Analisa Pelantikan Najib Tun Razak Sebagai TPM Ke-9
OMAR ALKHATAB 
rabinra73@hotmail.com 
18-01-2004 

Assamu'alaikum wm.wbt

Saudara-saudara pembaca budiman.

Pada 7 Januari 2004 yang lepas, tamatlah sudah desas-desus yang menjadi teka teki mengenai siapa yang akan dipilih oleh Pak Lah menjadi Timbalannya sudahpun terjawab.Najib Tun Razak telah pun mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang ke-9. Berjayakah Najib menduduki kerusi no.1 yang paling berprestij itu, masa dan nasib akan menentukannya.Bergantung penuh di atas kebijaksanaan Najib berpolitik.

Pada pandangan saya pelantikan Najib sebagai TPM bukanlah terbit daripada hati nurani Pak Lah yang lembut dan kelihatan bersih.Kelihatan lebih waraq lebih sesuai bergandingan dengan Mahyuddin Yassin. Mahyuddin mempunyai perwatakan low profile,bersih, tidak meninggi diri dan tidak bercita-cita seperti Najib yang mempunyai networking yang luas di seluruh Negara untuk memenuhi impiannya menjadi PM ke 6.

Mahyuddin tidak terlibat dengan sebarang skandal, tidak seperti Najib yang perkahwinan pertamanya dengan kerabat DiRaja Kelantan berakhir dengan perceraian. Beliau juga terlibat dengan skandal dengan isteri orang, iaitu isterinya sekarang yang bernama Rosmah yang begitu sosial. Najib juga didakwa terlibat tangkap khalwat dengan seorang penyanyi wanita yang bernama Zaina Zain di Port Dickson.Disebabkan campurtangan politik kes ini lenyap begitu sahaja.

Berbanding dengan Mahyuddin, isteri dan keluarganya waraq, tutup aurat dan kelihatan sedap mata memandang, tetapi apa boleh buat, bukan budaya UMNO memilih pemimpin yang bermoral dan berakhlak tinggi.

Lihatlah dalam kepimpinan UMNO sekarang ini berapa kerat yang ada akhlak dan moral. Siang bercakap Islam, malam hari boleh berdangdut dengan alasan untuk mengutip derma. Boleh membawa lari duit tunai berjuta ringgit ke luar negara dan boleh memperdayakan Sultan dan membohongi rakyat dengan membawa lari anak raja itu kahwin di Selatan Thailand. Terpalit dengan dakwaan rasuah masih lagi bergayut di kerusi Menteri dan Menteri Besar tanpa malu kepada rakyat ataupun diri sendiri.

Berguni dakwaan dan laporan dibuat kepada polis dan BPR mengenai salahlaku, rasuah dan menyalahgunaan kuasa. Masih lagi boleh bercakap mengenai moral dan akhlak. Pemerintahan yang baik, ikhlas dan amanah. Masih boleh lagi tersenyum duduk di kerusi Menteri dan Menteri Besar, sedangkan rakyat tahu mereka terlibat dalam rasuah dan menyalahgunaan kuasa yang rakyat berikan.

Mereka boleh menunjukkan jari ke arah orang lain melakukan dosa dan noda seperti ayam berkokok riuh sekampung, tetapi tahi di punggung tidak dipedulikan. Boleh menuduh parti orang lain sesat, sedangkan parti mereka lebih dahsyat melakukan pelbagai penyelewengan, menggunakan pelbagai kemudahan kerajaan dan memperalatkan agensi-agensi tertentu untuk mengekalkan kuasa. Mengetepikan terus amalan demokrasi seperti yang dilaung-laungkan itu. Menjadikan harta Negara sebagai harta peribadi, menjadikan wang Negara dan rakyat sebagai wang peribadi. Semua orang salah, kecuali UMNO.

Berbalik kepada pelantikan Najib sebagai TPM, mengikut laporan yang disiarkan oleh media massa. Sebelum pelantikan itu dibuat, pada malam jamuan makan malam perpisahan Mahathir, Mahathir bertemu Pak Lah dan Najib DI sebuah bilik bacaan di Putra Jaya yang belum lagi dikosongkan, walaupun dua bulan tidak menjadi PM lagi.

Pak lah masih mendiami di kediaman rasmi TPM. Selepas perjumpaan itu, ketika beliau berucap beliau telah memberi tahniah kepada Najib atas perlantikan beliau sebagai TPM ke 9. Diberitakan juga bahawa majlis makan malam sempena persaraannya itu dibatalkan oleh PAK LAH, tetapi beliau tetap hendak diterusan dengan memanggi sendiri menteri-menteri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Bukan senang bagi Mahathir meninggalkan kuasa selama 22 tahun dipegangnya [ sekarang telah menjadi 23 tahun kerana bertindak sebagai proksi Pak Lah ]. Silap perahu boleh diundur, silap cakap buruk padahnya. Begitulah nasib Mahathir yang terlepas cakap hendak bersara pada Jun 2002 di Perhimpunan Agung UMNO di PWTC yang lalu.

Pada keesukan harinya selepas mesyuarat karbinet, Pak Lah memanggil satu  persidangan akhbar dan mengumumkan perlantikan Najib sebagai TPM dan melakukan sedikit rombakan kabinet dengan membawa masuk Nor Mohamad Yaakob sebagai Menteri Kewangan ke dua [ kroni Mahathir ] yang tersilap memberi nasihat kepada BNM sehingga BNM mengalami kerugian kerana bermain pasaran mata wang di London hampir RM30 billion pada tahun 1993-1994. Apa peranan Mahathir menjadi tanda tanya rakyat. Sepatutnya Paklah terus menemui Yang DiPertuan Agong, bukan Mahathir untuk mempersembahkan cadangan melantik Najib sebagai TPM minta perkenan Baginda.

Mahathir, sebagai mana yang kita semua diberitahu, beliau bukan lagi Presiden UMNO, bukan lagi PM, bukan pula Penasihat Kerajaan, yang kita tahu dia Penasihat Petronas bagaimana hendak menghabiskan duit Petronas, Penasihat LADA dan Pengerusi Yayasan Negara yang berpejabat di Putrajaya.

Kita jangan lupa, ketika beliau melantik Pak Lah sebagai TPM. Beliau pernah berkata bahawa dia tidak melantik Najib sebagai TPM kerana Najib masih muda dan perlu banyak lagi belajar. Dan ketika beliau hendak bersara kerana tersalah cakap tanpa niat di Perhimpunan Agung UMNO pada bulan Jun 2002 dahulu, beliau telah mencadangkan Najib sebagai Timbalan Pak Lah. Bila wartawan bertanya Pak Lah, siapa pilihan Pak Lah, Pak Lah kata dia akan umumkan selepas pilihan raya kecil di Pendang dan di Anak Bukit, Kedah yang diadakan pada bulan Julai 2002. Selepas pilihan raya tersebut siapa TPM kepada Pak Lah menjadi teka-teki sehinggalah tiba hari tersebut Najib ditabalkan sebagai TPM baru.

Kalau macam itu gayanya, Paklah bukanlah PM sebenar. Ia hanya bayang-bayang Mahathir. Selagi Mahathir ada di Putrajaya, Pak Lah hanyalah budak suruhannya sahaja. PM boneka. Segala dasar yang Pak Lah hendak laksanakan mesti mendapat restu Mahathir terlebih dahulu. Paklah tidak berani bertindak sebelum mendapat lampu hijau daripada Mahathir dan secara tidak langsung Mahathir adalah Penasihat kepada Kerajaan pimpinan Paklah. Mahathir sendiri pernah berkata dalam interview dengan akhbar The Star pada bulan Jun tahun lalu beliau menyatakan ketika beliau bersara beliau tidak mahu sebagai penumpang sahaja dan dia mahu ada peranan yang dia patut lakukan. Tidak ubah seperti apa yang berlaku di Singapura. Goh Chok Tong sebagai PM, Lee Kuan Yew Menteri Kanan yang menentukan segala dasar yang boleh dan tidak boleh dilaksanakan. Goh Chok Tong sebagai pelaksana dasar sahaja.

Kalau jangkaan ini benar, maka tidak ada apa yang kita boleh harapkan kepada Paklah untuk melakukan perubahan seperti mana yang diucapkannya pada 3.11.2003 di Parlimen. Masalah rasuah di kalangan ikan jerung tidak terusik, yang kena hanya pegawai-pegawai kerajaan, amalan demokrasi tidak akan berubah, berkemungkinan akan menjadi bertambah buruk lagi sekiranya UMNO mendapati yang ia akan kehilangan kuasa pada pilihan raya nanti, Undang-undang akan diperketatkan lagi, agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam menegakkan keadilan akan terus dipergunakan, penggunaan hak awam akan terus berlaku seperti hak UMNO, UMNO terus melakukan kesilapan tafsiran yang tidak dapat memisahkan di antara parti dengan kerajaan. Parti akan berubah, tetapi kerajaan dan rakyat tidak akan berubah. Pemerintahan bercirikan diktator akan berterusan.

Sekian, sedikit ulasan dari saya berhubung pelantikan Najib sebagai TPM. Adakah teori RAHMAN akan terpakai, sekiranya teori ini betul, maka selepas Najib, UMNO akan berkubur disebabkan pelbagai masalah dalaman dan luaran yang dihadapinya seperti mana-mana kewujudan parti-parti di seluruh di dunia.Gugur satu demi satu ditolak oleh rakyat kerana kesilapan demi kesilapan dibuat sebab memerintah terlalu lama seperti parti GOLKA di Indonesia, LDP di Jepun, di Filipina dan sebagainya.Tidak selama-lamanya akan memerintah kerana ia menjadi satu sunnahtullah. Tidak akan kekal melainkan ALLAH SWT. Sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangan UMNO selanjutnya. Terima kasih. Wassalam.

 Tulisan ini telah disiarkan dalam UMNO-Reform, Laman Marhaen dan Tranungkite.net dan disiar semula di Laman saya pada 19.1.2004.