ANALISIS RINGKAS PILIHAN RAYA UMUM KE-11


Assamu'alaikum wm.wbt

 

Keputusan pilihan raya ke-11 pada kali ini amat mengecutkan. Paling up-set. Sangat sukar mempercayai keputusan tersebut. PAS kalah teruk di semua negeri termasuk di Terengganu dan di Kelantan menang tipis. Di Terengganu, kawasan parlimen disapu bersih oleh UMNO, manakala di Kelantan, 6 kawasan parlimen dapat dipertahankan. Alhamdulillah, PAS di Kelantan dapat membentuk kerajaan semula walau pun dengan mendapat simple majority.

 

Saya raya dalam pilihan raya ini, ada sesuatu perkara tersembunyi yang berlaku yang dirancang terlalu rapi sehingga kita tidak mengesannya langsung. Saya amat berharap, sesiapa yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai hal mengenai tipu-muslihat UMNO ini tolong tampil ke hadapan membantu PAS dan Keadilan meneliti secara mendalam modus-operandi mengurus dan menyelenggarakan pilihan raya pada kali ini supaya yang haq dapat ditimbulkan dan yang bathil dibenamkan.

 

Pihak PAS dan Keadilan perlu menubuhkan segera satu jawatankuasa secara ad-hoc pengkaji perkara ini dalam tempoh 14 hari dari sekarang, sebelum ia digazetkan. Kita boleh buat bantahan terhadap sebarang kekeliruan yang timbul supaya pilihan raya tersebut diadakan semula.

 

Kekuatan PAS di Terengganu dan di Kelantan boleh tergugat begitu teruk sekali tentu ada sebab musababnya. Sebelum itu,  kekuatan PAS di kedua-dua negeri ini begitu kuat dan tidak mungkin begitu rapuh sekali, apabila keputusan dikeluarkan.

Pada keseluruhannya UMNO/BN menang besar [ landslide victory ]  ada beberapa  sebab tentunya, pertama, UMNO/BN dibantu oleh SPR. SPR bukan sebuah badan bebas lagi untuk mengendalikan pilihan raya di Malaysia. SPR patut dibubarkan sekarang. SPR telah bertindak meminda persempadanan semula untuk membantu kemenangan UMNO/BN. Perkara ini telah banyak diperbincangkan oleh masyarakat siber.

 

SPR juga turut membuat pelbagai syarat dan undang-undang yang mengelirukan bertujuan menghumban pembangkang [PAS dan Keadilan] dalam longkang. Pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pihak UMNO/BN terutama di kawasan parlimen Putrajaya, di Johor [ tuduhan rasuah ], di Bangi, di Terengganu [laporan polis mengenai pembahagian duit berbuka puasa tahun 2004] dan sebagainya tidak ambil kisah oleh SPR.

 

Lebih malang lagi apa yang berlaku di Gombak dan beberapa kawasan di Selangor dan KL  nama pengundi tidak ada dalam senarai di pusat pembuangan undi, tetapi penyemakan dibuat di barung SPR ada disenaraikan, lain-lain negeri juga menghadapi masalah yang sama. Ianya melibatkan beribu-ribu pengundi yang tidak dapat mengundi. Timbul pula ada orang awam jadi pengundi pos, ada suami-isteri yang mengundi di tempat yang berasingan, walaupun alamat tempat tinggal sama,. Ini tidak termasuk orang sudah mati, namanya masih ada lagi dalam senarai SPR.

 

 Di tempat saya sendiri umpamanya, orang mati sudah banyak tahun, nama orang itu masih ada lagi dalam senarai. Ada pengundi yang bertahun-tahun sudah mengundi, tiba-tiba namanya tidak ada dalam daftar pemilih. Ada pengundi yang namanya ada di tempat dan kawasan yang jauh dari tempat tinggalnya. Di tempat saya juga ada pengundi yang membuang undi terdiri dari kaum India, sebelum ini tidak pernah wujud. Semuanya 100% Melayu. Pilihan raya kali ini ada.

 

Siapa yang melakukan semua ini? SPR sudah mengendali 11 pilihan raya semenjak merdeka, tetapi perkhidmatan pengurusan pilihan rayanya amat mengecewakan dari penyediaan senarai daftar pemilih yang mempunyai pelbagai masalah sehinggalah membawa kepada mencetak kertas undi, pembuangan undi, pasukan pemantau SPR, perkiraan undi, pengumpulan undi dan membaca keputusan amat mengecewakan. Oleh itu, SPR patut dibubarkan kerana gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

 

Kedua, UMNO/BN dibantu oleh pasukan polis secara maksimum  menghalang pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh PAS dan Keadilan untuk menyampai maklumat kepada rakyat semenjak dari tarikh 1.7.2001. Ianya berlaku seluruh Negara, sedangkan pada masa yang sama segala aktiviti UMNO/BN diberi lindungannya sepenuhnya.

 

Ketiga, UMNO/BN mempunyai rangkaian media yang serba lengkap untuk membuat propaganda memburukkan pembangkang, sebaliknya PAS dan Keadilan dinafikan hak ini. NTV7 yang dijadualkan membuat temu ramah dengan bekas MB Terengganu pada malam pengundian telah dibatalkan disebabkan tekanan UMNO.

Keempat, kuasa duit. UMNO/BN berupaya membeli undi dengan menaburkan berjuta ringgit [ mungkin mencapai billion ringgit seperti yang pernah diberitahu oleh Allahyarham Dato’ Fadzil Noor ] kepada orang-orang kampung yang miskin. Money politic memang berlaku dalam pilihan raya ini dan pilihan raya-pilihan raya yang lepas. Tidak ada sesiapa pun ambil pusing. Seolah-olah benda ini sah dan halal dari segi undang-undang. Hendak harap siapa untuk mengambil tindakan, BPR, SPR atau Polis ?

 

CADANGAN

 

Disebabkan oleh 4 faktor yang saya sebutkan di atas menyumbang kemenangan yang besar kepada UMNO/BN dan kita tidak berupaya untuk melawannya, maka saya mencadangkan :

 

i. Tidak payahlah lagi kita [PAS dan Keadilan dan lain-lain parti], kecuali DAP [ yang ada agendanya tersendiri yang kita jelas akan maksudnya itu ] bersusah-susah  masuk pilihan raya untuk masa-masa akan datang selagi sistem bobrok ini diguna pakai. Ia membazirkan duit, masa dan tenaga. Banyak tenaga yang terbuang sia-sia mempertahan sistem haprak ini. Kita boikot pada pilihan raya ke 12 nanti.

 

ii. Sebagai gantinya, PAS perlu dijadikan sebagai badan dakwah yang besar [bersatu dengan NGO-NGO yang lain yang sealiran dengannya ] yang boleh bergerak bebas di peringkat tempatan dan antarabangsa menekan kerajaan UMNO/BN supaya mengubah sistem haprak ini. Sementara itu Keadilan pula boleh bergabung dengan NGO-NGO yang lain yang mempunyai fahaman yang sama. Kedua-dua badan ini perlu digabungkan supaya ia lebih berkesan untuk memberi tekanan yang kuat terhadap kerajaan UMNO/BN. Saya percaya, cara ini lebih sesuai dari kita masuk bertanding dalam pilihan raya yang sudah kita tahu jawapannya pada pilihan raya ke 12 [ 2008 ] dan seterusnya, siapa pemenangnya.

 

iii. Perlu ingat Lawan Tetap Lawan dengan apa cara sekali pun. Sehebat Suharto pun jatuh jua akhirnya, begitu juga dengan Marcos, Shah Iran, Hitler, Mossulini, Stalin dan sebagainya lagi diktator dunia jatuh satu demi satu menyembah bumi.

 

iv. Rakyat kita selagi dapat makan dan berada dalam suasana aman damai, selagi itulah kesedaran tidak akan timbul dalam fikiran mereka. Rasuahlah banyak mana pun, hutanglah banyak mana pun, nak gadai Negara pun gadailah, selewenglah banyak mana pun, tipulah banyak kali pun, mereka tetap tidak berubah seperti mencurah air ke daun keladi kerana semua itu tidak kena batang hidungnya. Kitalah merasa diri kita semacam orang gila dan bodoh.

 

Tolonglah sama-sama kita fikirkan cadangan saya ini. Kerajaan UMNO/BN yang ada ini tidak boleh diubah melalui peti undi. Percayalah cakap saya.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

 

MELI : 23.3.2004

 

LAGI ANALISIS PILIHAN RAYA UMUM KE-11


Assamu'alaikum wm.wbt

 

Semua rakyat dari pelbagai golongan terperanjat beruk apabila NAZI FRONT kembali berkuasa dengan majority lebih daripada 2/3 di Parlimen dengan mendapat 198 kerusi parlimen dari 219 kerusi yang dipertandingkan. Kini NAZI FRONT telah menjadi sama taraf dengan parti GOLKAR semasa pemerintahan Suharto yang memerintah Indonesia selama lebih 32 tahun. Setiap kali pilihan raya diadakan, parti GOLKAR senantiasa kembali memenangi pilihan raya hampir 99%, tetapi akhirnya Suharto digulingkan melalui jalan raya yang banyak menelan korban. Bersediakah rakyat Malaysia ke arah itu?

 

PAS mengalami kekalahan paling teruk semenjak tahun 1986 dengan hanya menang 6 kerusi Parlimen di Kelantan dan 1 kerusi di Kedah, menjadikannya berjumlah 7 kerusi semuanya. Manakala Keadilan hanya menang 1 kerusi Parlimen di Permatang Pauh yang merupakan kubu kuatnya. Kalau Keadilan rebah di sini, bermakna terlalu sukar bagi parti itu untuk bangun semula dalam keadaannya ia diperintah oleh sebuah kerajaan berbentuk pemerintahan ala NAZI di zaman Adolf Hitler di German.

 

Dalam pilihan raya ini DAP sahaja yang dapat menambah kerusi dari 10 buah menjadi 12 buah kerusi dan hampir pasti Lim Kit Siang akan kembali menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia apabila Parlimen akan bersidang dalam tempoh 60 hari daripada sekarang dan beliau pernah menjadi Ketua Pembangkang selama 32 tahun, kemudian diambil-alih oleh Allahyarham Dato’ Mohd. Fadzil Noor [ kemudian diambil-alih pula oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang ] ekoran kekalahan Lim dalam pilihan raya tahun 1999. Inilah realiti parti DAP yang oportunis yang memperjuangkan Malaysian Malaysia dan Negara sekular seperti mana yang dilaksanakan oleh NAZI FRONT.

 

Kalau kita perhatikan sepanjang perjuangan DAP dalam politik Malaysia semenjak ia ditubuhkan pada 18 Mac 1966, graf pencapaiannya turun naik tidak melebihi 20% kerusi yang dimenanginya, iaitu di antara 9 hingga 24 kerusi dalam tempoh 35 tahun [1969 - 2004] di mana ia masuk bertanding dalam pilihan raya. Malah ketika PAS menganggotai NAZI FRONT pada tahun 1974, DAP terus memperjuangkan prinsipnya dan ia tetap menang disokong oleh pengundi-pengundi Cina di bandar-bandar besar seperti di Perak, Pulau Pinang dan di Kuala Lumpur. Ia tetap berada di Parlimen bagi menyuarakan kepentingan masyarakat Cina dan menentang dasar-dasar kerajaan yang dianggapnya pro kepada orang-orang Melayu.

 

Jadi, NAZI FRONT tidak merasa takut atau gentar untuk berhadapan dengan DAP. Ini disebabkan perjuangan DAP ditolak oleh sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu. Mustahil DAP akan dapat membentuk kerajaan di peringkat persekutuan mahu pun di peringkat negeri. Oleh yang sedemikian, NAZI FRONT tidak pernah bermusuh [ malah ia membiarkan DAP bergerak cara ia tersendiri dan memainkan jarum hasutannya supaya DAP keluar dari pakatan BA pada tahun 2001] seperti mana ia bermusuh dengan PAS dan Keadilan. Ini kerana kedua-dua parti ini merupakan dua pencabar terkuat yang WAJIB dimusnahkan dengan apa cara sekali pun.

 

Terbukti dalam pilihan raya ke-11 yang diadakan pada 21 Mac 2003 [Ahad] minggu lepas, NAZI FRONT berjaya melumpuhkan kedua-dua parti ini dalam arus perdana politik Negara. Dua unsur penting yang berperanan meranapkan impian parti-parti ini ialah, pertama, kerabat ke 15 NAZI FRONT itu SPR. Presidennya Abdul Rashid Abdul Rahman sangat bijak memainkan peranannya. Bermula dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya baru yang tidak mengikut kehendak perlembagaan, taburan pengundi-pengundi secara cacamarba dan mencipta pelbagai undang-undang dan peraturan yang mengharu-birukan perjalanan pilihan raya, yang sebelum ini semenjak merdeka tidak pernah berlaku perkara-perkara seumpama itu, walaupun di kala itu, kita hidup bukan di zaman ITC. Matlamatnya hanya satu untuk memenangkan NAZI FRONT.

 

Unsur kedua ialah kerabat yang ke 14 NAZI FRONT, iaitu Pasukan Polis DiRaja Malaysia. Peranan kerabat ini pula ialah melakukan pelbagai langkah sekatan dan menghalang aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kedua-dua parti ini dari tarikh 1.7.2001. Semenjak dari tarikh tersebut, kedua-dua parti ini menghadapi pelbagai masalah untuk menjalankan aktivitinya menyampaikan maklumat kepada rakyat, termasuk bahan-bahan penerbitan yang tidak sealiran dengan NAZI FRONT diharamkan, kecuali akhbar parti sebulan 2 kali, sedangkan pada masa yang sama, NAZI FRONT dapat melakukan pelbagai aktiviti tanpa sekatan malah dapat perlindungan yang amat mahal harganya. Berdasarkan line-up kabinet baru ketua NAZI FRONT, beliau masih lagi memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, bermakna PAS dan Keadilan akan terus menghadapi masa depan yang gelap kerana amalan demokrasi yang pernah kita sama-sama kita alami sebelum tarikh keramat itu berkemungkinan akan dihancurkan oleh tangan-tangan ala-NAZI itu.

 

Untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang, dua-dua unsur ini dibantu oleh 3 elemen, iaitu, pertama rangkaian media massa yang memainkan peranannya 24 jam menanam propaganda dan mengasak fikiran rakyat bahawasanya NAZI FRONT sahaja yang boleh memerintah dan boleh membawa pembangunan. Orang lain tidak boleh. Kedua, politik wang yang menjadi darah daging NAZI FRONT telah berjaya mempengaruhi sebahagian rakyat yang berfikiran sempit, terutama orang-orang luar bandar dan dalam bandar yang hidup susah. Duit luruh bagaikan daun getah di musim kemarau panjang. Ketiga ialah penggunaan jentera-jentera kerajaan dan kemudahan awam untuk berkempen tanpa ada halangan. Mereka boleh buat apa sahaja yang mereka suka. Mereka di atas undang-undang dengan sistem kehakiman yang haprak.

 

Jadi, bagaimana untuk mengatasi penipuan secara besar-besaran yang kita alami tempoh hari yang dilakukan oleh NAZI FRONT. Pendekatan ini boleh digunakan:

i. Langkah PAS menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji secara mendalam urusan pengendalian pilihan raya dengan mengumpul segala maklumat dan bukti untuk di bawa ke mahkamah pilihan raya sangat dialu-alukan. Langkah ini perlu mendapat kerjasama penuh dari lain-lain parti pembangkang, terutamanya Keadilan yang mempunyai pemimpin yang berpengalaman luas dalam sepak terajang politik di Negara ini. Ingat sistem mahkamah kita dikuasai oleh NAZI FRONT begitu juga dengan Majlis Raja-raja yang telah hilang kukunya.

 

ii. Langkah mengumpul tandatangan rakyat sebagai bantahan terhadap penipuan secara besar-besaran oleh NAZI FRONT perlu melibatkan ke semua parti pembangkang, bukan terhad kepada parti PAS sahaja. Ia perlu turun dari pusat ke negeri, dari negeri ke kawasan dan dari kawasan ke cawangan-cawangan secepat mungkin.

 

iii. Membuat surat dan memaklumkan akan penipuan ini kepada semua duta-duta yang berkhidmat dalam Negara ini.

iv. Membuat laporan mengenai perjalanan urusan pilihan raya ini kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bahagian Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Geneva. Kempen berterusan di peringkat antarabangsa perlu diadakan segera bagi menunjukkan kepada dunia betapa buruknya sistem amalan demokrasi yang kita amalkan ini.

 

v. Perlu mendapatkan kerjasama dari semua parti-parti pembangkang, semua NGO dan semua pertubuhan-pertubuhan serta rakyat awam bagi membentuk satu force [tekanan] yang kuat seperti mana yang pernah dilakukan oleh GERAK dalam isu Anwar Ibrahim menekan kerajaan NAZI FRONT supaya membatalkan keputusan pilihan raya tersebut dan mengadakan pilihan raya semula. Kalau cara ini juga gagal, bermakna kita berada di ambang kehancuran dalam dimensi politik di Negara ini.

 

vi. Adakan kempen kepada seluruh ahli-ahli jangan membeli akhbar dan adakan boikot berterusan terhadap akhbar-akhbar di Malaysia terutama Berita Harian, Utusan Malaysia dan NST. Kalau kita terus membeli akhbar-akhbar ini bermakna kita bersama-sama bersubahat memperkayakan dan memperkukuhkan kedudukan akhbar-akhbar ini, seperti mana kita membeli rokok memperkukuhkan ekonomi orang-orang Yahudi.

 

vii. Kalau semua langkah ini tidak berjaya, maka tidak ada jalan lain, semua parti pembangkang harus mengambil tindakan memboikot pada pilihan raya akan datang, bukan setakat di Sungai Lembing sahaja. Ini menandakan protes kita terhadap amalan demokrasi yang kita amalkan ini yang bercanggah dengan amalan demokrasi di Negara-negara lain di dunia ini. Tidak ada faedahnya kita masuk bertanding dalam satu perlawanan yang senget sebelah yang kita tahu bahawa kemenangan pasti menyebelahi NAZI FRONT.

 

viii. Islam tidak boleh ditegakkan di bumi Malaysia ini dan di mana-mana jua di dunia melalui pilihan raya. Oleh itu, cari formula lain bagi memenangkan ISLAM.

 

ix. Teruskan perjuangan dengan kaedah lembut dan keras. Lawan tetap lawan.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

 

MELI :  3.4.2004

 

ADAKAH KITA PERLU MENYERTAI PILIHAN RAYA TAHUN 2009?


Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

 

Sudah lebih tiga minggu pilihan raya umum ke-11 telah berlalu, namun rakyat masih lagi membicarakannya. Pelbagai gelagat yang paling kotor dalam sejarah pilihan raya di Malaysia kita telah dapat melihat, mendengar dan membaca dari bermacam-macam pandangan serta ulasan dari pelbagai sumber. Dalam pilihan raya tersebut, PAS yang merupakan parti pembangkang terkuat di Malaysia mengalami kekalahan paling teruk selepas tragedi tahun 1978. PAS hanya mampu memenangi 7 kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN, manakala Keadilan hanya menang satu kerusi parlimen menerusi Presiden partinya iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

 

Ada pandangan menyarankan agar PAS membuat muhasabah diri kenapa pada pilihan raya kali ini, PAS ditolak oleh rakyat. Setengah pandangan pula menyeru PAS membuat reformasi secara menyeluruh ke atas kepimpinannya dan bermacam-macam lagi pandangan, ulasan dan pendapat memberi pelbagai reaksi menarik agar PAS menyusun strategi secara rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke 12 pada tahun 2009 nanti.

 

Semua pandangan dan pendapat yang dilontarkan kepada PAS dan Keadilan supaya memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan yang ada itu serta dapat menyusun semula gerak kerja bagi memastikan PAS dan Keadilan mencapai kejayaan pada tahun 2009. Kita tidak pernah menafikan sebarang kelemahan yang kita miliki. Kita mengakui, kita sebagai manusia biasa, memang ada kelemahan-kelemahannya. Kita bukan UMNO yang tidak pernah mengakui kelemahannya. Semuanya diletakkan kesalahan kepada orang lain. Kita berusaha bersama-sama memperbaikinya sebaik sahaja pilihan raya tahun 1999 berakhir. Gerak kerja disusun, strategi dirangka, pelan tindakan dibentuk dan pandangan dari pelbagai pihak didengar dan diambil tindakan yang mana sesuai mengikut kesesuaian masa, suasana dan tempat. Dikembangkan hubungan dua hala, peringkat kepimpinan atas-ke bawah, peringkat pimpinan bawah-ke atas, tidak seperti yang ujud dalam hierarki UMNO iaitu hubungan sehala, atas ke bawah. Peringkat bawahan wajib patuh apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan di peringkat atasan.

 

Hubungan dua hala yang dibentuk oleh PAS ini adalah bertujuan untuk bermuhasabah mencari kelemahan-kelemahan yang ada tanpa disedari oleh pucuk pimpinan. Sesiapa sahaja boleh mengkritik dan memberi idea kepada kepimpinan. Hal ini terbukti dalam sebarang perhimpunan atau dalam muktamar tahunan PAS yang diadakan setiap tahun. Pucuk pimpinan tidak pernah mengambil tindakan terhadap ahli-ahli yang membuat kritikan terhadap pimpinan, malah dialu-alukan terutama di era Allahyarham Dato’ Mohd. Fadzil Noor. Saya sendiri pernah berbincang dengan Allahyarham mengenai perjalanan parti dalam satu kesempatan di Majlis Seminar Di Muassasah Darul Ulum, Kedah, sedangkan saya siapa, tiada ada kena mengena dengan parti PAS. PAS bukan sebuah parti bersifat feudal seperti mana yang diamalkan oleh UMNO. Ia terbuka.

 

Semua pandangan dan ulasan yang diberi itu tidak berpijak di bumi yang nyata. Adakah mereka sedar atau buat-buat tidak sedar bahawasanya Malaysia ini diperintah oleh sebuah rejim diktator NAZI FRONT. Barisan Nasional yang ditunjangi oleh UMNO memerintah ala NAZI dalam sebuah Negara diktator melalui undang-undang yang sah yang mereka cipta sendiri dan mereka sendiri yang melanggarnya.

 

Adakah mereka tidak sedar bahawa PAS dan Keadilan telah menyusun strategi lebih mantap selepas pilihan raya tahun 1999. Mereka mempunyai pakar-pakar strategis yang berketrampilan mengemukakan pelbagai idea dan pelan bertindak bagi menghadapi UMNO/BN dalam pilihan raya 2004 itu. Keahlian dalam PAS mempunyai pelbagai latar belakang yang telah memberi sumbangan yang amat bernilai dalam harakah Islamiah di ruang lingkup yang amat terbatas dan tertekan.

 

Adakah mereka tidak sedar atau masih lagi mamai dalam mimpi yang indah bahawa UMNO telah mempergunakan segala jentera dan kuasa yang ada padanya untuk mengekalkan kuasa tersebut. UMNO telah mempergunakan SPR membuat persempadanan semula bagi melemahkan pembangkang khususnya PAS, mencipta pelbagai undang-undang dan peraturan yang bercelaru, memindah dan menghilangkan nama-nama pengundi [mendapat kerjasama penuh dari Jabatan Pendaftaran Negara], mengendali pilihan raya secara lintang pukang cacamarba bertujuan melemahkan PAS dan Keadilan. Menggunakan pasukan polis mulai 1.7.2001 bagi menghalang PAS dan Keadilan mengadakan ceramah bagi menyampaikan maklumat kedua kepada rakyat disekat. Mereka dihalau dan ditangkap bagaikan anjing kurap termasuk kepimpinan tertinggi PAS. Usaha melemahkan Keadilan diteruskan dengan penangkapan tokoh-tokoh berwibawa di bawah ISA. Kebangkitan PAS dan Keadilan yang bersatu tenaga dikekang habis-habisan dengan menggunakan pelbagai cara halal dan haram. Tujuannya hanya satu untuk menghancurkan kedua-dua parti ini.

 

Penggunaan media massa yang dikawal begitu rapi sehingga tidak ada ruang atau saluran bagi PAS dan Keadilan untuk menyuarakan pandangan dan pendapat bagi kepentingan rakyat dan Negara. Jentera-jentera kerajaan dipergunakan sepuas-puasnya bagi menjamin kekuasaannya tidak terjejas, malah politik wang yang menelan kos berbilion ringgit digunakan untuk membeli undi rakyat yang tidak peka terhadap amalan demokrasi.

 

Saya amat bersetuju dengan pandangan Rustam A.Sani dalam Harakah cetak 1-15 April 2004, beliau menyebut sebenarnya parti pembangkang terperangkap dengan lakonan UMNO mewar-warkan pilihan raya ini dengan pelbagai gelagat sehinggakan parti-parti pembangkang terasa mereka akan memperoleh kejayaan yang lebih cemerlang dengan membuat penilaian terhadap UMNO yang buat-buat bodoh dan mereka berkelahi sama-sama mereka berebut kerusi masing-masing, sedangkan pada hakikatnya UMNO telah tahu terlebih dahulu, yang mereka akan memperoleh kemenangan yang besar seperti kata Aman Rais dalam kulumnya di Malaysiakini.com, UMNO telah menulis di papan hitam akan kemenangan yang bakal dirayakannya dengan bantuan SPR, Polis, JPN, kedudukan kewangan yang kukuh untuk membeli undi dan jentera-jentera kerajaan yang sanggup sujud menyembah kaki UMNO.

 

Dalam keghairahan tersebut, PAS dan Keadilan masuk bertanding dengan penuh keyakinan akan menang dalam satu perlawanan yang amat nyata berat sebelahnya. Sepatutnya PAS dan Keadilan perlu memboikot pilihan raya ini kerana dari awal-awal lagi SPR telah melakukan satu kerja tidak berprofesional dan mendapat teguran dari Majlis Raja-raja. PAS dan Keadilan perlu tahu apa yang dibuat agensi-agensi kerajaan yang giat membantu UMNO untuk menang dalam pilihan raya ini.

 

Saya sendiri, minggu kedua selepas keputusan pilihan raya diumumkan telah keluar mencari maklumat secara peribadi tentang perjalanan pilihan raya ini yang terburuk yang telah dilakukan oleh SPR atas arahan UMNO. Pelbagai golongan saya dekati untuk mendengar pandangan rakyat akar umbi. Ada golongan penyokong UMNO, ada golongan atas pagar, kaum bukan Melayu khususnya Cina dan Siam serta ahli-ahli dan penyokong PAS dan Keadilan. Rata-rata yang saya temui itu, mereka terkejut apa yang terjadi. Landslide victory yang dinikmati oleh UMNO itu menjadi satu tanda tanya yang sukar untuk diberi satu jawapan yang pasti. Ada orang cina yang saya temui juga turut terperanjat bagaimana PAS [ mereka sebut bola ping-pong ] yang kuat boleh kalah begitu teruk sekali. Kata mereka, setiap kali UMNO menghadapi pilihan raya, sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, pelbagai teknik penipuan dan penyelewengan serta politik wang telah menjadi amalan sejak azali lagi, tetapi pada kali ini penipuan dan penyelewengan amalan demokrasi dilakukan secara terang-terangan bukan lagi secara gelap seperti dahulu lagi.

 

Inilah ciri-ciri sebuah kerajaan pemerintahan dalam bentuk NAZI FRONT yang ujud di German di masa perang dunia kedua dahulu, kini muncul semula di Malaysia di abad ke 21 ini. Sekiranya sistem ini tidak dirombak, maka tidak berguna sama sekali kita berjuang di medan pilihan raya yang penuh penipuan yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi tulen. Adalah menjadi satu pembaziran masa, tenaga, keringat, fikiran dan wang ringgit, malah kita memberi satu harapan yang kosong atau sebuah impian kepada penyokong-penyokong kita yang bekerja siang-malam tanpa mengenal penat lelah dan tanpa duit kupang yang mewah seperti UMNO. Mencurah tenaga untuk mencapai kemenangan melalui pilihan raya dalam sebuah negara yang diperintah oleh diktator NAZI FRONT adalah sia-sia sahaja.

 

Dalam simple studi saya itu, saya ada menemui beberapa orang pemimpin PAS dan beberapa bekas wakil rakyat yang kalah dalam pilihan raya itu. Mereka rata-rata bersetuju dengan pandangan bahawa kita patut memboikot pada pilihan raya ke 12 seperti mana kita memboikot pilihan raya semula di Sungai Lembing tempoh hari, sekiranya sistem ini kita tidak dapat merubahnya. Apa guna dan faedahnya, apabila kita masuk bertanding, kaki dan tangan kita diikat, dikenakan pelbagai peraturan bagi menyekat pergerakan kita, sedangkan mereka senang-senang mencabulinya tanpa sebarang tindakan, malah mereka mendapat kerjasama penuh dari SPR, Polis, JPN, media, wang yang banyak, jentera-jentera kerajaan dan sebagainya. Biarlah mereka lawan seorang-orang.

 

Sekiranya PAS memboikot pada pilihan raya akan datang, ia akan memberi kesan yang negatif kepada UMNO. PAS adalah sebuah parti kedua terbesar selepas UMNO yang mempunyai keahliannya cacamarba, Keahlian PAS sekarang ini sudah mencapai lebih satu juta orang. Semuanya manusia Melayu yang beragama Islam 100%. Kalau dicampurkan dengan keahlian parti Keadilan, kemungkinan keahlian kita menghampiri ke angka dua juta orang [ anggaran sahaja, tiada ada data tepat ]. Pemboikotan ini akan memberi imej buruk terhadap amalan demokrasi di Malaysia di kaca mata dunia luar. Ianya juga akan menjejaskan tarikan pelabur-pelabur luar untuk melabur di Malaysia, ini satu pengajaran kepada UMNO. Nama Malaysia akan tercalar di peringkat antarabangsa. Tiada ada lagi pemimpin Malaysia yang merasa bangga bercakap mengenai demokrasi di pentas dunia.

 

Berjuang untuk kepentingan rakyat bukan semata-mata melalui saluran pilihan raya. Banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk melawan UMNO bagi kepentingan rakyat. Pilihan raya merupakan sebahagian kecil saluran yang kita gunakan. Masih banyak lagi saluran yang belum kita cuba dan kita gunakan sepenuhnya.

 

Kaedah konservatif yang digunakan oleh Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan Raya ke-11 dan tindakan pengumpul tandatangan bagi membantah keputusan pilihan raya tersebut, bawalah berjuta tandatangan pun, ia tidak akan membawa apa-apa hasil. Sejarah telah membuktikan bahawa tindakan ini tidak akan berjaya mencapai matlamatnya. Hanya sekadar melepaskan geram, berarak ke seluruh Negara untuk tunjuk rasa terhadap pengendalian pilihan raya yang terkotor. Semua sistem yang ada di Malaysia kini di bawah tapak kaki Dolah Badawi. Raja mana yang berani [ baca majlis Raja-raja ] menyatakan pilihan raya ini tidak mengikut peraturan dan perlu disemak semula? Hakim mana yang berani mengisytiharkan pilihan raya tersebut tidak sah dan batal? Jadi, siapa yang berani? Tidak siapa yang berani untuk melawan Dolah Badawi. Gunakanlah sebanyak mana yang mahu menubuhkan panel peguam yang handal-handal, Dolah Badawi cukup dengan seorang hakim yang akan mempertahankan kemenangannya itu. Kes Anwar Ibrahim menjadi dalilnya.

 

Jadi bagaimana untuk melawan UMNO? Hanya ada dua pendekatan sahaja yang ada. Pertama, kita tidak perlu lagi patuh kepada undang-undang kerana mereka sendiri telah terang-terang mencabuli undang-undang yang mereka cipta sendiri seperti yang kita saksikan dalam pilihan raya yang lalu. Tiada ada Negara di dunia yang diperintah oleh diktator yang boleh ditumbangkan melalui pilihan raya dan menerusi mahkamah, kerana kedua-dua institusi ini dipengaruhi oleh pemerintah sehinggakan mereka tidak berani menyuarakan kebenaran.

 

Kita perlu turun ke jalan raya menunjuk perasaan ketidakpuasan hati kita kepada kerajaan ini. Kita tidak perlu berlembut lagi. Sudah lama kita berlembut dan bertolak ansur, sampai masanya kita perlu bertindak secara keras dan menentang undang-undang yang zalim lagi menindas. Persoalannya, siapa yang akan menjadi pemimpin untuk memimpin rakyat menunjuk perasaan menentang kerajaan. Adakah Haji Hadi, Nik Aziz, Mat Sabu, Mahfuz Omar, Salahuddin Ayob, Wan Azizah, Dr. Syed Hussain, Azmin Ali, Ezam Mohd.Noor, Tian Chua atau siapa? Sanggupkah pemimpin-pemimpin kita kena tangkap dan disumbat dalam penjara. Adakah rakyat kita bersedia ke arah itu dalam keadaan kita dalam kekenyangan. Tindakan ini penuh dengan risiko yang tidak boleh diduga. Macam-macam boleh terjadi. Silap-silap langkah nyawa melayang dari badan. Inilah yang dikatakan pengorbanan. Berapa banyak pejuang-pejuang kemerdekaan yang terkorban. Nama-nama seperti Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong, Datuk Sagur, Mat Salleh [di Sabah], Datuk Bahaman dan ramai lagi yang sanggup berjuang mengorbankan jiwa dan raga untuk faedah generasi sekarang ini. Tanpa pengorbanan mereka, mustahil kita kecapi apa yang kita nikmati sekarang ini. Sekarang kita masih lagi dijajah oleh bangsa kita sendiri yang lebih sukar dan rumit untuk menebus kemerdekaan ini berbanding dari penjajahan Inggeris dahulu kala dan sekarang kita mesti menuntut kemerdekaan kedua. Bersediakah kita semua ke arah itu?

 

Kalau pendekatan pertama tadi tidak berjaya kerana kesedaran rakyat kita belum lagi mampu bertindak ke arah itu, maka jalan yang paling selamat dan berkesan, marilah kita bersama-sama memboikot pada pilihan raya ke 12 yang akan diadakan pada tahun 2009. Inilah kaedah yang terbaik untuk kita gunakan. Sebenarnya kita mampu berdepan dengan UMNO secara anak jantan, bukan dengan kaedah yang diguna pakai oleh UMNO sekarang ini. Kaedah ini kita akan kecundang kerana kita berlawan secara perempuan, tangan diikat di belakang, kita tidak mampu mempertahankan diri apabila muka kita ditumbuk bertubi-tubi oleh UMNO dan akhirnya kita jatuh tersungkur menyembah bumi.

 

Sebagai kesimpulannya, saya merayu pengurusan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti ini mengadakan mesyuarat bersama membincangkan agenda khusus memboikot pilihan raya ke 12 nanti, sekiranya tidak ada apa-apa perubahan terhadap sistem pilihan raya yang kita amalkan sekarang. Kita sama-sama sudah dapat menjangka siapa pemenangnya kerana kita bermain di padang yang tidak sama rata. Pengadilnya berat sebelah, penjaga garisan pun turut menyebelahi lawan kita dan ada penonton secara senyap-senyap tolong menyumbat gol untuk lawan kita.

Sekian, terima kasih. Wassalam.

 

 Meli - 09.04.2004
 

ADAKAH KETUA PEMUDA PAS BELUM INSAF ATAU MASIH BERMIMPI?


Assamu'alaikum wm.wbt
Saudara-saudara pembaca budiman,

 

Sudah lama saya tidak menulis dalam Laman ini kerana kekangan waktu dan sedang menyiapkan sebuah buku lagi bersama saudara Azizi Hj. Abdullah, Sasterawan Negara berkaitan analisis pilihan raya ke-11 yang lalu yang penuh tipu muslihat UMNO/BN atau lebih tepat lagi kita sebut sebagai NAZI FRONT. Walaupun begitu saya tetap mengikuti perkembangan isu-isu semasa yang dibincangkan di Laman ini, hanya bercuti sekejap untuk menulis.

 

Hati saya terdetik untuk memberi respons terhadap satu kenyataan yang disiarkan oleh Harakahdaily.net pada 23.4.2004 yang menyebut bahawa Ketua Pemuda PAS Pusat, saudara Salahuddin Ayub salah seorang yang bernasib baik berjaya menjadi MP Kubang Kerian mengarahkan semua pemuda PAS di seluruh Negara bekerja keras merangka strategi untuk menembus kekalahan pada pilihan raya ke-12 nanti. Beliau berucap ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan DPP Kawasan Pengkalan Chepa, di PUTIK, di Kelantan.

 

Terpacul beberapa pertanyaan yang keluar dari minda saya ketika membaca kenyataan tersebut ialah :

 

i.   Adakah saudara Salahuddin ini sedar bahawa di dalam Negara kita sekarang ini amalan demokrasi telah mati?


ii.   Adakah saudara Salahuddin ini sedar bahawa sanya kita kini berada di bawah satu pemerintahan autokratik ala NAZI di zaman Adolf Hitler?


iii.   Adakah saudara Salahuddin ini tidak sedar yang mana semua institusi di dalam Negara ini di bawah tapak kaki Dollah Badawi?


iv.   Adalah saudara Salahuddin tidak sedar dan mentang-mentang beliau bergelar YB, dia sanggup lupakan apa yang NAZI FRONT buat sehingga NAZI FRON menang besar dalam pilihan raya lepas [landslide victory]?


v.   Adakah saudara Salahuddin hendak mengajak seluruh rakyat Malaysia sekali lagi kena tipu hidup-hidup oleh NAZI FRONT pada pilihan raya ke 12 nanti?


vi.   Adakah saudara Salahuddin sedar bahawa dengan penyertaan kita pada pilihan raya ke-12 nanti akan memberi legitimasi pada NAZI FRONT untuk memerintah 5 tahun lagi?

 

Enam pertanyaan yang saya kemukakan ini adalah untuk mendapat feedback dari pihak Salahuddin melalui ruangan ini atau mana-mana saluran yang difikirkan sesuai untuk pengetahuan rakyat jelata keseluruhannya, apa pendirian PAS terhadap pilihan raya?

 

Semua kita sedia maklum bahawa NAZI FRONT tidak boleh ditumbangkan melalui pilihan raya. Rangkalah sebijak mana pun strategi, namun NAZI FRONT tidak akan tergugat, malah akan bertambah kuat dan teguh. Ia disokong dan didokong oleh pelbagai institusi yang wujud dalam Negara ini.

 

Begitu juga apabila kita hendak jatuhkan NAZI FRONT melalui saluran undang-undang. Kita tetap juga akan menemui kegagalan. Sama dengan nasib yang menimpa saudara kita saudara Anwar Ibrahim yang sedang meringkuk dalam penjara Sungai Buluh.

 

Samalah juga tindakan yang diambil oleh pihak Badan Bertindak Penyelewengan Pilihan raya ke-11 yang akan mengalami kekecewaan. Bukan kita minta. Itulah realitinya. Di Malaysia ini tidak ada satu institusi pun yang boleh membantu kita, walaupun kita berada di pihak yang benar. Semuanya telah menjadi barua kepada NAZI FRONT. Kita tidak boleh mengharapkan apa-apa dari institusi-institusi yang wujud itu.

 

Jadi, apa yang boleh kita buat:

 

i.   Kita gerakkan seluruh tenaga yang ada untuk memberi tumpuan utama bagi mereformasi keseluruhan sistem pengurusan pilihan raya yang kita guna pakai sekarang ini. Sistem ini sudah lapuk dan tidak berguna lagi untuk kita junjung dan sanjung. Humbankan dia ke dalam longkang yang berbau taik. Itulah tempat yang paling sesuai bagi SPR yang ada ini.

 

ii.   Sekiranya kita gagal untuk mereformasikan sistem pilihan raya ini, maka sama-sama kita boikot pada pilihan raya ke 12 nanti. Ini memberi lebih bermakna dari kita masuk bertanding yang memberi kemenangan bermaruah kepada NAZI FRONT. PAS mempunyai keahlian yang saya jangka melebihi 1 juta orang, ahli-ahli PAS bertaburan di seluruh Negara. Dari Bandar ke desa-desa terpencil. PAS merupakan parti orang Melayu Islam kedua terbesar selepas UMNO yang mempunyai senarai keahliannya yang cacamarba, ada yang Islam dan ada yang bukan Islam.

 

Sekiranya kita bergabung dengan parti Keadilan untuk sama-sama memboikot pada pilihan raya tersebut, maka suasana pilihan raya itu akan menjadi muram dan tidak berguna. Kita yang memberi saham meriahkan setiap kali pilihan raya diadakan. Pilihan raya yang tidak berguna untuk keadilan dan kebenaran.

 

iii. Kita sebagai orang Islam perlu banyak berdoa kepada Allah SWT supaya memberi kita kekuatan dan mencabut kekuasaan dari NAZI FRONT yang memerintah secara zalim dan kejam terhadap musuh-musuh politiknya dengan pelbagai cara dan tindakan.

 

Pada kita, UMNO tetap pada suatu hari nanti akan menghadapi masa menapous dan akan menghadapi zaman kehancuran. Sejarah tamadun manusia senantiasa berubah-ubah, bagaikan sebuah roda yang sebentar berada di atas dan sebentar lagi berada di bawah. Lagi pun, mana ada parti yang ada dan pernah wujud di muka bumi Allah ini akan bergemerlapan sepanjang masa dan waktu. Malam berganti siang dan siang berganti malam. Silih berganti. Itu ketentuan Illahi. Sampai masanya ia akan jatuh dan tersungkur menyembah bumi. Ini bergantung kepada sejauh mana kezaliman, pecah amanah dan menyalahgunakan kuasa yang diberikan itu digunakan.

 

UMNO akan runtuh melalui :

 

i.   Kelemahan dalaman. Perebutan jawatan, mengejar projek, meminggirkan rakyat, rasuah, politik wang, hasad dengki, berkomplot dan menunjukkan kemewahan yang berlebih-lebihan akan membawa kelemahan kepada parti itu.

 

ii.   Hukum alam. Tidak satu pun yang akan kekal di muka bumi ini, melainkan Allah SWT.

 

Akhir kata, saya amat mengharapkan feedback dari pihak saudara Salahuddin Ayub berkaitan dengan kenyataan beliau itu. Adakah PAS masih berpegang kepada prinsip pilihan raya yang tidak adil untuk memartabatkan Islam di muka bumi Malaysia ini, atau adakah PAS akan masuk ke gelanggang sekali lagi untuk disembelih hidup-hidup oleh NAZI FRONT?

Sekian, terima kasih. Wassalam.

 

 Meli - 26.04.2004