ABU JAHAL MODEN MUNCUL KEMBALI

OLEH:

MELI

 
Hati dan perasaan saya tersentuh dan bercambur baur di antara perasaan marah, geram dan benci apabila membaca satu laporan yang berbunyi : "Siapa dalam perbicaraan hukum hudud?", yang disiarkan oleh Harakahdaily.net pada 9.11.2003 yang memetik sumber dari Laman umnoreform.com.
 
Kemungkinan perasaan yang saya alami ini juga turut dikongsi bersama oleh pembaca-pembaca  yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Mohamad SAW. Hanya orang-orang yang tidak beriman dan berfahaman secular sahaja yang menjadikan dunia dan akhirat tidak ada hubungan khususnya sebahagian orang-orang melayu Islam yang ada dalam kepimpinan UMNO. Bagi mereka politik hendaklah dipisahkan dari agama. Politik lain. Agama lain. Perkara ini pernah di suarakan oleh Zainudin Maidin, Timbalan Menteri Penerangan ketika mengulas Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberi penekanan agama dalam mentadbir negeri, beliau pernah mengatakan agama sebagai candu dalam usahanya menuduh Kerajaan Kelantan  mengabaikan pembangunan berbentuk fizikal untuk rakyatnya yang banyak merantau ke negeri lain untuk mencari rezeki.
 
Inilah kesannya dasar Mahathirisme yang ditanam dalam pemikiran sebahagian pemimpin orang-orang melayu Islam dalam UMNO lebih dari dua dekad yang lalu, mereka yang boleh memekakkan telinga dan membutakan hati dan fikiran yang di anugerahkan oleh Allah SWT. Mereka siang malam asyik mengejar dunia dan mengenepikan akhirat. Mereka menganggap bahawa Islam itu hanyalah amalan ritual semata-mata tidak ada kaitan dalam pembangunan negara.
 
Mereka boleh terima apabila Islam dihina dan diperlecehkan oleh bekas pemimpin utama Negara dan oleh penulis-penulis seperti Astora Jabat, Aris Noor, Sister In Islam dan sebagainya. Sedangkan dalam Islam, menjadi satu kewajiban bagi setiap orang muslim yang beriman kepada Allah SWT dan Nabi Mohamad SAW menentang sebarang kemungkaran yang berlaku mengikut kemampuan masing-masing. Melalui tindakan sekiranya ia mempunyai kuasa, dengan lidah berdakwah dan selemah-lemah iman ialah penentangan dalam hati yang tidak redha sebarang kemungkaran yang berlaku.
 
Setiap muslim juga tidak mengira pangkat dan keturunan wajib mengamalkan amal makrof dan nahi mungkar mengikut kemampuan masing-masing.Bukan sepertimana yang pernah disebutkan oleh seorang penyanyi wanita “evergreen” terkenal tanah air yang mengatakan bahawa: “ kita ada kubur masing-masing, jangan jaga tepi kain orang”. Tujuan beliau berkata demikian ialah untuk menghalalkan perbuatannya yang bertentangan dengan kehidupan muslim sejati yang terlibat dalam industri hiburan [ berbentuk hendonistik ] yang tidak mengenal pahala dan dosa.
 
Berbalik kepada laporan yang disiarkan oleh Harakahdaily.net itu, baik rasanya saya petikkan balik gambaran yang diberi oleh Ghazali Mat Dom dalam laman umnoreform itu seperti berikut:
 
Petisyen menolak undang-undang hudud oleh Datuk Zaid Ibrahim :
 
Hakim :

Datuk PS.Gill [ yang baru dinaikkan pangkat baru-baru ini yang penuh kontroversi]
 
Datuk Zaid Ibrahim di wakili oleh :

Malik Imttiaz Sarwar, Paul Subramaniam dan Eugene Jayarash.
 
Kerajaan Negeri Terangganu :

Haji Sulaiman Abdullah, Zamani Mohamad, Ahmad Lutfi Awang dan Faris Irwan Mustafa [ perlu disebut di sini bahawa Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah [ hudud dan qias ] telah diluluskan oleh DUN Terangganu pada 8 Julai 2002 dan telah diperkenan oleh Sultan Mizan pada 2 September 2002 dan telah diwartaka untuk dilaksanakan pada 27 Oktober 2003 bersamaan 1 Ramadhan 1424 iaitu pada tahun ini ].
 
Apa yang mengusarkan hati saya dan orang-orang yang beriman ialah merujuk kepada ayat terakhir yang berbunyi seperti berikut : " Apa agaknya mesej saya [ Ghazali Mat Dom ] dalam kenyataan di atas. Fikirkan siapa penentu hukum hudud ".
 
Pada pandangan saya berdasarkan kes-kes yang lepas seperti berikut [ sekadar menjadi rujukan ilmiah ] ] :
 
1. Apabila timbul masalah di antara Tun Salleh Abas [ kes rayuan kumpulan 11 yang tidak puas hati ke atas pemilihan UMNO pada 24.4.1987 ] dengan bekas PM ke 4, maka untuk membuang atau memecat [ kerana Salleh menarik balik surat untuk bersara awal ] ditubuhkan satu tribunal mengikut Perlembagaan Bahagian IX perkara 123 [3], perkara 125[4] dan perkara 125 [3] dengan mengemukakan 5 tuduhan salahlaku Salleh semasa menjawat Jawatan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar yang mempunyai kepentingan dalam kes ini bertindak sebagai Pengerusi Tribunal [ beliau juga adalah pemangku Ketua Hakim Negara] dan dianggotai oleh 6 orang Hakim-hakim yang mana kedudukan mereka lebih rendah dari Salleh. Salleh dibantu oleh peguambela Raja Aziz Addruse dan rakan-rakan dan sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa Salleh dipecat dari jawatannya pada 6.8.1988. Pembentukan Tribunal hanyalah sebagai formality sahaja mengikut perlembagan yang mana keputusannya telah diskripkan terlebih dahulu.
 
2. Satu kes lain ialah apabila Tan Sri Loy Heon Hong [ Presiden dan Executif BMF telah meninggal di London kerana mengidap penyakit kancer ] menyaman bekas MP Bukit Bintang dari DAP Wee Choo Keong kerana tuduhan menfitnah beliau. Loy mempunyai hubungan rapat dengan Hamid, pernah satu hari dalam kes sedang dalam perbicaraan, Loy datang bertemu dengan Hamid di pejabat Hamid di Mahkamah Tinggi dan kes ini berakhir dengan kemenangan bagi pihak Loy.
 
3. Dalam kes Vincen Tan  v  MGG Pillai, satu percutian keluarga telah diadakan di antara pada 10 hingga 12 Disember 1994 di Itali. Percutian ini lebih dikenali sebagai percutian memilih hakim, di mana yang berangkat bercuti ialah Eusoff Chin [ Ketua Hakim Negera ketika itu], Mohktar Abdullah [ Peguam Negara ], V.K.Lingam [ penguambela Vincen Tan ] dan Vincen Tan sendiri. Di akhir perbicaraan Hakim Mokhtar Siding mengarahkan MGG Pillai membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kepada Vincen Tan. Terdahulu kes ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi oleh Hakim R.K. Nathan.
 
4.Perbicaraan kes Anwar Ibrahim lebih mengejutkan lagi apabila Hakim Augustine Paul entah dari mana datang  dan tidak dikenali umum terus diangkat menjadi hakim dalam perbicaraan Anwar dengan menepikan Hakim-hakim lebih berpengalaman dan terkenal dengan kesaksamaan dalam penghakiman dan menafsiran undang-undang.Begitu juga apabila Hakim Ariffin Jaka [ yang ada kepentingan perniagaan dengan anak bekas PM ke 4 ] diangkat menjadi hakim dalam isu liwat dan semua kita sudah tahu apa terjadi kepada Anwar sekarang terkurung dalam penjara Sungai Buluh menanti tamat tempoh hukumannya. Janganlah kita mengharapkan beliau dibebaskan selagi regim ini masih lagi berkuasa. Dalilnya cukup mudah, rayuannya untuk mendapatkan "bail" telah diperlambat-lambatkan, sedangan permohonan jaminan itu cukup mudah dan ringkas dan kini beliau terpaksa menanti pula tarikh baru pada 8.12.2003 untuk mendengar semula kes rayuan jaminan ini.
 
Berdasarkan kes-kes yang saya bentangkan di atas, maka lebih mudah kita membuat ramalan bahawa kes petisyen Zaid ini [ kerana semua yang terlibat menentang hukum syariah Terangganu ini terdiri dari orang bukan Islam, kecuali orang bernama Malik Imtiaz Sarwar ] hanyalah sebagai satu formaliti sahaja untuk tidak membenarkan Terangganu melaksanakan Undang-undang Jenayah Syariah kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan perkara 4 [1] yang juga bertentangan dengan Undang-undang Persekutuan. Zaid telah memenanginya dalam pusingan pertama apabila Hakim PS Gill mengikut Perlembagaan perkara 4 [4] membenarkan Zaid membuat petisyen.
 
 
 
Hujah saya ini berdasarkan kepada keputusan-keputusan mahkamah yang diperbuat selepas tahun 1988 [selepas Tun Salleh Abas dipecat], majoritinya berpihak kepada kerajaan [sekiranya kerajaan mempunyai kepentingan tertentu khususnya yang melibatkan kepentingan UMNO atau pun kes-kes yang turut melibatkan tokoh-tokoh tertentu yang ada kaitan dengan pemimpin-pemimpin atasan UMNO juga]. Banyak contoh-contoh yang kita perolehi dalam Journal Undang-undang Malaysia.
 
Kes ini juga merupakan salah satu kes yang akan menguji ketepatan hipotisis yang saya kemukakan itu. Komposisi Hakim dan Pendakwaraya bukan Islam adalah strategi yang memang dirangka untuk menghalang pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas di Terengganu dengan alasan hukum ini bertentangan dengan Perlembagaan perkara 4[1]. Sekiranya ia berjaya, maka hukum Allah SWT tidak berupaya ditegakkan di bumi Malaysia ini. Hujah-hujah mereka nanti akan berputar-putar dan berfokus terhadap Perlembagaan negara, bukan berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah.
 
Dalam tulisan  ini saya akan  menerangkan kenapa UMNO bersungguh-sungguh menentang Hukum Allah SWT yang menjadikan sekalian alam berserta dengan makhluknya sekali, berani mencabar peraturan dan hukum Allah tanpa rasa sedikit pun merasa takut dan gementar untuk menghadapi Allah SWT di hari akhirat kelak.
 
Undang-undang Hudud yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan merangkumi enam kesalahan iaitu pengambilan arak, tuduhan fitnah, murtad, merompak dan zina. Hukuman bagi kesalahan itu termasuklah potong tangan, sebatan dan direjam dengan batu.
 
Merujuk Undang-undang sivil di bawah senarai 1 Jadual 9, Parlimen tidak memberi pengikhtirafan sebagai satu kesalahan bagi mereka yang minum arak, jika mereka minum di kedai yang berlesen, begitu juga kes zina yang tidak ada dalam kamus Parlimen.
 
Berjudi di tempat-tempat yang disediakan dan berlesen tidak menjadi satu kesalahan, mencuri dan merompak bersabit dengan kesalahan akan dihukum mengikut Undang-undang sivil.
 
Berzina tidak menjadi kesalahan kalau kedua-duanya suka sama suka [sila rujuk kes ini yang berlaku di antara seorang tokoh korporat terkenal dengan seorang pembaca berita sambilan di RTM pada tahun 1998 tidak ada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa agama, walaupun berita hubungan sensasi mereka mendapat liputan yang meluas di akhbar-akhbar tempatan, yang diambil tindakan ialah merobohkan surau-surau dan masjid-masjid yang menjadi “ base “ kepada PAS], yang menjadi kesalahan apabila terdapat unsur-unsur paksaan yang boleh dikategorikan sebagai rogol akan dikenakan hukuman dengan hukuman 356 [3 tahun penjara, denda RM5,000.00 dan kali 6 sebatan].
 
Islam ialah agama suci yang diturunkan Allah SWT kepada seluruh manusia di bumi ini tanpa mengira kaum, bangsa dan negara. Islam ialah Ad-Din cara hidup yang ditentukan oleh Allah SWT, tidak ada cara lain bagi umat manusia untuk tidak ikuti jalan yang ditunjukkan oleh Allah. Selain dari jalannya, umat manusia akan menghadapi kemusnahan seperti mana yang kita hadapi sekarang.
 
Islam disampaikan secara terus kepada Nabi Muhammad SAW dengan perantaraan malaikat Jibrail a.s selama 23 tahun dan disampaikan secara berperingkat-peringkat mengikut masalah semasa yang timbul ketika itu [yang juga merupakan masalah yang sama seperti kita hadapi sekarang walaupun zaman berubah, tetapi perlakuan manusia tidak berubah sehinggalah sampai ke hari kiamat kerana manusia dicipta oleh Allah dengan empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin]. Pengajaran buat semua manusia kerana manusia itu sendiri dicipta oleh Allah SWT yang maha mengetahui akan kekuatan dan kelemahan manusia.
 
Hukum Allah SWT ini lebih mendidik dari menghukum. Oleh itu ada hadis menyatakan lebih baik seorang hakim itu membebaskan [sekiranya ada kekeliruan keterangan] orang yang membuat kesalahan dari menghukum orang yang tidak membuat kesalahan [kerana difitnah atau sebagainya] adalah lebih baik hakim itu di sisi Allah SWT. Daripada tiga hakim, dua daripadanya akan dimasukkan ke neraka.
 
Dalam kes Anwar contohnya, mengikut hukum Allah, beliau sepatutnya dibebaskan kerana tuduhan terhadap beliau terlalu kabur dan mengalami 3 kali pindaan dan tiada tuduhan spesifik dan saksi utamanya pula Azizan Abu Bakar adalah saksi fasik dan melakukan dosa besar kerana berzina dan dihukum 3 bulan penjara oleh Mahkamah Syariah di Melaka. Tuduhan liwat ini mahukan sekurang-kurangnya 4 saksi yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Sedangkan dalam kes Anwar ini Azizan sebagai saksi tunggal dan tidak ada pengesahan dari pakar yang memperakui yang beliau telah diliwat.
 
Dalam satu kisah di zaman pemerintahan Khalifah Saidina Omar Al-Khatab semasa beliau sedang berjalan menuju masjid untuk menunaikan solat subuh berjemaah, beliau ternampak seorang lelaki dan seorang wanita sedang melakukan zina di hadapan matanya sendiri. Selepas sembahyang, beliau terus menceritakan perkara ini kepada Saidina Ali, lantas Ali bangun bertanya: " Hai Omar, adakah engkau boleh mengemukakan 4 saksi yang beriman lagi soleh yang sama-sama melihat kejadian itu ". Jawab Omar, "Aku tidak melihat apa-apa pun".
 
Ini menunjukkan dengan jelas bahawa bukan senang untuk menuduh orang berzina atau liwat, di zaman Omar pun sukar untuk mendapatkan 4 saksi bagi membuktikan dakwaan beliau itu, apa lagi di zaman ini yang begitu canggih dengan teknologi boleh mengelak itu semua.
 
Jadi kemungkinan hukum Hudud yang diwartakan ini tidak boleh dilaksanakan kerana tiada saksi seperti yang dikehendaki, kecuali orang yang terlibat mengakui dan hendakkan hukum itu dilaksanakan ke atasnya. Ini bukan bererti orang berzina boleh bebas, tetapi ia tetap dikenakan hukuman melalui kaedah Undang-undang lain yang sediaada. Ini Zaid Ibrahim kena faham betul-betul, jangan jadi kes suami liwat isteri pula.  
 
Hudud ciptaan Allah SWT ini sebagai pagar melindungi tanaman yang boleh dirosakkan oleh musuh-musuh tanaman seperti lembu-kerbau atau babi hutan atau sebagainya. Kita sayang terhadap pokok-pokok yang kita tanam hidup subur dan berbuah lebat. Kalau kita tidak buat pagar, tentulah tanaman-tanaman tersebut akan rosak. Oleh itu, bagi menjaga tanaman kita ini, kita akan buat pagar untuk melindungi tanaman itu dari dirosakkan.

Begitu juga, apabila polis menjalankan tugas menjaga keamanan, mereka selalu membawa pistol dan terselit di pinggang masing-masing. Adakah mereka akan menembek sesiapa sahaja yang mereka jumpai. Jawapannya tentulah tidak. Jadi, pistol yang terselit dipinggangnya itu hanyalah bersifat “ kewaspadaan “ akan perkara-perkara yang berkemungkinan berlaku semasa mereka menjalankan tugas demi menjaga keamanan orang ramai dari angkara orang jahat.

Satu perkara lagi, lembu tidak boleh jaga sesama lembu, lembu boleh dijaga oleh tuannya iaitu manusia. Manusia akan membuat peraturan-peraturan menguruskan lembu-lembu tersebut.
 
Begitu juga manusia tidak boleh buat Undang-undang untuk diguna-pakai sesama manusia. Keadilan tidak akan wujud. Kita lihat di Malaysia ini beratus-ratus laporan polis telah dibuat oleh pembangkang [PAS dan Keadilan] memohon membuat penyiasatan terhadap salah-laku, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa terhadap pemimpin-pemimpin UMNO, satu pun tiada disiasat.
 
Kesalahan yang benar-benar dilakukan oleh Ibrahim Ali menipu Majlis Bandar Kota Baru dengan memberi cek tendang dan Pengarah Bomba Negeri Kelantan ditumbuk dibuat semacam anjing kurap [sedangkan dia seorang pegawai kerajaan] tidak pun dengar tindakan diambil terhadap orang yang terlibat.
 
Kes-kes rasuah dilaporkan kepada BPR dan polis seperti kes salahlaku, jenayah, menyeleweng dan menyalahguna kuas bekas PM ke 4 selama 22 tahun beliau merintah, kes Rafidah Aziz, Rahim TC, Dr.Khir Toyo, Khalil Yaakob terlibat isu pembalakan di Pahang, Perwaja, Bakun dan sebagainya senyap menyepi. Tetapi kalau laporan itu dibuat oleh UMNO terhadap pembangkang terutama PAS, cepat-cepat pihak polis melompat dan berlari menyiasat seperti kes BA menyediakan budget tahun 2002, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia dan merangkap Menteri Besar Terangganu menyatakan persediaan budget itu dibuat dengan mendapat  maklumat dari pegawai-pegawai atasan, terus siasat Haji Hadi dan lain-lain sahabat yang terlibat merangka budget itu.

Begitu juga apabila wakil BN ADUN Ajil Rosol Wahid membangkitkan dakwaan seorang gadis cina berkerja sebagai kerani proksi seorang taukeh cina bekas pemimpin DAP memperolehi tender pembalakkan dari Yayasan Terangganu bernilai RM1.5 Juta. Hari Rabu 3.12.2003 dibangkitkan di DUN, besok [hari Khamis, 4.12.2003] disiarkan di semua akhbar-akhbar nazi dan BPR terus membuat siasatan di Pejabat Yayasan Terangganu dan Pengarahnya menyerahkan fail-fail yang terlibat untuk siasatan mereka. Dan pada hari Isnin, 8.12.2003, wakil Pemuda UMNO Terangganu membuat laporan kepada BPR dan Pengarahnya akan membuat siasatan segera di bawah Akta Anti Rasuah 1997.

Cuba bayangkan, bila UMNO dengan bukti-buktinya sekali membuat laporan kepada BPR perlakuan rasuah Haji Hadi dan Nik Aziz seperti mana pihak pembangkang membuat laporan dengan disertai bukti-bukti dan keterangan yang jelas bagi memudahkan polis dan BPR menjalankan siasatan. Saya tidak boleh bayangkan dan saya kembalikan kepada pembaca-pembaca untuk bayangkan.
 
Begitu juga dengan Zulkifli Sulung disiasat segera apabila laporan dibuat oleh Ibrahim Ali yang mengatakan Malaysia berpura-pura [sandiwara] marahkan Amerika untuk meraih sokongan rakyat [ekoran perbahasan di Parlimen oleh Dr. Syed Azman Syed Zawawi MP Kuala Terengganu yang mendedahkan hubungan erat di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat].
 
Pemuda UMNO buat laporan polis terhadap ejekan imej pemuda oleh Malaysiakini.Com, pihak polis terus menyerbu dan merampas komputer-komputer milik Malaysiakini.com. Ini hanya sebahagian kecil [sebenarnya banyak berpuluh-puluh kes seumpama ini dari 20.9.1998 hingga 15.11.2003]

Sebagai contoh ketidak-adilan yang wujud apabila manusia menggubal Undang-undang untuk manusia. Manusia rujuk kepada UMNO bila ia menggubal dan meminda Undang-undang, kepentingannya akan diutamakan dan keadilan diketepikan. Contoh pindaan Undang-undang kesalahan pilihan raya 1957 dan persempadanan semula kawasan pilihan raya tujuan utamanya adalah untuk menambah-kuat UMNO dan melemahkan pembangkang dari segi pengundi mengikut kaum dan kawasan pilihan raya.
 
Kebaikannya lagi, hukum Hudud tidak menceritakan keburukan orang yang didakwa berbuat maksiat sebelum ia didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Dalam kes Anwar, belum apa-apa lagi, baru dalam proses mengumpul maklumat untuk pendakwaan, bekas PM ke-4 telah menjatuhkan hukuman mendahulukan mahkamah dan mahkamah hanya bertindak sebagai mengesahkannya sahaja. Membentuk formaliti Undang-undang "rule by law bukan rule of law". Proses mengaibkannya telah dilakukan secara berterusan oleh nazisme media di Malaysia.
 
Dalam satu kisah lain di zaman pemerintahan Omar Al-Khatab juga, semasa Omar sedang menjadi imam sembahyang Isyak, seorang lelaki menjadi makmun di belakangnya. Omar tahu bahawa lelaki ini pernah membuat maksiat dan beliau bercadang tidak mahu memberitahu kepada sesiapa mengenai maksiat lelaki ini. Lelaki juga perasan bahawa ia adalah makmun Omar dan beliau bercadang selepas memberi salam sahaja dia akan terus keluar meninggalkan Omar kerana kebiasaannya Omar berwirid memakan masa yang lama. Selepas bagi salam sahaja Omar terus mendapatkan lelaki itu, sehingga lelaki itu tidak sempat melarikan diri dari Omar. Omar berkata: "Aku tahu apa yang kau buat semalam, tetapi aku tidak akan menceritakan kepada orang lain untuk melindungi maruah awak". Orang lelaki itu juga berkata: “Wahai Omar itulah perbuatan maksiat aku terakhir, kini aku telah bertaubat dan kembali kepada Allah dan RasulNya".
 
Oleh itu, untuk mencapai keadilan sejati, maka Allah SWT telah memberi panduan melalui Al-Quran, Al-Hadis, Ijmak Ulamak dan Ijtihad. Semua manusia adalah sama di sisi Allah melainkan orang-orang yang bertakwa. Allah mengawal manusia melalui amalan Rukun Islam dan Rukun Iman, buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang.
 
Begitu indahnya hukum Allah SWT. Tidak menghukum dengan membuta tuli. UMNO menakut-nakutkan bukan-Islam dengan Negara Islam dan Hukum Islam. Bukan Islam tidak terlibat dalam perkara ini, hanya untuk orang-orang Islam. Orang-orang Islam tidak terlepas wajib kena buat juga seperti amalan sembahyang, puasa, zakat dan haji. Mereka bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Orang-orang Punjabi tidak akan dipaksa menanggalkan serban, mereka boleh terus memakainya dan orang-orang bukan  Islam boleh bebas mengamalkan kebudayaan masing-masing. Mereka tidak akan dipaksa menerima Islam. Mereka boleh memilih agama mana mereka hendak anuti. Memang dalam ajaran Islam, tidak ada paksaan untuk menerima Islam. Menerima secara sukarela setelah beriman kepada Allah SWT dan Rasullah SAW. Apabila telah masuk Islam, ianya hendaklah masuk sepenuh-penuhnya, tidak separuh-separuh seperti yang diamalkan oleh UMNO. Yang menguntungkannya, diambil dan yang merugikannya ditolak.
 
Kenapa perlu ada sekatan terhadap sebahagian orang Islam yang lain yang mahu beramalkan dengan hukum Allah. Kenapa memberi alasan kepada Perlembagaan negara yang menghalang pelaksanan hukum Allah ini, sedangkan pindaan Perlembagaan dilakukan acap kali untuk kepentingan UMNO.
 
Mana-mana Undang-undang yang menghalang pelaksanaan hukum Allah boleh dibuat pindaan. Semenjak Merdeka sebanyak 42 kali Perlembagaan negara dipinda, ISA paling banyak mengalami pindaan sebanyak 20 kali. Ini semua adalah auta UMNO semata-mata. Sering kali juga UMNO memberi alasan ini adalah Hudud PAS yang tidak mengikut Islam yang sebenar. Mana dia Hudud UMNO yang mengikut Islam yang sebenar?
 
Kalau begitu, apa sebab UMNO tentang, UMNO TENTANG KERANA:
 
1. UMNO melihat "amanah" yang diberikan oleh rakyat adalah sebagai alat untuk mencari kekayaan, kedudukan dan kuasa. Bukan untuk melihat amanah itu sebagai bebanan yang perlu dipikul dan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Jika dilaksanakan hukum Islam ini, maka ia akan menjadi batu penghalang untuk mencapai cita-cita peribadi masing-masing yang berlumba-lumba masuk UMNO ketika tahun 80an dan 90-an dulu kerana untuk mendapatkan tender, kontrak dan saham-saham mewah. Kalau dulu zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn, 99 untuk rakyat 1 untuk pemimpin, tetapi sekarang telah terbalik , 99 untuk pemimpin dan 1 untuk rakyat.

 
2. Budaya kehidupan pemimpin-pemimpin UMNO bermegah dengan kereta mewah, rumah besar-besar, duit banyak dan menunjuk-nunjuk kekayaan kepada rakyat. Mengetepikan kepentingan rakyat yang dipimpin. Pemimpin UMNO menjadi raja, rakyat menjadi hamba. Dalam Islam perbuatan begini sangat dikutuk oleh Allah, menunjuk-nunjuk kemewahan kepada rakyat marhaen yang tidak ada apa-apa. Nabi sendiri dalam kehidupannya terlalu bersederhana dari segi pakaian, makanan dan tempat tinggal, kalau Nabi hendakkan kekayaan dunia ini, maka Nabi akan dapat lebih hebat lagi dari pemimpin-pemimpin UMNO haprak ini. Oleh itu, Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana ia boleh menyama-ratakan kedudukan manusia.
 
3. Lagi budaya negatif pemimpin UMNO ialah mencari kekayaan dengan apa cara sekali pun baik halal atau haram tidak diambil pusing. Menjadikan harta rakyat sebagai harta sendiri, kumpulan wang amanah seperti KWSP, LUTH, Petronas [sejak ditubuhan pada awal tahun 70-an tidak pernah bayar sesen pun zakat untuk membantu orang-orang miskin, tetapi sebaliknya membantu orang-orang kaya dan tokoh-tokoh korperat terkenal yang dekat dengan pemimpin no.1] dilaburkan di tempat-tempat yang tidak disesuai dan pelaburan yang dibuat merugikan. Penggunaan duit tabungan amanah digunakan secara tidak berhemah, malah duit orang miskin PPRT ditelan oleh orang kaya sehingga kini orang besar itu bebas. Yang kaya terus kaya yang miskin terus miskin. Mana mungkin Hudud dibenarkan wujud di negara ini selagi budaya seperti ini diamalkan tanpa asuhan aqidah.
 
4. Budaya rasuah, penyalah-gunaan kuasa, pecah amanah, menyeleweng berlaku di pelbagai di institusi, sektor, individu dan terutama pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa. Membolot harta kekayaan negara, memonopoli keperluan rakyat untuk keuntungan dan faedah diri dan kepentingan kroni. Pembudayaan ini telah menjadi darah daging selama 46 tahun UMNO memerintah, mana mungkin Undang-undang Hudud dibenarkan. Membenarkan Hudud dilaksanakan, bermakna mereka akan menerima nasib yang amat malang dan akan menderita sepanjang hayat. Umpama penagih rokok, mana mungkin mereka merelakan rokok diharamkan.
 
5. Arak, judi, perzinaan, hiburan yang membangkitkan syahwat lagi melalaikan, menipu, pembohong [termasuk juga pembohongan dalam urusan pilihan raya], kes tangkap khalwat, melarikan duit ke luar negara, melarikan anak seorang Raja menikah di Selatan Thailand pada tahun 1994, menahan orang tanpa sebab dan pelbagai lagi gejala maksiat yang dilakukan, masakan boleh dilaksanakan Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah [Hudud dan Qisas]. Pelaksanaannya akan menyebabkan industri hiburan ini akan runtuh dan orang akan kembali beriman kepada Allah dan RasulNya.

 

6. Kepentingan politik sempit UMNO untuk menarik sokongan pengundi-pengundi bukan Islam seperti yang ditunjukkan dalam pilihan raya tahun 1999 yang lalu. Pada pilihan raya tersebut UMNO kalah, BN menang. Oleh itu, UMNO akan terus mengunakan isu ini menakut-nakutkan pengundi bukan bukan Islam untuk terus menyokong UMNO/BN pada pilihan raya ke 11 nanti. 

Kita tidak berhak menuduh sesiapa [biarlah bekas PM ke-4 dulu membuat keputusan bahawa Haji Hadi dan Nik Aziz akan masuk neraka kerana mereka akan melaksanakan Hudud yang bertentangan dengan Islam sebenar], si anu itu atau si pulan itu adalah Abu Jahal Moden, tetapi ciri-ciri sebagai Abu Jahal itu tetap ada untuk dibahaskan.
 
Sebab itu dalam tulisan ini saya ada menyebut dua kisah yang melibatkan Khalifah Omar ibn Al-Khatab. Dua orang bangsawan di Mekah ketika itu ialah Omar bin Hisham dan Omar bin Al-Khatab. Dengan kepopularan [kegagahan, pengaruh dan kuasa] mereka ini boleh menarik lebih ramai untuk mendengar dakwah Nabi dan seterusnya memeluk Islam, lalu Nabi bermunajat kepada Allah SWT supaya memberi kepadanya salah seorang Omar ini bagi memperkuatkan kedudukan Islam yang lemah di Mekah kerana ditindas dan ditekan dari segenap penjuru sehingga Nabi amat sukar bergerak untuk berdakwah.
 
Allah memperkenankan doa Nabi dengan memberi Omar Al-Khatab sebagai membantu Nabi yang setia. Omar banyak membantu Nabi dalam urusan berdakwah terutama di Mekah kerana penduduk Mekah sangat takut kepada Omar Al-Khatab akan kebengisannya dan keberaniannya. Omar juga adalah pelindung keselamatan Nabi ketika berhijrah ke Madinah.
 
Manakala Omar Hisham [yang juga merupakan seorang hakim, seorang peguam serta seorang banking] masih terus dengan kegiatan yang amat digemari oleh iblis dan syaitan iaitu menghalang dakwah yang disampaikan oleh Nabi. Nabi dituduh dan dilabelkan dengan pelbagai gelaran seperti orang gila, nyanyuk, ajaran sesat, ahli sihir, pembohong, pembawa fitnah dan sebagainya seperti mana yang kita terima pada waktu ini.Pergerakkan dakwah Nabi SAW  disekat dengan pelbagai cara. Nabi didera mental dan fizikal.
 
Pergerakan Nabi diintip dan disekat, masjid-masjid dan surau-surau dirobohkan kerana "base" ini memberi kekuatan perjuangan yang pernah Nabi lalui. Nabi dicerca dan dihina, dikepung, diludah, dilontar dengan batu sehinggakan berdarah di kepalanya, pelbagai siksaan diterima oleh Nabi dengan kesabaran dan senantiasa berdoa kepada Allah SWT. Nabilah yang memberi gelaran kepada Omar Hisham [yang juga bapa saudaranya] sebagai Abu Jahal { maknanya ibu segala kejahatan atau kejahilan]. Abu Jahal ini menentang apa sahaja yang Nabi berdakwah sekat ceramah Nabi, hantar pegawai mengepung tempat ceramah Nabi sehinggalah sampai perintah dari Allah SWT supaya berhijrah ke Madinah untuk mengurangkan tekanan dan siksaan.

 

Dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke dua Hijrah. Kedua-belah pihak, pihak pimpinan Nabi SAW dan pihak pimpinan Abu Jahal, masing-masing menadah tangan ke langit memohon restu Allah semoga pihak mereka menang dalam peperangan itu. Nabi memohon kepada Allah SWT dengan berkata : “ Ya Allah Ya TuhanKu, Tuhan sekalian alam, selamatkan kumpulan yang kecil ini. Kalau kau musnahkan kumpulan yang naïf ini, maka nescaya tiada lagi orang yang akan menyembah Mu Ya Tuhan “. Abu Jahal juga berdoa menadah tangan ke langit sambil berkata : “ Ya Tuhanku, selamatkanlah kami dan musnahkan kumpulan Mohamad yang banyak menyesatkan orang ramai dari agama nenek moyang kami dan memutuskan tali persaudaraan “.

Doa Nabi SAW diperkenaan oleh Allah SWT, baginda dibantu oleh malaikat dan Abu Jahal dibantu oleh syaitan dan iblis laknatullah. Akhirnya Abu Jahal terbunuh dalam peperangan tersebut.
 
Tiada kemenangan tanpa kekuatan
Tiada kekuatan tanpa perpaduan
Tiada perpaduan tanpa maruah
Tiada maruah tanpa agama
Tiada agama tanpa dakwah
Tiada dakwah tanpa ilmu.