BENARKAH SISTEM YANG KITA AMALKAN SEKARANG ADALAH DEMOKRASI?
yang celik
15-10-003

Bila BN yang ditunjangi oleh UMNO mengatakan kita mengamalkan demokrasi, sebahagian besar daripada kita pun bersetuju menganggukkan kepala. Buktinya ialah pilihanraya selama 5 tahun sekali dan pembangkang dibenarkan wujud. Benarkah sistem yang kita amalkan sekarang adalah demokrasi?. Didalam keadaan kita mendakwa bahawa kita mengamalkan demokrasi timbul pula daripada mulut-mulut UMNO sendiri pelbagai istilah lain yang seolah-olah menggambarkan malah mengesahkan bahawa demokrasi yang kita amalkan ini tidak tulin bahkan ianya adalah palsu yang bersifat penipu pula. Demokrasi mengikut acuan kita sendiri, demokrasi yang menerapkan nilai-nilai adab-adab timur dan asia, demokrasi yang tidak mengikut acuan Barat dan pelbagai istilah demokrasi yang lain di ucapkan oleh pimpinan UMNO untuk membenarkan demokrasi yang kita amalkan sekarang. Sebenarnya demokrasi ini sendiri mempunyai berapa versi?. Dan versi keberapakah demokrasi yang kita amalkan sekarang?. Mungkin Prof. Datuk Dr. Ram lah Adam yang dikatakan pakar sejarah boleh menjawab. Bila menjawab pula, Janganlah secara sehala sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan UMNO, tetapi beranilah menjawab secara 2 hala. Beranilah berdebat sekiranya debat itu sendiri untuk mencari kebenaran.

Demokrasi yang tulin seharusnya membenarkan kebebasan bersuara. Pembangkang diberikan suara samada didalam akhbar, tv, radio dan sebagainya. Hak yang dimiliki oleh pembangkang adalah sama dengan hak yang dimiliki oleh pemerintah didalam usaha untuk menerangkan dasar masing-masing. Tiada sekatan samada wujudnya akta ISA, OSA (akta media cetak ), Akta Kediaman Terhad 1933 (REE), Akta Hasutan, Akta Polis , AUKU 1971, Akta Kesatuan Sekerja 1997, Akta Pertubuhan 1966, Akta Ketenteraman Awam 1958 dan jutaan akta yang membelenggu rakyat untuk mendapat kebebasan. Lebih dari itu pembangkang haruslah diberikan ruang dan peluang untuk menyatakan pendapat masing-masing melalui akhbar yang bebas diterbitkan, tanpa skala tertentu. Kita mengaku kita mengamalkan demokrasi tetapi ciri-ciri demokrasi itu sendiri hampir ditiadakan oleh pemerintah. Bolehkah disebut harimau kalaulah rupa fizikal malah rupanya menyerupai kambing?. Bolehkah disebut Ayam kalau suaranya seperti katak ?. Umno mengambi l Demokrasi, mengubah sesuka hati, menambah mengikut sesedap rasa dan membuang yang mana perlu-yang dirasakan berupaya untuk mengikis sokongan rakyat terhadapnya-lantas mendakwa sistem yang dikita agungkan sekarang sebagai demokrasi?. Air kosong apabila ditambah kopi dan gula pun tidak akan lagi dipanggil dengan nama asalnya memandangkan sifat-sifatnya yang telah berubah. Jadi bagaimanakah halnya dengan sistem demokrasi yang kita amalkan sekarang?. Masihkah layak dipanggil demokrasi?.

Demokrasi membenarkan perhimpunan rakyat atau dengan kata lain yang lebih moden iaitu demonstrasi dilakukan sebagai menggambarkan ketidakpuasan hati rakyat terhadap sesuatu dasar yang telah, sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan. Dengan demikian, diharap kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat akan membaiki dan mengubah apa yang difikirkan perlu. Itulah kuasa rakyat. Kuasa rakyat bukanlah hanya terhad hanya untuk memangkah undi semata-mata. Kuasa rakyat itu sendiri adalah untuk mengawal segala tindak-tanduk pimpinan kerajaan yang telah dipilih. Tetapi realitinya di Malaysia adalah berlainan. Pelbagai istilah diwujudkan untuk mengharamkan perhimpunan yang dibenarkan oleh perlembagaan. Istilah seperti perhimpunan haram, perhimpunan tanpa permit sentiasa menghantui rakyat. Kita mengaku mengamalkan demokrasi tetapi pada masa yang menafikan akta yang wujud didalam perlembagaan. Alasan perhimpunan yang dikatakan haram ialah akta polis yang tidak membenarkan sebarang perhimpun an dilakukan tanpa permit yang sah. Akta manakah sebenarnya yang lebih tinggi dan layak digunapakai?. Akta poliskah atau akta yang terkandung didalam perlembagaan?. Pun begitu kita masih mengaku perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara?.

Kalaulah dengan hanya mengamalkan pilihanraya 5 tahun sekali dan membenarkan pihak pembangkang berceramah sekali-sekala (itupun hanya dengan permit), membenarkan pembangkang menerbitkan akbar mengikut skala tertentu(contohnya harakah-2 kali sebulan) sudah boleh dikatakan sebagai demokrasi, bagaimanakah boleh wujudnya sesuatu perkara yang berbeza namun mempunyai nama yang sama iaitu demokrasi?. Tidak lain tidak bukan samada kedua-duanya adalah salah, salah satunya sahaja adalah benar dan mustahil kedua-duanya adalah benar dan betul. Sesuatu yang benar tidak akan menyusahkan rakyat. Sesuatu yang betul tidak akan mengundang kepada kemarahan dan penderitaan kepada rakyat. Jadi, mungkinkah sistem yang kita amalkan sekarang hanyalah dinamakan sahaja demokrasi tetapi sebenarnya ianya anti-demokrasi?.