Dikaitkan dengan Yahudi: Jangan melatah, teliti dulu

Saturday, January 03 @ 10:37:41 MYT


Oleh IM SIDDIQUE

TUAN GURU Nik Abdul Aziz sememangnya dikenali sebaga seorang yang mampu menyampaikan suatu perkara yang sukar dalam bahasa yang mudah.

Pemikirannya penuh logik dan diselitkan dengan contoh-contoh yang kadang kalanya boleh menimbulkan kemarahan (terutamanya pada orang UMNO) tetapi sekiranya di amati oleh orang di atas pagar seperti saya ini ia mampu menyentakkan hati dan pemikiran.

Baru-baru ini kenyataan bahawa penduduk Melayu Malaysia seperti yahudi di mainkan berulang kali di media-media tempatan. Isu Allah samseng, Allah mencarut dan sebagainya juga dimainkan di media-media tempatan suatu masa dahulu sebelum dan selepas pilihanraya.

Alhamdullilah Perdana Menteri yang ada sekarang tidak seperti perdana menteri sebelumnya. Dia saya perhatikan setakat ini kurang menekankan isu remeh dan cetek ini tetapi sebaliknya lebih menumpukan kepada isu yang lebih besar dan serius yang ditinggalkan (atau lebih tepat disuburkan) oleh perdana menteri sebelumnya seperti rasuah, penyelewengan, red tapes, pegawai kerajaan yang pemalas, pemarah, suka curi tulang dan sebagainya.

Kembali kepada kenyataan Melayu Yahudi(yang kemudiannya lebih dikhususkan kepada Umno). Benarkah kenyataan Dato’ Nik Aziz tersebut? Apakah terlalu hina Melayu sehingga boleh disama tarafkan dengan kafir yahudi? Apakah Dato’ Nik Aziz memaksudkan Melayu ini kafir seperti Yahudi kerana menolak hukum Islam atau Dato’ Nik Aziz memaksudkan kalau kita menolak Islam seperti Yahudi maka mana letakkanya perbezaan kita dan mereka?

Dalam Isu Melayu Yahudi ini sepatutnya penduduk Muslim Melayu yang memerintah dan yang memberikan mandat kepada yang diperintah tidak melatah. Ini kerana kenyataan Dato’ Nik Aziz ini adalah berjiskan satu hadis rasullulah s.a.w: “Barangsiapa yang menyerupai satu kaum, maka dia tergolong dalam kaum tersebut” (HR Abu Daud).

Perkara yang sama juga ditekan oleh rasullulah s.a.w dalam banyak hadis yang lain yang meminta kita berbeza dengan kaum yahudi dan kafir yang lain kerana Muslim mempunyai identitinya sendiri.

Rasullulah s.a.w. bersabda: “Berbezalah kamu dengan kaum yahudi…” dan sebagainya dalam hal yang kecil dan remeh seperti janggut dan misai. Sekiranya perkara yang kecil sebegini rasullulah s.a.w meminta kita berbeza dan dengan meniru mereka kita menjadi golongan mereka, maka apakah tidak layak Tuan Guru Nik Aziz menyatakan perkara yang lebih besar – meniru kaum kafir dengan menolak dan tidak mengamalkan hukum Islam?

Amerika menolak hukum Islam. Begitu juga dengan Israel dan penolong paling besar mereka Britian. Maka apakah yang membezakan negara kita dengan Yahudi dan Nasrani di negara-negara tersebut melainkan nama kita mungkin Abdullah, Ali, Ahmad dan sebagainya? Saya tidak nampak bezanya.

 

Bagi saya penduduk Muslim Melayu tidak perlu melatah mengampu (sebab ada yang melatah untuk mengampu) kerana gelaran ini layak untuk mereka yang menolak hukum Allah. Bagi saya sekiranya anda tidak mahukan atau alergik dengan hukum Islam yang dicanangkan oleh PAS, maka gesalah kerajaan yang memerintah sekarang melaksanakan hukum Islam. Atau paling kurang tubuhlah parti sendiri memperjuangkan Islam. Tidak perlu menjenguk kepada PAS.

 

Ada yang berhujah bahawa beza kita dengan Yahudi dan Nasrani ialah kita membina masjid. Membina sekolah Islam dan sebagainya. Maka saya katakan bahawa di Amerika dan Britian juga mereka membenarkan untuk membina masjid. Sekolah Islam pun ada yang ditaja oleh kerajaan British. Maka tidak nampak jauh bezanya kita dengan mereka melainkan pemimpin kita Abdullah Badawi dan pemimpin Britian Tony Blair dan Amerika George Bush. Selain dari itu apa bezanya?

 

Sekiranya kita tidak mahu disamakan dengan yahudi atau Nasrani, kenapa perlu berkelakuan seperti mereka. Kita marah orang tegur hidung kita ada taik hidung, tapi dah memang benar ada. Mengapa kita tak nak bersihkan, nak marah apa? Inilah yang Melayu mudah lupa…

 

Printer Friendly Page  Send this Story to a Friend