM (yang bersinonim dengan aliran Melayu) daripada penilaian majikan-majikan mereka berada di tahap yang memuaskan atau tahap baik atau cemerlang  dari segi sahsiah (personaliti), sikap, dan kebolehan menjalankan tugas. Hanya 7% saja yang berada di tahap  yang lemah; iaitu peratusan normal yang tidak seharusnya menggusarkan kita. Dari segi penguasaan bahasa Inggeris pula, sektor swasta tidak mendapati siswazah UKM lemah, tetapi sektor awam mendapati hal yang sebaliknya, sehingga pada keseluruhannya siswazah UKM memang dapat dianggap mempunyai taraf penyampaian yang lemah. Nampaknya, pelajar yang baik bahasa Inggerisnya bekerja di sektor swasta dan yang tidak baik bahasa Inggerisnya bekerja di sektor awam. Penyelesaian kepada masalah ini perlu dipelajari daripada negara-negara yang maju, tetapi tentunya bukan menerusi pengubahan dasar pendidikan S & T.

 

KEJAYAAN PENDIDIKAN S & T DALAM BAHASA MELAYU
 
Kejayaan pendidikan S & T dalam bahasa Melayu cukup membanggakan bagi mereka yang menelitinya scara objektif. Pertama, peratusan bumiputera dalam S & T telah meningkat, umpamanya ( mengikut risalah Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia, MSRC), jurutera 35% , doktor perubatan 28% , arkitek 24%, juru ukur 45%, padahal 20 tahun dahulu peratus bumiputera dalam bidang-bidang ini kurang daripada 10 % . Khazanah karya S & T dalam bahasa Melayu dalam bentuk buku , tesis, dan makalah ilmiah pun cukup memberangsangkan, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding dengan khazanah dalam bahasa-bahasa negara maju. Di UKM saja, khazanah S & T seperti yang tersenarai di bawah ini (Jadual 1) patut menjadi renungan bagi pihak yang sangsi akan kemampuan bahasa Melayu dan penuturnya, secara lisan dan tulisan.

 

Pendek kata, bahasa Melayu sebagai wahana S & T sudah agak mantap dalam dunia akademik. Tentulah tidak munasabah, malah regresif dan berdosa, jika kita menghentikan atau menyekat (walau secara tidak langsung sekalipun) perkembangan tamadun baru ini dengan penyataan-penyataan yang mengimplikasikan bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu (S &T ) atau dasar pendidikan sekarang perlu dilonggarkan untuk memberikan laluan kepada pihak-pihak tertentu supaya mereka dengan mudah dapat melaksanakan pendidikan S & T dalam bahasa Inggeris.

 

Karya S &T dalam bahasa Melayu sekarang sudah ada yang diterjemahkan dan/atau ditelaah oleh ahli-ahli S & T luar negara. Keluwesan atau kelenturan dan kesanggupan serta kemampuan siswazah aliran Melayu menyesuaikan diri dengan alam persekitarannya telah terbukti. Mungkin bilangan tenaga pengajar dalam S & T di universiti-universiti tempatan, yang ijazah pertamanya sekurang-kurangnya dalam aliran Melayu, dapat menjadi contoh yang nyata lagi kepada hakikat ini. Misalnya , di UKM peratusan tenaga pengajar yang ijazah pertamanya sekurang kurangnya dalam aliran Melayu adalah seperti yang berikut:

Kejuruteraan                                                                  41%
Sains dan Sumber Alam                                                59%
Sains Fizik                                                                     63%
Sains Hayat                                                                     29%
Sains perubatan/ Kesihatan                                           31%
Sains Matematik dan Komputer                                      36%

JADUAL 1: KARYA S&T DALAM BAHASA MELAYU (DI UKM) HINGGA 1993

Tesis siswazah S & T dalam                     :    112 Sarjana, 12 Dr. Fal
Bahasa Melayu

Tesis kepujian S & T dalam                    : Sekitar 600 buah setahun (kini bahasa Melayu sudah puluhan ribu)

Jurnal ilmiah S & T                                 :    5 buah setahun ( yang memuatkan sekitar 40 & makalah dalam bahasa
                                                                Melayu). Sehingga kini sebanyak 320 buah makalah ilmiah ini telah
                                                                diterbitkan.

Buku (asli dan terjemahan)                     :     52 buah
S & T dalam bahasa Melayu

Seminar S & T dalam bahasa Melayu        :      Lebih daripada 10 buah
                                                                seminar S & T setahun
 

Laporan penyelidikan asli                       :     Sekitar 150 laporan  setahun.
S &T dalam bahasa Melayu                         UKM telah merakamkan semua hasil penyelidikan Intensification of Research 
                                                                on Priority Area (IRPA) dalam bahasa Melayu menerusi 3 buah pascasidangnya

                                                                yang berjumlah kira- kira 400 buah makalah.

Keluaran pemegang ijazah                     :     Sekitar 600 orang setahun
S &T dalam bahasa Melayu
 

APAKAH RUGINYA PENDIDIKAN S & T DALAM BAHASA MELAYU?

 

Apabila kita bercakap tentang untung rugi pendidikan kita dalam bahasa Melayu, persoalan ini dikaitkan dengan kemajuan bahasa, bangsa, dan negara. Adakah orang bukan Melayu rugi? Adakah orang Melayu rugi? Adakah negara kita tidak maju? Adakah imej bangsa dan negara tidak lagi menonjol?

 

Sehingga kini tidak ada kaum mana-mana pun di negara kita yang merosot pencapaian akademiknya kerana pendidikan dalam bahasa Melayu . orang bukan Melayu tetap cemerlang dan orang Melayu rata-rata turut bertambah baik pencapaiannya.

 

Pada peringkat awal dahulu, orang Melayu berharap bahawa pencapaian mereka dari segi kuantiti dan mutu akan melonjak naik apabila pendidikan dijalankan dalam bahasa Melayu. Harapan ini tidak sepenuhnya tercapai kerana pencapaian akademik tidak bergantung pada bahasa penghantar sahaja. Tetapi , jika pendidikan S & T selama ini dilakukan dalam bahasa Inggeris, sudah tentu nasib orang Melayu akan lebih parah lagi, kerana pencapaian orang Melayu dalam bahasa Inggeris jauh lebih teruk daripada pencapaian keturunan lain. Sebahagian besar daripada ahli akademik dan ikhtisas yang ada sekarang tidak mungkin berpeluang memasuki pintu kejayaan yang telah dilangkahi mereka, jika pendidikan kita dahulu dalam bahasa Inggeris.

 

Keadaan ini memang  tabii. Kajian-kajian yang telah dibuat di negara-negara luar menunjukkan bahawa pemelajaran ilmu dalam bahasa sendiri jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan pemelajaran ilmu dalam bahasa asing. Kajian-kajian itu menunjukkan bahawa perkembangan ilmu berlaku dengan uniknya dalam setiap perantaraan bahasa yang berbeda, kerana bahasa dan budaya mempengaruhi arah dan rupa bentuk ilmu yang dikembangkan itu. (Lihat Mulkey 1992) Sains dan Sosiologi Ilmu Pengetahuan DBP dan (Nasher, R. & Kilpatrick, J. (Ed.) 1990) Mathematics and Cognition. Sesuatu bangsa yang membangunkan S & T dalam bahasa asing belum dapat membuktikan bahawa bangsa itu menjadi pemimpin dalam ilmu S & T. Yang mungkin ada ialah negara yang agak maju dalam perdagangan. Tetapi kemajuan dalam perdagangan tidak ada hubungannya dengan kemajuan dalam S & T, walaupun ada hubungannya dengan kepenggunaan S & T.

 

Dasar pendidikan yang mentakhtakan bahasa kebangsaan di Malaysia sesungguhnya tidak merugikan sesiapa pun. Pertama , dasar ini telah memberikan peluang yang besar kepada segenap lapisan rakyat Malaysia untuk  mencapai tahap ilmu yang memungkinkan mereka memperoleh kejayaan dan memberi mereka tapak berpijak untuk bersaing. Kemajuan Malaysia sehingga kini, yang menjadi ikutan negara-negara Dunia Ketiga atau Negara Membangun, tidak syak lagi disebabkan oleh dasar pendidikan kebangsaan kita yang kukuh dan terancang. Pendeknya, dasar pendidikan kebangsaan kita selama ini ialah dasar pendemokrasian pendidikan yang telah terbukti kejayaan nya dan segera menuju ke tahap yang cemerlang.

 

DAYA SAING SISWAZAH ALIRAN MELAYU

 

Perkara yang selalu ditimbulkan ialah soal daya saing kita di arena antarabangsa kerana sehingga kini memang diakui bahawa pendidikan kebangsaan kita menjadikan siswazah dari universiti tempatan rata-rata tidak menguasai bahasa Inggeris sehebat yang dikuasai oleh segelintir  siswazah bumi putera S & T, atau sebilangan besar siswazah bukan bumiputera sebelum terlaksananya dasar pendidikan kebangsaan. Inilah yang dikatakan kerugian daripada sistem pendidikan kebangsaan kita yang tidak mampu melahirkan ahli S & T yang dapat bersaing pada peringkat antarabangsa.

 

Andaiannya, siswazah S & T yang berbahasa Inggeris, umpamanya orang Inggeris yang berijazah S & T, sebahagian besarnya dapat bersaing di arena antarabangsa dalam S & T. Andaian ini tentunya tidak benar. Siswazah S & T yang dapat bersaing di arena antarabangsa ialah siswazah yang mencetuskan inovasi atau ciptaan sains dan teknologi dalam bahasa apa sekalipun. Karya-karya yang bertaraf antarabangsa dalam bahasa-bahasa selain bahasa Inggeris tetap muncul dalam abstrak antarabangsa. Lagipun , sarjana-sarjana S & T yang tidak berbudaya bahasa Inggeris (termasuk sarjana-sarjana kita di Malaysia kini) memang mampu menghebahkan penemuan-penemuannya dalam bahasa Inggeris yang diterima oleh komunitinya.

 

Siswazah Inggeris dalam S & T sebenarnya kurang mampu, umpamanya, untuk bersaing dengan siswazah Jerman dan Jepun dalam S & T, walaupun daya komunikasi siswazah S &T dari Jerman dan Jepun ini dalam bahasa Inggeris kurang daripada daya komunikasi siswazah Inggeris.

 

Andaian kedua ialah bahawa siswazah S & T daripada sistem pendidikan kebangsaan yang mencipta atau melakukan inovasi S & T tidak mampu mencapai tahap berkomunikasi dalam bahasa Inggeris di kalangan komuniti mereka. Sekali lagi , andaian ini palsu. Mungkin tidak banyak antara mereka yang mampu menjadi jurujual untuk menampilkan hasil ciptaan atau inovasi mereka atau berbicara seperti seorang diplomat tentang hasil rekaan mereka; tetapi ini memang sesuatu yang tabii dalam bidang  S & T di negara-negara maju yang bukan berbudaya Inggeris. Namun , mereka tetap disegani di arena antarabangsa. Sebenarnya , dalam melaksanakan sistem pendidikan kita sekarang pun, banyak siswazah S & T lulusan universiti tempatan kita yang terbukti mampu menjadi juru jual  S & T (dalam bahasa Inggeris )’ yang kurang ialah siswazah yang dapat memberikan sumbangan daya ciptanya dalam S & T . soal daya cipta inilah (bukan soal petah bercakap) yang menjadi faktor penentu daya saing S & T sesuatu bangsa. Kita tak mungkin berada di pinggir persaingan dalam S &T jika kita tidak mencipta S & T , walau bagaimana sekalipun handalnya kita berbahasa Inggeris dan dapat menjadi juru jual S & T (dalam bahasa Inggeris).

 

Kefasihan berbahasa Inggeris di kalangan siswazah kita (yang tidak mengkhususkan dalam mata pelajaran bahasa Inggeris atau kajian antarabangsa yang ada ditawarkan di universiti-universiti tempatan kita ) memang masih patut,  perlu , dan wajar ditingkatkan, terutamanya di kalangan siswazah bumiputera. Tetapi persoalan ini jauh lebih kompleks dan tidak harus dilihat sebagai masalah satu matra (dimensi). Data yang ada pada kita sehingga kini menunjukkan bahawa masalah ini sebahagian besarnya bumiputera. Siswazah bukan bumiputera sebenarnya mendapat keuntungan besar daripada sistem pendidikan kebangsaan kerana mereka dapat menguasai tiga bahasa (bahasa ibunda, bahasa Melayu , dan bahasa Inggeris), sedangkan, kerana sikap, bukan soal S & T dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu, keturunan bumiputera tidak dapat mengatasi kaum bukan bumiputera dalam hal penguasaan bahasa Melayu, bahasanya sendiri. Berdasarkan pada keadaan ini saja, jika pendidikan S & T diubah bahasa penghantarnya kepada bahasa Inggeris, maka kedudukan keturunan bumiputera akan lebih parah lagi.

 

Sesungguhnya masalah kelemahan bahasa Inggeris adalah isu lain yang tiada kena mengena dengan pencapaian S & T, tetapi berpunca daripada latar belakang pelajar dan alam persekolahan. Peranan universiti dalam memperbaik prestasi bahasa Inggeris tentu ada batasnya, walaupun masih banyak lagi ruang untuk pembaikannya. Langkah mengubati penyakit “lemah bahasa Inggeris “ dengan menukar sistem Pendidikan Kebangsaan mungkin membawa kejayaan tetapi hanya bagi sebilangan kecil bumiputera saja; tidak lama nanti senario bumiputera dalam S & T akan kembali semula kepada keadaan pada tahun-tahun sebelum 1960-an. Kita tidak mungkin bercakap tentang daya saing bumiputera di peringkat antarabangsa jika tiada bumiputera yang berada di ambang pintu persaingan itu. Sebaliknya, dengan sistem pendidikan kita sekarang, kita telah mampu membawa beberapa banyak keturunan bumiputera ke ambang pintu persaingan antarabangsa, dan  banyak yang telah berjaya.

 

BAHASA INGGERIS DAN BAHASA PENGHANTAR PENDIDIKAN

 

Keperluan terhadap bahasa Inggeris memang diakui benar kerana sumber ilmu sekarang, antaranya, memang dalam bahasa Inggeris. Malah pelajar-pelajar universiti kita sekarang ini, seperti di mana-mana jua pun, sekiranya mahu cemerlang, haruslah merujuk kepada buku-buku ilmu dalam bahasa asing. Bagi para pelajar kita, mereka perlulah merujuk kepada buku-buku dalam bidang pengajian mereka yang lebih daripada 90% adalah dalam bahasa Inggeris. Hal ini berlaku bukan saja dalam bidang S & T, tetapi dalam bidang sastera (kemanusiaan dan sains sosial) juga.

 

Oleh sebab itulah penguasaan bahasa Inggeris di setiap universiti memang ditekankan menerusi pelbagai cara yang difikirkan perlu tetapi tidaklah sampai menukar dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar pengajian sesuatu bidang, kecuali pengajian bahasa Inggeris itu sendiri.

 

Cara ini sebenarnya dilakukan oleh setiap negara maju yang sistem pendidikannya adalah dalam bahasa kebangsaan masing-masing seperti negara-negara G-7, negara-negara di Eropah dan negara-negara yang berada di pinggir persaingan  dengan negara-negara maju ini seperti Korea, dan negara-negara yang semakin menakutkan dunia Barat seperti Cina, Thailand, dan lain-lain lagi (termasuk Malaysia). Sementara itu hampir semua negara dalam Dunia Ketiga (negara mundur) memang menggunakan bahasa asing (bahasa penjajahnya) sebagai bahasa penghantar dalam sistem pendidikannya. Jika benar bahawa bahasa Inggeris saja yang menjadi penentu mutu pendidikan dan tahap kemajuan (S & T ) sesebuah negara , maka tentunya negara-negara yang lebih maju daripada kita, dan yang ingin mempercepatkan kadar kemajuannya, tidak  meneruskan sistem pendidikan yang berperantaraan bahasa kebangsaan masing-masing.

 

KEPERLUAN TERJEMAHAN

 

Antara isu yang timbul daripada kekurangan buku dalam bahasa Melayu, sehingga pelajar kita terpaksa merujuk kepada buku-buku yang lebih daripada 90% dalam bahasa Inggeris, ialah isu yang terbit daripada rasa ponyah (cepat melenting). Mereka yang pongah ini berpendapat bahawa jika demikian halnya, lebih baik saja kita menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar S & T kerana kita tidak mungkin dapat melakukan kerja terjemahan dengan cepat. Terjemahan yang ada pada hari ini ialah S & T sepuluh tahun yang lalu.

 

Banyak andaian yang tidak tepat yang tersirat dalam pandangan pongah ini. Pertama, andaiannya ialah pelajar dalam aliran Melayu selama ini tidak dapat memahami buku-buku S & T dalam bahasa Inggeris , semata-mata berasaskan tahap daya komunikasi lisan mereka dalam bahasa Inggeris. Kedua, terjemahan tidak dilakukan dengan pilihan buku-buku yang mutakhir, dan prosesnya secara tabii lambat. Ketiga, usaha penterjemahan telah hebat dilakukan tetapi terbukti gagal kerana kosnya mahal, penterjemah tidak cukup, dan sebagainya. Keempat, buku terjemahan berguna hanya untuk pelajar bidang yang berkenaan saja.

 

Hakikat yang sebenarnya ialah bahawa pelajar dalam aliran Melayu, dengan tahap penguasaan membaca bahasa Inggeris sekarang, rata-rata mampu menimba ilmu mutakhir yang tertulis dalam bahasa Inggeris. Apatah lagi para pensyarah  pun sudah dwibahasa pula, walaupun dahulunya mereka daripada aliran Melayu. Saban hari mereka ini melakukan terjemahan untuk rujukan , kuliah, penyelidikan, karangan, perbahasan, dan sebagainya. Jika prasarana penerbitan di universiti-universiti dapat ditingkatkan, Universiti Kebangsaan saja akan dapat menerbitkan ratusan buah-buku terjemahan (dan karya asli atau adaptasi) yang diperlukan itu. Tambahan pula, jika insentifnya cukup baik, seperti yang berlaku bagi buku-buku peringkat  sekolah, semua pihak akan bergiat dalam bidang terjemahan.

 

Dengan tahap kemampuan para pensyarah untuk menimba ilmu dalam bahasa Inggeris, dan dengan tahap penguasaan bahasa Melayu yang ada pada mereka, kos terjemahan sebenarnya jauh lebih murah daripada kos mengubah sistem pendidikan sekarang daripada sistem aliran berbahasa Melayu kepada aliran berbahasa Inggeris. Kos mengubah sistem aliran berbahasa Melayu kepada aliran berbahasa Inggeris jauh lebih mahal bukan saja kerana dengan penukaran itu kita kehilangan maruah dan identiti bangsa dan negara, tetapi juga kerana sistem aliran berbahasa Inggeris hanya akan berhasil melahirkan hanya segelintir  anggota masyarakat yang mampu menguasai bahasa Inggeris pada tahap yang begitu tinggi. Hal ini telah terbukti pada zaman sebelum wujudnya dasar pendidikan kebangsaan di negara-negara yang sistem pendidikannya berpengantar bahasa penjajahnya.

 

Buku-buku karya asli atau adaptasi dan terjemahan dapat dihasilkan dengan banyaknya dan lebih baik lagi jika terdapat sejumlah besar penulis dan penterjemah yang benar-benar menguasai bahasa Melayu sebagai hasil daripada sistem pendidikan kebangsaan yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah-sekolah dan di institusi pengajian tinggi. Dengan buku-buku berbahasa Melayu semakin banyak dan jumlah pensyarah yang menguasai bahasa Melayu pun bertambah besar, maka ilmu daripada bahasa-bahasa asing dapat disebarkan dengan lebih merata sebagaimana bahasa kebangsaannya seperti Jepun, Korea, Cina, dan lain-lain.

 

Satu perkara yang terlepas dari pandangan beberapa banyak pihak tentang isu terjemahan ialah betapa terjemahan sebenarnya membantu mempercepat pembangunan ilmu. Seseorang yang menterjemahkan sesebuah karya (secara tulisan atau lisan) sebenarnya akan meningkatkan tahap pemahamannya, pentafsirannya, dan penghayatannya tentang ilmu yang diterjemahkan itu. Seterusnya, daya dan mutu penterjemahan itu akan meningkat. Hasil terjemahannya itu (secara tulisan atau lisan ) dapat pula dinikmati oleh masyarakatnya dengan lebih luas dan merata. Pendeknya, terjemahanlah (secara tulisan atau lisan) yang menjadi mangkin kepada pemindahan S & T serta pembudayaan ilmu yang meluas dan merata, yang menjadi syarat bagi pembangunan ilmu sesuatu bangsa. Pendidikan yang berperantaraan bahasa Melayu (atau bahasa kebangsaan lain bagi negara-negara lain), terutamanya bagi negara-negara bangsa yang belum mempunyai tradisi ilmu berkenaan, memang membabitkan penterjemahan dengan tabiinya.

 

Tidak menghairankan jika negara-negara yang telah maju, yang sedang maju, atau yang menuju kemajuan dengan pesatnya mempunyai budaya terjemahan yang tinggi secara tabiinya menerusi sistem pendidikan kebangsaannya. Itali membina S & T negaranya sejak kurun ke-10 M menerusi bahasanya (bahasa Latin) sedangkan bahasa S & T dewasa itu dalam bahasa Arab. Seterusnya negara-negara lain di Eropah tidak memajukan S & T masing-masing menerusi bahasa Arab atau Latin, dan Jepun (walaupun pada mulanya teruk dikalahkan oleh orang yang berbudaya Inggeris ) tidak membina S & T –nya dalam bahasa Inggeris. Benturan budaya berbahasa dalam negara-negara ini pada masa dahulu dapatlah dijangka sehebat yang sedang kita alami sekarang.

 

PENGUASAAN BAHASA ATAU PENGUASAAN ILMU?

 

Persoalan yang lebih asas lagi bagi negara kita apabila kita menumpukan perhatian kepada bumiputera ialah prestasi dalam mata pelajaran matematik, kerana mata pelajaran inilah yang menjadi penunjuk kemajuan atau potensi pembangunan S & T di peringkat sekolah lagi. Masalah inilah yang lebih asas daripada masalah bahasa. Dalam sistem penndidikan berperantaraan bahasa Melayu pun mereka begitu jauh ketinggalan berbanding dengan bukan bumiputera. (Lihat statistiknya di bawah dalam Jadual 2.)

 

JADUAL 2: PRESTASI PELAJAR SEKOLAH (UPSR) DALAM MATEMATIK

% gred A dan B

 

 1991

 

 1992

 

 

Bumiputera

Cina 

Bumiputera

Cina

Matematik

27%

64.8%

25.4%

61.5%

Sumber: Ubahsuai Statistik Kementerian Pendidikan

Daripada prestasi pelajar yang dipaparkan melalui Jadual 2, tidak menghairankan jika kita menghadapi masalah kekurangan atau ketiadaan pelajar bumiputera dalam bidang S & T di institusi-institusi pengajian tinggi. Isu ini bertambah runcing lagi dengan tarikan kerjaya dalam bidang pengurusan , perniagaan, undang-undang, dan perakaunan dewasa ini.

 

Tidak menghairankan juga bahawa prestasi di institusi pengajian tinggi pun menampilkan trend yang serupa, walaupun beberapa tahun kebelakangan ini, dengan adanya pelbagai program khas ( kebanyakannya berupa program motivasi dan kesedaran) nampaknya ada sedikit perubahan. (Setiap tahun ada siswazah bumiputera S & T yang mendapat kelas 1: Tahun 1992 terdapat 6 orang, tahun 1991 ada 4 orang, tahun 1990 ada 3 orang.)

 

Persoalannya, adakah dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar S & T, kita dapat mengatasi masalah ini lebih daripada usaha yang telah dan sedang kita lakukan sehingga kini menerusi pendidikan yang berperantaraan bahasa Melayu?

 

BENARKAH APABILA BANGSA MAJU, BAHASANYA PUN TURUT MAJU?

 

Ada pula teori yang menegaskan bahawa kemajuan sesuatu bahasa didahului oleh kemajuan ekonomi bangsa berkenaan menerusi bahasa-bahasa lain yang telah maju. Hal yang demikian ini bermakna bahawa bagi bahasa Melayu, orang Melayu mestilah terlebih dahulu mencapai kemajuan ekonominya dengan tidak mementingkan bahasanya dahulu. Pandangan yang berasaskan perancangan matlamat tunggal ini sukar diterima. Malah bagi sesetengah pihak lain yang prihatin terhadap pembinaan bangsa atau negara , atau yang melihat sejarah tamadun bangsa dan bahasa yang telah dan sedang maju, pandangan ekamatra (unidimensi) ini ternyata meleset sama sekali.

 

Amatlah sukar ditolak, kalaupun tidak mustahil, bahawa kemajuan bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan; perancangan pelbagai matlamat lebih menjamin kejayaan kita. Negara-negara maju dan sedang maju yang mengatasi kita sekarang pun memang menangani masalah  ini secara bersepadu. Bahasa dan bangsa dibina secara serentak, menerusi sistem pendidikan kebangsaan masing-masing dan pembinaan ekonomi (perdagangan).


Jika kita melihat kumpulan bangsa Melayu yang berjaya sekarang ini pun (yang di sebut-sebut sebagai “Melayu Baru” atau “Melayu Korporat”), jelas kelihatan bahawa nasib bahasa Melayu tidak akan berlaku sesuai dengan teori “bangsa maju maka bahasanya pun maju”. Tambahan pula, jika bahasa Melayu (atau bahasa apa pun) tidak digunakan dalam S & T dalam beberapa waktu saja, maka tentu sekali bahasa itu akan terperosok di penjuru sehingga tiada siapa yang akan mempedulikannya lagi dan  akan melalui proses pereputan lalu akhirnya akan lenyap saja, atau menjadi bahasa pasar lambak golongan daif saja.

 

Sesungguhnya, sehingga kini, walaupun sistem pendidikan kebangsaan sudah sekian lama berjalan, bahasa Melayu masih terhad penggunaannya, iaitu dalam bilik-bilik darjah atau kuliah, dalam persidangan parlimen, dan dalam dunia penyanyi pop saja. Dalam dunia korporat atau perniagaan, bahasa Melayu belum digunakan lagi. Malah dalam sektor awam pun, terutamanya akhir-akhir ini, penggunaan bahasa Melayu semakin terhakis. Mesyuarat yang diadakan pada peringkat tinggi-tinggi hanya minitnya saja yang ditulis dalam bahasa Melayu.

 

Dalam keadaan sebegini, bagaimanakah dan siapakah yang akan memajukan bahasa Melayu? Jika kerajaan membenarkan trend ini  berterusan dan yang lebih parah lagi, membenarkan bahasa Inggeris menjadi bahasa penghantar dalam S & T dalam bidang pendidikan, iaitu langkah yang memberikan isyarat atau simbol tentang kerendahan bahasa Melayu, maka terkuburlah satu medan penting bagi penyuburan bahasa Melayu, iaitu medan pendidikan, dan tinggallah (entah berapa lama lagi) dua tempat bahasa Melayu digunakan, iaitu di Parlimen dan dalam seni kata lagu-lagu Melayu. Medan-medan ini amat rapuh, hanya menunggu masa saja untuk rebah!

 

SWASTA SEBAGAI PENENTU DASAR BAHASA

 

Sebelum pertengahan tahun 1980-an kita bergerak atas andaian bahawa sektor awam dapat menjadi agen perubahan, khususnya perubahan nilai masyarakat terhadap bahasa Melayu. Kita telah menyaksikan andaian ini meleset sama sekali, malah status bahasa Melayu di sektor awam kita pun semakin terhakis dilanda kuasa dari swasta yang semakin agresif mengetengahkan budaya berbahasa Inggerisnya yang tidak pernah berubah itu.

 

Sehingga kini, kerajaan nampaknya telah mengalah kepada tuntutan pihak swasta termasuk tentang perkara-perkara yang berhubung dengan nasib bangsa pada jangka panjang, demi mempertahankan nilai-nilai material  dari pihak swasta. Soal penubuhan universiti swasta yang membelakangkan Akta Pendidikan Negara yang pada satu masa dahulu diseret ke mahkamah telah dilupakan.

 

Sesungguhnya kita harus mengakui keperluan program-program kembar dan penubuhan kolej-kolej atau pusat-pusat pengajian tinggi swasta, tetapi pada masa yang sama kerajaan perlu menentukan garis-garis yang tegas dalam soal yang sejajar dengan dasar pendidikan negara. Umpamanya, adakah pihak swasta tidak perlu memberikan perhatian kepada nasib bumiputera dalam program-program pendidikannya ? Adakah pihak swasta terus dibiarkan mengesampingkan bahasa Melayu untuk hanya kaki tangan buruh saja dalam urusan kolej-kolej swasta mereka itu? Inilah antara isu yang perlu ditangani dengan berani oleh kerajaan. Kita tidak boleh membiarkan pihak swasta merasuk jiwa kita dan jiwa pembuat dasar pembangunan negara, sehingga akhirnya swastalah yang menentukan dasar pembangunan negara mengikut selera materialnya saja.

 

Persoalan yang ditimbulkan di atas memang rumit tetapi usaha menyelesaikannya dengan penuh hikmah amat diperlukan. Umpamanya, kerajaan boleh memberikan insentif-insentif yang tertentu kepada pihak swasta yang mengambil langkah-langkah positif ke arah meleraikan isu-isu itu. Kerajaan boleh dan patut memastikan penyertaan 51% bumiputera atau kerajaan dalam urusan pendidikan swasta dari semua aspeknya – modal, pekerja, pelajar, dan yang lebih penting lagi penggunaan bahasa Melayu. Universiti tempatan sekarang mampu memberikan bantuan dalam pencapaian matlamat ini.

 

Ada pihak yang mendakwa bahawa jika soal 51% penyertaan bumiputera atau  kerajaan seperti yang disebut di atas dilaksanakan, maka peluang pihak swasta memperoleh pelajar dari seberang laut akan malap. Andaian ini satu andaian yang miopik dan berkiblat kepada sumber pelajar dari negara-negara yang berbahasa Inggeris saja. Pada hakikatnya, dan yang sebenarnya dialami  oleh universiti-universiti tempatan selama ini ialah bilangan pelajar yang besar datangnya dari Nusantara (dunia berbahasa Melayu) dan Dunia Ketiga saja. Itu pun kita tidak menjangka bilangannya lebih daripada 20% daripada jumlah pelajar semuanya. Tambahan pula rakyat Malaysia sendiri tidak akan bersetuju jika sesebuah kolej swasta mempunyai peratusan pelajar asing yang lebih besar daripada angka ini, terutamanya dalam bidang-bidang ikhtisas dan S & T.

 

Para pelajar dari dunia yang berbahasa Inggeris yang ingin belajar di negara ini sebenarnya sekali gus berminat untuk menguasai bahasa Melayu. Pendeknya, potensi kehadiran para pelajar seberang laut ini sebenarnya tidaklah menjadi penentu besar kepada kejayaan sesebuah kolej swasta, sebesar yang digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan itu. Walau apa pun , pelajar tempatanlah yang membanjiri kolej-kolej swasta ini, oleh itu mengapakah, untuk kepentingan minoriti bangsa asing ini, kita menggunakan bahasa Inggeris? Lagipun, seperti yang berlaku di UKM, mereka yang dari seberang laut boleh saja diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu kerana tahap bahasa Inggeris mereka pun rata-rata sama dengan pelajar tempatan juga. Tambahan lagi, jika kita benar-benar berorientasikan pasaran untuk “menjual komoditi pendidikan kita”, logiknya, kita harus menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar pendidikan kita oleh sebab kebangkitan Republik Rakyat Cina sekarang di rantau antarabangsa.

 

KESIMPULAN

 

Tidak syak lagi bahawa pihak swasta kita sebenarnya sengaja menggunakan slogan “pengkomersilan pendidikan”, ”persaingan antarabangsa” , “pengantarabangsaan pendidikan”, dan sebagainya bagi mengabsahkan idaman mereka mengekalkan budaya berbahasa Inggeris di samping mendapat keuntungan besar daripada pelajar-pelajar tempatan yang terdiri daripada golongan berada. Kerajaan tidak harus tunduk kepada impian mereka ini sehingga sanggup mengubah dasar pendidikan kebangsaan (menukar akta-akta yang relevan) yang ada sekarang. Kebenaran untuk mereka menggunakan bahasa lain selain bahasa Melayu dalam kolej-kolej tajaan mereka mestilah selaras dengan dasar kerajaan yang membenarkan universiti-universiti tempatan menjalankan beberapa kursus tertentu dalam bahasa asing, iaitu kebenaran itu bersifat sementara saja, dan tidak menjejaskan kedominasian bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama, di samping tertakluk kepada  beberapa dasar utama yang disyorkan sebelum ini dalam seksyen ini.

 

Oleh Shaharir Mohamad Zain
Universiti Kebangsaan Malaysia

 

Bibliografi
Faridah Karim.1992. Laporan Prestasi siswazah UKM. Bahagian Akademik UKM.
Huntington, S.1993. “The Clash of Civilizations” dlm. Foreign Affairs,Summer hlm. 22-49.
Mulkay, M.1992. Sains dan Sosiologi Ilmu Pengetahuan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nasher, P. dan Kilpatrick, J. (ed.) 1990. Mathematics and Cognition. Cambridge University Press.
Risalah Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia (MRSC). Tidak diterbitkan. 1994

(Makalah ini adalah sebahagian daripada isi kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Bahasa Melayu Pembina Budaya Sains dan Teknologi, anjuran Fakulti Sains Sumber Alam (FSSA), Sabah pada 5 Februari 1994. Makalah ini merupakan suntingan semula kepada makalah yang terbit dalam Jurnal Dewan Bahasa, Disember 1994. Dipetik daripada buku Manifesto Budaya,oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 203-223)

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 12.05.2004

 

Penggunaan istilah asing di Putrajaya cukup memalukan

Thursday, May 06 @ 18:23:33 MYT


KOTA BHARU, 6 Mei (Hrkh) - Penggunaan istilah asing seperti parcel, presinct, boulevard dan souq di Putrajaya adalah sesuatu yang cukup memalukan kerana ia berlaku di tengah-tengah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan, Sains dan Teknologi, Haji Mohd Amar Abdullah berkata, sepatutnya kerajaan memelihara dan memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia di pusat pentadbiran negara tersebut.

 

“Oleh itu, teguran Pengarah Bahasa DBP, Dr Awang Sariyan sebagaimana disiarkan akhbar sebelum ini mengenai perkara tersebut perlu diberi perhatian pihak kerajaan.

 

“Kami memandangkan serius mengenai penggunaan istilah asing yang berleluasa kerana ia boleh merosakkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara,” katanya pada satu kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sebuah akhbar hari ini melaporkan, DBP kesal kerana banyak teguran mengenai penggunaan istilah asing tidak diberi perhatian serius terutamanya oleh pihak berkuasa tempatan.

 

Ketua Pengarahnya, Dato’ A Aziz Deraman dilaporkan berkata, teguran itu melibatkan nama bangunan, jalan dan kawasan penempatan baru.

 

Mohd Amar juga berkata, punca kemerosotan penggunaan bahasa Malaysia yang kini menjadi bahasa rojak berpunca sikap kerajaan itu sendiri yang meminggirkan bahasa rasmi negara.

 

“Keadaan bertambah parah apabila dasar penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi matapelajaran Sains dan Matematik diperkenalkan.

“Oleh itu bagi menangani masalah ini, kami berpendapat kerajaan Persekutuan perlu membetulkan sikap dan kembali memartabatkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara,” ujarnya.

 

Menurutnya, penggunaan dan pengajaran bahasa Malaysia dalam sistem pendidikan negara perlu diperkasakan bagi memastikan ia muncul sebagai bahasa ilmu yang utuh.

Selain itu, DBP perlu diberi kuasa untuk menguatkuasakan peraturan penggunaan bahasa Malaysia di semua peringkat.

 

“Pemimpin-pemimpin kerajaan hendaklah mengutamakan penggunaan bahasa Malaysia dalam semua acara-acara rasmi kerajaan sebagai teladan kepada orang ramai,” katanya. - MJ

 

  

 

Campur tangan politik menjadikan bahasa Melayu mundur

Monday, May 10 @ 10:06:09 MYT


Oleh Saidatul Amani
KUALA LUMPUR, 10 Mei (Hrkh) - Bekas pensyarah Kesusasteraan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shafie Abu Bakar menegaskan campur tangan politik menyebabkan kedaulatan bahasa Melayu semakin mundur dan tidak dihormati.

Menurut beliau, campur tangan pihak politik itu amat malang kerana bahasa Melayu moden telah diperjuangkan sejak awal abad ke-20 tetapi sekarang kedaulatan bahasa itu tidak dipandang tinggi.

 

Beliau berkata, tidak ada satu negara maju yang menggunakan bahasa orang lain dan menjadi maju, contohnya negara Jepun dan Perancis tetap menggunakan bahasa ibundanya," tegasnya.

 

Dr Shafie kesal sekiranya bahasa Melayu akan terus dibuang dalam identiti diri bangsa Melayu, dan tidak lagi menjadi bahasa penting dalam pengajian rendah dan tinggi.

 

Katanya, selama ini dasar pendidikan negara memang mewajibkan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam sistem pendidikan sekolah rendah dan tinggi.

Menurut beliau, tetapi apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan menukar bahasa perantaraan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bahasa Melayu terus dipinggirkan.

 

Katanya, bermula dengan penukaran bahasa perantaraan itu seolah-olah polisi bahasa Melayu telah dirosakkan oleh kerajaan dan membuktikan bahawa mereka tidak menghormati bahasa Melayu.

 

Beliau berkata, walaupun ada permintaan daripada pejuang-pejuang bahasa Melayu seperti pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Gapena supaya diperbaharui semula polisi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tetapi tidak diberi perhatian.

 

Dr Shafie yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor berkata, tindakan menukar bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, itu membuktikan mereka sendiri yang merosakkan kedaulatan bahasa Melayu.

 

Beliau berkata, pandangan daripada ahli akademik Pengajian Melayu tidak diendahkan seolah-olah mereka memandang rendah permintaan untuk mendaulatkan semula bahasa Melayu.

 

Katanya, ini merupakan satu kerugian besar terutama di peringkat pengajian tinggi yang sudah menggunakan bahasa Inggeris manakala bahasa Melayu hanya digunakan dalam bidang kesusasteraan dan Pengajian Melayu.

 

Beliau menegaskan, kedudukan bahasa Melayu semakin rendah dan pada masa akan datang bahasa Melayu tidak mampu untuk dijadikan bahasa rasmi .

 

"Memang benar bangsa Melayu yang akan meruntuhkan bahasa mereka sendiri," tegasnya.

 

Katanya, pada masa akan datang orang Melayu jika bercakap Melayu akan dianggap kolot terutama dalam majlis-majlis rasmi, seminar dan sebagainya.

 

Beliau berkata, dari segi psikologi masyarakat tidak mahu menggunakan bahasa Melayu khususnya di peringkat elit dan golongan tinggi.

 

Selain itu Dr Shafie menjelaskan, kerajaan memang tidak menghormati permintaan orang ramai contohnya mengubah nama Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran.

 

"Oleh kerana perubahan itu dibuat pada zaman Dato' Seri Anwar Ibrahim disebabkan beliau menjadi musuh Mahathir maka semua yang dicadangkan olehnya mesti dihapuskan walaupun perkara itu baik," jelasnya. - mks.

 

  

 

Tulisan jawi dan Kementerian Pelajaran

Thursday, May 06 @ 19:21:12 MYT


Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat


TEKANAN kepada tulisan jawi supaya generasi tidak buta Al Quran seperti yang cuba dibuat sekarang benar-benar menggambarkan Umno tidak pernah pasti apa yang dibuatnya.

Bagai sibuta, Umno urus banyak perkara di Malaysia dengan meraba-raba. Saya mengatakan begini kerana tidakkah kira-kira 30 tahun yang lalu seorang Menteri Pelajaran dalam kabinet Umno jugalah yang menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah.

 

Ini terang-terang mahu membuta hurufkan generasi anak-anak kita daripada jawi. Tidak pandai jawi akan dengan sendirinya tidak boleh membaca dan menulis dalam jawi.

Ini juga bermakna melemahkan penguasaan terhadap Bahasa Arab. Ini seterusnya menjejaskan kefahaman mengenai Al Quran. Bukankan Islam itu berada didalam Al Quran?.

 

Sedar akan tersangat silapnya langkah Umno, PASlah satu-satunya parti yang menegur Umno di ketika itu dengan sekuat-kuatnya. Ada pemimpin Umno dengar?.

 

Setelah 30 tahun kemudian, baru sekarang mahu perkenalkan jawi dan Bahasa Arab dalam kurikulum pendidikan mulai tahun 2005. Dalam kes ini, Umno terang-terang telah melakukan tiga kesilapan.

i) Menguburkan tulisan jawi.
ii) Umno berdosa kerana telah melahirkan satu lapisan generasi yang teramat lemah dalam tulisan jawi dan Bahasa Arab yang menjadi bahasa Al Quran.
iii) Umno telah memundurkan tulisan jawi dikalangan umat Islam 30 tahun kebelakang.

 

Ertinya di sini, PAS betul dan Umno telah mengakui kesilapan mereka. Seperti yang selalu saya katakan Umno memang parti yang tiada dasar. Dia tidak tahu apa yang dibuatnya.

 

Sekarang pula sibuk nak bantu perkembangan bahasa, baik Tamil, Mandarin dan Bahasa Melayu. Menurut Dato’ Rais Yatim, Dewan Bahasa dan Pustaka diberi kuasa penuh untuk mengutkuasakan pendaulatan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

 

Dua tahun lepas, tidakkah pemimpin Umno jugalah yang cuba memperlekehkan kempen Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris lebih utamalah. Gunakan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematiklah.

 

Sekarang, bila bahasa dah jadi rojak, sibuk pula itu dan ini. Sekali nak suruh semua sekolah Tamil dan Cina menyertai sekolah Wawasan. Sekarang pula, bagaimana masa depan sekolah-sekolah dari dua aliran berkenaan?

Sekali nak kuatkan tulisan jawi dan majukan penguasaan Bahasa Arab. Sekali pula nak tutup, malah dah hentikan bantuan kepada semua sekolah-sekolah agama rakyat yang memang telah sekian lama menitikberatkan penggunaan tulisan jawi, Bahasa Arab dan penguasaan ilmu Al Quran.

 

Dalam banyak perkara PAS sentiasa terkehadapan. “We are leading”. Pendek kata, segala kecelaruan ini adalah berpunca dari “kerja tangan” pemimpin Umno yang keliru dan mengelirukan. Seluruh umat Islam amnya dan orang Melayu khasnya jadi pening dengan Umno.

 

Dulu, Kementerian Pelajaran. Kemudian tukar kepada Kementerian Pendidikan di zaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana konon terlalu pentingkan adab, ilmu dan akhlak. Sekarang, kembali semula ke Kementerian Pelajaran pula. Mana rakyat tidak pening.

 

Dulu nak hapus tulisan jawi. Kemudian nak terap nilai-nilai Islam. Kemudian terus isytiharkan Malaysia Negara Islam tanpa perlu apa-apa pindaan. Kini Islam Hadhari pula.

Esok? apakah bermakna, Umno tidak lagi berminat dengan adab dan akhlak apabila menukar nama kementerian daripada Pendidikan kepada Pelajaran? Mendidik lain. Mengajar lain.

 

Setahu saya, mendidik lebih hampir kepada mengasuh dan lebih mesra dengan falsafah Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek. (JERI).

 

Dengan pertukaran nama kementerian, Kementerian Pelajaran nak ambil dasar pendidikan mana pula? Jika mahu diubah, nak diubah ke mana? Nampaknya, gerakan Islam yang dipimpin oleh PAS di negara ini sentiasa berada di hadapan dalam banyak perkara.

 

Kita telah lama membuktikan bahawa tulisan jawi itu penting. Lihatlah apa yang kita didik dan asuh anak-anak melalui pendidikan di PASTI. Jawi telah diberi tempat yang istimewa dari dulu hingga sekarang sejak di peringkat pra sekolah disemua sekolah PASTI.

 

Kami tidak pusing kiri dan pusing kanan ikut suka. Kami pasti seyakin sekolah PASTI. Cemburukan kejayaan ini, Umno mencetuskan fitnah seolah-olah sekolah PASTI mengajar anak-anak membenci pemimpin mereka. Bila diminta bukti, sampai sekarang Umno terdiam.

 

Begitu juga dalam soal bahasa. Kami sentiasa konsisten. Kita yakin bahawa bahasa dan tulisan itu sejenis nikmat anugerah dari Allah S.W.T. Allah yang menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa.

 

Tentunya bangsa yang berlainan melahirkan bahasa dan tulisan yang berlainan. Begitu juga dengan budaya. Islam mengiktiraf perbezaan-perbezaan ini. Bagaimanapun, tidak salah untuk diadakan Bahasa Kebangsaan. Akan tetapi, kewujudan bahasa-bahasa lain perlu dibenarkan.

Saya sendiri naik pening dengan dasar-dasar Umno. Sekali, ajak rakyat ke Sekolah Wawasan. Sampai sekarang, kita pun tidak tahu lagi apa yang pemimpin Umno nak buat kepada sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil.

 

Yang kita pasti ialah bantuan perkapita kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang terang-terang mengajar tulisan jawi, menghafal Al Quran dan berbahasa Arab telah disekat.

 

Itu sangat jelas. Entahlah apa nak jadi dengan Umno pun kita tidak tahu. Dalam soal Islam, mereka tidak jelas. Dalam soal perjuangan melayupun mereka tidak jelas. Dalam perkara bahasa dan tulisan pun mereka tidak jelas.

Jika benar-benar diperhati, Umno sudah tiada modal. Apa yang dibuat semuanya tak kena. Sudahnya, mereka berpatah balik dan kembali mengikuti nasihat PAS. Walaupun di peringkat awal mereka melenting, tetapi beberapa tahun kemudian mereka akan kembali kepada apa yang pernah disarankan oleh PAS.

 

Di sinilah hikmat adanya parti pembangkang. Kami menegur berasaskan keadilan yang terkandung didalam Islam. Dalam soal PLKN pun sama. Kita minta Latihan Khidmat Negara dihentikan segera dan buat kajian semula yang lebih terperinci.

 

Masukkan pendidikan Islam secara amali yang berpanjangan didalam latihan Pada kami, program yang menelan wang rakyat lebih RM500 juta itu dibuat dengan tiada perancangan. Ada dia dengar?

 

Tengoklah nanti. Kudis anti akhlak akan terbit satu demi satu jika Umno masih berdegil tidak mahu dengar nasihat. Dasar orang yang terlalu fikir dia kuat, begitulah.

Kesombongan mereka lazimnya sentiasa melebihi batas. Melanggar batas Allah lah yang sangat-sangat kita bimbang. Ia mengundang bala laknat dan musibah!. Cakaplah beberapa banyak pun mengenai Islam Hadhari. Jika hukum dan peraturan Allah ditolak, maka inilah padah. - /mj

 

  

 

 

 

 

PENDIDIKAN DAN PATRIOTISME MALAYSIA


Pendidikan Dan Patriotisme Malaysia

Oleh Abdullah Hasan

 

Bahasa Indigenus Berkesan Menyampaikan Ilmu

 

Oleh sebab rakyat terdidik dalam bahasa indigenus (asli), mereka dapat menerima ilmu dan teknologi dengan berkesan. Ini memang menguntungkan kaum Melayu di samping tidak pula merugikan kaum bukan-Melayu. Kajian di Ireland menunjukkan bahawa bahasa indigenus sendiri dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan. Pelajar-pelajar penutur bahasa Gaelik di sekolah rendah di Ireland mengalami kesukaran mempelajari matematik dalam bahasa Inggeris. Suatu kajian dijalankan dengan menukarkan bahasa penghantarnya. Apabila bahasa penghantarnya ditukar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Gaelik, pemahaman pelajar meningkat. Begitu juga bukti yang diamati di Brunei Darussalam. Brunei menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar matematik dan sains di sekolah rendah. Beberapa tahun lalu, bahasa penghantar itu ditukar daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris. Akibatnya, prestasi pelajar dalam matematik dan sains menurun. Ini menunjukkan bahawa bahasa indigenus dapat menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan daripada bahasa pinjaman.

 

Mengapakah bahasa indigenus perlu digunakan sebagai bahasa penghantar? Kita perlu menggunakan bahasa indigenus supaya dapat menurunkan tembok bahasa yang mewujudkan kepungan ilmu. Hanya apabila tembok bahasa ini runtuh, maka barulah kepungan ilmu roboh dan ilmu merebak. Fenomena ini dapat kita lihat di Eropah dalam Zaman Pertengahan. Apabila Romawi menaklukkan Eropah, kuasa gereja Kristiannya pun turut menguasai Eropah. Pada zaman itu kaum gereja adalah kaum terpelajar, dan mereka menggunakan bahasa Latin. Oleh sebab itu bahasa Latin menjadi bahasa ilmu di seluruh Eropah.

 

Bagaimanakah bahasa Latin itu mengepung ilmu? Kita dapat melihat gejala ini berlaku di Eropah pada Zaman Pertengahan. Hanbury Brown, dalam bukunya, The Wisdom of Science: Its Relevance to Culture and Religion (1986) menunjukkan bagaimana ilmu terkepung dalam bahasa Latin dan tidak dapat membantu menyelesaikan masalah dalam kehidupan masyarakat Eropah pada Zaman Pertengahan. Sejak kurun ke-16 lagi, pengetahuan mengenai bakteria dan kitaran darah telah diketahui. Walau bagaimanapun, pengetahuan ini terkepung di dalam bahasa Latin. Oleh sebab bahasa Latin tidak difahami oleh rakyat, maka ilmu itu tidak sampai kepada mereka. Ilmu terkepung dalam bahasa Latin di kalangan ilmuwan. Mereka menganggap ilmu itu untuk pengetahuan peribadi saja dan tidak perlu dikongsi dengan rakyat yang tidak mengetahui bahasa Latin. Akibatnya, ilmu tersebut tidak dapat dimanfaatkan untuk memajukan bidang ilmu perubatan.

 

Contoh kedua dapat dilihat daripada apa-apa yang berlaku kepada ilmu yang ditemukan oleh Isaac Newton. Newton telah menulis buku Philosophiae Naturalis Principia Mathematica dalam bahasa Latin pada tahun 1686. Buku itu telah dibahaskan di Royal Science Society of London, dan dapatan yang terkandung di dalamnya amat dikagumi. Selepas itu buku itu ditutup dan ilmu di dalamnya terpendam selama 200 tahun. Hanya 200 tahun selepas Newton meninggal, barulah buku itu diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Selepas itu barulah ilmu dalam Principia Mathematica ini dipelajari oleh rakyat. Ilmu itu banyak membantu kehidupan kita pada hari ini kerana mengandung asas kejuruteraan moden yang digunakan dalam beberapa banyak barangan yang kita gunakan hari ini, daripada pembinaan bangunan pencakar langit kepada pembinaan kapal angkasa.

 

Hanya apabila disampaikan dalam bahasa rakyatnya, barulah ilmu itu dapat difahami dan dimanfaatkan.

 

Proses penyampaian ilmu yang berkesan melalui Bahasa Kebangsaan terbukti berjaya di Jepun, Korea, Cina, Taiwan, Thailand, dan Indonesia. Malaysia termasuk ke dalam golongan ini juga. Dalam dekad ini, negara-negara di rantau Pasifik mengalami perkembangan ekonomi yang pesat. Malah Malaysia mengalami perkembangan ekonomi yang melebihi 7% setahun selama tujuh tahun berturut-turut. Satu faktor yang sama wujud di semua negara ini. Semuanya menyampaikan pendidikan melalui Bahasa Kebangsaan masing-masing.

 

Ada teori yang mengatakan bahawa kita perlu meminjamkan bahasa asing yang maju untuk membangun. Sejarah membuktikan bahawa dakwaan itu tidak betul. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman seperti Filipina, India, Pakistan, Bangladesh, Nigeria, Kenya, dan Ghana masih belum dapat membangun. Begitu jugalah nasib yang dialami oleh negara-negara Amerika Latin yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan ilmu dan teknologi kepada rakyatnya. Rupa-rupanya, apabila negara menggunakan bahasa pinjaman, hanya segelintir ilmuwan saja yang akan fasih dalam bahasa itu dan menerima ilmu tersebut. Tetapi mereka tidak dapat menyampaikan ilmu dan teknologi itu kepada rakyat kerana mereka tidak menuturkan bahasa yang sama. Negara tidak mampu mengajarkan bahasa pinjaman itu kepada seluruh rakyat. Fenomena kepungan bahasa timbul, dan kepungan bahasa itu menafikan ilmu daripada sampai kepada rakyat. Akhirnya, bilangan ilmuwan yang kecil yang berilmu, dan rakyat yang banyak yang tidak berilmu tidak dapat membangunkan negaranya.

 

 

Membentuk Ciri-ciri Bangsa Malaysia di Kalangan Kaum bukan-Melayu

 

Masyarakat bukan-Melayu yang berpegang pada jati diri negara asal mereka (Cina dan India) menunjukkan ciri-ciri masyarakat Malaysia yang dirancang oleh Razak. Ada beberapa bukti yang dapat kita lihat.

 

Dalam politik, kita dapat melihat generasi muda bukan-Melayu semakin menerima jati diri Malaysia. Hal ini terbukti apabila mereka berasa senang untuk mengundi calon UMNO dalam pilihan raya umum. Lebih-lebih lagi dalam pilihan raya yang lalu. Rasa perkauman mereka sudah mula menipis. Dalam berkempen, kita dapat melihat kaum berbilang bangsa berusaha bersama-sama untuk memenangkan calon mereka.

 

Isu perbezaan kaum tidak timbul. Ada beberapa faktor yang menimbulkan keadaan ini. Menerima pendidikan melalui bahasa penghantar yang sama, iaitu Bahasa Kebangsaan, telah memungkinkan mereka membina sikap dan nilai yang tidak berbeza. Kemampuan orang Melayu mendapat pendidikan melalui Bahasa Kebangsaan sehingga peringkat pengajian tinggi telah memberi mereka mobiliti ekonomi dan daerah. Mereka tidak lagi menganggap diri mereka sebagai kaum yang berada dalam keadaan yang merugikan. Keadaan ini telah membuat kaum-kaum di Malaysia menjadi rapat.

 

Mengekalkan Minda Asli dan Kekreatifan Indigenus

 

Apabila kita menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, kita tidak dapat mengisi minda Melayu itu dengan ilmu yang bebas daripada budaya minda bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina minda menurut kerangka bahasa pinjaman itu. Keaslian minda Melayu pun hilang. Orang Melayu yang belajar melalui bahasa pinjaman itu, walau tidak sepandai mana sekalipun, akan mampu membina minda seasli penutur asli bahasa pinjaman itu. Minda masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan menjadi minda pinggiran kepada minda masyarakat bahasa pinjaman. Keperibadian dan kecendekiawanannya tidak asli lagi. Minda pinggiran ini menjadi pinggiran kepada minda bangsanya sendiri juga. Minda pinggiran itu akan sentiasa memandang rendah akan minda bangsanya, tetapi tidak pula tergolong kepada minda pusat bahasa pinjaman itu. Dia akan menjadi hanya minda yang tercabut daripada minda bangsanya, tetapi tidak pula diterima sepenuhnya ke dalam minda bahasa pinjaman.

 

Minda pinggiran ini akan kehilangan keaslian dan kekreatifannya. Kita dapat melihat bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa indigenus sebagai bahasa penghantar pendidikan dapat mengekalkan keaslian dan kekreatifan mindanya. Lihatlah negara Jepun. Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat tetapi Jepun masih Jepun. Dari segi budaya, Jepun masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Keaslian mindanya jelas. Orang Jepun mungkin bercelana dan berkemeja tetapi mereka tetap Jepun. Para remajanya seperti remaja Barat juga, memakai celana jeans, tetapi kenakalan remaja seperti di Barat hampir tiada. Inilah jati diri Jepun yang timbul daripada keaslian mindanya; minda asli yang dikekalkan melalui pendidikan dalam bahasa indigenus.

 

Jepun telah mencuba beberapa cara untuk menyampaikan pendidikan kepada rakyatnya. Hingga 500 tahun dulu, bahasa Jepun tidak mempunyai kesusasteraan. Yang ada hanya lagu-lagu rakyat. Ilmu terkepung dalam bahasa Cina. Rakyat terasing daripada ilmu kerana tidak memahami bahasa Cina.

 

Pada tahun 1856, Commodore Perry datang dan memaksa Jepun membuka pintunya kepada dunia. Jepun perlu membuat perubahan. Jepun yang diancam oleh Barat mesti belajar dari Barat, menandingi Barat, dan mengalahkan Barat dalam permainannya sendiri. Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi Jepun moden yang berminda Jepun asli? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaharuan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa, berkata bahawa Jepun hendaklah belajar daripada Barat untuk maju. Count Omare dalam laporannya mengenai perkembangan pendidikan Jepun dalam Japan by Japanese mengatakan bahawa Jepun mesti kekal sebagai sebuah negara Jepun untuk Jepun. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan mempelajari ilmu pengetahuan. Mereka mementingkan kemandirian ilmu, bebas menurut kerangka minda Jepun. Dengan demikian Jepun mengekalkan keaslian minda mereka.

 

Untuk menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: Bahasa diraja, bahasa samurai, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani dan wanita untuk menyampaikan ilmu, kerana bahasa itulah yang paling luas penyebarannya.

 

Jepun pun menghadapi masalah guru, bahasa penghantar, dan istilah. Pengalaman Jepun sama saja dengan pengalaman Malaysia sekarang. Kita boleh belajar daripada Jepun. Selepas Jepun menerima dan melaksanakan pendidikan Barat, banyak pelajar yang dihantar ke Eropah dan Amerika untuk belajar dan membawa balik ilmu. Oleh sebab kekurangan tenaga pengajar, pada mulanya banyak pensyarah Amerika dan Eropah yang diambil bertugas di universiti-universiti Jepun. Tetapi, sedikit demi sedikit mereka digantikan dengan pensyarah Jepun yang pulang dari Eropah dan Amerika tadi. Pada mulanya 80% pensyarahnya terdiri daripada ekspatriat, tetapi pada tahun 1904 bilangannya menjadi hanya sekitar 30% dan sekarang hampir tiada.

 

Dari segi bahasa penghantar pula, mereka menggunakan bahasa Jepun yang dituturkan oleh petani dan wanita, iaitu bahasa yang paling rendah. Bahasa Jepun ketika itu tidak mempunyai sistem ejaan sendiri, hanya menggunakan ejaan huruf kanji, iaitu sistem ejaan Cina. Oleh sebab itu Jepun membentuk sistem ejaannya sendiri, huruf hiragana untuk perkataan-perkataan Jepun dan katakana untuk perkataan-perkataan pinjaman daripada bahasa asing. Huruf kanji (Cina) masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani dan wanita itu digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.

 

Mereka pun pernah mencuba menggunakan bahasa pinjaman sebagai bahasa penghantar. Mereka mengajarkan ilmu medan perang dalam bahasa Rusia, undang-undang dan falsafah dalam bahasa Perancis, kejuruteraan dan sains dalam bahasa Jerman, dan kemanusiaan dalam bahasa Inggeris. Amalan ini dihentikan kerana pendidikan tidak sampai dengan sempurna.

Jepun mementingkan penguasaan ilmu dengan bebas menurut kerangkanya sendiri. Jepun menggunakan bahasanya sendiri untuk menyampaikan ilmu supaya dikuasai oleh semua rakyat.

 

Pada hari ini kita dapat lihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian mindanya masih kekal. Kita melihat kekreatifannya meningkat. Mereka menyerap ilmu Barat, tetapi berhasil mencipta barangan Jepun - televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam Jepun, dan lain-lain. Kita dapat melihat betapa mereka menjadi kreatif kerana tidak terkepung dalam minda budaya lain. Minda Jepun menjadi dominan. Minda Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Misalnya, dengan menggunakan ilmu dan teknologi Barat, iaitu logam dan haba, Jepun mencipta periuk nasi automatik, Jepun membina traktor kecil untuk sawahnya, dan banyak lagi. Mereka mendapat kekayaan daripada ciptaan mereka. Bangsa Asia lain yang makan nasi besar jumlahnya, misalnya India, Bangladesh, Pakistan, dan Sri Lanka. Oleh sebab mereka tidak menerima pendidikan dalam bahasa indigenus, kekreatifan minda mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini banyak mempunyai ilmuwan yang bijak. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak menggunakan ilmu dan teknologi tinggi. Tetapi mereka mempelajari ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka minda bahasa pinjaman. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kekreatifan mindanya.

 

Mari kita lihat contoh yang berlaku di negara kita. Ramly Mokti berjaya membina perusahaan burgernya sehingga menjadi perusahaan burger yang terbesar dalam negara pada hari ini. Perusahaannya menjadi maju kerana dia menjual burger melalui sistem gerai. Sekiranya Ramly terdidik dalam bahasa Inggeris daripada sebuah universiti Inggeris, dia tidak akan pernah berfikir tentang gerai. Dia akan mencuba meneruskan budaya McDonald’s, KFC, dan A&W untuk menjual burger. Keaslian minda dan kekreatifan Ramly kekal. Oleh sebab itu dia menjual burger seperti menjual nasi lemak. Di situlah keaslian kekreatifan minda Melayu yang dikekalkan oleh pendidikan melalui bahasa indigenus, iaitu bahasa Melayu. Itulah yang membawa kejayaannya.

 

Thailand pun menyampaikan pendidikannya dalam bahasa indigenus juga dan minda orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Indonesia, Korea, Cina, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh rantau Asia-Pasifik mengalami perkembangan ekonomi. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa indigenus dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan tidak dapat menyaingi kepesatan perkembangan ekonomi bangsa-bangsa yang mindanya asli.

 

Sekiranya kita menggunakan bahasa pinjaman, kita akan kehilangan keaslian minda kita. Kita akan melahirkan minda pinggiran yang tidak akan menandingi minda penutur asli bahasa itu. Kita akan hanya membina budaya pinggiran, pinggiran kepada budaya bahasa pinjaman. Orang yang mempunyai minda pinggiran ini akan menentang dan mencurigai bahasa dan budayanya sendiri.

 

Hubungan antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa indigenus dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata. Hubungan ini adalah hubungan sebab akibat.

 

KEAJAIBAN EKONOMI ASIA-PASIFIK

 

Pada abad ke-19 pusat kuasa ekonomi dunia ialah Eropah. Pada abad ke-20 Eropah dan Amerika Utara menjadi pusat kuasa ekonomi dunia. Pada abad ke-21, rantau Asia-Pasifik muncul sebagai pusat kuasa ekonomi dunia, menyaingi kedudukan Eropah dan Amerika Utara.

 

Menurut laporan Bank Dunia pada tahun 1993, perkembangan ekonomi negara-negara Asia-Pasifik melebihi 8% setiap tahun bagi tujuh tahun berturut turut. Perkembangan ekonomi itu membawa pendapatan yang bertambah kepada rakyatnya.

 

Pada tahun 1960 Amerika Utara mewakili 37% KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dunia, sedangkan Jepun dan Asia Timur mewakili 4% saja. Pada tahun 1994 Amerika Utara dan Asia-Pasifik masing-masing mewakili 24% KDNK dunia. Dalam tahun-tahun 1990-an lebih 50% pertumbuhan ekonomi dunia berlaku di Asia-Pasifik. Ini menyebabkan ekonomi Eropah dan Amerika Utara semakin mengecil, manakala ekonomi Asia Pasifik semakin membesar. Rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada negara-negara Cina, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Indonesia, Thailand, Malaysia, Singapura, dan Indo-Cina adalah kawasan yang paling dinamik di dunia. Pertambahan pendapatan penduduknya meningkat dengan cepat. Manakala Britain memerlukan 58 tahun (sejak 1870) untuk menggandakan pengeluaran ekonomi setiap orang, dan Amerika Utara memerlukan 47 tahun (sejak 1839), Jepun mengambil masa 33 tahun (sejak 1880), Indonesia 17 tahun, Korea Selatan 11 tahun, dan Cina hanya 10 tahun (K. Mahbubani). Ahli-ahli ekonomi meramalkan bahawa setiap rakyat Asia Pasifik akan menikmati pertambahan pendapatan dua atau tiga kali ganda dalam jangka hayat mereka, kecuali Filipina.

 

Dalam hal ini kita sering diberi gambaran bahawa kita memerlukan bahasa Inggeris untuk menghadapi globalisasi perdagangan. Kenyataan ini memang tepat. Kita perlu menguasai bahasa-bahasa asing untuk berhubungan dengan negara-negara lain dalam perdagangan. Tetapi hal ini tidak ada kaitannya dengan bahasa penghantar untuk menyampaikan ilmu. Pelajarilah bahasa asing, tetapi gunakanlah bahasa indigenus sebagai bahasa penghantar untuk menyampaikan ilmu. Dalam majalah Fortune bulan Ogos 1995, terdapat pemeringkatan korporat multinasional. Daripada 500 buah korporat demikian, 289 terdiri daripada korporat yang tidak menggunakan bahasa indigenus mereka sendiri sebagai bahasa penghantar, tetapi bukannya bahasa Inggeris. 149 daripadanya adalah dari Jepun.

 

Korporat yang terbesar ialah Mitsubishi. Syarikat ini mempunyai ladang lembu di Australia, kilang tembaga dan kayu di Kanada, kilang kereta di Afrika dan lain-lain. Tetapi, Jepun tidak pula mengubah bahasa penghantarnya kepada mana-mana bahasa pinjaman untuk memudahkan mereka membawa ilmu masuk ke Jepun.

Rantau Asia Pasifik ini mengalami perkembangan ekonomi yang sungguh ajaib. Apakah ciri yang dikongsi oleh semua negara ini? Semua negara ini menggunakan bahasa indigenus sebagai bahasa penghantar pendidikan. Melalui bahasa indigenus mereka dapat menyampaikan ilmu kepada rakyatnya. Rakyat yang berilmu ini pula memajukan ekonomi negaranya.

 

EKOLOGI BAHASA

 

Apakah yang dimaksudkan dengan ekologi bahasa? Kita tidak memerlukan definisi. Kita hanya memerlukan analogi atau kiasan. Mari kita lihat suatu contoh, katakanlah ekologi ikan. Ikan ada ekologinya: kitaran hayatnya, sekitarannya, makanannya, binatang lain yang menjadi sokongan dan pemangsanya, dan udaranya. Apabila kita merosakkan ekologinya, katakanlah kita mencemarkan air yang didiaminya, ikan itu akan mati.

 

Bahasa pun mempunyai ekologi. Bahasa ada penuturnya, ada fungsinya, ada sekitaran hidupnya, ada nilainya, dan lain-lain. Apabila kita menggugat mana-mana unsur ekologinya, kita turut menggugat kedinamikan bahasa itu.

 

Fungsi bahasa sebagai penghantar sains dan teknologi adalah sebahagian daripada ekologi bahasa Melayu. Apabila fungsi ini dihapuskan, tindakan tersebut merupakan undi tidak percaya kepada bahasa Melayu. Inilah satu satunya fungsi yang memberikan maruah kepada bahasa Melayu. Apabila fungsi ini ditiadakan, maruah bahasa Melayu pun akan jatuh. Martabat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak bermakna lagi.

 

Hal ini turut melibatkan maruah bahasa Melayu. Apabila sudah mampu mengungkapkan ilmu dan teknologi tinggi, mampu menggerakkan pentadbiran negara, menguruskan perdagangan, dan menjadi alat pengucapan diplomasi, maka dewasalah bahasa itu. Sekiranya mana-mana fungsi ini ditiadakan, bahasa Melayu tidak akan dewasa. Apabila ekologinya tergugat, bahasa itu tidak akan menjadi dewasa, tidak akan mantap.

 

Dalam kitaran hidup bahasa, pengungkapan ilmu dan pemikiran tinggi itu adalah maruah bahasa itu. Bahasa yang baru saja memegang fungsi menyampaikan ilmu itu terpaksa mengimport ilmu daripada bahasa lain. Strategi yang berkesan ialah terjemahan. Itulah yang berlaku apabila Farsi mengimport dari India, Arab Islam dari Farsi dan Yunani, Eropah dari Arab, dan Jepun dari Barat. Tetapi proses membina ilmu melalui terjemahan itu tidaklah alamiah. Setelah maju, bangsa itu perlu menjana ilmunya sendiri dan mengungkapkannya dalam bahasanya sendiri. Inilah yang berlaku kepada Jepun dan Eropah yang memungkinkannya mengekalkan kemajuannya. Proses meningkatkan martabat bahasa itu berlaku serentak dengan pembangunan bangsa. Sejarah membuktikan bahawa bangsa dan bahasa membangun serentak, dan bukannya satu mendahului yang lain. “Teori memajukan bangsa dulu dan kemudian bahasanya pun akan turut maju” tidak berlaku dalam kenyataan sejarah pembangunan tamadun manusia. Apabila maruahnya kita jatuhkan, bahasa itu tidak akan perkasa lagi.

 

CABARAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN SEKARANG

 

Pada saat sistem pendidikan ini menunjukkan kejayaannya, datang pula cabaran-cabaran dari kalangan kepemimpinan orang Melayu sendiri. Cabaran pertama ialah ada pemimpin yang tidak meyakini kemampuan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu sains dan teknologi. Oleh itu bahasa Melayu hendak diganti dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sains dan teknologi di pusat pengajian tinggi (Laporan mengenai tindakan Menteri Pendidikan, Sunday Times, 9 Julai 1995). Berikutan dengan itu, ada kecenderungan untuk meluaskan arahan itu ke peringkat sekolah menengah pula.

 

Kedua, timbul keghairahan untuk mengizinkan penubuhan universiti swasta. Bilangan universiti ini semakin banyak sehingga melebihi bilangan universiti setempat. Universiti-universiti swasta menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Perkembangan ini mencairkan sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu.

 

Ketiga, wujud persepsi bahawa bahasa Melayu itu hanya melambatkan pembangunan. Jawapan kepada masalah ini dikatakan berada pada bahasa Inggeris.

 

Ketiga-tiga isu ini mencabar sistem pendidikan kebangsaan sekarang. Ketiga-tiga isu ini adalah perjuangan bukan-Melayu dulunya dan pasti mencetuskan reaksi politik orang Melayu pada masa lalu.

 

Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Penghantar: Implikasinya

 

Apabila bahasa Inggeris digunakan semula sebagai bahasa penghantar sains dan teknologi di peringkat universiti, diikuti pula oleh penubuhan universiti swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar, bahasa Inggeris akan menguasai bidang ilmu sekali lagi. Hal ini mewujudkan kepungan ilmu semula. Oleh sebab universiti berbahasa Inggeris nanti lebih banyak jumlahnya maka universiti kerajaan akan ditenggelami oleh bilangan universiti swasta.

 

Universiti kerajaan pula akan dikorporatkan. Pengkorporatan ini tidak jauh bezanya daripada penswastaan. Kemungkinan bahasa Inggeris dikembalikan juga adalah lebih tinggi. Akhirnya semua pendidikan tinggi akan kembali menggunakan bahasa Inggeris. Pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris akan memaksa pendidikan menengah dan rendah berbahasa Inggeris juga untuk memudahkan pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Ilmu tidak akan sampai kepada rakyat yang tidak dapat mempelajari bahasa Inggeris. Rakyat yang dapat menerima ilmu ialah rakyat yang menguasai bahasa Inggeris saja. Jumlah mereka tidak banyak kerana golongan yang mampu mempelajari bahasa Inggeris itu tidak banyak, hanya terhad kepada golongan atasan saja.

 

Kajian-kajian sosiolinguistik menunjukkan bahawa pelajar yang menguasai bahasa Inggeris ialah pelajar kelas menengah atasan yang ibu bapanya menuturkan bahasa itu di rumah. Oleh itu, mereka dapat mengikuti kemajuan ilmu. Sebaliknya, pelajar-pelajar dari kelas bawahan tidak akan menerima ilmu kerana tidak menguasai bahasa Inggeris. Sebagai akibatnya, jurang ekonomi antara masyarakat kelas menengah atasan dengan kelas bawahan akan bertambah lebar.

 

Pelajar-pelajar luar bandar tidak akan dapat menguasai bahasa Inggeris. Persekitaran dan ibu bapa mereka yang tidak menuturkan bahasa Inggeris akan menyebabkan mereka tidak dapat mempelajari bahasa Inggeris. Mereka akan gagal mendapat ilmu. Akibatnya, mereka akan hanya menjadi pembekal buruh murah kepada pembangunan ekonomi yang dikuasai oleh golongan menengah dan atasan di pusat-pusat bandar.

 

Oleh sebab wujud perbezaan ekonomi dan politik antara golongan bawahan dengan menengah atasan maka timbul ketidakpuasan golongan. Perbezaan antara golongan ini diburukkan lagi oleh pertindihan dengan garis perkauman. Yang tergolong dalam lapisan bawahan ialah kaum Melayu dan menengah atasan ialah Cina, maka perbalahan kaum akan tercetus kembali. Segala kemajuan dalam perpaduan kaum yang di capai melalui pendidikan kebangsaan sekarang akan dirosakkan oleh perbalahan kaum yang akan berulang.

 

Maruah bahasa Melayu akan hilang. Teori yang mengatakan bahawa bahasa kita akan turut maju setelah bangsanya maju tidak mempunyai bukti. Kemajuan bahasa dan bangsa berlaku serentak. Maruah bahasa Jepun meningkat apabila Jepun berhenti menggunakan bahasa Cina. Bahasa Jerman, Inggeris, dan Perancis menjadi bermaruah apabila bangsanya berhenti menggunakan bahasa Latin.

 

Bahasa adalah sesuatu yang sangat rapat dengan hati dan sanubari orang Melayu. Bahasa Melayu adalah maruah orang Melayu. Menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar sesuatu bidang ilmu di pusat pengajian tinggi mempunyai implikasi yang amat serius terhadap ekonomi, politik, dan perpaduan rakyat.

 

- Abdullah Hasan
(Petikan daripada kertas kerja yang dibentangkan pada Simposium Patriotisme Malaysia yang diadakan di Melaka pada 28-29 Oktober 1995)
Dipetik daripada buku Manifesto Budaya, oleh ASRAF, terbitan Persatuan Linguistik Malaysia d/a DBP, m.s. 270-284)

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 15.05.2004

 

Guru oh Guru
Oleh SN Dato' Usman Awang


Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
                   - Usman Awang



 
 

Guru Oh Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan Allahyarham SN Dato' Dr. Usman Awang
Dipetik daripada buku antologi puisi Guru oh Guru yang diselenggarakan oleh Zam Ismail terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, 1989.


Petikan daripada salah sebuah sajak Allahyarham:
Kurang Ajar sebuah perkataan yang paling ditakuti untuk bangsa kita yang pemalu.
Sekarang kata ini kuajarkan pada anakku;
Kau harus menjadi manusia kurang ajar untuk tidak mewarisi malu ayahmu.
Lihat petani-petani yang kurang ajar,
Memiliki tanah dengan caranya
Sebelumnya mereka tak punya apa
Kerana ajaran malu dari bangsanya.
Suatu bangsa tidak menjadi besar
Tanpa memiliki sifat kurang ajar!

- Al-Fatihah -
M@RHAEN - 15.05.2004

 

BAHASA, PEMIKIRAN DAN SURVIVAL BANGSA MELAYU 
 


Bahasa, Pemikiran Dan Survival Bangsa Melayu
Oleh Abdullah Hasan
 

PENDAHULUAN

 

Bangsa yang maju itu bukanlah perlu mempunyai sumber ekonomi yang lumayan. Bangsa yang maju itu adalah bangsa yang mempunyai kepustakaan besar dan pemikiran yang pelbagai dan kreatif. Pemikiran yang kreatif itu mencipta idea kreatif  bagi mendapatkan dan mengolah sumber bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat penuturnya. Negara-negara kecil seperti Belanda, Belgium, Norway, Sweden, Denmark, Switzerland, Taiwan dan Hong Kong mempunyai bilangan rakyat yang kecil berbanding dengan India, Pakistan, Bangladesh, Mexico dan negara-negara lain. Malah India mempunyai lebih banyak ahli sains berbanding dengan negara-negara kecil tadi. India, Pakistan dan Bangladesh tidak mempunyai kepustakaan dan pemikiran sendiri. Tidak ada kepustakaan ilmu yang besar dalam bahasa sendiri seperti dalam bahasa negara kecil itu. Rakyatnya belajar melalui bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, tidak perlu membina kepustakaan dalam bahasa sendiri. Apabila mereka mencipta ilmu, mereka akan menuliskannya dalam bahasa Inggeris, mereka juga menyumbang kepada kepustakaan Inggeris. Kepustakaan dalam bahasanya sendiri tinggal dalam kemiskinan.

 

Ada hubungan rapat antara bahasa dan pemikiran sesuatu bangsa. Hubungan ini bertambah signifikan apabila kita melihat ada bukti menunjukkan perkaitan antara bahasa pengantar pendidikan dengan pembinaan pemikiran kreatif sesuatu bangsa. Isu yang dinyatakan di atas tadi, perlu diberi perhatian, demi membina pemikiran Melayu supaya dapat menyaingi pemikiran bangsa lain yang mengongsi wilayah ekonomi pinggiran Asia Pasifik ini.

 

PENDIDIKAN UNTUK MEMBANGUNKAN EKONOMI

 

Ada perkaitan antara tahap dan pemerataan pendidikan dengan tahap perkembangan ekonomi negara. Perkembangan ekonomi negara berkembang pesat, setelah sebahagian besar rakyat menerima pendidikan, terutama pendidikan tinggi. Fenomena ini dapat berlaku dengan adanya dasar pendidikan yang membolehkan pendidikan sampai kepada rakyat umum. Strategi yang membolehkan pendidikan sampai kepada rakyat yang dahulunya tidak disentuh oleh pendidikan di Indonesia dan Malaysia, ialah menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan pendidikan dari sekolah rendah hingga ke universiti. Dasar ini telah melahirkan jumlah rakyat yang menerima pendidikan tinggi dari  kalangan rakyat yang dahulunya terhalang daripada menerima pendidikan kerana pendidikan menengah dan tinggi hanya disampaikan dalam bahasa Belanda dan Inggeris. Rakyat yang berilmu inilah yang membangunkan ekonomi negara. Di samping itu, rakyat yang terdidik melalui bahasa Indonesia dan Melayu ini telah lebih memahami antara satu sama lain menimbulkan rakyat yang hidup aman, manakala rakan-rakan kita yang menyampaikan pendidikan melalui bahasa bekas penjajah, masih mengalami pergolakan ekonomi dan politik.

 

Bukti perkaitan pendidikan dengan ekonomi negara, dapat dilihat di negara-negara lain seperti Korea, Jepun, Taiwan, dan Thailand. Tetapi bukti yang nyata ialah yang dihasilkan oleh United States Census Bureau for the Department of Education pada tahun 1995. Kajian ini dilakukan dengan menemuduga pekerja di 3000 syarikat perniagaan. Hasilnya menunjukkan bahawa peningkatan taraf pendidikan pekerja menghasilkan dua kali ganda keuntungan dalam pekerjaan mereka daripada peningkatan alat dan mesin yang bernilai lebih kurang sama. Ini ditunjukkan dengan kadar bahawa peningkatan 10 peratus dalam pencapaian pendidikan menyebabkan lebih 8 peratus pertambahan produktiviti. Manakala, 10 peratus peningkatan alat dan mesin hanya menghasilkan 3 peratus peningkatan produktiviti.

 

Pendidikan merupakan satu-satunya cara untuk menjamin peningkatan kekayaan ekonomi, memberi pendidikan, perumahan, kesihatan, dan kesejahteraan kepada rakyat. Ini bermakna, pendidikan merupakan faktor penentu dalam membina kekayaan ekonomi bagi menjamin kualiti dalam kehidupan. Untuk membolehkan pendidikan sampai kepada rakyat, faktor bahasa penyampai adalah kritikal. Hal tersebut berlaku berdasarkan dua pertimbangan:

 

(i) Pertama, bahasa yang digunakan untuk menyampaikan pendidikan itu ialah bahasa rakyat terbanyak demi menjamin pemerataan pendidikan. Sebarang bahasa asing akan hanya dimengerti oleh sekumpulan elit sahaja.
(ii) Kedua, bahasa penyampai pendidikan itu dapat meningkatkan atau menghalang kreativiti pemikiran rakyat.

Pendidikan melalui bahasa peribumi dapat mengekalkan keaslian pemikiran kreatif, manakala bahasa asing akan hanya melahirkan pemikiran tertawan yang menjadi budaya pinggiran kepada budaya bahasa pinjaman itu, dan hilang ciri kreativiti asli.

 

BAHASA MELAYU MENGEKALKAN KEASLIAN PEMIKIRAN

 

Apabila bahasa Melayu digunakan untuk menyampaikan pendidikan, hal tersebut akan meruntuhkan kepungan bahasa yang mengongkong ilmu dan mengisi pemikiran Melayu itu dengan ilmu yang bebas daripada budaya pemikiran bahasa pinjaman tersebut. Bahasa pinjaman akan membina pemikiran yang akan berkiblat kepada bahasa itu. Keaslian pemikiran Melayunya pun mungkin hilang. Sepandai-pandai orang Melayu yang belajar melalui bahasa pinjaman itu tidak akan mampu membina pemikiran seasli penutur kandung bahasa itu. Golongan masyarakat yang dididik melalui bahasa pinjaman akan membina pemikiran pinggiran kepada pemikiran masyarakat bahasa pinjaman itu. Pemikiran pinggiran ini juga menjadi pinggiran kepada pemikiran bangsanya sendiri. Pemikiran demikian juga akan mencurigai pemikiran bangsanya sendiri. Pemikiran pinggiran ini akan kehilangan keaslian dan kreativitinya.

 

Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan didapati bahawa negara-negara yang menggunakan bahasa peribumi sebagai bahasa pengantar pendidikan dapat mengekalkan keaslian dan kreativiti pemikirannya. Negara Jepun menerima pendidikan Barat. Jepun meniru Barat tetapi Jepun masih Jepun. Dari segi budaya, Jepun masih Jepun. Pentadbirannya, perdagangannya, sains dan teknologinya antara yang terbaik di dunia. Keaslian pemikirannya jelas. Orang Jepun mungkin bercelana dan berkemeja, tetapi mereka tetap Jepun. Para remajanya seperti remaja Barat juga, memakai celana jean, tetapi kenakalan remaja seperti di Barat hampir tidak ada. Inilah jati diri Jepun. Hal tersebut timbul daripada keaslian pemikirannya yang dikekalkan melalui pendidikan dalam bahasa ibundanya.

 

KEBEBASAN BELAJAR DAN MEMBINA PEMIKIRAN PERIBUMI

 

Bagaimanakah pemimpin Jepun membina generasi moden yang berpemikiran Jepun asli? Pemimpin Jepun yang memulakan pembaharuan pada Zaman Meiji, Yukichi Fuzukawa berkata, Jepun hendaklah belajar daripada Barat untuk maju. Count Omare pula berkata Jepun mesti kekal Jepun untuk Jepun, dalam laporannya tentang pendidikan dalam buku Japan by Japanese. Jepun mahu belajar dari Barat, tetapi mahu mengekalkan kebebasan belajar ilmu pengetahuan. Bebas menurut kerangka pemikiran Jepun. Dengan demikian, Jepun mengekalkan keaslian pemikiran mereka.

 

Untuk menyampaikan ilmu kepada rakyatnya, Meiji memilih bahasa yang paling luas digunakan. Jepun mempunyai empat peringkat bahasa: Bahasa diraja, bahasa samurai, bahasa pedagang, dan bahasa petani dan wanita. Meiji memilih bahasa petani dan wanita untuk menyampaikan ilmu, sebab bahasa itulah yang paling luas penyebarannya. Dari segi bahasa pengantar pula, mereka menggunakan bahasa Jepun yang dituturkan oleh petani dan wanita iaitu bahasa yang paling rendah. Sistem ejaannya pun tidak wujud. Ejaan Hiragana dan Katakana dibentuk, satu untuk perkataan Jepun dan satu lagi untuk perkataan pinjaman. Huruf kanji (Cina) masih dikekalkan. Apabila timbul masalah sebutan, Jepun memutuskan supaya sebutan menurut sebutan penutur bahasa petani dan wanita itu digunakan. Oleh sebab itu, tidak timbul kesukaran belajar dan menggunakan bahasa Jepun dalam bidang ilmu.

 

Pada hari ini, dapat dilihat bagaimana Jepun telah menyerap pendidikan Barat sepenuhnya, tetapi keaslian pemikirannya masih kekal. Dengan berbuat demikian, kreativitinya meningkat. Mereka menyerap ilmu Barat tetapi berhasil mencipta barangan Jepun, televisyen Jepun, kamera Jepun, kereta Jepun, jam Jepun, dan lain-lain lagi. Mereka menjadi kreatif kerana tidak terkongkong dalam pemikiran budaya lain. Pemikiran Jepun menjadi dominan. Pemikiran Jepun dapat menggunakan ilmu sains untuk membina barangan yang diperlukan. Misalnya, Jepun membina periuk nasi automatik. Jepun membina traktor kecil untuk sawahnya dan banyak lagi. Bangsa Asia lain yang memakan nasi misalnya India, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka. Oleh sebab mereka tidak menerima pendidikan dalam bahasa ibundanya, kreativiti pemikiran mereka tidak timbul walaupun negara-negara ini mempunyai banyak ilmuwan yang bijak-bijak. Barangan yang dicipta oleh Jepun itu tidak pun menggunakan ilmu dan teknologi tinggi. Orang Jepun belajar ilmu dengan bebas, tidak mengikut kerangka pemikiran bahasa pinjaman. Dengan itu mereka mengekalkan keaslian dan kreativiti pemikirannya.

 

Inilah keaslian pemikiran yang dapat dibina di Indonesia dan Malaysia yang telah mencipta pemikiran Melayu yang kreatif. Berdasarkan pemikiran Melayu yang kreatif, terciptalah barangan seperti Ramly Burger, Proton, Mustika Ratu, rokok kretek, dan berbagai-bagai ubatan tradisional. Thailand juga menyampaikan pendidikannya dalam bahasa ibunda, dan pemikiran orang Thai kekal asli dan kreatif. Begitu juga Korea, China, Taiwan, dan Hong Kong. Malah seluruh pinggiran Asia Pasifik adalah kawasan yang giat membangun ekonominya. Inilah juga kawasan yang menggunakan bahasa peribumi dalam pendidikan. Negara-negara yang menggunakan bahasa pinjaman untuk menyampaikan pendidikan, tidak dapat menyaingi kepesatan ekonomi bangsa-bangsa yang menggunakan pemikiran aslinya. Hubungan antara pendidikan yang disampaikan melalui bahasa peribumi dengan kejayaan ekonomi adalah suatu bukti yang nyata.

 

MEMBINA ILMU DAN MENGIMPORT ILMU

 

Kekuatan pemikiran sesuatu bangsa ditentukan oleh sebesar mana ilmu dan teknologi yang ada di dalam bahasa tersebut. Sebesar mana kepustakaan yang ada dalam bahasa tersebut, dalam hal ini, pemikiran Melayu itu mempunyai wilayah yang melampaui sempadan politik negara-negara dan daerah orang Melayu yang merangkumi pemikiran seluruh manusia yang menuturkan bahasa Melayu. Sebarang ilmu yang tercipta dalam bangsa itu akan membantu membina pemikiran penuturan bahasa itu. Dalam hal ini mesti juga terbuka kepada ilmu dari luar. Di sinilah letaknya kepentingan bahasa asing untuk mengimport ilmu dan teknologi. Ilmu boleh diimport melalui sebarang bahasa, tetapi ilmu dan teknologi yang diimport itu hendaklah disebarkan kepada rakyat melalui bahasa ibundanya sendiri iaitu bahasa Melayu. Inilah yang berjaya dilakukan oleh Jepun, Korea, China, Thailand, Indonesia, termasuk Malaysia. Sebaliknya, Filipina, India, Ghana, Nigeria mempunyai banyak ilmuwan yang mampu mengimport ilmu melalui bahasa pinjaman. Begitu juga dengan negara-negara Amerika Latin. Tetapi, ilmu itu terkepung dalam bahasa pinjaman dan ilmuwan itu sahaja. Ilmu tidak dapat disampaikan kepada rakyat umum. Akibatnya, negara tersebut tidak dapat membangun, walaupun ada banyak ilmuwan yang bijak. Bahasa pinjaman yang mereka gunakan tidak difahami oleh rakyat. Oleh yang demikian, penguasaan sebanyak mungkin bahasa asing perlu untuk tujuan berkomunikasi dan mengimport ilmu.

 

Telah dikatakan bahawa bahasa pinjaman akan mengepung ilmu. Ini bermakna, beberapa langkah tertentu perlu difikirkan untuk mengimport ilmu itu ke dalam bahasa Melayu demi mengisi pemikiran Melayu dengan ilmu. Dalam hal, ini dua langkah dapat dilakukan:

(i) para ilmuwan menterjemah atau mengadaptasi ilmu yang terkandung dalam bahasa-bahasa lain;
(ii) para ilmuwan menuliskan ilmu yang mereka cipta di dalam buku.

Ini bermakna, kita perlu serius meningkatkan industri perbukuan, sama ada dalam bentuk buku tradisional atau elektronik. Langkah-langkah untuk mewujudkan prasarana industri perbukuan iaitu: kemahiran mengarang, menyunting, membuat grafik, membuat filem, mencetak dan menjilid hendaklah dijalankan.

 

BAHASA MENGEKALKAN DAN MENYATUKAN BUDAYA

 

Bahasa bukan hanya setakat memberikan identiti kepada bangsa dan budaya para penuturnya tetapi lebih daripada itu. Bahasa merupakan pembetung yang di dalamnya terkandung konsep-konsep, nilai-nilai dan idea-idea yang diwarisi oleh bangsanya. Bahasa merupakan kenderaan yang menjadi pemikiran suatu kebudayaan dari satu generasi kepada generasi yang akan datang. Bahasa juga menentukan pemikiran yang akan menentukan nasib serta survival sesuatu bangsa.

 

Malik Bennabi tokoh sejarah dan sosiologi yang terkenal pada abad ini telah banyak menulis tentang kesan penjajahan bahasa yang berlaku  selepas tamatnya penjajahan politik di negara-negara Islam. Menurut beliau, kebanyakan negara bekas tanah jajahan Eropah terus mengekalkan kehadiran bahasa penjajah masing-masing, sehingga mewujudkan gejala bilingualisme di kalangan elit intelektual, politik dan pentadbiran negara-negara itu. Di dalam bukunya, Masalah idea Dalam Dunia Islam, beliau mengatakan: “ … Bilingualisme akan mencipta kesan-kesan yang sangat bertentangan dengan kebudayaan kebangsaan.”

 

Secara ringkasnya Malik Bennabi mengatakan, penggunaan bahasa-bahasa bekas penjajah di kalangan masyarakat telah mencipta gejala baru yang bersifat struktural dalam pemikiran dan budaya masyarakat Islam, iaitu tercipta idea-idea yang asing kepada budaya peribumi. Menurut beliau, gejala bilingualisme mengenakan pengaruhnya kepada elit intelektual masyarakat Islam melalui bahasa pengantar universiti. Pada peringkat tersebut, idea-idea asing diimport dengan tepat seperti yang dilakukan oleh Ali Abdul Razik, bekas penuntut Al-Azhar yang kemudian melanjutkan pengajian di Universiti Oxford. Melalui karyanya, Islam dan Prinsip-prinsip Pemerintahan, Razik mengatakan Islam hanyalah suatu ajaran agama, spirituil dan moral, dan tidak ada kaitan dengan soal-soal politik dan pemerintahan. Memang demikianlah idea Barat yang sebenar, dan begitulah diterjemahkan dengan tepat oleh Razik dan diimport ke dalam dunia pemikiran Islam.

 

Di dalam sesetengah masyarakat Islam, bilingualisme mencipta perpecahan yang luas dan mendalam. Perpecahan itu berlaku pada semua peringkat. Di dalam masyarakat itu, terdapat  elit berbahasa kolonial dan elit berbahasa peribumi. Pada peringkat bawah, terdapat dua masyarakat yang juga menuturkan dua bahasa yang berbeza, satu bahasa kolonial dan satu bahasa peribumi, dan kedua-duanya tidak dapat hadir bersama dalam satu budaya.

 

Menurut Malik Bennabi, apabila seseorang itu mengucapkan pemikiran-pemikirannya dengan menggunakan bahasa asing, pemikiran itu menjadi buta budaya sendiri, malah ada kalanya boleh mengkhianatinya.

 

MASYARAKAT DAN IDEA

 

Mengikut Malik Bennabi lagi, sesuatu bangsa itu gagal membangun bukan kerana tidak memiliki sumber-sember pembangunan seperti tanah dan sumber alam, tetapi sebaliknya kerana bangsa itu tidak mempunyai banyak idea. Faktor kekurangan idea tergambar apabila bangsa itu tidak berupaya menggunakan sumber yang ada padanya dan tidak  berupaya mencipta sumber-sumber baru. Kekurangan idea juga tergambar pada cara bagaimana bangsa tersebut tidak berupaya untuk menyatakan apakah masalah yang dihadapi. Hal ini berlaku apabila bangsa tersebut hilang semangat untuk menangani masalah-masalah tersebut.

 

Sesuatu bangsa tidak berupaya mencipta banyak idea apabila semangat kreativitinya pupus. Idea-idea adalah untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh bangsa itu dari semasa ke semasa. Cara sesuatu bangsa itu menyatakan masalah, menentukan bagaimana masalah itu dapat atau tidak dapat  diselesaikan. Tanpa kreativiti, cara masalah itu dinyatakan pun tidak kreatif. Oleh itu, masalah tersebut tidak dapat diselesaikan  secara kreatif. Kegagalan itu menyebabkan bangsa itu hilang semangat untuk terus berdaya usaha bagi mencari penyelesaiannya. Pada hal, kemajuan sesuatu bangsa ditentukan oleh berapa banyak masalah yang berjaya diselesaikan oleh bangsa tersebut.

 

KREATIVITI DAN PEMIKIRAN ASLI

 

Pemikiran asli merupakan pemikiran yang berupaya mencipta idea-idea asli, iaitu idea-idea yang belum pernah didengar atau dicipta sebelumnya. Idea-idea itu hendaklah sesuai dengan keadaan dan berguna kepada masyarakat. Idea untuk membunuh rumput dengan cara menanam lalang di tempat rumput tumbuh, mungkin merupakan suatu idea asli, tetapi belum tentu sesuai apatah lagi berguna.

 

Bangsa Melayu mempunyai pemikiran asli tetapi pemikiran asli itu hilang apabila pemikiran Melayu dikuasai oleh bahasa Inggeris. Inilah yang berlaku kepada kreativiti bangsa India apabila bangsa tersebut menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan intelektualnya. Bandingkan dengan kejayaan bangsa Jepun yang mengekalkan kreativiti pemikiran aslinya apabila bangsa tersebut terus menggunakan bahasanya sebagai bahasa pengucapan intelektual mereka.

Apabila sesuatu bangsa menggunakan bahasa asing sebagai alat pengucapan intelektual, maka pemikiran bangsa itu akan menjadi perluasan sahaja kepada pemikiran asal bahasa asing tersebut, iaitu sebuah pemikiran pinggiran. Pemikiran tersebut tidak menjadi sebahagian daripada pemikiran pusat bahasa yang dipinjam. Sebaliknya menjadi pemikiran sampingan sahaja. Sebagai contoh, pemikiran cerdik pandai India yang kini menggunakan bahasa Inggeris sebagai alat pengucapan intelektual mereka, maka pemikiran mereka menjadi pemikiran pinggiran kepada pemikiran Inggeris. Sebagai pemikiran pinggiran, pemikiran India tidak dapat melebihi prestasi pemikiran Inggeris. Pinggiran pemikiran tersebut sebenarnya merupakan suatu pemikiran tertawan dan tidak akan berdaya melepaskan dirinya daripada belenggu pemikiran Inggeris. Pemikiran tertawan tidak berupaya menjadi kreatif. Pemikiran tersebut, sebaliknya hanya menjadi pengguna kepada produk-produk mental dan fizikal keluaran pemikiran Inggeris.

 

SENARIO WILAYAH ASIA PASIFIK MENJELANG ABAD KE-21

 

Rantau Asia-Pasifik, merupakan rantau yang pasti menjadi pusat ekonomi dunia abad ke-21. Dari segi bangsa dan bahasa, rantau Asia-Pasifik dikongsi oleh empat bangsa, pemikiran utama: Cina, Jepun, Korea dan Melayu. Bangsa dan pemikiran Cina mempunyai dua kekuatan dari segi jumlah manusianya, dan jaringan perniagaan antara komuniti Cina diaspora di semua pusat ekonomi rantau ini iaitu Beijing, Hong Kong, Taipei, Singapura, Jakarta, Bangkok, Kuala Lumpur, Manila dan Taiwan. Bahasa dan pemikiran Jepun dan Korea mempunyai kekuatan pada bahasa Sains dan Teknologinya khusus untuk mendominasi sektor pembuatan.

Di manakah kekuatan bangsa dan pemikiran Melayu dalam masyarakat Asia-Pasifik yang bakal menjadi pusat ekonomi dunia abad depan? Kekuatan bangsa Melayu ada pada dua perkara: Pertama, pada bilangan manusianya yang berjumlah hampir 300 juta, dan kedua, pada potensi pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Potensi pemikiran seluruh masyarakat yang menuturkan bahasa Melayu inilah yang menjadi aspek kritikal untuk survival bangsa Melayu? Bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantara akan menjadi wahana membina pemikiran asli bangsa-bangsa yang menuturkan bahasa Melayu. Pemikiran asli akan menjamin kreativitinya subur, tidak tertawan oleh mana-mana budaya lain.

 

Menggunakan sebuah dialek bahasa Melayu akan menjadi satu pemikiran kolektif yang besar. Besar sahaja tidak cukup tetapi mesti pelbagai. Sebesar-besar pemikiran India tidak pelbagai seperti pemikiran Israel, Belanda, Sweden, Norway, Taiwan, dan lain-lain lagi. Terlalu banyak pemikiran yang bertindih atau serupa di kalangan penuturnya.  Ini tidak membantu memajukan masyarakat penuturnya. Hanya pemikiran yang pelbagai ini yang membantu membangunkan masyarakat penuturnya.

 

Oleh sebab itu, matlamat perancangan bahasa bukan sekadar merancangkan ejaan, sebutan, kamus, istilah dan tatabahasa sahaja. Usaha itu adalah tahap pembinaan alat semata-mata. Matlamat usaha perancangan bahasa Melayu ialah membina kepustakaan dalam bahasa Melayu, melalui penciptaan ilmu dan teknologi sendiri dan juga meminjam daripada bahasa lain. Kepustakaan inilah yang akan mengisi bahasa Melayu.

 

BELAJAR DARIPADA PENGALAMAN SARJANA ISLAM

 

Para ilmuwan Islam melakukan suatu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa lain sebelumnya, iaitu pendemokrasian ilmu pengetahuan. Ilmuwan Islam menggalakkan semangat mencari kepada sesiapa yang berminat. Ilmuwan Islam mempamerkan dan menerangkan alat-alat yang dicipta dan digunakan untuk kajian dan penyelidikan. Ilmuwan Islam membuka perpustakaan-perpustakaan awam. Mereka yang memiliki perpustakaan peribadi juga membenarkan orang awam menggunakannya. Malah perpustakaan-perpustakaan itu dibuka kepada para ilmuwan daripada negara-negara bukan Islam, dengan demikian perpustakaan-perpustakaan itu menjadi perpustakaan antarabangsa. Mereka sangat menghormati orang berilmu, dan sangat menyanjung ilmu pengetahuan. Mereka mendirikan ratusan pusat pengajian tinggi kerana sangat mahukan masyarakat mendapat peluang belajar pelbagai ilmu. Dalam abad ke-9 dan ke-10, hartawan-hartawan Islam mewakafkan sekolah dan perpustakaan untuk orang awam.

 

Raja-raja Islam mendirikan sekolah di setiap bandar dan  kampung kecil, sehingga tidak ada kanak-kanak Islam yang tidak boleh membaca dan mengira. Kurikulum sekolah rendah meliputi  mata pelajaran membaca, menulis, mengira, sains, geografi, sejarah dan lain-lain.

 

Orang Islam merupakan bangsa yang pertama yang mencipta konsep pendidikan universal. Sekolah dibina dalam satu kawasan dengan masjid. Setiap sekolah disediakan perpustakaannya sendiri.

 

Para ilmuwan Islam menggunakan ilmu yang diimport dari laur, terutamanya dari Yunani, untuk tujuan-tujuan praktikal, suatu hal yang tidak dilakukan oleh bangsa lain. Oleh sebab para ilmuwan Islam cuba menyelesaikan masalah praktikal, usaha itu menyebabkan mereka mencipta kaedah penyelidikan yang bersifat empirikal dan eksperimental. Sebelumnya, bangsa-bangsa lain mengembangkan ilmu pengetahuan untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan. Mereka tidak menganggap ilmu pengetahuan perlu digunakan untuk memperbaiki kehidupan manusia. Orang Islamlah yang mula-mula menjadikan manusia sebagai matlamat ilmu pengetahuan. Dengan demikian, mahu tidak mahu, para ilmuwan Islam perlu menggabungkan tradisi ilmu Yunani yang bersifat spekulatif dengan aktiviti eksperimental dan empirikal yang mereka cipta.

 

Dalam menjalankan kegiatan eksperimen, para ilmuwan Islam membebaskan diri daripada kongkongan dogma dan kepercayaan. Hal ini berlainan dengan sikap yang diamalkan di Eropah. Di sana, para bijak pandainya berfikir untuk membuktikan ajaran-ajaran dan dogma-dogma waktu itu adalah benar. Para ilmuwan Islam memasuki setiap bidang ilmu untuk mencari pengetahuan. Mereka mengembangkan ilmu-ilmu yang ada dan mencipta cabang ilmu baru yang belum ada sebelumnya. Mereka bergiat dalam bidang-bidang filologi, sejarah, historiografi, undang-undang, sosiologi, kesusasteraan, etika falsafah, teologi, perubatan, matematik, logik, seni, astronomi, botani, fizik, seni bena, seramik dan pelbagai bidang ilmu yang lain.

 

Zaman kegemilangan ilmu sains dalam Islam berlaku antara 750 M, hingga 1350 M. pada kala itu, dunia Eropah masih berada dalam zaman kegelapan yang disebut Middle Ages. Eropah hanya bangun dan mencipta Renaissance antara 1400 M, hingga 1600 M.

 

Orang Islam mengimport ilmu terbaik yang diciptakan oleh bangsa lain sebelum mereka. Ini mereka lakukan melalui aktiviti terjemahan, kemudian mereka mengembangkan lagi ilmu-ilmu itu. Antara ilmu asing yang mereka import ialah falsafah, perubatan, matematik dan teknologi daripada tradisi Yunani; matematik, perubatan dan kesusasteraan dari India; sains, kesusasteraan dan agama dari Parsi; dan ulasan terhadap sains dan falsafah Yunani oleh orang-orang Syria.

 

Tradisi membuat penyelidikan yang penuh kesabaran adalah ciptaan ahli-ahli sains Islam. Mereka mencipta teknik penyelidikan secara teliti dan lama. Mereka merakamkan hasil-hasil pemerhatian daripada uji kaji yang dilakukan. Mereka mengembara untuk mengumpulkan data-data yang besar supaya dapat dilakukan kerja-kerja klasifikasi dan kategorisasi.

 

Ahli sains Islam lebih praktikal apabila berfikir. Mereka tidak menolak kegunaan spekulasi, tetapi mereka juga tahu batas-batas kegunaan spekulasi. Mereka menguji kebenaran melalui uji kaji. Teknik berfikir dengan cara menggunakan uji kaji diistilahkan sebagai berfikir secara induktif.

 

Ahli sains Islam merupakan pencipta kaedah penyelidikan sains dengan menggunakan pengamatan dan uji kaji, suatu kaedah yang tidak pernah diketahui sebelumnya. Mereka mencipta kaedah eksperimen objektif kerana mahu memperbaiki teknik-teknik spekulatif Yunani yang tidak tepat.

 

Mulai abad ke-10, di kalangan orang Islam muncul golongan yang disebut as-Salaf. Golongan as-Salaf menyerang dan akhirnya mereka berjaya menamatkan tradisi pemikiran saintifik yang telah mencipta kemajuan sains luar biasa pada waktu itu. Kepada golongan as-Salaf, sumber segala ilmu pengetahuan adalah al-Quran dan Sunah. Tidak ada sumber lain selain daripada itu. Segala persoalan hanya dapat diselesaikan dengan kembali kepada kedua-dua sumber tersebut. Golongan ini menolak sama sekali penggunaan akal dan logik sebagai sumber ilmu pengetahuan. Mereka menolak taklid dan ijmak. Mereka memusuhi pengaruh pemikiran asing dan mereka secara terang-terangan memusuhi para ilmuwan Islam yang mengembangkan pemikiran falsafah Yunani.

 

Selepas kebangkitan golongan as-Salaf, jumlah sekolah dan madrasah naik tetapi kemajuan sains turun menjunam-junam. Ini kerana sekolah-sekolah dan madrasah-madrasah itu didirikan oleh para pemimpin mazhab-mazhab waktu itu dan digunakan untuk tujuan mengembangkan ajaran mazhab masing-masing. Sekolah-sekolah itu mengajarkan kurikulum yang ditumpukan pada pengajian ilmu-ilmu agama dan bahasa  Arab. Para pengasas sekolah-sekolah ini menolak sebarang inovasi. Mereka menentang pendidikan sekular dan memulaukan para ilmuwan yang kreatif. Mata pelajaran sains, ilmu-ilmu sosial dan falsafah tidak dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah mereka. Dengan demikian, putuslah sejarah perkembangan tradisi pemikiran saintifik yang telah dibina selama lebih 400 tahun. Ini terjadi dalam abad ke-11 hingga abad ke-13.

 

Pada waktu peristiwa itu berlaku, dunia Barat sedang terburu-buru menterjemahkan hasil-hasil karya saintifik para ilmuwan Islam ke dalam bahasa Latin. Semasa sekolah Islam membuang kurikulum universal, Eropah mula membina universiti-universiti yang mengajarkan hasil-hasil kreatif Saintis Islam itu. Berkat manfaat ilmu-ilmu itu, Eropah berjaya mencipta Renaissance pada abad ke-14 dan abad ke-15.

 

Tentera Mongol di bawah pimpinan Halaku Khan berjaya menakluki kota Baghdad pada tahun 1258, dan itulah pukulan maut kepada perkembangan sains Islam. Bangsa Mongol membakar beratus-ratus perpustakaan yang terdapat di kota itu, termasuk Baitul Hikmah, perpustakaan terbesar yang didirikan oleh Khalifah al-Makmun. Mereka menggunakan buku-buku di dalam perpustakaan-perpustakaan itu sebagai kayu api untuk membakar bangunan-bangunan perpustakaan tersebut. Nasib yang serupa dialami oleh semua perpustakaan di seluruh dunia Islam, dari Samarkand ke Bukhara, ke Baghdad. Perpustakaan-perpustakaan di Sepanyol di bakar jadi abu, apabila raja-raja Kristian berjaya menjatuhkan kerajaan Islam pada tahun 1492.

 

Suatu tamadun yang berjaya melahirkan ahli-ahli sains yang lebih besar daripada  ahli sains Yunani seperti Aristotle, Ptolemy, Euclid, Galen dan lain-lain, ternyata tidak berdaya menyelamatkan perpustakaan-perpustakaannya daripada serangan bangsa-bangsa yang otaknya tidak berisi banyak ilmu. Ahli-ahli sains Islam hanya berjaya menjadi ahli sains, dan kejayaan mereka itu berhenti di situ. Mereka tidak menjadi pakar teknologi. Mereka tidak memanfaatkan ilmu-ilmu sains yang mereka temui. Maknanya, tamadun Islam tidak melahirkan ahli-ahli jurutera dan ahli-ahli seni bina.

 

Ahli-ahli sains Islam berjaya mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir yang berguna untuk menemui pelbagai ilmu pengetahuan sains, tetapi mereka tidak mencipta kaedah-kaedah dan teknik-teknik berfikir yang berguna untuk memanipulasi pengetahuan dan maklumat sains menjadi teknologi. Tanpa teknologi, apakan daya mereka untuk menentang serangan bala tentera bangsa-bangsa yang lebih besar dan berani, meskipun lebih bodoh daripada orang Islam sendiri. Ahli-ahli sains Islam memiliki ilmu kimia, matematik dan fizik yang termaju, tetapi mereka tidak mencipta senjata baru. Tentera Islam terus menggunakan senjata tradisional pedang dan anak panah. Pada zaman kegemilangan Islam, ilmu sains maju jauh ke depan, tetapi teknologi terus tidur. Entah mengapa, tamadun intelektual Islam tidak berfikir untuk memanfaatkan pengetahuan yang begitu kaya untuk mencipta alat-alat baru, biarpun yang mudah-mudah.

 

Kegiatan ahli-ahli sains Islam terbatas pada penyelidikan asasi yang tujuan penyelidikan sains adalah demi kemajuan sains itu sendiri. Ahli-ahli sains Islam tidak pernah mencipta penyelidikan pembangunan. Penyelidikan sains asasi tidak mempunyai matlamat untuk menghasilkan output yang konkrit. Matlamat akhir penyelidikan sains asasi ialah untuk memahami alam semula jadi, bukan mencipta benda-benda yang berguna kepada manusia. Ahli-ahli sains Islam membuat penyelidikan kerana mereka didorong oleh perasaan ingin tahu yang amat sangat. Mereka tidak berminat mencari ilmu pengetahuan  yang boleh digunakan bagi menyelesaikan bermacam macam-masalah praktikal kehidupan sehari-hari.

 

Pemikiran teknikal ialah pemikiran yang digunakan untuk menukar sains menjadi teknologi. Pada satu pihak, pemikiran saintifik menghasilkan huraian-huraian tentang alam semula jadi, pada satu pihak yang lain, pemikiran teknikal menghasilkan ciptaan-ciptaan baru yang belum pernah dibuat sebelumnya. Pemikiran sains pada asasnya pemikiran deskriptif; manakala pemikiran teknikal pada asasnya pemikiran kreatif.

 

Pemikiran teknikal tidak pernah dikembangkan oleh tamadun Yunani mahupun tamadun Islam. Tamadun Yunani mengembangkan pemikiran logikal dan spekulatif. Tamadun Islam mengembangkan pemikiran saintifik yang menggunakan spekulasi dan pembuktian melalui eksperimen. Oleh itu, ahli sains Islam mendirikan observatorium dan makmal-makmal sains.

 

Pemikiran eksperimental merupakan komponen penting dalam pemikiran teknikal. Meskipun ahli-ahli sains Islam telah mendirikan pemikiran eksperimental, tetapi pemikiran itu ditujukan kepada matlamat membuktikan bahawa spekulasi-spekulasi saintifik mereka adalah benar. Tradisi intelektual Islam tidak menggunakan pemikiran eksperimental untuk tujuan kreatif. Mereka tidak menyedari bahawa pemikiran eksperimental adalah umpama pisau dua mata, yang boleh menghasilkan penemuan-penemuan sains dan pada waktu yang sama boleh digunakan untuk menghasilkan ciptaan-ciptaan teknikal. Dengan hal yang demikian, ahli-ahli sains Islam hanya berjaya mencipta inovasi-inovasi dalam ilmu sains tetapi tidak mencipta inovasi-inovasi dalam ilmu teknologi. Pisau dua mata itu hanya digunakan sebelah sahaja oleh ahli-ahli sains Islam. Sisi yang satu lagi tidak pernah diketahui, apatah lagi disedari manfaatnya oleh mereka. Oleh yang demikian, ahli-ahli sains Islam tidak mencipta penyelidikan pembangunan iaitu jenis-jenis penyelidikan eksperimental yang bertujuan mencari aplikasi ilmu-ilmu sains tulen. Teknik-teknik berfikir yang digunakan dalam penyelidikan adalah berlainan daripada teknik-teknik berfikir yang digunakan di dalam penyelidikan asasi. Teknik-teknik berfikir pembangunan itulah yang mencipta kepakaran teknologi. Kepakaran itulah yang  berguna bagi mencipta pelbagai rekaan. Tanpa mencipta tradisi penyelidikan pembangunan, ahli-ahli sains Islam tidak berupaya menghasilkan inovasi-inovasi teknikal.

 

Zaman kegemilangan sains Islam berlaku dalam masa lebih 400 tahun. Jumlah ilmu yang terkumpul sepanjang zaman itu bukan kepalang banyaknya. Perpustakaan Khalifah Al-Hakim di Kordova menyimpan 600 000 buah-buku. Perpustakaan Khalifah Al-Aziz dikatakan menyimpan 6 000 000 buah-buku dengan ilmu pengetahuan yang begitu banyak. Walaupun demikian ahli-ahli sains Islam masih tidak dapat mencipta budaya teknologi kerana mereka tidak mencipta dan mengembangkan teknik-teknik pemikiran teknikal dan kreatif. Selama lebih 400 tahun, ratusan pemikir genius Islam gagal menghasilkan ciptaan-ciptaan teknikal, bukan kerana otak mereka tidak cukup tajam, tetapi kerana otak-otak yang tajam itu tidak mencipta alat-alat berfikir yang diperlukan untuk penghasilan teknologi.

Teknologi ialah alat-alat dan teknik-teknik yang berfungsi untuk mengembangkan keupayaan manusia. Termasuk di dalam definisi ini ialah semua konsep dan ilmu pengetahuan yang digunakan pada alat-alat dan teknik-teknik tersebut. Definisi ini mengutamakan aspek kepakaran. Sains merupakan sumber kepakaran yang paling utama.

 

Proses penciptaan kreatif menghasilkan inovasi. Invensi ialah hasil praktikal daripada proses inovasi. Invensi dihasilkan melalui gabungan ilmu pengetahuan dan kreativiti. Inovasi ialah proses yang membolehkan hasil-hasil invensi dihantar ke pasaran.

 

Keagungan sains dalam zaman keagungan Islam lampau tidak dilanjutkan kepada tahap penciptaan teknologi. Ahli-ahli sains Barat pernah mengatakan zaman kegemilangan sains orang-orang Islam, sekali terpukul tidak akan bangkit lagi. Rasional yang mereka kemukakan ialah setelah perpustakaan-perpustakaan mereka habis dibakar oleh musuh, orang-orang Islam melakukan kesilapan yang lebih besar iaitu mereka tidak membina kembali perpustakaan-perpustakaan mereka. Orang Islam lupa kepustakaan merupakan asas kebangkitan mana-mana peradaban ilmu. Tanpa kepustakaan milik sendiri, tidak ada generasi yang dapat mendirikan peradabannya sendiri.

 

UNIVERSITI SEBAGAI PENCIPTA ILMU DAN TEKNOLOGI PERIBUMI

 

Kreativiti dan inovasi adalah faktor kritikal dalam perkembangan pendidikan. Universiti akan berusaha untuk mendapat tempat dan pengiktirafan sesamanya melalui perbandingan kursus, pemeriksa dan penilai luar, pemeriksaan standard, dan lain-lain lagi. Universiti baru akan menggunakan tenaga pengajar daripada universiti yang sudah mantap untuk menjadi penilai dan penasihat. Dari segi ini, universiti tidak boleh lari dari hakikat meniru universiti lain. Walau bagaimanapun, nama sesebuah universiti akan hanya berkembang apabila universiti tersebut mampu melahirkan ilmu dan teknologi sendiri. Ini ialah salah satu daripada tugas universiti, di samping mengajarkan ilmu dan juga pencipta ilmu.

 

Oleh sebab itu, kemampuan sesebuah universiti yang kreatif dan inovatif yang utama ialah: Bagaimana sesebuah universiti itu dapat mencapai hasrat ini. Bagaimana universiti tersebut dapat berkembang daripada sebuah universiti yang hanya meniru daripada universiti Barat dalam mengajarkan dan menyampaikan ilmu, menjadi sebuah universiti yang dapat mencipta ilmunya sendiri. Itulah yang menjadi hasrat utama sebuah universiti. Menghasilkan ilmu dan teknologi sendiri, untuk memperbaiki kualiti kehidupan menjadi kritikal. Sekali gus universiti akan mendapat pengiktirafan daripada universiti-universiti lain. Nama baik sebagai pencipta ilmu akan menarik pelajar dan sarjana luar untuk datang. Apabila ilmu dan teknologi dapat dicipta, barulah universiti tersebut mempunyai sesuatu yang khusus untuk dijual. Bukan hanya sekadar membungkus semula ilmu dari mana-mana universiti Barat untuk dijual semula.

 

Apabila kita menghantar pelajar kita ke Jepun atau Korea, kita menghantar mereka untuk mempelajari ilmu dan teknologi yang wujud di sana. Bagaimana kedua-dua negara ini melahirkan ilmu dan teknologinya sendiri? Satu daripada faktor yang membolehkan ilmu dan teknologi ini berkembang ialah, ilmu yang  disampaikan dalam bahasa sendiri. Universiti tersebut bebas daripada kongkongan pemikiran asing. Ada banyak contoh yang dapat digunakan bagaimana pemikiran bahasa peribumi dapat mengolah ilmu yang diimport dari luar untuk menghasilkan teknologi sendiri. Kenapa Jepun kreatif. Kenapa India tidak. Kenapa Nigeria, Ghana, tidak sekreatif Indonesia dan Thailand menggunakan maklumat untuk menyelesaikan masalah dan memperbaiki kehidupan?

 

MEMBINA BUDAYA ILMU MENURUT ACUAN MELAYU

 

Dunia moden adalah dunia yang berdasarkan ilmu dan teknologi. Penguasaan kedua-dua bidang ini menentukan nasib sesuatu bangsa dan negara. Tanpa memiliki ilmu dan teknologi yang dicipta  sendiri, sesuatu bangsa hanya menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi asing. Oleh hal yang demikian, bangsa tersebut berada di bawah belas kasihan kekuasaan bangsa-bangsa yang mencipta ilmu dan teknologi itu. Pemikiran saintifik perlu dibina di kalangan ilmuwan kita. Pemikiran saintifik merupakan pemikiran yang digunakan untuk menemui ilmu-ilmu pengetahuan tentang alam semula jadi, manakala teknologi merupakan hasil manipulasi kreatif terhadap pengetahuan-pengetahuan ilmu tersebut untuk mencipta proses, alat dan produk bagi memenuhi keperluan manusia.

 

Ilmu dan teknologi merupakan dua perkara yang tidak bebas budaya. Dalam erti kata yang lain, unsur-unsur budaya menunjukkan pengaruhnya ke atas ciri-ciri ilmu dan teknologi yang dicipta oleh ahli-ahli ilmu dan pakar-pakar teknologi yang menganuti budaya tersebut. Demikian pula sebaliknya, ilmu dan teknologi menunjukkan pengaruhnya terhadap budaya yang menggunakan ilmu dan teknologi tersebut.

 

Gagasan Agenda Ilmu Malaysia mula-mula dikemukakan oleh Profesor Dr. Shahrir Mohd. Zain (1995). Beliau mendefinisikan ilmu Malaysia sebagai ilmu berdasarkan sumber-sumber setempat, bagi memenuhi keperluan-keperluan setempat dan dengan mengambil kira isu-isu kritikal setempat. Seterusnya, beliau mengemukakan langkah-langkah yang perlu untuk membolehkan terciptanya ilmu Malaysia berdasarkan acuan setempat. Beliau mencadangkan supaya Malaysia mengeluarkan kumpulan Saintis yang besar yang dilatih dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu. Menurut beliau, penggunaan bahasa Melayu akan dapat menyampaikan nilai-nilai budaya kebangsaan sekali gus dengan latihan saintifik yang diajarkan kepada mereka.

 

KESIMPULAN

 

Visi untuk mencipta masyarakat Melayu yang berdaya saing dalam alaf akan datang memerlukan perancangan yang teliti. Strategi-strategi berikut perlu dilaksanakan demi melahirkan manusia Melayu yang berilmu dan berteknologi untuk mendominasi hidupnya, dan tidak didominasi oleh pemikiran bangsa lain.

 

(i) mengajarkan sains dengan menggunakan bahasa Indonesia dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Strategi adalah untuk memastikan nilai-nilai terkandung dalam bahasa tersebut akan diasimilasikan ke dalam pemikiran para pelajar dan seterusnya akan menjadi pedoman kepada mereka dalam praktik ilmu yang akan mereka jalankan nanti.
(ii) Menambahkan jumlah pelajar yang berfikiran kreatif belajar dalam jurusan sains. Strategi ini adalah untuk membolehkan pelajar-pelajar sains itu menjadi pakar teknologi yang mampu melahirkan pelbagai invensi dan inovasi.
(iii) Kursus berfikir secara umum dan berfikir secara saintifik dan teknikal secara khusus diajarkan sebagai suatu kemahiran di dalam institusi pendidikan bagi menjamin manusia Melayu ini dapat mengolah ilmu yang dipelajarinya menjadi teknologi bagi meningkatkan kesejahteraan hidup.
(iv) Supaya pemikiran Melayu dapat menerima sains dengan lebih pantas, maka agensi berkenaan dalam kerajaan Malaysia dan Indonesia digesa mengambil langkah-langkah untuk memajukan industri perbukuan. Sarjana Indonesia dan Malaysia akan bergabung untuk membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Langkah mengimport ilmu daripada bahasa asing juga dilaksanakan.

 

BIBLIOGRAFI

(Dipetik daripada buku Kumpulan Kertas Kerja Kolokium Bahasa Pemikiran dan Melayu/Indonesia 1, penyelenggara Darwis Harahap dan Abdul Jalil Hj. Anuar, m.s. 60-83, terbitan DBP)

- Abdullah Hasan

Kiriman: Nazmatt (suntingan M@RHAEN) 20.05.2004

Top of Form

Top of Form

 

Bottom of Form

 

Takut Kepada Tuhan / Kehancuran Budaya dan Bahasa Melayu


Takut Kepada Tuhan

Allahu Akbar Allahu Akbar!
Allahu akbar Allahu Akbar
(Allah Maha Besar Allah Maha Besar!
Allah Maha Besar Allah Maha Besar!)
 
Bergema azan di surau-surau dan masjid-masjid menandakan masuk waktu solat. Berdudyun-duyulah umat Islam memenuhi surau-surau dan masjid-masjid istimewa untuk solat Jumaat.
 
Mereka tidak kira umno atau pas, prm atau dap, mic atau mca, pbb atau supp. Semua berlumba-lumba memenuhi saf-saf di masjid.
 
Apabila azan bergema semua, umno atau pas, prm atau dap, mic atau mca, pbb atau supp asalkan beragama Islam turut menjawab azan yang dikumandangkan - Allah Maha Besar, Allah Maha Besar!
 
Di kalangan mereka ini ramai yang tidak faham dan mengerti dengan kalimat ALLAHU AKBAR, ALLAH MAHA BESAR. Allah hanya Maha Besar di dalam surau dan Masjid!!! Keluar surau dan masjid ALLAH di mana?
 
Di kedai ekor. Di kelab disko. Di pusat karaoke. Di pusat dangdut. Orang yang sama yang memuji kebesaran Allah di surau-surau dan masjid-masjid adalah orang yang telah meluluskan lesen kedai, kelab dan pusat ini. Tidak kurang pula di antara mereka turut memiliki lesen-lesen mengusahakan kedai, kelab dan pusat ini.
 
Sehinga muncul slogan "Berkhidmat Untuk Negara Kerana Allah" di akhir surat-surat seperti yang pernah kita baca dan ditandatangani oleh orang yang tidak kurang turut membesarkan Allah di surau dan masjid.
 
Inilah hala tuju dan matlamat islam hadhari. Islam yang memisahkan kebesaran Allah dalam kehidupan seharian. Allah hanya besar di surau dan masjid.


Salah Siapa Kehancuran Budaya Dan Bahasa Bangsa Melayu?

Seronok baca celoteh pakngah.
Salah siapa kehancuran budaya dan bahasa melayu?
 
Pakngah tinggalkan (tidak pangkah) umnobn pada 1999.
Selama 40 tahun umnobn/umnoperikatan diberi kuasa.
Oleh orang-orang melayu termasuk pakngah.
Ertinya pakngah turut bersubahat dengan apa yang terjadi kepada budaya dan bahasa bangsa melayu. Pakngah memegang saham yang agak besar dan kini pakngah sedang menerima keuntungannya berupa dividen dan bonus tahunan dalam pelaburan budaya dan bahasa melayu. Syabas pakngah!
 
Pakngah hanya meninggalkan umnobn selepas trajedi anwar. Trajedi ini diciptarekalaksana oleh orang-orang yang pakngah pilih sebelum 1999. Penghijrahan pakngah pada 1999 diharap lebih dari sebab trajedi anwar kerana dibimbangi dihinggapi virus geng 12 yang diketuai roslan kassim. Mengenangi usia lanjut pakngah yang berpuashati dengan kehidupan kampung dan kejayaan anak-anak pakngah, pakngah tiada lagi kepentingan untuk diraih dari umnobn seperti yang masih ramai di luar sana. Inilah tipikal sifat orang melayu. Selagi tak kena batang hidung sendiri tidak perlu sibuk-sibuk.
 
Ok lah pakngah, terskanlah celoteh pakngah tu. Setidaknya ada hiburan nostalgia bagi kami di marhaen. Cuma jangan jadi macam songkok tinggi kapar, sebelum pru tulisannya boleh dikatakan muncul setiap hari. kini tiada lagi. Aah dia mungkin hanya ejen untuk menyeronokkan kita!

 

- Achussin - 16.05.2004 - (tanpa suntingan)